Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Tuesday, November 2, 2021

Kau Adalah Dirimu Yang Berbezađź’—

 


Manjakan rohani sendiri.
Saat kau sudah rasa dirimu tidak bermakna kepada orang lain  adalah saat yang kau wajar serious menjadi dirimu sendiri. Kau rasa ada yang hilang pada rohanimu? Kau perlukan penyembuhan. 


Ruang yang penuh gangguan selama ini harus kau keluar dari dalamnya. Berhenti seketika untuk ambil peduli tentang orang lain. Cukuplah melebihkan apa yang bakal orang anggap tentang dirimu itu dan ini. Pedulikan dirimu, jiwa dan ragamu sendiri. Kau perlu rehat! Rehat dari perasaan yang rosak.


Inilah saatnya kau mula memanjakan dirimu dengan sedar. Menyedari bahawa apa yang orang lain definasikan tentang diri kita tidak lagi utama. Kau harus pentingkan hakmu mengenali, memperbaiki dan memahami proses hidup yang sedang kau harungi. Ambillah masa, beri masa dan tak mengapa jika ada yang salah tanggapan tentang apa yang kau pilih ini. Untukmu sendiri.

Percayalah. Kau istimewa. 
Jangan lagi bising dengan mencari kelebihan dirimu dari ruang peduli orang lain. Utamakan pilihanmu. Dirimu. Hatimu! 
Pilihan untuk tidak menyakiti dirimu lagi. Kerana sedarlah bahawa yang menganggapmu istimewa, akan hadir dengan rasa tulusnya mengutamakan dirimu, menjadikan dirimu pada hatinya di sudut yang paling mulia, paling ada. Paling dominan. Mereka tidak akan meletakkan dirimu pada takat cuma 'mungkin'. Mungkin ada. Mungkin tak ada di hatinya. Maka dengan 'mungkin' itu, kau cuma akan jadi seseorang yang tidak pernah mudah, tidak sesesai, tidak ada waktu untukmu, tiada peluang dan tidak tersedia. Dia tidak pernah cukup rasa untuk mempersiapkan dirinya untukmu sepenuhnya. Dan kewajaran apa yang perlu kau pertahankan dengan membuang waktumu selama-lamanya?

Cintai dirimu berkali-kali.
Pada saat kau rasa dirimu itu tiada yang sama dengan selainnya, kau akan berusaha untuk tidak lagi patah. Patah itu hanyalah sekian adunan untukmu dibentuk pada zon yang kau sangka sakit. Kerana di hujung kesakitan itu ada sembuh dan kau akan boleh bangkit. Setiap penyakit dijanjikan ubat. Setiap yang susah pada akhirnya dijanjikan mudah oleh Allah. Kecewa akan menjadikan kau mengenali klimak cerita hidup kau sendiri. Kau akan faham betapa semua kekecewaan itu tidak akan berakhir dengan kosong begitu sahaja. Kau masih boleh mula semula. Lagi dan lagi! 

Kau masih boleh mengerti bahawa kau adalah wira kepada dirmu sendiri. Kau harus layani keperluan cinta akan dirimu sendiri untuk kau menyedari bahawa hanya dengan menikmati rasa cinta kepada dirmulah yang menjadikan cintamu kepada semesta ini indah dan utuh sekali!

Anggapi dirimu sempurna apa adanya.
Jangan kerana kau tidak memiliki kelebihan sebagaimana orang lain, kau melemahkan batinmu dengan beranggapan tidak ada yang sempurna tentangmu. Tidak! Kau sempurna kerana tidak sempurna. Itu anugerah Allah yang sangat mahal. Didiklah dirimu menikmati siapa dirimu dengan sentiasa mensyukuri yang kurang tentangmu kerana pasti sesuatu yang ada pada dirimu, tidak akan ada pada orang lain. Berani merasakan dirmu sempurna tanpa melahirkan rasa ujub tentangnya. Cuma ada syukur, syukur dan syukur sentiasa.

Kau pernah tegas meluahkan rasa sedihmu?
Tidak perlu kau menyesali kiranya ada yang percaya atau siapa yang sudi menadah. Walaupun hanya singgah di telinga tetapi tidak di hati, jangan kau rasa hilang kendiri. Itulah kejujuranmu yang mungkin sahaja pada awalnya menyakitkan namun itulah permulaan yang kau perlukan. Pahit untuk ditelan sesiapa tetapi kau belajar menyembuh daripada apa yang telah terlahir dengan luahanmu. Kau sudah boleh meleraikan galaumu, menghembus jauh debu marah gusarmu dan kau mampu memadam dendammu dan paling penting kau bersedia melapangkan dada memaafi sesiapa dengan redha. 

Kau juga tidak lagi perlu membohongi perasaanmu. Dan kau boleh sahaja menerbangkan segala sengketa tanpa membebani dada dengan bengkak dan barah yang lama.

Doakan semuanya.
Kini kau masih lagi diberi izin mendoakan dirimu kembali melurusi dirimu yang pernah bergelut di lorong pura-pura. Masih ada doa-doa hening yang kau kumpulkan kepadanya tanpa meletakkan apa pun beza diantara kau dan mereka. Kau masih tetap yakin doa-doa yang terlepas dari dadamu akan dimakbulkan jua.

Sedalam manapun kau jatuh, berdamailah dengannya dan panjatlah semula dengan kedewasaan yang tersedia daripada kebijaksanaan Allah Taala. Sampai masanya, kekosongan hatimu itu akan penuh semula. Ingat! Allah Maha Berkuasa. Itu sahaja.