Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Monday, November 22, 2021

Tak Dapat Pun Tak Apa ♦ Redha


Allahuma solliála Sayyidina Muhammad.

Adakalanya kita mencita-citakan sesuatu untuk masa hadapan. Impikan sesuatu yang kita harap dapat menjadi bahagia sepertimana orang lain telah mengecapinya. Sama ada orang lain itu berpuas hati atau tidak tentang hidup mereka, itu bukan persoalan. Yang penting, kita pun dapat capai juga. Kita nakkan seperti mereka.

Kita tidak mengira persoalan dalam hidup orang lain. Tidak pun merasai pahit maung yang mereka hadapi. Apa yang kita sangka cuma, "Semuanya akan okay" hingga akhirnya.

Tidak. Hidup ini tidak pernah sempurna walaupun kita lihat ia nampak sempurna. Ketahuilah, diri kita sendiri pun tak pernah sempurna. Jadi bagaimana mungkin hidup orang lain itu  kita rasa sempurna ? Itu semua hanyalah andaian kita. Khayalan.

Terima kasih dan bersyukur dengan pengalaman hidup walaupun ia tidak memiliki penghujung yang indah. Sepatutnya keindahan itu tetap kita rasa di dalam versi yang lain daripada apa yang kita pandang pada orang lain. Versi kita sendiri yang Allah sudah tetapkan adil mengikut kehendakNya. Dia-Lah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya.

Tak dapat pun tak apa.
Contoh : Ada orang, sedih sebab Allah tidak kurniakan jodoh. Dia teruji dengan pelbagai tohmahan manusia kerana tidak ditakdirkan untuk menikmati fitrah pasangan hidup yang Allah janjikan terhadap setiap makhluk. Di usia yang layaknya telah hampir dikambus tanah, dia masih sendiri. Kadang-kadang sunyi. Dilalui hidupnya dengan redha kerana Allah tidak mengizinkan dia bertemu pasangan. Pelbagai ikhtiar telah dibuat, namun masih belum tertakdir di atas caturan Allah. Saat beginilah pentingnya pemahaman tentang ilmu Allah. Ilmu redha. Ilmu bahagia walaupun tidak dikurniakan kemakbulan doanya. "Tak dapat pun, tak apa". Inilah perkara yang sulit terlaksana. Secara menyeluruh beratnya untuk membuat mata orang memandang 'positif' terhadap keadaan tersebut. Masing-masing manusia tidak mempunyai pendekatan yang sama dalam pemikiran. Jadi, kitalah yang harus mengubah apa yang kita firkirkan. Pertama, harus percaya dan yakin bahawa selama hidup, kita dijaga Allah. Tidak ada suatu hal pun tanpa perhatian daripada Allah. Itu yang paling utama dipegang. 

Kedua, pandang sekeliling diri kita. Betapa banyak yang telah Allah berikan kepada kita selama hidup ini. Masa, rezeki, kesihatan, ketenangan, kemudahan, zahir batin yang sempurna dan lain-lain nikmat yang belum kita syukuri. Perhatikan kasih-sayang Allah terhadap kita dengan meneroka apa sahaja hal tentang diri yang kita miliki selama ini lalu tarik nafas lega bahawa hidup kita mungkin tidak ada apa yang orang lain ada. Atau mungkin kita ada apa yang orang lain tiada. Kita kawal minda untuk faham bahawa hidup kita adalah indah dalam keadaan apa adanya.

Ketiga, pekakkan telinga dan butakan mata dengan menjauhi pandangan orang lain tentang diri kita. Kerana bukan manusia lain yang bersama kita di saat kita melalui hidup. Masa untuk tidak peduli pada cakap-cakap dan hasutan buruk perlu kita bentuk dalam jiwa. Jangan takut dengan dunia yang bakal kita lalui. Selama mana Allah beri peluang kita beribadah dengan baik dan bertaubat di atas dosa-dosa kita, ambillah momen-momen tersebut sebagai kekuatan diri. 

Dunia ini sementara dan ia bukan tempat kita!
Akhir yang harus kita pegang. Dunia ini tiada apa-apa melainkan hanya suatu pinjaman Allah untuk menambah dividen akhirat. Itu sahaja! Jalan sumbangan akhirat bukan hanya satu tetapi beribu! 
Bertawakkal kepada Allah dengan sepenuh jiwa. Kuatkan tauhid kita kepadaNya. InshaAllah, kita akan baik-baik sahaja. Gelora hidup pasti kita dapat hadapi dengan tenang. Berdoa dan berharap kepada Allah sepenuhnya.