Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, August 2, 2026

Bertemu Rasulullah SAW

Labbaikallahumma Labbaik…

Rasulullah
Cuma ada gambar mak sahaja. 
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Aku sendiri tidak pernah menyangka, akhirnya namaku turut tertulis dalam jemputan menuju Tanah Haram -Makkah dan Madinah. Sejak sekian lama, doa itu sentiasa berbisik di hujung setiap sujud—semoga Allah memanggilku menjadi tetamu di rumah-Nya.


Musim panas, 14 hingga 26 Julai 2026. Sekalung tarikh yang tidak lagi sekadar angka di kalendar. Ia telah menjadi hamparan kenangan yang masih terapung-apung di ruang mata, akal dan hati. Hingga hari ini, setiap detiknya masih hidup dalam ingatan.


Pada awalnya, langsung tidak terlintas di hati untuk menerima pelawaan seorang sahabat yang mengajakku mengerjakan umrah bersamanya. Hati ini seolah-olah belum terusik. Namun apabila aku bertanyakan kepada ibu, segala-galanya berubah.

Ibu menangis.
Tangisan yang bukan kerana lemah, tetapi kerana terlalu rindu. Kesihatannya ketika itu tidak mengizinkan. Tenaganya juga tidak lagi seperti dahulu. Namun apabila nama Kaabah disebut, seluruh jiwanya hidup kembali. Hasratnya mengatasi segala kekurangan jasad.


Aku akhirnya mengerti.
Apabila Allah menanamkan kerinduan dalam hati seorang hamba, tiada siapa mampu menghalangnya.
Lalu, dalam acuh tidak acuh, aku memberikan persetujuan untuk menemani ibu ke Tanah Suci.

Rupa-rupanya, Allah sedang menyusun perjalanan yang jauh lebih indah daripada apa yang pernah aku rancangkan. Tak sempurna namun ada kesempurnaannya.

Aku pernah berdoa agar Allah mengizinkan aku membawa ibu dan keluarga melihat Kaabah. Tetapi apabila kakiku sendiri benar-benar menjejak bumi para anbia, ketika mataku sendiri memandang Tanah Arab dan Kaabah buat kali pertama, aku terpaku. Seakan-akan sukar mempercayai hakikat bahawa aku juga telah dipilih.

Dipilih.
Bukan kerana layak. Bukan kerana banyak amal. Bukan kerana baik atau mulia. Tiada apa-apapun pada diri ini yang patut dilayakkan dipilih.
Tetapi semata-mata kerana rahmat dan kasih sayang-Nya.
La hawla wa la quwwata illa billah.


Aku tidak banyak merakam gambar sepanjang berada di Tanah Suci.
Niatku hanya satu—ingin memenuhi setiap detik dengan ibadah. Diri ini terlalu banyak dosa. Ada rasa malu yang sukar diungkapkan. Apabila Allah sudah sudi memanggilku menjadi tetamu-Nya, terasa tidak sanggup menghabiskan waktu mengejar gambar, sedangkan setiap saat di sana begitu bernilai.
Maka yang banyak aku rakam hanyalah dengan mata. Dan lebih dalam daripada mata—dengan hati.


Aku duduk lama memandang setiap peninggalan yang menjadi saksi perjalanan para kekasih Allah. Aku mengamati semuanya dengan hati yang penuh takjub dan syukur. Tidak semua keajaiban perlu disimpan dalam telefon. Ada yang lebih indah apabila Allah menyimpannya terus di dalam jiwa.

Namun, nikmat yang paling menggetarkan hatiku adalah ketika Allah mengizinkan aku berada sangat hampir dengan makam Rasulullah SAW.

Bukan sekali.
Tetapi tiga kali.


Bagi seorang wanita, peluang untuk berada begitu hampir dengan makam baginda bukanlah sesuatu yang mudah. Wanita hanya dibenarkan melihat dari sudut belakang makam. Justeru apabila Allah membuka jalan itu, aku benar-benar merasakan ia adalah sebuah jemputan yang tidak mampu dibeli dengan apa pun di dunia ini.

