Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Thursday, May 28, 2020

Jangan Rasa Baik


Jadilah seperti Rasulullah saw
❤Allahumma Solliála Sayyidina Muhammad.

Salam Jumaat yang dirahmati Allah. Mari kita panjatkan doá agar kita sentiasa dikurniakan hidayah dan taufiqNya. Mudah–mudahan hati kita redha menerima ketentuanNya dan Allah pula redha kepada kita. 

Rindu suara azan Jumaat berkumandang kan? Sudah lama tak mendengar corong-corong pembesar suara masjid  melaungkan khutbah. Sudah lama juga tidak melihat para lelaki budiman berbaju tertib berbondong-bondong ke masjid dengan wajah yang bercahaya dari wuduk yang sempurna. Yang tak comel pun nampak comel semuanya. Rindu sungguh.

Semoga Allah izinkan Jumaat dan hari-hari lain kembali sepertinya malah semoga rahmatNya menjadikan Jumaat nanti lebih indah dengan makmum-makmum yang semuanya beriman dan taat kepada Allah. 

Subhanallah Alhamdulillah LailahaillahAllah Allahuakhbar.  BelasMu ya Allah kami pohon. Ampunkanlah segala dosa sekelian hambaMu yang terlalu jahil dan dhoif ini dan kembalikan dunia ini dengan kemenangan agamaMu ke atas hamba-hambaMu zahir dan batin. Âmīn.

Jumaat ini, ingin ku berpesan kepada yang sudi membaca dan kepada diriku sendiri terutamanya, jadikanlah diri kita ini manusia yang berikhtiar menjadi baik, sekalipun tidaklah baik. Apabila menjadi terbaik, janganlah kita merasai diri kita baik. Tetaplah merendah diri. Hiduplah dengan memandang tanah yang dipijak, kerana kerendahan tanah itulah yang menjadi tempat asal kita.  Di bawah dan kotor. Jangan membenci sesiapa pun tak kiralah seberapa banyak kesalahan yang kita hadapi dari orang lain. Berfikirlah dengan hal yang baik dan positif tetapi jangan abaikan yang negatif sebagai pengajaran. Boleh jadi yang negatif itulah yang mengajar kita tentang kesabaran dan redha. Dua hal yang sangat susah untuk kita pegang dengan istiqamah. Banyak pahalanya seandainya Allah takdirkan kita melalui hal-hal yang kita tidak ingin dengan jalan sabar yang sepenuhnya dibimbingkan dengan jiwa yang qanaah. Payah, tapi percayalah, tak ada yang mustahil dengan keinginan, usaha dan doa. Insha Allah. Amin.

Banyakkan memberi, walaupun kita tidak menerima apa-apa sebagai balasan. Tetaplah mendoakan orang lain yang mungkin telah melupakan kita. Jalinkanlah hubungan baik dengan rendah hati sekalipun kesalahan orang lain membuatkan hati kita terasa berduri.
Boleh jadi kesalahannya tidaklah seberapa kiranya kita tidak membesar-besarkannya di jiwa kita. Bagai air laut, sekalipun diletakkan gula, masinnya takkan hilang. Begitulah sewajarnya yang harus kita usahakan.
Sedarkanlah diri bahawa kita sentiasa berdosa, malah lebih banyak dosa kita itu daripada orang lain yang mungkin kita anggap tidak layak menerima kemaafan.

Pandanglah orang lain yang lemah bukan kerana kelemahannya, namun kerana kelemahan kita yang tak mampu mengatasi apa yang kita lihat kepadanya. 

Dan..
Pandanglah diri kita ini tiada ada apa-apa. Jikapun kita ada nama, iapun bukanlah kepunyaan kita. Kita adalah kosong yang kosong di dalam kekosongan kecuali setelah Allah mengisinya dengan rahmat dan belasNya yang kita pinjam. 

Lahawlawalaquwwataillabillah.

Ampunkan kami ya Allah.