Aku suka pantai♥ |
Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad.
Sayunya rasa. Tahun ini tahun keramat. Beraya akan jadi berbeza. Tiada kunjung mengunjung. Tiada mesra-mesraan. Wallahi, rindu masa-masa Allah bagi nikmat itu.
Gusar juga hati bila dunia direntap wabak dan kita masih belum mampu mengatasinya. Entah bagaimana nanti keadaan kita semua. Aku risau orang-orang kurang berkemampuan. Apatah lagi orang-orang yang hilang punca rezeki bila ekonomi menipis dan menjerat. Aku doakan Allah tidak putuskan rezeki mereka. Amin. Moga saat ini akan muncul insan-insan yang berharta yang mahu menghulur kepada sesama dengan ikhlas. Sekaranglah waktunya kita menimba redha Allah sebanyak-banyaknya. Amin.
Raya dan kemaafan.
Inilah momen yang semua orang suka.
Aku doakan semua orang yang mengenali aku sudi memberi kemaafan mereka untukku. Andai ada kekeruhan terzahir dari aku atau tersirat yang aku tidak tahu, semoga ia diampuni. Semoga Allah Allah mengampuniku jua. Sekalipun, Aidilfitri kali ini janggal, ia tidak menyusutkan rasa kasih sesama manusia InshaAllah. Masih tetap ada cara untuk kita meraikannya.
Kalian, yang mengenaliku. Tiada seorang pun daripada kalian menjadi musuhku. Salah silap, terkecil hati, tersiat luka dan tersisih itu biasa. Mana ada daripada kita tidak berdosa. Justeru, aku bukan jenis yang pendendam yang tidak suka memaafkan. Aku malu untuk tidak memaafkan orang. Malah aku sedih dengan keterlanjuranku. Allah pun Maha Pengampun dan suka untuk mengampunkan hamba-hambaNya. Apatah lagi aku yang hamba ini. Tidak layak untuk aku mendabik melihat diriku harus didarjatkan sebagai bersih daripada kehinaan dan dosa. Rasanya tiada siapa yang berdosa denganku. Aku yang banyak dosa dengan kalian. Ampun maaf hendaknya.
Selamat menyambut hari lebaran semua.
Aku doakan kalian bahagia sentiasa.
Kepada sahabat-sahabat 'non-muslim' yang tidak pernah melupakan aku dengan sokongan dan kasih-sayang kalian, aku juga mendoakan kalian.
💓💓💓