Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Monday, November 1, 2021

Tunggu! Tunggu Sahaja Balasan Allah💙

 


Yang sakit itu sebenarnya realiti atau hakikat yang wajib kita harungi di dalam hidup. Justeru, jangan kita menjadi orang yang gembira dengan keindahan yang pura-pura, tetapi sedih dengan realiti nyata. Pada saat kita terima hakikat bahawa hidup ini dikelilingi lakonan dan kita serap ia sebagai rencah hidup yang tidak dapat kita elak, kita sabar maka Allah Maha Pembalas. Tunggu sahajalah.

Kesedihan itu bukan sesuatu yang pelik dan bukan juga perkara yang salah. Yang salah adalah, kita mula berhenti untuk mendakap rasa gembira hanya kerana kesedihan yang pernah kita lalui. Yang salah adalah, apabila kita tidak akhiri kesedihan kita menerima takdir bahawa yang apa yang di dalam kuasa Allah adalah yang lebih afdhal, baik dan sihat untuk kita.

Sedari.
Tolong sedari bahawa bahagia itu kurniaan Allah. Berdoalah kepadaNya untuk beroleh bahagia. Dia Maha Pemberi dan tidak pernah berkurang pun kasih-sayangNya kepada kita berbanding dengan bahagia yang kita harapkan daripada makhluk yang sentiasa berbolak-balik hatinya. Makhluk sentiasa tergoda dengan nafsu yang sering mengubah pendirian.

Jangan takut untuk terus melaksanakan kebaikan walaupun berkali-kali kita dilukakan, walau dikecewakan, walau dibenci. Kerana Tuhan telah berfirman, "Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik, melainkan balasan yang baik juga?" (Ar-Rahman ayat 60). 

Apa yang berlaku di sebalik kesedihan, keperitan atau kehampaan itu adalah diri kita yang sebenar dan kita seharusnya bersyukur kepada Allah kerana realitinya kita menjadi diri sendiri yang benar dan tiada siapapun yang dapat merampas 'diri kita yang original' tersebut.

Tunggu. 
Tunggu sahaja dengan sabar akan balasan Allah nanti. Baik buruk, pasti akan ada pembalasan.
Tidak ada satu doa pun yang tidak didengari Allah. berdoalah saat kau rasa sedih, kerana dalam sedih hati kita ikhlas meminta kepada kebaikan Allah. Dalam sedih hati kita mudah menyesali dan bertaubat.

Buruk asbab daripada keburukan yang kita buat, kita layak menerima balasan Allah. Kerana engkar. Maka terimalah, dan mohonlah belas Allah untuk mengampuni kita.

Baik, kerana kebaikan yang kita laksanakan juga dikurniakan Allah sebagai balasan kerana tulus memahami bagaimana pilihan sebenar yang perlu kita ambil. Terimalah ia sebagai satu perubahan hidup untuk seterusnya. Kerana Allah selalu sudi memberikan peluang.

Semuanya sementara cuma. Sabarlah. Jangan berputus-asa dengan rahmatNya.

"Segala yang ada di muka bumi akan binasa. Dan akan kekallah zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan." (surah Ar-Rahman ayat 26 – 27).