Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, May 3, 2026

Bukan Duniaku



Bila kita melangkah masuk ke dunia baru yang sarat dengan kepura-puraan, dunia yang menjadi magnet kepada populariti dan materialistik, dunia yang tidak pernah berhenti mengejar dan dikejar… kita mula rasa rimas, lalu lemas.

Hati jadi sempit. Nafas jadi berat.
Kita rasa, ini bukan tempat kita.
Kita rasa tegang, tidak tenteram, seolah-olah jiwa sendiri sedang memberontak.

"Ah… ini bukan aku."

Perasaan itu hadir bukan kerana kita lemah, tetapi kerana jiwa kita menolak sesuatu yang tidak selari dengan fitrah. Sesuatu yang tidak membuatkan kita rasa selesa dan bahagia.

Kenapa?

Kerana jalan yang dipilih dalam dunia itu, tidak pernah ada titik akhir.
Tiada noktah. Tiada rehat.
Yang ada hanyalah perlumbaan yang tidak selesai-selesai.

Kita terus dipaksa membuktikan sesuatu, semata-mata untuk kelihatan menang.
Sedangkan kemenangan yang dikejar itu tidak pernah memberi rasa puas, hanya meninggalkan penat yang panjang, dan hati yang penuh kesal.

Lalu bagaimana kita mahu melaluinya tanpa terus dihimpit rasa tegang?

Sama ada kita membebaskan diri daripada dunia itu…
atau kita tetap melangkah di dalamnya, tetapi dengan satu prinsip yang tidak goyah:

Menjadikan dunia itu sekadar ujian.
Bukan tujuan.
Bukan tempat bergantung.
Bukan tempat hati menetap.

Kita lalui ia dengan tenang, sambil menggenggam kuat ketetapan Allah.
Kita hidup dalam kalangan manusia, tetapi tidak meletakkan manusia sebagai sandaran.
Kita berada di tengah hiruk-pikuk dunia, tetapi jiwa tetap bersujud kepada Tuhan yang Esa.

Dan inilah cabaran terbesar.

Semoga kita mampu melaluinya dengan hati yang teguh, jiwa yang tenang, dan iman yang tidak terlerai.

Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin. 🤍

Saturday, May 2, 2026

Jangan Bergurau Sembarangan

 


Main-main perasaan orang?

Ada masanya gurauan itu menjadi penawar, menceriakan suasana dan membuat hati terasa ringan.
Namun ada juga waktunya gurauan bertukar menjadi luka yang diam-diam meresap ke jiwa.

Tanpa sedar, orang boleh sahaja jadi sentap dengan gurauan kita.

Kerana tidak semua orang mampu mentafsir gurauan sebagai sekadar senda-gurau yang tiada makna. Ada hati yang rapuh, ada perasaan yang mudah tersentuh, dan ada luka lama yang belum pun sembuh sepenuhnya.

Sebab itulah Rasulullah SAW tidak menyukai kita bergurau secara berlebihan. Bersederhanalah. Bergurau biarlah sekadar yang tidak menyentuh maruah, tidak membuka aib, dan tidak mempermainkan perkara yang orang lain tidak rela dijadikan bahan.

Kita juga perlu bijak menempatkan masa.
Jangan bergurau ketika orang lain sedang serius. Jangan memaksa orang ketawa ketika hatinya sedang terluka. Kerana sekali hati tercalar, bukan mudah untuk dirawat… walaupun kita sudah pun menuturkan kata maaf.

Dan satu perkara yang aku ingin ingatkan—untuk diri sendiri juga.
Allah Maha Pengampun, tetapi manusia tidak sempurna dalam memaafkan. Setiap manusia diciptakan dengan kekuatan hati yang berbeza-beza. Memohon maaf mungkin mudah, tetapi untuk memaafkan dengan ikhlas… kadang-kadang bukan semua mampu. Ingat tu!

