Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, May 24, 2020

Rendang Raya RazZmataZz


Hari ni 1 syawal 1441H, 24 May 2020.
Aidilfitri janggal sikit. Masih di dalam suasana arahan PKP.
Aku rakamkan hari ini sebagai hari bersejarah Aidilfitri tanpa ayah buat pertama kalinya. 

Demi keluarga yang masih ada, aku yang masih bernyawa, aku simpan perasaan sayu di hujung ruang hati buat sementara.

Nampaknya kemeriahan raya tetap sama. Walaupun aku cuba "tutup pintu", taknak terima tetamu, tapi ada yang masih tidak dapat elak untuk beraya. Sudah menjadi tradisi yang tak mampu dibuang. Hari raya tak akan meriah tanpa kunjung mengunjung sanak- saudara. Kesian pulak aku pada mereka yang dah terbiasa datang ke rumah. Lagipun,  tetamu kan pembawa rezeki?

Memang tak selesa bila hati digerunkan dengan wabak, namun, kita tak dapat mengawal cara orang. Hanya tawakkal dan doa dan tetap meraikan dengan penuh kasih-sayang. Mohon Allah Ya Muhaimin melindungi sekelian muslimin-muslimat yang menyambut Aidilfitri dalam suasana darurat ini. Amin..

Ringkas.
Juadah raya yang kusediakan tak banyak. Sederhana dan biasa‐biasa sahaja. Hanya sedikit kuih raya 'tunjuk-tunjuk', sedikit makanan berkuah, ketupat dan rendang.  
Rendang biasa saja. Istimewanya aku masak dengan perasaan kasih yang penuh memori tentang ayah. Mulanya taknak buat, tetapi kerana aku taknak mak dan adik-adikku tak rasa suasana raya, kubuatkan jua. Aku puas. Bila dapat buat untuk mereka. Yalah, namapun kakak. Dulupun, waktu ayah ada, dia selalu menolong aku di dapur. 'Tolong tengok' jer sebagai peneman di dapur. Hihi... Sahabat dapurku. Orang kuat hati ayah adalah aku. Dia suka temankan aku bila aku memasak sensorang di dapur. Subhanallah, rindu. Sayu.

Sekarang, adik-adiklah pengganti hati. Mereka sumber semangatku selepas arwah ayah. Aku bersyukur walau apa pun Allah beri kepadaku. 

Aku nak simpan resepi rendang tersendiri ini untuk bacaan orang-orang yang aku sayang. Kalau kalian pun terbaca ini, maknanya, Allah gerakkan kalian sayangkan aku.. hehe..

Bahan-bahannya...macam rendang biasa. Cuma caranya sedikit berbeza. Jadi aku namakan rendang ini rendang RazZmataZz.

Seekor ayam
4 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah
1 ruas jari kunyit
1 ruas jari lengkuas
3 batang serai
2 helai daun salam kering
2 helai daun limau purut
2 keping asam keping
1 bunga cengkih
1 bunga lawang
10 biji lada hitam
Secubit halba campur
½sudu teh serbuk kayu manis
15 biji cili kering
1 biji cili burung
2 pokok daun ketumbar
2 helai daun kunyit
1½ cawan minyak masak
1 packet kerisik
½ biji santan
Garam secukup rasa
Gula melaka ⅕ potongan

Pertama : Bahan asas iaitu bawang merah, putih dan bawang besar.  Serai,kunyit lengkuas, cili burung dan 1 pokok daun ketumbar kita kisar untuk bahagian pertama.

Kedua, cili kering yang telah direbus, kisarkan sebagai bahan kedua.

Baik, untuk mula memasaknya, masukkan minyak ke dalam kuali. Kemudian tumis bunga cengkih, bunga lawang, lada hitam dan halba campur. Bila wanginya keluar, masukkan bahan kisar pertama. Masak sehingga ia mengeluarkan aroma wangi dan kekuningan.Ini rahsia awal untuk memagiskan rendang RazZmataZz ya...

Setelah itu masukkan cili kisar, masak sehingga minyaknya naik. Masukkan gula melaka, daun salam dan daun limau purut yang dikoyakkan dan serbuk kulit kayu manis serta ayam yang seekor tadi. Gaul dan gaul hingga disebatikan dengan campuran rempah tadi sehingga ayam nampak sudah masak. Masukkan santan dan kerisik. Teruslah masakkan ia sehingga kering dan warna bertukar perang. Jangan lupa letakkan garam dan asam keping.
Tunggu sehingga sedikit kering. Akhir sekali masukkan daun kunyit dan daun ketumbar yang telah dipotong.

Siap dan sedap!
InsyaAllah. Dengan izin Allah semuanya.

Alhamdulillah, tetamu yang datang menggemari rendang ini. Suka bila lihat mereka makan sampai menjilat jari. Hihi..

Sekurang-kurangnya walaupun hatiku tak segembira orang lain, aku gembira bila tengok orang lain gembira makan masakanku yang tak seberapa tu. Bukannya jenis yang pandai masak aku ni. Memasak bukan bidangku. Orang cakap, masak sekadar boleh telan sahaja. Haha!

Begitulah kisah rayaku yang sederhana. Tak ada apa-apa yang istimewa. Orang lain pakai baju raya, bergambar ceria. Aku pakai kain batik, t-shirt dan bergelut dengan periuk belanga sahaja. 

Tak kisahlah tak pakai baju raya pun, asalkan silaturahim tetap terhubung. Alhamdulillah.  Malah aku syukur sebab sedikit sebanyak dapat merawat hatiku agar tidak dihanyut rindu yang runcing.

Sungguh, orang sekeliling adakalanya membawa kesan yang pelbagai. Ada memberikan kita pengajaran, pelajaran dan ada yang memperkenalkan kita bahagia hati.

Walau macammana pun keadaan yang kita lalui, kita akan gembira, jika kita melihat orang lain gembira.

Aku tahu semua ini aturan daripadaNya yang Maha Tahu bagaimana untuk menjaga hamba-hambaNya. 
Lahawlawalaquwwataillabillah....

Salam Aidilfitri semua. 
Semoga Allah rahmati sekelian muslimin dan muslimat dengan barokahNya. Amin.

Allahumma Solliála Sayyidina Muhammad.❤