Allahumma solli'ala sayyidina Muhammad.💚
Tak sangka… sudah 18 tahun aku bersahabat setia dengan blog ini. Di sinilah tempat aku banyak meluahkan sedih. Jarang sekali aku menulis tentang suka dan gembira. Bila baca balik tulisan lama, kebanyakannya ditulis ketika hati aku sedang galau. Nampaknya memang betullah— tulisan yang benar-benar berjiwa dan ada nyawa biasanya lahir waktu emosi kita tak stabil. Hahaha.
Bila aku baca semula apa yang pernah aku tulis di sini, ada masanya ayat-ayat aku bercelaru. Seolah-olah aku sedang cuba memujuk diri sendiri supaya tidak jatuh terlalu jauh ke dalam perasaan negatif. Ada juga tulisan yang buat aku terdiam… sebab aku sendiri sudah lupa kenapa aku tulis semua itu.
Macam aku pernah bersembunyi dalam rahsia aku sendiri, sampai aku lupa bahawa dulu aku pernah simpan luka yang begitu dalam. Luka yang koyaknya dahsyat… tapi entah bagaimana, aku tetap bangkit sampai hari ini.
Dengan izin-Nya. Dengan pendampingku Yang Maha Pengasih, Allah Azza wa Jalla. Mungkin semua tulisan ini ada sebabnya. Dan aku patut bersyukur, kerana sentuhan-Nya sentiasa menjaga aku—zahir dan batin.
Alhamdulillah.