Alhamdulillah.

Waktu itu, ketika ramai masih tercari-cari di mana letaknya lokasi tepat makam Baginda SAW, Allah menggerakkan hati seseorang untuk menunjukkan kepadaku jalan yang begitu hampir.
Saat itu, seluruh dunia seolah-olah hilang daripada pandangan.

Yang tinggal hanyalah rasa.
Selama ini, kita dipisahkan oleh zaman dan waktu, wahai Rasulullah SAW. Namun pada saat itu, terasa seolah-olah jarak itu lenyap sama sekali. Sangat dekat. 


Aku menyampaikan salam-salam yang diamanahkan.
Aku meluahkan rindu yang sekian lama tersimpan. Rindu berbalas!
Aku berbicara dalam diam, dengan bahasa hati yang hanya Allah dan Rasul-Nya mengerti.
Air mata menjadi saksi.
Degup jantung menjadi irama harapan dan syukur.
Lidah kelu untuk menggambarkan nikmat yang Allah limpahkan pada saat itu.


Allahumma salli 'ala Sayyidina Muhammad.
Wahai kekasih Allah...


Saat itulah aku berdoa,


"Ya Allah... sekiranya suatu hari nanti Engkau memanggilku sekali lagi ke bumi yang penuh keberkatan ini, izinkanlah aku terus hampir dengan kekasih-Mu, Rasulullah SAW. Dekatkanlah jasadku, dekatkanlah juga rohku kepada Baginda, hingga ke akhir hayatku."


Hanya Allah yang benar-benar mengetahui bagaimana rasa 'ingin bersama Rasulullah SAW' itu memenuhi seluruh ruang hati.

Rindu.
Kasih.
Cinta.
Allahumma salli 'ala Sayyidina Muhammad.


Dan kini...
Ketika mengetik tulisan ini dengan penuh rendah hati, aku bertanya kepada diri sendiri.

Bagaimana harus aku menyambung cerita ini?

Bagaimana mungkin aku mampu menulis kembali segala rasa yang pernah Allah pinjamkan ke dalam hati?


Kerana pengalaman itu bukan sekadar perjalanan.Ia adalah pertemuan jiwa. Aku dan Rasul-Nya
Dan walaupun aku menghimpunkan seluruh kata yang paling indah di dunia, tetap tidak akan mampu melukiskan sebenar-benar nikmat menjadi tetamu Allah dan berdiri begitu hampir dengan Kekasih-Nya.


Sesungguhnya, ada rasa yang hanya mampu difahami oleh hati yang pernah dipanggil.
Labbaikallahumma Labbaik...
...Labbaikallahumma Labbaik.


Aku selalu menyangka, yang paling sukar dalam umrah ialah perjalanan yang jauh, cuaca yang membahang, masa yang bergolak, kesihatan jasad, atau lautan manusia yang tidak pernah putus mengelilingi Baitullah.


Rupa-rupanya aku silap.
Yang paling sukar ialah saat kaki ini terpaksa melangkah meninggalkan semuanya.


Aku masih ingat, setiap kali keluar dari Masjidil Haram dan Rawdah Madinah, aku akan berpaling berkali-kali. Entah mengapa, hati seakan-akan tak sanggup mengucapkan selamat tinggal. Mata masih mahu memandang Kaabah dan Madinah walaupun hanya beberapa saat lagi. Seolah-olah setiap langkah menjauh membawa sebahagian daripada jiwaku pergi bersama.


Aku faham sekarang mengapa orang yang pernah ke sana sering berkata, "Rindu itu tidak pernah selesai."
Benar.


Rindu kepada Kaabah bukan seperti rindu kepada sebuah tempat. Bukan calang-calang rindu. Rindu yang tidak tahu nak sebut bagaimana rasanya.
Ia adalah rindu kepada Tuhan yang pernah memeluk hati kita dengan kasih sayang-Nya.


Di hadapan Kaabah, tidak ada siapa yang dikenali kerana pangkatnya. Tidak ada siapa yang dipandang kerana hartanya. Tidak ada siapa yang lebih mulia kerana namanya.


