Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, May 27, 2020

Jadilah Lelaki Yang Baik

Lelaki yang menghormati dan meninggikan darjat wanita adalah yang terbaik


Kita ada dua telinga, tetapi jarang sangat mendengar.
Ada dua mata, tetapi jarang sangat melihat.
Kita ada satu mulut, dua bibir tetapi jarang menyapa.
Kita memiliki satu hati, namun ia penuh dengan bilik-bilik yang menyimpan pelbagai kisah. Hitam putih, di situlah terlukis pelbagai rentetan rasa. Di hati.

Teringat ayah. 
Dia tidak pernah berkata TIDAK apabila aku inginkan dia mendengar. Begitu suka hatinya apabila anaknya mahu berkongsi cerita harian kepadanya. Begitu bersedia. Begitu perihatin. Begitu penuh perhatian. Dia tak pernah mengeluh bila anak-anaknya mendengus mengadu masalah dan rungutan. Dia suka mendengar. Dia mahu tahu. Seumur hidupku, mana mungkin aku temukan dengan manusia yang sudi menadah telinga dengan ikhlas sebagaimana ayahku.
Kalian yang bergelar bapa,pasti juga begitu kan? Pasti kalian gembira apabila anak-anak kalian lebih menjadi sahabat kepada kalian. Atau, apakah kalian lebih suka membiarkan anak-anak kalian membisu, masing- masing dengan hal sendiri? Lantas segala yang terbuku di hati mereka dikongsikan hanya dengan teman-teman.

Alhamdulillah, aku telah dipinjamkan Allah seorang anugerah yakni bapa yang sangat mulia. Dia membuatkan aku percaya, kebaikan Rasulullah Saw. Dia buat aku tidak pandang dengan pandangan buruk terhadap sesetengah manusia yang zalim. Dia buat aku berlembut untuk percaya bahawa tidak semua lelaki hanya mementingkan diri. Dia telah menukarkan segala kebencian yang pernah menapak di ruang hatiku menjadi kasih-sayang. Aku tidak pernah kekok bercerita dengannya. Aku boleh mempercayai dia sepenuhnya. Segala rahsiaku boleh sahaja dia simpan tanpa sedikitpun terbocor. Itulah ayahku. Walau di dunia ini dia tidak bersamaku, aku masih merasai kehadirannya. Aku masih berbual dengannya. Aku tetap kuat dengan kekuatannya. Masih memgalir di setiap urat jasadku ini darahnya.

Kutulis bukan bertujuan untuk memuji ayahku. Cuma, aku ingin berpesan kepada semua lelaki, jadilah lelaki yang baik. Fahami dan dalami apapun situasi dengan baik. Kalian pemimpin kepada perempuan dan kalian khalifah. Sekurang- kurangnya kalian mampu menjadi pemimpin yang diingati oleh keluarga sendiri. Mungkin kalian tak akan mampu menjadi kebanggaan dunia, tapi insha-Allah, menjadi kebangaan keluarga pun tak kurang hebatnya.

Banyakkanlah mendengar.
Belajar untuk fokus dan telitikan dengan apa yang kita dengar. Ikhlaskan hati bila mendengar. Itu sumber asal keakraban sesama insan. Mendengar itu adalah bagian daripada ehsan. Dengar itu adalah timbang tara hati dan akal. Mendengar itu mampu menjadikan kalian manusia yang tinggi wibawa. Yang paling sukar dalam komunikasi adalah mendengar dengan tulus.

Bertanya bila perlu.
Untuk sebarang ilmu pun kita harus bertanya. Bila bertanya baharulah kita dapat penjelasan. Sekalipun kejelasan itu menghiris keegoan kita, belajar untuk terima bahawa laluan itu adalah jalan awal untuk kita saling memahami. Tanya adalah tanda kita ambil berat. Tidak semua persoalan itu adalah 'paparazi' yang kecoh. Orang yang menjadi tanggung-jawab kita jarang sangat di golongan itu. Bertanya itu menandakan kita mempunyai hati yang perihatin. Elok kita sering-sering mengambil berat dengan bertanya.
Percayalah, bagi mereka yang menyayangi kita, setiap rasa peduli akan dihargai. Jikapun bukan sekarang, pada masa hadapan, kita akan tetap diingat. Sepertimana aku tidak pernah lupa sikap arwah ayahku.