Jadi jagalah.
Jangan sesekali kita menjadikan perasaan orang sebagai bahan gurauan.

Semoga Allah melindungi kita daripada hati yang gelap.
Semoga Allah mengurniakan kita hati yang bersih dan bercahaya.

Amin ya Rabbal ‘Alamin.
Solli ‘ala Muhammad.

Friday, May 1, 2026

Masih Andartu 😊

 Hahaha… best tak tajuk aku kali ini?

Jodoh Milik Allah


Sengaja aku menulis bukan kerana aku mahu membuka pekung sendiri. Tidak.
Aku cuma ingin menyampaikan pendapat daripada sebuah pengalaman yang benar-benar aku lalui. Tentang andaian, tohmahan, dan kata-kata manusia yang terlalu mudah menghukum.

Sehinggakan hari ini, aku sudah kebal dengan segala cacian. Terutama daripada mereka yang merasakan didampingi keluarga dan pasangan itu suatu rahmat yang paling besar. Ya, aku tidak nafikan. Itu rezeki kalian. Itu bahagian yang Allah izinkan untuk kalian miliki.

Namun, satu perkara yang aku ingin tegaskan…

Benar, tidak bernikah itu tidak digalakkan dalam agama Islam. Bahkan haiwan pun ada pasangan. Pokok-pokok pun berpasang jantan dan betina. Tetapi apakah kalian yang kononnya berakal, yang katanya beriman tahap “dewa”, layak menghina sesuatu yang Allah belum kurniakan kepada orang lain seperti aku?

Apakah kalian sedar betapa gelapnya akal apabila ia mula melontarkan tuduhan-tuduhan yang tidak baik kepada golongan seperti aku?

Aku tidak mampu menutup mulut manusia daripada mengumpat. Tetapi tidakkah kalian masih ada akal yang waras?

Kalian mencemuh aku seolah-olah aku tidak pernah berusaha. Menuduh aku memilih hidup begini. Menfitnah seolah aku sengaja memilih untuk bersendirian.

Apa kalian kira aku tidak pernah berusaha?
Apa kalian tahu perjalanan hidup aku?
Atau kalian sekadar bercakap sesuka hati… main bedal sahaja?

Seakan-akan rezeki itu boleh ditentukan sendiri tanpa perlu percaya kepada takdir dan ketentuan Allah. Kalian fikir aku terlalu dungu untuk memilih jalan hidup yang berat ini?

Dan kalian yang suka berkata buruk tentang orang lain itu… kalian rasa kalian sudah bebas daripada neraka?

Kalian terlalu angkuh dengan hidup kalian yang kononnya “sempurna”. Sedangkan kalian lupa… tidak mempunyai pasangan bukanlah satu dosa.

Dan kalian juga lupa bahawa apa yang kalian hina hari ini, boleh jadi kembali kepada kalian pada suatu masa nanti.

Kalian ada anak. Kalian ada keluarga.
Tapi bagaimana jika suatu hari nanti, apa yang aku lalui ini… terpalit pula kepada anak-cucu kalian?

Ingatlah…

Andartu itu tidak kotor.
Bersendirian itu bukan takdir yang malang.

Yang kotor itu adalah jiwa kalian…
yang memalangkan diri sendiri dengan fitnah dan dosa.

Aku bukan marah. Sebenarnya aku cuba membuka laluan minda kalian. Jangan menilai orang lain kerana kalian mempunyai akal yang pendek. Seharusnya kalian mendoakan aku yang baik-baik. Usah hairan dengan perjalanan yang telah Allah takdirkan kepada hamba-hambanya yang lain.  Kalian itu siapa? 

Allah itu Maha Bijaksana. Dia tidak pernah bodoh di dalam menyusun sesuatu untuk kita semua. Yang bodohnya itu kita yang tidak menggunakan diri kita kepada hal yang lebih baik daripada memandang serong kepada orang lain.

Okay, done ceramah. Kikiki...