Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, August 26, 2012

Usah Membisu. Suarakanlah!


Bismillahirrahmanirrahim.
Takdir menentukan suami isteri dijodohkan, diakadkan lalu berjanji memegang cita dan tanggungjawab keduanya atas dasar cinta "Lillahita'ala". Samada pertemuan tersebut atas dasar cinta atau tidak dirancangkan, rumah-tangga adalah sebuah masjid yang suci pemberian Ilahi. Masjid kecil cinta yang dihuni oleh Imam dan makmumnya. Di situlah bergeraknya simbol sebuah masyarakat yang teguh atau pincang.

Dalam masjid kecil ini ada persatuan dan nilai persahabatan yang murni. Tetapi ramai yang tidak mengambil ia sebagai kepentingan. Suami adalah sahabat bagi isteri dan begitu juga isteri adalah sahabat bagi suami. Hairan sekali, kenapa memilih orang lain sebagai sahabat sedangkan kita telah mempunyai "Sahabat Hati" yang mengenali dengan amat terperinci. Seorang isteri boleh menjadi sahabat kepada suaminya, tetapi seorang sahabat yang baik tidak boleh menjadi isteri. Begitulah juga sebaliknya, seorang isteri tidak akan boleh menjadikan sahabatnya sebagai suami.

Plastiknya manusia. Justeru, apakah tujuan sebenar pernikahan yang telah kita ambil. Adakah kerana memenuhi lampiasan nafsu kerana zuriat dan keturunan semata-mata?
Sedangkan kucing yang kita pelihara dapat memahami bahasa tubuh kita dan kita dapat memahami kehendak kucing kita. Plastiknya kita apabila lebih memahami orang lain daripada suami atau isteri sendiri. Kita letakkan 'hadangan' antara suami-isteri tetapi boleh pula kita luahkan segala keintiman dan keinginan kita kepada orang lain yang kita tidak sebenarnya kenal. Boleh pula kita bermesej dan berkomunikasi dengan selain yang halal yang tidak membawa keuntungan kepada kita sehingga hanya menimbulkan keresahan jiwa. Pelik sungguh kita ya. Bahasa kucing yang kita pelihara kita dapat kenal, tetapi pasangan kita yang boleh bersuara asyik pula bersengketa. Fikir-fikirkanlah..

Kasih-sayang perlu disuarakan. Ia adalah sunnah Rasulullah s.a.w.  Sepertimana suatu ketika Baginda pernah diberitahu akan rasa sayangnya terhadap sahabat yang lain, lalu Baginda bertanya apakah dia telah menyatakan sahabatnya itu tentang rasa kasihnya dan sahabat belum berbuat demikian. Lantas, Rasulullah bersabda yang bermaksud,
"Pergilah kamu kepadanya dan nyatakanlah bahawa kamu mengasihinya."

Belajarlah dari kata-kata Rasulullah ini. Sedangkan persahabatan perlu diluahkan kasih, inikan pula ikatan cinta yang sah, suci lagi murni. Luahkanlah kasih kita sesama melalui suara dan sikap. Allah berikan kita suara, bukan untuk yang sia-sia. Malangnya kita pula tersilap menggunakan ego sebagai penutup untuk menyuarakan kasih. Padahal ego itu adalah pakaian Allah. Hanya-sa-nya Dia-lah sahaja yang layak untuk menggunakan ego tersebut kerana Allah-lah Pemilik Seluruh kejadian. Sedangkan siapakah kita untuk menggegak-gempitakan ego kita sedangkan lalat seekor pun tidak dapat kita berikan nyawa?

Jangan.. jangan sesekali kita puas beranggapan bahawa cukuplah rasa sayang dan cinta yang bersemi di dalam hati dan doa yang diam tanpa bersuara pada yang berhak menerimanya dan tidak perlu diluahkan lagi. Inilah kesalahan yang banyak dari kita gagal mengesannya. Bukan kita tidak tahu, tetapi kita sengaja abaikan kerana kononnya 'malu' maruah diri jatuh. Malu itu pakaian akhlak yang baik tetapi malu perlu dipakai sesuai pada tempatnya. Jangan kita menggunakan 'malu' ditempat yang bodoh. Jangan biarkan kebisuan kita menjadi retak menanti belah. Sudah jatuh baru tergadah.

Sebutir kalimat yang baik, boleh membaikkan seluruh jalan kehidupan. Disamping kalimat, buktikan cinta dan kasih-sayang itu dengan perbuatan dan tindakkan. Jangan kaku seperti kayu, tuli seperti batu.

Biarlah ditekankan lagi, janganlah kita menjadi insan plastik yang apabila diberi peluang namun masih mensia-siakan peluang. Ramai yang mengimpikan pernikahan tetapi tidak mahu bermuhasabah dan mensyukuri nikmat disebalik ikatan tersebut. Kehidupan insan tidak boleh disamakan dengan barang, apabila buruk terus dibuang sebaliknya yang buruk dan usang perlu diperbaiki!

Hari esok adalah hari esok yang tidak pernah kita tahu samada ia akan muncul atau tidak. Justeru, hari inilah kita wajar memperbaiki segala urusan terutama soal hati diantara suami- isteri. Janganlah menunggu hari esok yang mungkin akan terlambat mengubah segalanya.

Andai kita mahu memilih gembira di dalam rumah tangga, suarakanlah segera! Permudahkan kata-kata. Mungkin awalnya kita akan mengolah pertengkaran dan rasa sakit hati sesamanya namun, kejujuran di dalam kata-katalah yang mampu mengubah hujung kehidupan kita sekalipun ia bergaul dengan kepahitan. Jangan biarkan kebisuan menghancurkan impian awal yang kita tanam menjadi kontang! Bajai, sirami dan hidupkanlah ia agar tumbuh semula pokok bahagia!

Putaran kehidupan itu memang meletihkan. Kadangkala jemu menjengah perasaan. Namun, usah biarkan tawar dan hambar itu mempengaruhi kasih-sayang. Bertindaklah sebelum keadaan menjadi parah. Bawalah diri kepada Allah. Ubahlah jiwa, pemikiran dan perasaan kita.  Mungkin kita tidak mampu mengubah situasi luar diri, tetapi kita ternyata mampu mengubah apa yang ada di dalam diri kita jika kita benar-benar berusaha!



Nikah itu mahal, mahalkanlah ia sampai ke akhirat. (Upah juru gambar tu takyah lerr.. pakai henpon jer)

Wallahua'lam.
Salam kasih kerana Allah dari Raz.R
Senyum..