Jujur sepenuhnya.
Kejujuran terhadap sesuatu yang pahit itu melukakan hati. Namun, ia menjadi suatu pengikat yang menyimpulkan keakraban yang sangat kuat. Biasanya kalian mencari alasan untuk tidak jujur kerana mahu menjaga hati dari terluka. Bukan tak boleh. Contohnya, sesuatu yang kita pandang tak cantik, namun memuji ia cantik demi menjaga keharmonian. Itu jujur yang benar kerana tidak ada sesuatu pun di dalam dunia ini yang Allah jadikan ia tidak cantik, melainkan Allah jadikan ia berbeza. Berbeza dari segi bentuk dan rupa.
Berlaku jujurlah dalam apa pun keadaan kerana sebaik sahaja terbuka tentang ketidakjujuran kita, akan timbul retak dalam kepercayaan. Itu sangat berbahaya. Sekali kepercayaan itu retak, sukar untuk ia dipulihkan seperti asalnya.


Bukan tentang menang atau kalah.
Selalu kita lihat banyak orang akan puas kalau dia dapat raih sesuatu dengan kemenangan. Kononnya bila dia menjadi lelaki, dia harus menang dalam segala hal. Jangan silap. Soal perasaan manusia tidak boleh diambil kira dengan cara menang atau kalah. "Kau tak kuat, kau kalah, aku bertahan, akulah yang menang". Ini sangat salah.
Selama mana kita berfikiran demikian, kita belum menjadi lelaki yang adil. Malah kita mempunyai sekilas kejam yang kita simpan semata-mata untuk menjadi 'menang'.
Seorang pemimpin yang baik, dia akan berani mengalah demi untuk berlaku adil dalam menyeimbangkan suasana makhluk yang tidak sama kekuatan. Dia akan tahu dimana kelemahan dirinya, dan bahagian mana yang dia perlu dia perbaiki. Dengan itu dia akan menjadi penjana semangat orang lain tanpa menindas sesiapa sekalipun dari sudut emosi.

Berani.
Keberanian bertindak secara benar akan menjadikan setiap perkara dalam hidup kita tidak sulit dan menyusahkan orang lain. Sesuatu keputusan yang dibuat dengan berani tanpa bertangguh akan menjadikan kita lebih tenang dan dihormati. Malah, ianya juga simbol keadilan diri lelaki. Paling hebat bagi seorang lelaki adalah apabila dia menepati janji dan berusaha menunaikannya.

Sentiasa ikhlas.
Satu-satunya perkara yang mencantumkan setiap perbuatan menjadi mulia dan diberkati adalah ikhlas.
Sebelum kita memulakan sesuatu sekalipun bacaan "Basmallah" perlu disalutkan dengan ikhlas. Ini titik mula yang ulung untuk memperlengkapkan segala urusan zahir dan batin kita. Tanpa keikhlasan, sia-sia segala usaha dan doa. Tanpa keikhlasan, tawakkal dan cinta-kasih pun tidak menjadi.

Luhur rendah diri.
Tidak guna kiranya mempunyai segalanya dalam hidup, tetapi tidak belajar untuk mengisikan ia dengan rasa rendah diri bahawa segala apa yang kita miliki bukanlah milik kita dan tidak diangkuh-sombongkan walaupun sezarah. Menjiwai rendah diri pada setiap sesuatu bukanlah menunjukkan bahawa kita hina atau lemah. Di situlah siapa kita. Di situlah jawapan kepada kita bersujud setiap lima waktu. Perhidupkan sifat itu.

Elakkan berdendam.
Adakah kita tidak pernah melakukan kesalahan? Tidak! Semua orang ada kelemahan. Kadang- kadang kesalahan yang kita lakukan tanpa niat. Tak semua orang yang mengenali kita berniat untuk berlaku salah dengan kita. Berat atau ringan, jika ia tidak membawa padah penganiayaan dan kezaliman, jangan kita terlalu ekstrim untuk membalas agar hati berasa puas. Memang sukar jika diikutkan geram dan marah. Namun, bertenanglah, kerana yang hebat itu bukan kerana kemenangan tapi kerana kebijaksanaan menghadapi kemarahan dengan baik.

Sabar yang tinggi.
Bukan mudah untuk bersabar namun jika berjaya bersabar, itulah lelaki yang sangat hebat.

Sebenarnya banyak perkara yang aku belajar dari seorang lelaki bernama ayah. Bagiku, dia lengkap... Lengkap sekalipun di dalam tidak kesempurnaannya. Sehingga aku sudah tidak nampak lagi pincang pada dirinya. Allahuakbar. Alhamdulillah. Astaghfirullah.

Aku mohon ampun kepada Allah dan aku mohon maaf kepada ayah. Seringkali kerdilnya aku seorang hamba dan gagalnya aku seorang anak tidak merealisasikan seluruh yang baik terhadap jasad dan roh ini.

Aku doakan kalian yang menjadi lelaki agar dapat menjadi lelaki yang baik akhlaknya besertakan redha Allah Taála. Ãmīn.

Sebanyak mana pun kita cuba berpura dalam hidup, sesekali ingatlah, Allah Maha Melihat.

Allahumma solliála sayyidina Muhammad.❤❤❤