Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Tuesday, August 26, 2025

Semak Perut Telan Penyapu!

 

Cantiknya suasana ini! 
Mata yang diizinkan Allah melihat. Alhamdulillah. Walaupun sekarang ini di dalam pejabat. Sedang mencari kelapangan hati dari segala macam "struggle of the day". Maksudnya semak perut. Ha!Ha!Ha!

Orang bertaqwa kena sabar, kena tenang dengan ujian Allah. Tapi, bohonglah nak boleh tenang sebegitu sahaja. Manusia awwam (tak berapa alim) yang macam kita ni, zikir pun kurang, solat belum tentu sempurna, ketaqwaan pun tipis, mana ada nak boleh rileks, senyum, tenteram tempuh dan hadap segala cubaan dengan 'simply positive' kan? Tak semudah "Semak Perut, Telan Penyapu". Ada masalah sahaja, sapu-sapu, buang masukkan dalam tong sampah. Tak semudah itu, okay.

Sedikit sebanyak akan ada gumpalan di dalam hati dan emosi. Akan terbit juga keluhan di mulut. Nak teruskan hidup, kena berusaha untuk rezeki yang Allah kurniakan. Dari situ ada cabaran-cabaran yang perlu dilalui samada mahu atau tidak mahu.

Tapi, jangan putus asa!
Rahmat Allah bukan pada amalan kita pun, walaupun amalan itu adalah kewajiban. Mungin amalan sedikit namun Allah perluaskan rahmatNya kepada kita kerana ketulusan hati kita melaksanakan yang sedikit itu betul-betul keranaNya dan kembalikan segalanya kepadaNya.
Jadi, jangan sekali-kali putus asa. Letih, penat, kecewa, merana, luka, sakit jiwa bagai nak gila kah?
Satu sahaja rahsia hikmah Allah, RAHMATNYA MENGATASI SEISI SEMESTA.

Sudah! Jangan semak-semak perut lagi. Lihat kepada alam. Lihat kepada pokok yang dengan mudah Allah hidupkan. Hal yang serumit apapun, tidak ada sedikitpun yang sulit dan susah bagi Allah.

Bissmillahitawakkaltu'alallah. Love You Allah♥ Love You Rasulullah♥ 

Friday, August 22, 2025

Nuansa Yang Sirna

 

Perasaan ini gelap. Sirna di dalam terowong hidup yang tidak adil namun itulah hakikat sebenar hidup.

Kita tidak suka tetapi Allah telah takdirkan apa yang tidak kita suka itu sebagai hikmahNya, kebaikan dariNya.

Hati mengegurutu, nuansa rasa makin hari makin tidak berkualiti. Rapuh dalam memahami apakah rahsia Allah.

Membayangkan matlamat hidup untuk menjadi siapa dan mahunya bagaimana, memang indah. Menakluki matlamat dengan usaha dan susah payah, memberikan impak yang besar di dalam kenyataan emosi, semangat dan prestasi diri.


Lebih-lebih lagi untuk yang selalu sahaja 'over thinking'. Ya! Terlebih sangkaan pada waktu yang belum tiba dan suasana yang belum menjelma, kejadian yang belum ada. Fikir dan fikir tak habis-habis.

Antara fikir dengan rasa sakit hati dan fikir dengan tenang menerima takdir serta memperjelaskan takdir yang diatur Allah dengan rasa tauhid yang cuba ditinggikan. Tidak mudah, kawan! Selama mana ada syaitan yang cuba menghancurkan gedung iman di dada.


Friday, August 1, 2025

Sedikit Kata.

 


Hari ini hari Jumaat.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Semoga kita semua yang masih bernafas ini hidup dengan rahmat-Nya sentiasa. Semoga kita juga mendapat rahmat-Nya di akhirat kelak juga.
Hidup ini tidaklah lama mana. Paling panjang mungkin pada yang diizinkan 100 tahun sahaja. Insha-Allah. Dengan izinNya, Aamin. Sementara hidup ini mari kita jadikan solawat sebagai kata-kata yang kita sebut setiap masa. Semoga mati kita nanti di temani baginda Rasulullah SAW.


Tuesday, June 17, 2025

Harta Dunia



اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Surut masa untuk menjengah di jurnal ini. Tidak diizinkan aktif menulis. Sibuk! Asyik sibuk dengan urusan dunia sehari-hari. Kadang tertanya entah apa yang disibukkan pun tak tahulah?

Hari ini rasa nak bercerita sikit. Baru-baru ini aku ada menziarahi kematian saudara terdekat. Mata terpancing dengan kisah dunia yang rakus dengan haloba dan tamak. Pelik dengan manusia ni, kan? Moga Allah lindungi kita daripada sikap mazmumah hendaknya. Aamiin.

Harta dunia direbut-rebut berdasarkan syariat al-kononnya. Semua yang ada sangkutan atas dasar ahli keluarga hadir menonjolkan muka berziarah. Alhamdulillah. Namun, ada yang menggerutu di jiwa ini. Geram mencubit rasa.

Mana taknya, sanak-saudara ini, waktu kita sakit, perlukan bantuan, pertolongan dan perhatian tidak ada yang sudi meluangkan waktu. Tidak ada pula yang nak mengaku bertanggung-jawab untuk ambil berat ketika kita sakit. Bila mati, jenazah sudah dikuburkan, hah mulalah yang datang menebalkan muka mengaku diri berhak menjadi tuan punya kepada sebahagian harta dunia yang arwah tinggalkan. Lebih mengecewakan apabila ada yang bergaduh-gaduh soal siapa yang berhak. Muak dan benci hatiku melihat drama-drama sedemikian.

Logiknya, sewaktu hidup perlu sepakat, saling membantu dan ambil tanggung-jawab menjaga si mati. Bukan hanya menagih harta ketika arwah telah tiada. Malu sungguh dengan sikap orang Islam yang macam ini. Ilmu diambil di bahagian yang dia perlukan. Sedangkan pada bahagian lain dipandang remeh dan ditinggalkan dengan sambil lewa sahaja. Memang muka tidak malu betul orang-orang yang macam tu kan?

Bila aku lalui pengalaman tersebut hati dirundung sedih sangat. Berdoa agar suatu masa ketika aku diambil Allah, biarlah harta-hartaku Allah takdirkan bagi urusan akhiratku. Semoga ada yang ikhlas mengambil tanggung-jawab menjadikan ia sumber untuk ku bawa sebagai suntikan pahala di akhirat kelak bagi meringankan azabku sebagai hamba yang banyak dosa ini. Harta si mati sepatutnyalah disedekahkan bagi si mati mendapat rahmat Allah. Astaghfirullah. Bantulah aku Ya Allah. Semoga kematianku husnulkhotimah. Kematian kalian juga. Aamiin.

Lahawlawalaquwwata illa billahil alliyil adziem..

Harta dunia memanglah penting untuk kelangsungan hidup, namun biarlah dipertimbangkan dengan jiwa yang penuh iman apakah kita ini layak menjilat harta orang lain setelah pemergian sekalipun kita ini ada pertalian. Lihat kepada usaha kita menjaga pertalian dengan arwah. Barulah muka kita yang kebulur harta itu tidak jatuh ke lembah busuk ketika menadah tangan menerima hak daripada orang lain. Usahlah tamak sehingga tidak lagi memandang kebaikan sehingga lupa diri.




Wallahu'alambissowab.

Jariah lebih utama.