Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, August 26, 2022

Membuak Rindu

 


Indah.

Rindu ayah.

Setiap kali tidak sihat, atau ada masalah, membuak-buak hadir perasaan rindu itu. Dan setiap kali jumaat, terdetik ingatan ini pada saat-saat indah ketika masih ada di hadapan mata. 

SAYU.

Hanya doa yang berirama di hati.

Senyumnya. Guraunya. Mengalir di dalam denyutan nadi yang terasa saat ini. Sunyi.

Allahu Allah. 

Tidak sama walaupun hati cuba menghadirkan orang lain sebagai penawar. Tiada yang lebih indah daripada tangannya menyentuh dengan roh kasih-sayang dari hatinya yang putih.


Allahuma solliala sayyidina Muhammad.

End here. Could not stop my dropping eyes.

Monday, August 8, 2022

Memaafkan

 Allahumma solli'ala sayyidina Muhammad.



Subhanallah. Lahawlawala quwwata illa billah.

Hari ini, saya dihantui perasaan yang sangat sedih dan saya berdoa kepada Allah, ampunkan saya selama mana saya berdosa dan kurniakan ehsan belasNya untuk saya lalui dengan ketahanan dari kekuatan-Nya.

Lama saya tidak menjengah dan menulis di sini. 
Alhamdulillah, rupa-rupanya apa yang saya tulis terdahulu berkitar kembali menyentuh situasi harian saya sekarang. Sekurang-kurangnya membaca kembali apa yang saya tulis mengecas kembali kekuatan hati saya. Bagaikan menasihati diri.

Apa yang saya sedihkan?
Ya, acapkali perhubungan dengan sesama manusialah yang banyak memberi kesan terhadap pusingan hidup kita. Saya rasa inilah ketetapan Allah yang mengajar saya bagaimana saya perlu memaafkan dan teruskan hidup atas nama kembali kepada apa yang Allah telah susun.

Baiknya hati yang rasa sakit dan baiknya Allah memberikan cara merawatnya kembali.

Allah mengetuk hati saya sedikit untuk menilai segala apa yang Allah buatkan saya rasa itu adalah daripada kesilapan saya sendiri. Mungkin. 
Apa yang kita harungi hari-hari, ada masanya pengakhirannya untuk ditebus dengan pengampunan Allah. Ya. Begitulah.

Jadi, saya merawatnya dengan, "INI JALAN ALLAH".
Saya merawatnya dengan mencari hal-hal yang perlu saya syukuri.
Meneliti dengan mendalami tujuan hidup saya hanya Allah yang lebih mengetahui.
Maka rasa sakit hati, terkilan saya itu saya mandikan ia dengan rasa serah diri sebulatnya kepada Allah dan saya maafkan apa sahaja yang berlaku dalam hidup saya. Tidak kiralah dengan makhluk ataupun dengan emosi diri saya sendiri. Saya lemah dan saya pergi kepada yang Maha Kuat. Allah Maha Pengampun. Dan Allah Maha Penyayang. Dia tidak akan biarkan saya terkontang- kanting dengan menyiksa diri saya. Tidak! Saya perlu tahan dengan kesabaran!

Andai makhluk tidak mempunyai kepercayaan kepada saya, itu tidak lagi saya kisah. Saya kena percaya kepada Allah. Dia Yang Mencipta saya. 
Saya bina rasa memaafkan dengan ikhlas dan saya indahkan perasaan maaf itu dengan wangian yang bakal saya terima daripada Allah kelak.

Ya Allah! Insha-Allah!
Semoga semua kesulitan menjadikan saya manusia yang lebih dipandang di mata-Nya. 
Amin... Solli'ala Muhammad.

Monday, November 22, 2021

Tak Dapat Pun Tak Apa ♦ Redha


Allahuma solliála Sayyidina Muhammad.

Adakalanya kita mencita-citakan sesuatu untuk masa hadapan. Impikan sesuatu yang kita harap dapat menjadi bahagia sepertimana orang lain telah mengecapinya. Sama ada orang lain itu berpuas hati atau tidak tentang hidup mereka, itu bukan persoalan. Yang penting, kita pun dapat capai juga. Kita nakkan seperti mereka.

Kita tidak mengira persoalan dalam hidup orang lain. Tidak pun merasai pahit maung yang mereka hadapi. Apa yang kita sangka cuma, "Semuanya akan okay" hingga akhirnya.

