Salam kasih Kerana Allah
Tuesday, April 28, 2009
Betapa Lalainya Kita Selama ini..
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamulaikum dan salam ukhwah wahai semua hamba Allah. Baik sahabat, baik musuh kita semua hamba Allah. Doakanlah diri kita ini selalu di bawah petunjuk-Nya, Yang Maha Cantik, Maha Bijaksana, Maha Penyayang, Maha Gagah, Maha Megah. Kita tidak sedikitpun berupaya menandingi segala 'Maha'-Nya. Justeru, doakan kita supaya tidak sombong dengan apa jua pemberian-Nya.
Entah mengapa tiba-tiba saya terfikir tentang ajal. Rasa saya pasti semua dari kita sesekali tercelah di akal tentang mati seperti yang saya rasa sekarang ini kan? Cuma, berbeza pengambilan ilmiah akal dan jiwa. Maksud saya, ada yang berkata, "Ahhh, aku muda lagi..buatpa fikir mati?".. atau "Nak fikir buat apa?Kalau mati, matilah!".. atau.."Isk, awat pikiaq lagu tu?, tak baik tau.." dan macam-macam lagi.
Apa yang saya fikir pula?-GERUN!
Itu yang terlintas dihati dan akal saya. Adooii.. jika ajalku tiba-tiba datang, tak sempat itu dan tak sempat ini.Macam lagu apa tu..? Yang selalu diiramakan di corong radio.."Andaiku tahu, kapan tiba ajalku.." Ya betul! Kalau dah tiba ajal memang kita dikafankan.. Ha!Ha!Ha! Maaf, saya bergurau pula. Sekadar untuk menyerikan hati yang gerun ini.
Berbalik terhadap kegerunan saya tadi. Kenapa? Perasaan ini timbul kerana saya takut tempat saya 'di sana' nanti bukan seperti yang saya harapkan. Selama usia yang Allah beri kepada saya hingga ke hari ini, sekelumit benar kebaikkan yang saya buat. Bakti saya terhadap agama-Nya, sesama saudara, keluarga dan diri sendiri belum layak ditekan darab dikalkulator. Hanya layak dikira dengan jari jemari sahaja. Astaghfirullahalazim.. Sedihnya hati ini mengenangkan azab yang mungkin saya terima nanti. Saya tahu bukanlah hak saya untuk menentukan di mana Allah akan letakkan saya, tetapi yalah kan?.. Kita sendiri boleh menilai apa yang kita amalkan setiap hari di dalam hidup kita. Siapa diri kita sebenarnya, kita yang tahu. Dan Allah lebih Tahu lagi.
Apa yang kita buat?
Apa yang kita jadi?
Apa yang kita kejar?
Apa yang kita dapat?
Pernahkah soalan-soalan itu timbul pada anda juga? Selama hidup kita sekarang, betulkah kita percaya pada kuasa Allah s.w.t? Apakah sedang mengamalkan kehendak Allah atau kehendak hati kita sendiri?
Apabila saya memejamkan mata seketika, membayangkan diri saya diselubungi kain putih. Wajah saya yang pucat sejuk tanpa solekan dengan haruman kemenyan, tidak lagi haruman mahal buatan luar negara. Muzik yang mengiringi saya cuma alunan ayat suci kitabullah, bukan lagi lagi lagu Salem yang mendayu atau Siti Nurhaliza yang suaranya seperti buluh perindu, bukan juga lagu Yasin, tetapi ada bacaan Yaasin.
Kalau dulu sahabat datang bersembang-sembang, tika itu bertandang dengan diam melihat saya yang kaku membisu. Tiada lagi suara lunak gemersik cuma mungkin ada yang berbisik , "Dia mati, sakit apa ya?, bila ya?.." Tidak ada gosip hebat yang perlu diperdebat.
Sedangkan saya waktu itu? Tinggallah dunia, tinggallah keluargaku, tinggallah hartaku, sahabatku...! Wah! Gerun betul bila difikirkan. Semua yang kita cinta dan sayang, kita tinggalkan. Apa yang kita bawa bersama kita ya? Sama-samalah kita fikirkan tentang itu selalu. Mudah-mudahan kita tidak akan lupa bahawa kita tidak ada kuasa untuk mengikat atau memegang waktu, jam, saat, minit yang kita ada.
Kata bijaksana, sahabat yang baik itu adalah sahabat yang selalu mengingatkan sahabatnya yang lain akan mati. Maaflah, saya bukanlah sahabat yang baik tetapi saya ingin terus berusaha menjadi baik bersama-sama.
Disini saya bekalkan sedikit tulisan Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni yang cantik untuk kita kongsi bersama. Mudah-mudahan kita yang berada di separa sedar akan terus sedar, sebagaimana saya yang sedang berusaha untuk sedarkan diri sendiri. InsyaAllah..
Kata beliau :-
Lalai bermakna rugi. Oleh itu jauhilah kelalaian kerana ia akan menjauhkan anda dari Allah. Kelalaian membuatkan anda meninggalkan solat, berpaling dari Al-Quran, dan enggan menghadiri pengajian dan acara-acara yang bermanfaat buat anda.
Sesungguhnya kelalaian merupakan awal dari kerugian dan kegagalan. Dan lebih dari itu kelalaian membuatkan hati menjadi keras dan gelap. Selepas itu hati seakan-akan buta tentang kebaikan, rela dengan kemungkaran dan tidak mengambil berat tentang agama. Orang yang punya hati seperti itu akan menjadi kaku, mudah bersedih, mengeluh dan terpengaruh. Ini baru merupakan kelalaian ketika di dunia, bagaimana pula nanti di akhirat?
Sebab itu jauhkan dirimu dari sebab-sebab kelalaian itu. Banyakkan zikir kepada Allah, sama dengan bertasbih tahlil, tahmid dan istighfar serta berselawat kepada Rasulullah s.a.w., sama ada berdiri, duduk mahupun berbaring. Dengan begitu, anda akan menemukan kebahagiaan meliputi hati anda. Begitulah pengaruh zikir kepada Allah s.w.t.
"Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah, hati akan tenang."- (Surah Ar-Ra'd:28)
JANGAN LEKA DAN JANGAN LALAI.
Jangan berputus asa menunggu pertukaran kesusahan menjadi kemudahan.
Mudah-mudahan kita selalu dan selalu ditunjukki kebenaran dari Allah s.w.t. Amin.
Wallua'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment