Ini tulisan Aidiladha yang lalu yang aku draf tetapi terperap tanpa papar.
Aku sekadar mahu bercerita. Namun sebelum itu, aku perlu mengingatkan diri sendiri bahawa tulisan ini tidak berniat membuka aib sesiapa atau menunjuk seolah-olah aku ini insan yang sempurna dalam berkata-kata. Aku bukanlah pandai apa-apa pun. Sekadar melayan hobi dan berkongsi pengalaman sendiri. Mana tahu, apa yang aku tuliskan ini mampu memberi sedikit manfaat kepada pembaca yang sudi membaca, walaupun tulisanku masih banyak kekurangan dan compang-campingnya.
Aidiladha kali ini aku sambut seadanya, seperti hari-hari biasa. Hanya ada sedikit juadah untuk tetamu yang datang, itu pun cuma satu jenis makanan sahaja. Kenapa begitu? Sebenarnya, aku langsung tidak bersedia menyambut Aidiladha. Aku terlupa.
Balik kerja pula sudah hampir malam. Fikiran hanya tertumpu pada tugasan harian di pejabat. Pentadbiran baharu yang agak celaru memaksa aku memberi fokus sepenuhnya. Walaupun jiwa tidak seiring dengan apa yang sedang aku lalui, aku tetap teruskan demi rezeki yang telah Allah aturkan. Bertahan. Memaksa diri untuk reda. Bersabar kerana Allah.
Namun, aku juga manusia biasa. Lemah, selemah-lemahnya. Sekadar bergantung pada takdir Allah.
Hakikatnya, sabar bukan sekadar perkataan yang mudah disebut. Ada sahaja keluhan yang terbit di bibir. Iman pula ada pasang surutnya. Emosi juga tidak selalu stabil. Kadangkala aku hanyut dipermainkan rasa — rasa takut, rasa bimbang, rasa letih dan rasa kecewa. Semua itu wujud.
Maaf, aku tidak pandai berbohong dengan diri sendiri. Apatah lagi berpura-pura gembira ketika hati sedang terluka atau terhina.
Orang selalu kata aku kuat. Hehehe… mungkin itu hanya lakonan. Namun aku berharap, lakonan itu akhirnya menjadi sebuah “true story” yang benar-benar membina jati diri.
Jika hidup aku dibandingkan dengan mereka yang lebih besar penderitaannya, sepatutnya aku malu kerana masih gagal menenangkan diri ketika diuji musibah.
Tetapi aku adalah aku.
Kemampuanku terbatas pada kadar yang telah Allah tentukan. Ada orang mampu meredah semuanya tanpa memikirkan luka di dalam hati. Aku kagum dengan mereka yang mampu melalui semuanya dengan baik. Allah mengurniakan kekuatan kepada mereka.
Daripada semua ini, aku belajar sesuatu.
Apabila kita ditimpa masalah dan tidak mampu melaluinya dengan baik, kita perlu meluahkannya. Itu bukan bermaksud mengeluh. Kadangkala, luahan itu datang bersama ilham — menasihati diri sendiri, menerima nasihat orang lain, menimbang pandangan yang diberi, lalu membina semula kekuatan daripada semangat ikhlas yang orang hulurkan kepada kita.
Bukan untuk menagih simpati atau mengadu nasib. Tetapi dalam keadaan tertentu, kita memang perlu mencari jalan untuk membantu diri sendiri supaya mental kita kembali waras dan tidak terus tenggelam dalam rasa “down”. Itu sahaja tujuannya.
Aku juga belajar bahawa hanya segelintir manusia yang benar-benar mahu mendengar luahan kita. Selebihnya, mereka sibuk dengan kehidupan dan kepentingan masing-masing. Begitulah kehidupan.
Kadangkala, layanan baik manusia juga hadir bersama sebab tertentu — mungkin kerana mereka mahukan sesuatu daripada kita, atau kerana kepentingan diri sendiri.
Sebab itu aku sangat menghargai orang yang benar-benar ikhlas denganku. Orang yang mengambil berat tentang kita sebenarnya adalah satu rezeki dan bonus dalam hidup.
Bagi yang tidak peduli, mungkin lebih baik kita menjaga jarak sahaja. Kita bukan meminta harta atau kemewahan. Cukuplah ukhuwah itu membawa makna, bernilai dan memberi ketenangan rohani. Itu lebih penting.
Hubungan tidak akan seimbang jika hanya satu pihak menjadi tempat meluah rasa, sedangkan pihak yang satu lagi sekadar mendengar tanpa pernah diberi ruang. Dalam persahabatan dan ukhuwah, perlu ada timbal balik dan keadilan. Itulah yang diajar oleh Rasulullah SAW.
Mungkin itulah tujuan hablumminannas.
Allah menjadikan manusia memahami bahasa manusia supaya kita saling berkongsi rasa, saling memahami dan saling menguatkan antara satu sama lain.
Bukankah itu indah?
Itu sekadar pendapat kerdilku. Aku tidak punya keistimewaan apa-apa. Ilmu pun tidak ada. Menumpang belas dari hidup yang Allah izinkan cuma. Baik pun tidak. Tidak baik yang banyak. Ada masa untuk berkongsi rasa tentang diri ini dengan sesiapa tersangat rasa hina.
Ada sesuatu yang masih tidak terluah di hati. Namun tidak kutahu dengan apa patut kumulai.
Okay, berhenti dahulu.