Tidak. Hidup ini tidak pernah sempurna walaupun kita lihat ia nampak sempurna. Ketahuilah, diri kita sendiri pun tak pernah sempurna. Jadi bagaimana mungkin hidup orang lain itu  kita rasa sempurna ? Itu semua hanyalah andaian kita. Khayalan.

Terima kasih dan bersyukur dengan pengalaman hidup walaupun ia tidak memiliki penghujung yang indah. Sepatutnya keindahan itu tetap kita rasa di dalam versi yang lain daripada apa yang kita pandang pada orang lain. Versi kita sendiri yang Allah sudah tetapkan adil mengikut kehendakNya. Dia-Lah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya.

Tak dapat pun tak apa.
Contoh : Ada orang, sedih sebab Allah tidak kurniakan jodoh. Dia teruji dengan pelbagai tohmahan manusia kerana tidak ditakdirkan untuk menikmati fitrah pasangan hidup yang Allah janjikan terhadap setiap makhluk. Di usia yang layaknya telah hampir dikambus tanah, dia masih sendiri. Kadang-kadang sunyi. Dilalui hidupnya dengan redha kerana Allah tidak mengizinkan dia bertemu pasangan. Pelbagai ikhtiar telah dibuat, namun masih belum tertakdir di atas caturan Allah. Saat beginilah pentingnya pemahaman tentang ilmu Allah. Ilmu redha. Ilmu bahagia walaupun tidak dikurniakan kemakbulan doanya. "Tak dapat pun, tak apa". Inilah perkara yang sulit terlaksana. Secara menyeluruh beratnya untuk membuat mata orang memandang 'positif' terhadap keadaan tersebut. Masing-masing manusia tidak mempunyai pendekatan yang sama dalam pemikiran. Jadi, kitalah yang harus mengubah apa yang kita firkirkan. Pertama, harus percaya dan yakin bahawa selama hidup, kita dijaga Allah. Tidak ada suatu hal pun tanpa perhatian daripada Allah. Itu yang paling utama dipegang. 

Kedua, pandang sekeliling diri kita. Betapa banyak yang telah Allah berikan kepada kita selama hidup ini. Masa, rezeki, kesihatan, ketenangan, kemudahan, zahir batin yang sempurna dan lain-lain nikmat yang belum kita syukuri. Perhatikan kasih-sayang Allah terhadap kita dengan meneroka apa sahaja hal tentang diri yang kita miliki selama ini lalu tarik nafas lega bahawa hidup kita mungkin tidak ada apa yang orang lain ada. Atau mungkin kita ada apa yang orang lain tiada. Kita kawal minda untuk faham bahawa hidup kita adalah indah dalam keadaan apa adanya.

Ketiga, pekakkan telinga dan butakan mata dengan menjauhi pandangan orang lain tentang diri kita. Kerana bukan manusia lain yang bersama kita di saat kita melalui hidup. Masa untuk tidak peduli pada cakap-cakap dan hasutan buruk perlu kita bentuk dalam jiwa. Jangan takut dengan dunia yang bakal kita lalui. Selama mana Allah beri peluang kita beribadah dengan baik dan bertaubat di atas dosa-dosa kita, ambillah momen-momen tersebut sebagai kekuatan diri. 

Dunia ini sementara dan ia bukan tempat kita!
Akhir yang harus kita pegang. Dunia ini tiada apa-apa melainkan hanya suatu pinjaman Allah untuk menambah dividen akhirat. Itu sahaja! Jalan sumbangan akhirat bukan hanya satu tetapi beribu! 
Bertawakkal kepada Allah dengan sepenuh jiwa. Kuatkan tauhid kita kepadaNya. InshaAllah, kita akan baik-baik sahaja. Gelora hidup pasti kita dapat hadapi dengan tenang. Berdoa dan berharap kepada Allah sepenuhnya.



 

Friday, November 5, 2021

Sama Tapi Berbeza

Allahumma Solliála Sayyidina Muhammad.
Hati kita selalu berkendak yang terbaik untuk diri kita sehingga kita mengharapkan orang lain dapat memahami dan memperlakukan hal yang sama seperti kita.

Perlu kita sedar kenyataannya bahawa hati orang tidak selalunya sama macam hati kita.

Masing- masing mengendalikan diri mengikut apa yang di bawah dukungan yang telah dipertanggung-jawabkan. Semua orang menyimpan sesuatu yang terpaksa mereka lalui. Kita juga demikian. Cuma ada perbezaan dari segi acuan hidup yang telah kita jalani sedari kita lahir.

Jalan menuju destinasi pilihan kita mungkin sama. Cuma ranjaunya berbeza. Ada jalan yang dekat. Ada yang jauh. Ada yang sukar, atau ada yang tersangat mudah. 

Kenyataannya, apa yang kita suka belum tentu orang lain suka. Boleh jadi kita berlembut, berkasih-sayang secara yang bertoleransi. Tetapi ada yang lebih suka bertegas, berkeras untuk mendapat keseimbangan hidup yang tepat bagi kelangsungan cara hidup mereka.










 

Memberi belum tentu sama menerima


Menyayangi itu mudah untuk kita. Cuma disayangi itu tidak datang dengan paksaan. 
"Yang tidak menyayangi akan tidak dikasihi" Lebih kurang begitu sabda Rasulullah saw. 

Kita tidak boleh berharap bahawa orang yang kita sayang akan membalas sepenuhnya. Bukan begitu hukum alam. Ia seperti memberi sedekah. Mungkin orang yang terima daripada kita tidak dapat memberi balas yang sama sebagaimana kita telah beri. Selalunya terjadi balasan tersebut kita terima mengikut aturan Allah di fasa yang lain. Ia tidak sama keadaan. Pun begitu roh kasih itu adalah makna yang sama.

Berharap dibalas akan kecewa. 

Justeru, biarlah ia mengalir seperti yang Allah takdirkan.
 

Wednesday, November 3, 2021

Aku Sering Bisu

 


Allahumma solli'ala sayyidina Muhammad. 
Aku tidak petah berkata-kata. Lebih banyak membisu daripada bersuara. Jika kau menuntut aku berhujah menjelaskan siapa aku, ada apa denganku, boleh jadi aku tidak berdaya menyatakan rasa dengan ayat-ayat mampat dedikasi yang mempersona. 
Suruhlah aku menjadi peguam untuk membuktikan diriku benar dengan kalam lidah. Aku bakal kelu membisu. Malah bersembunyi di celah daunan pintu. Aku tak mampu.
Berikan aku buku, kertas dan pena. Nescaya aksara yang berjela menempias keluar dari dada. Dengan dakwat aku bersuara. Adakalanya, dikukuhkan dengan titisan tulus air mata aku biaskan segala cerita dengan mukasurat tebal yang tidak akan terlarat kau baca.

Sekatlah aku menulis. Gelisah hatiku menangis.
Aish... bermadah pulak pagi ni.

Hati ini mempunyai cita-cita hari ini. Nak habiskan Al-Quran dalam masa sebulan dengan tadabur. Mudah-mudahan Allah izinkan. Amin. 

RaZzie RazZmatazZ.




Tuesday, November 2, 2021

Kau Adalah Dirimu Yang Berbeza💗

 


Manjakan rohani sendiri.
Saat kau sudah rasa dirimu tidak bermakna kepada orang lain  adalah saat yang kau wajar serious menjadi dirimu sendiri. Kau rasa ada yang hilang pada rohanimu? Kau perlukan penyembuhan. 


Ruang yang penuh gangguan selama ini harus kau keluar dari dalamnya. Berhenti seketika untuk ambil peduli tentang orang lain. Cukuplah melebihkan apa yang bakal orang anggap tentang dirimu itu dan ini. Pedulikan dirimu, jiwa dan ragamu sendiri. Kau perlu rehat! Rehat dari perasaan yang rosak.


Inilah saatnya kau mula memanjakan dirimu dengan sedar. Menyedari bahawa apa yang orang lain definasikan tentang diri kita tidak lagi utama. Kau harus pentingkan hakmu mengenali, memperbaiki dan memahami proses hidup yang sedang kau harungi. Ambillah masa, beri masa dan tak mengapa jika ada yang salah tanggapan tentang apa yang kau pilih ini. Untukmu sendiri.

Percayalah. Kau istimewa. 
Jangan lagi bising dengan mencari kelebihan dirimu dari ruang peduli orang lain. Utamakan pilihanmu. Dirimu. Hatimu! 
Pilihan untuk tidak menyakiti dirimu lagi. Kerana sedarlah bahawa yang menganggapmu istimewa, akan hadir dengan rasa tulusnya mengutamakan dirimu, menjadikan dirimu pada hatinya di sudut yang paling mulia, paling ada. Paling dominan. Mereka tidak akan meletakkan dirimu pada takat cuma 'mungkin'. Mungkin ada. Mungkin tak ada di hatinya. Maka dengan 'mungkin' itu, kau cuma akan jadi seseorang yang tidak pernah mudah, tidak sesesai, tidak ada waktu untukmu, tiada peluang dan tidak tersedia. Dia tidak pernah cukup rasa untuk mempersiapkan dirinya untukmu sepenuhnya. Dan kewajaran apa yang perlu kau pertahankan dengan membuang waktumu selama-lamanya?

Cintai dirimu berkali-kali.
Pada saat kau rasa dirimu itu tiada yang sama dengan selainnya, kau akan berusaha untuk tidak lagi patah. Patah itu hanyalah sekian adunan untukmu dibentuk pada zon yang kau sangka sakit. Kerana di hujung kesakitan itu ada sembuh dan kau akan boleh bangkit. Setiap penyakit dijanjikan ubat. Setiap yang susah pada akhirnya dijanjikan mudah oleh Allah. Kecewa akan menjadikan kau mengenali klimak cerita hidup kau sendiri. Kau akan faham betapa semua kekecewaan itu tidak akan berakhir dengan kosong begitu sahaja. Kau masih boleh mula semula. Lagi dan lagi! 

Kau masih boleh mengerti bahawa kau adalah wira kepada dirmu sendiri. Kau harus layani keperluan cinta akan dirimu sendiri untuk kau menyedari bahawa hanya dengan menikmati rasa cinta kepada dirmulah yang menjadikan cintamu kepada semesta ini indah dan utuh sekali!

Anggapi dirimu sempurna apa adanya.
Jangan kerana kau tidak memiliki kelebihan sebagaimana orang lain, kau melemahkan batinmu dengan beranggapan tidak ada yang sempurna tentangmu. Tidak! Kau sempurna kerana tidak sempurna. Itu anugerah Allah yang sangat mahal. Didiklah dirimu menikmati siapa dirimu dengan sentiasa mensyukuri yang kurang tentangmu kerana pasti sesuatu yang ada pada dirimu, tidak akan ada pada orang lain. Berani merasakan dirmu sempurna tanpa melahirkan rasa ujub tentangnya. Cuma ada syukur, syukur dan syukur sentiasa.

Kau pernah tegas meluahkan rasa sedihmu?
Tidak perlu kau menyesali kiranya ada yang percaya atau siapa yang sudi menadah. Walaupun hanya singgah di telinga tetapi tidak di hati, jangan kau rasa hilang kendiri. Itulah kejujuranmu yang mungkin sahaja pada awalnya menyakitkan namun itulah permulaan yang kau perlukan. Pahit untuk ditelan sesiapa tetapi kau belajar menyembuh daripada apa yang telah terlahir dengan luahanmu. Kau sudah boleh meleraikan galaumu, menghembus jauh debu marah gusarmu dan kau mampu memadam dendammu dan paling penting kau bersedia melapangkan dada memaafi sesiapa dengan redha. 

Kau juga tidak lagi perlu membohongi perasaanmu. Dan kau boleh sahaja menerbangkan segala sengketa tanpa membebani dada dengan bengkak dan barah yang lama.

Doakan semuanya.
Kini kau masih lagi diberi izin mendoakan dirimu kembali melurusi dirimu yang pernah bergelut di lorong pura-pura. Masih ada doa-doa hening yang kau kumpulkan kepadanya tanpa meletakkan apa pun beza diantara kau dan mereka. Kau masih tetap yakin doa-doa yang terlepas dari dadamu akan dimakbulkan jua.

Sedalam manapun kau jatuh, berdamailah dengannya dan panjatlah semula dengan kedewasaan yang tersedia daripada kebijaksanaan Allah Taala. Sampai masanya, kekosongan hatimu itu akan penuh semula. Ingat! Allah Maha Berkuasa. Itu sahaja.