Semuanya sama.
Memakai kain putih.
Membawa dosa masing-masing.
Mengangkat kedua-dua tangan dengan harapan yang sama.
Mengharapkan keampunan daripada Tuhan yang Maha Pengampun.
Di situlah aku belajar, manusia sebenarnya terlalu kecil dan kerdil!


Selama ini, banyak perkara dunia yang aku sangka besar, tiba-tiba menjadi sangat kecil apabila berdiri di hadapan rumah Allah.

Masalah yang selama ini terasa berat, tiba-tiba menjadi ringan.
Kesedihan yang selama ini terasa sakit yang panjang, tiba-tiba menjadi pendek.


Kerana di hadapan Kaabah, kita benar-benar sedar bahawa Allah sentiasa lebih besar daripada segala yang sedang kita hadapi.
Allahu Akbar. Bukan sekadar lafaz.
Namun sebuah hakikat.


Apapun, ada seperkara yang paling aku syukuri. Allah mengizinkan aku membawa ibuku.
Setiap kali memandang wajahnya berdoa, aku tidak mampu menahan air mata.


Wanita yang selama ini membesarkan aku dengan penuh pengorbanan, akhirnya Allah izinkan dia berdiri di hadapan Kaabah. Melihatnya berkali-kali. Waliku. Syurgaku.


Aku tidak tahu doa apa yang sedang ibu titipkan ketika itu.
Mungkin untuk anak-anaknya.
Mungkin untuk cucu-cucunya.
Mungkin juga untuk dirinya sendiri.


Tetapi aku tahu, doa seorang ibu tidak pernah pulang dalam keadaan sia-sia.
Aku hanya berdiri di sisinya. Melihat wajah manis dan sucinya.
Memerhati seorang wanita yang telah banyak melalui pahit manis kehidupan, kini menangis di hadapan Tuhan yang selama ini tidak pernah meninggalkannya.


Saat itulah aku mengakui,aku sedar...
Mungkin Allah sebenarnya bukan sekadar menjemput aku.
Allah sedang menunaikan doa ibu.
Dan aku hanyalah jalan yang dipilih-Nya. Allah pilih aku temankan ibu kerana Allah panggil ibuku.


Sehingga hari ini, apabila ada yang bertanya, "Bagaimana rasanya berada di Tanah Suci?"
Jawapan yang hilang bahasa untuk kusebut dengan mudah.
Kerana bahasa manusia terlalu sempit untuk menceritakan keluasan rahmat Allah.


Aku hanya mampu tersenyum. Ada waktu, air mata di dalam hati yang melimpah.

Lalu aku menjawab perlahan,


"Kalau Allah sudah memanggil, pergilah.
Jangan tunggu diri menjadi sempurna.
Kerana kita tidak pernah akan benar-benar sempurna.
Pergilah sebagai hamba yang penuh kekurangan.
Biarlah Allah sendiri yang menyempurnakan perjalanan itu."


Kini aku mengerti.
Mengapa setiap orang yang pulang dari Makkah sebenarnya tidak pernah benar-benar pulang.
Sebahagian daripada hati mereka masih tertinggal di sana.
Mengelilingi Kaabah.
Berselawat di Madinah.
Mengucapkan salam kepada Rasulullah SAW.


Dan menunggu...
Menunggu satu lagi panggilan yang entah bila akan tiba.
Ya Allah...
Jika bukan tahun hadapan.
Jika bukan dalam waktu yang terdekat.
Janganlah biarkan hati ini lupa jalan pulang menuju rumah-Mu.
Teruskanlah memelihara rindu ini.
Kerana aku percaya...
Rindu kepada Baitullah dan Madinah adalah salah satu cara Allah memanggil hamba-Nya agar tidak terlalu mencintai dunia.


Labbaikallahumma Labbaik.
Aku datang memenuhi panggilan-Mu.
Dan kini...


Aku telah pulang membawa kerinduan yang tidak akan pernah selesai. Terasa ingin mati dan berkubur di Madinah... Ahh..