Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Monday, November 12, 2018

Cinta Dan Semangat

Orang muda, cinta adalah kehangatan.
Orang tua, cinta adalah semangat.

Kehangatan itu akan menjadi sejuk bila sampai waktu kita tidak mengubahnya menjadi suatu rahmat daripada Allah Taala. Sejajar dengan rasa, seiring dengan iman dan bendung dengan ketertiban akhlak yang menuntut bimbingan diri mencegah kemungkaran dan melahirkan kasih-sayang dengan zarah-zarah keikhlasan yang tidak terbilang dan tak terukur.

Kehangatan akan menjadi dingin beku saatnya kita sudah mula menurut nafsu, emosi dan keegoan yang mencetuskan rasa rimas, malas dan jemu. Kronologi cinta ketika muda mempunyai banyak mukasurat luka dan kecewa. Cinta tanpa akar yang kukuh akan semakin kering disedut pancoroba harian. Lama-lama ia reput, patah dan tumbang.

Bila kehangatan diubah menjadi semangat, cinta itu berubah menjadi tanggung-jawab. Bila ia menjadi tanggung-jawab, ia akan menjadi rantaian yang berputar ke arah kasih-sayang juga. Dari semangat kepada tanggung-jawab. Dari tanggung-jawab kepada sayang dan dari sayang kepada semangat. Kemudian balik kepada semangat cinta.

Pasang surut pasti ada. Ada masa lemah. Ada waktu kuat. Kadang-kadang, tabah dan sesekali akan tawar rasa. Namun jika ada semangat, maka putaran itu akan tetap kembali kepada asasnya yakni cinta.

Tunggak yang yang penting pada cinta dan semangat adalah saling tidak berputus-asa. Saling bersedia untuk mendewasakan diri. Saling berganding memperbaiki kelemahan hati. Saling berpaut dengan "Lahawlawala quwwata illa billah". Saling berdoa agar Allah mendorong zahir dan batin kepada cahaya taufiq dan hidayahNya.

Satu perkara yang kita sering lupa  guna adalah saling merendah diri. Jangan kita lupa cabaran hidup sering amat membuatkan kita saling mencabar, saling menimbulkan keakuan yang menongkak kesombongan diri. Merendah diri memberikan kita semangat untuk saling rasa melengkapi. Apa yang kurang di sebelah sini, ada lebihnya terhadap yang disebelah sana. Apabila dicantum menjadi 'complete'. Indah kan? (tengah senyum nih)
Jadi, betulkan yang biasa kita lakukan, biasakan yang betul. Merendah diri akan menjana rasa saling menyayangi. Insha-Allah.

Akhir keputusan jelasnya, tanpa Allah, tiada sesuatu pun yang bergerak.
Tiada sesuatu pun milik kita. Yang ada sekeliannya adalah milik Allah Taala.
Bercintalah kerana Allah
Bersemangatlah kerana Allah.

Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad