Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, April 19, 2026

Tak Sangka



Allahumma solli'ala sayyidina Muhammad.💚

Tak sangka… sudah 18 tahun aku bersahabat setia dengan blog ini. Di sinilah tempat aku banyak meluahkan sedih. Jarang sekali aku menulis tentang suka dan gembira. Bila baca balik tulisan lama, kebanyakannya ditulis ketika hati aku sedang galau. Nampaknya memang betullah
 tulisan yang benar-benar berjiwa dan ada nyawa biasanya lahir waktu emosi kita tak stabil. Hahaha.
 
Bila aku baca semula apa yang pernah aku tulis di sini, ada masanya ayat-ayat aku bercelaru. Seolah-olah aku sedang cuba memujuk diri sendiri supaya tidak jatuh terlalu jauh ke dalam perasaan negatif. Ada juga tulisan yang buat aku terdiam… sebab aku sendiri sudah lupa kenapa aku tulis semua itu.

Macam aku pernah bersembunyi dalam rahsia aku sendiri, sampai aku lupa bahawa dulu aku pernah simpan luka yang begitu dalam. Luka yang koyaknya dahsyat… tapi entah bagaimana, aku tetap bangkit sampai hari ini.

Dengan izin-Nya. Dengan pendampingku Yang Maha Pengasih, Allah Azza wa Jalla. Mungkin semua tulisan ini ada sebabnya. Dan aku patut bersyukur, kerana sentuhan-Nya sentiasa menjaga aku—zahir dan batin.



Alhamdulillah.

Dunia ini tidak zalim - Yang zalim itu manusia

 


Malam tadi tubuh ini tidak sihat.
Demam menekan, kepala terasa berat, fikiran pula seakan dipaksa tunduk pada rasa yang tidak tertanggung.
Subhanallah…
Aku tidak menyangka, betapa rapuhnya jiwa apabila berhadapan dengan manusia yang tidak pernah selesai dengan iri dan dengki.

Nyata benar, ego dan kuasa—sama ada secara halus atau tanpa sedar—mampu menikam emosi dan menindas perasaan orang lain.
Namun aku tertanya…

Benarkah itu caranya?
Adakah benar, apabila seseorang memiliki kuasa, ia harus digunakan sesuka hati demi kepentingan sendiri?
Semakin tinggi kedudukan, semakin tamak pula nafsu mahu dipuja dan diagungkan.

Patutkah seseorang bersandar pada “konon” ketegasan, sedangkan hakikatnya ia hanya jalan menuju kezaliman?
Astaghfirullah…

Ah… sudahlah.
Tak perlu difikirkan.

Namun aku tahu… kekuatan itu tidak selalu seimbang.
Kerana jelas, bila keadilan dipadam, tiada siapa mampu menentang penindasan selagi tiada teguran, selagi tiada hidayah Allah yang menyentuh hati pelakunya.

Ada waktunya aku mahu menjadi kuat.
Tetapi ada masanya aku tewas juga, bertahan dalam sakit yang tidak terucap.
Kadang-kadang aku tertanya,
mengapa aku perlu membiarkan diri terus dibebani tekanan yang menggigit jiwa?

Lalu aku temui jawapannya…
bukan kerana aku rela,
tetapi kerana aku tiada pilihan.

Satu-satunya jalan hanyalah teguh dalam sabar,
dan terus melangkah walau hati luka,
dengan harapan yang tidak pernah putus kepada Allah.

Orang berkata, dunia ini zalim.
Lalu mereka jadikan alasan untuk bersikap sewenang-wenangnya terhadap manusia lain.
Namun mereka silap.

Dunia ini tidak pernah zalim.
Yang zalim hanyalah manusia—
yang tamak,
yang angkuh,
dan yang lupa bahawa setiap kuasa hanyalah pinjaman.

Dan aku yakin…
nantilah.
Sampai masanya, Allah akan membalas jua segala kezaliman itu.

Kerana tiada satu pun air mata yang jatuh sia-sia,
tiada satu pun luka yang Allah tidak tahu puncanya,
dan tiada satu pun doa orang yang teraniaya yang terbang tanpa didengari.

Biarlah manusia berasa gagah dengan kuasa yang dipinjamkan,
biarlah mereka ketawa di atas kesakitan yang mereka cipta,
namun mereka lupa…
langit tidak pernah tidur,
dan Tuhan tidak pernah lalai.

Hari ini mungkin mereka menang,
hari ini mungkin mereka kelihatan mulia,
tetapi esok… siapa tahu?
Allah hanya menangguhkan, bukan melupakan.

Kerana sesungguhnya,
keadilan Allah tidak pernah lambat,
cuma manusia yang tidak sabar menunggu saatnya.

Dan apabila tiba waktunya,
balasan itu akan datang—
bukan sekadar mengajar,
tetapi mematahkan angkuh yang selama ini mereka jadikan mahkota.

Nantilah… sampai masa.
Allah akan balas jua kezaliman tersebut.



Sunday, April 12, 2026

Esok Kerja


“Esok Kerja”

Hahaha…
Hari ini masih dalam pelukan cuti,
tenang, damai, tanpa hiruk dunia,
namun di hujung senja terbisik satu hakikat—
esok, kita kembali bekerja.

Apa rasanya?
Seperti masa yang berlari tanpa menoleh,
cuti yang singgah sekejap, lalu pergi tanpa pesan,
meninggalkan kita dengan hela nafas panjang
dan hati yang berat untuk melangkah.

Ada yang menanti kerja dengan senyuman,
kerana di situlah makna dan tujuan,
namun ramai juga yang diam—
mengira detik, mengumpul semangat yang hilang.

Kalau boleh, mahu saja ditahan waktu,
agar cuti terus memeluk hari,
agar lena tanpa beban terus menemani,
tanpa perlu bangun menghadapi realiti.

Namun…
tidak semua langkah itu ringan—
lebih-lebih lagi bila beban kerja menimbun tinggi,
tak pernah habis walau sudah dicuba,
dan suasana yang penuh toksik,
kata-kata yang melukakan tanpa disedari.

Hal-hal yang tidak kita gemar
datang bertimpa-timpa tanpa jeda,
hingga jalan menuju tempat kerja
terasa seperti lorong berduri—
setiap langkah mencucuk jiwa,
dan hati menjadi kesat,
penat, lelah… tanpa suara.

Tidak sepatutnya…
masa kerja dihujani rasa tertekan,
oleh orang atasan yang memberi tugasan,
dengan sikap yang dingin dan negatif,
hingga beban terasa berganda di bahu sendiri.

Masing-masing membawa cara,
namun ada yang menyakitkan tanpa sedar,
menjadikan hari-hari kerja
bukan lagi tempat berkembang,
tetapi medan menahan sabar yang hampir gugur.

Namun…
apa daya kita,
demi sesuap nasi,
kita gagahkan hati,
menelan pahit tanpa banyak bicara,
melangkah juga walau jiwa terluka.

Kerja itu bukan sekadar rutin,
ia adalah jalan perjuangan,
menjemput rezeki dengan keringat dan sabar,
mengikat hidup dengan usaha dan harapan.

Tanpa kerja, kosonglah genggaman,
tiada bekal untuk hari mendatang—
maka walau berat, kita tetap melangkah,
kerana di situlah nilai sebuah kehidupan.

Esok kerja…
dan kita, perlahan-lahan,
belajar menerima—
meski luka, meski perit,
tetap mencari kekuatan di celah lemah.

Dan mungkin…
kekuatan itu bukan pada dunia,
tetapi pada hati yang berserah,
pada doa yang tidak putus,
dan pada sabar yang diam-diam menguatkan.

Semoga Allah…
mengurniakan rezeki yang luas lagi berkat,
melapangkan jalan yang sempit,
melembutkan hati yang keras,
dan menenangkan jiwa yang lelah.

Semoga Dia juga…
menyalurkan rasa iman dalam setiap langkah,
dan menghadiahkan bahagia
meski dalam ujian yang kita lalui.

Aamiin…
Esok kerja,
dan kita tetap bertahan.

Allahumma solli ‘ala Sayyidina Muhammad 🌿


Hadap sahaja Weyhh