Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Saturday, April 20, 2019

Mendidik Nawaitu Hati Dengan Doa


Naiwaitu.
Nawaitu itu niat. Maksudnya hasrat mula sesuatu di atas sesuatu perlaksanaan tindakkan kita, baik tindakkan lidah atau perbuatan jasad.

Kita boleh membohongi orang yang melihat perbuatan kita, tetapi kita tidak mampu membohongi apa yang kita cetus di dalam hati. Hati kita sentiasa berbolak-balik, sangat cepat dan kadang-kadang terlalu cepat sehingga ia memberikan impak yang besar pada perubahan rancangan kita seharian. Untuk menjaga hati, cukup susah, terutama hati sendiri.

Firman Allah swt : “Dan Kami bolak-balikkan hati mereka dan penglihatan mereka.”(QS Al-An’am: 110)

dan Rasulullah saw pernah bersabda : “Sesungguhnya hati anak cucu Adam lebih cepat perubahannya dari periuk yang berisi air mendidih.” (HR Ahmad)

Pernah rasa kan? Pagi tadi niat nak buat baik, tiga minit kemudian, niat hati itu berubah menjadi tak perlu berbuat baik atas sebab yang membuatkan kita marah atau kecewa. Tak mustahil. Kekadang suka, kekadang tidak.., itupun sebab hati. Kekadang tabah, kekadang goyah, itupun daripada pengaruh hati, kan?  

Bagaimana kita nak tipu, kalau hati kita itu memang tak dapat menipu pergerakkannya sendiri. Tidak usahlah, kita sebut hati kita tetap sentiasa baik, teguh dan suci murni jika memang hati kita demikian berbolak-balik sifatnya. Apa yang boleh kita buat hanyalah, MENDIDIK HATI setiap masa. Itu sahaja. Dengan doa. Dengan berusaha mensucikannya, membersihkannya. Kita hanya mampu mendidik hati kita supaya terurus dengan pautan akal yang mengolah sesuatu hal yang kita fikirkan menjadi positif, menjadi rujukkan yang kita tukar menjadi baik walaupun secara sudut rasa dan pandang, kita menyangka ia tidak baik.

Sungguh,tidak ada seorang pun yang dapat menjamin hatinya tetap dalam sesuatu keadaan di mana hati akan berubah mengikut perkara yang sedang di hadapi.

Allah melihat hati kita. 
Justeru Allah ukur segala tindakkan kita melalui nawaitu di hati kita. Bila kita didik hati kita meniatkan apapun hal yang hendak kita uruskan, dengan hasrat yang baik, yang ikhlas semata-mata mendapat redhaNya, insha-Allah, Allahlah nanti yang akan membimbing hati kita agar tidak berkecamok atau bersimpang-siur menuju cetusan yang tidak baik.

"Ya Allah! Aku nak mula kerja hari ni ya Allah, mohon Engkau lindungi hatiku daripada terdorong ke arah yang tidak baik, Ya Muqqalibbal Qulub.."

Contoh doa yang harus kita mula apabila kita berpagian, nak pergi kerja. Pastikan kita mula dengan doa kepada hati supaya Allah menjaga niat kita untuk segalanya.

Apa sahaja! Biasakanlah diri agar tidak melupai doa untuk Allah menjaga hati kita kerana hati kita semua dipegang oleh Allah. Bukan hati sahaja, tau. Jasad, roh, dan segalanya tentang kita adalah di dalam kawalanNya. Kita ini kosong tanpa Allah. Tidak ada apa-apa melainkan DIA semuanya.

Firman Allah swt : “Sesungguhnya Allahlah yang membatasi antara manusia dan hatinya.” (QS Al-Anfal : 24)

Asas mula untuk kita demikianlah. 
Berdoa untuk hati kita agar Allah sentiasa menjaga ia dengan rahmatNya. Mudah-mudahan kita semua tergolong di kalangan orang-orang yang memiliki hati yang dicintai Allah. Amin.

Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad.





Saturday, April 13, 2019

"Semuanya Allah Dah Atur!"



Malam tadi, mata ingin sangat nak tidur. Namun hati diduga gelisah. Astaghfirullah, gelisah sangat. "Macam kucing nak beranak", kata orang purba. Hihihi...
Mata cuba nak dipejam, tak juga terpejam. Pusing kiri, pusing kanan, tidak juga reda kegusaran di dada. Allahurobbi. Mengantuk sesangat, tetapi akal tidak membenarkan mata tertutup. Ligat berpusing. Dada berdebar. Lidah melantunkan zikir seperti kebiasaan sebelum tidur, namun tidak juga memberi kesan untuk mendamaikan ombak gelisah di dada. "Ya Allah! Apa nak buat ni, wahai Tuhanku?" 

Bersendirian, di kelam malam yang hanya ditemani bunyi-bunyian unggas yang mungkin sedang berdengkur. Alam diri, alam dada serta merta terasa amat sunyi. Degup berbaki resah dan payah. Gelora mengganggu emosi. Bersembang dengan diri? Tak payah! Diri pun macam orang sasau. Tidak ada jalan lain, melainkan bersembang dengan Allah!

Banyak tanya yang ditujukan kepadaNya.
Banyak luahan yang terbit yang macam-macam. Bila diingat kembali, tersenyum sendiri. Macam kawan pulak, fikirku. "I had thrown everything that I felt to HIM!" Masa tu, hanya Dia yang dengar. "..and I have no one else anymore, only Him!" Semua rasa terluah. Terbit sebiji-sebiji melalui butir-butir kaca yang mengalir di jiwa. Hihihi..., macamlah Allah tak tahu apa yang aku fikir? Tapi, demi memuaskan rasa sebagai manusia, aku hamburkan jua rasa segala rasa.

Segala gelisah, pedih, jerih, sedih, kecewa dan segala macam rasa yang menjadi rojak di dada aku sebut semuanya tanpa rasa malu. 

Bila Allah Maha Mendengar Yang Mengatasi segala kuasa di atas segala kuasa menemani, Insha-Allah ada jawapan yang diberikanNya dengan cara yang kita perlu dalami dengan hikmah. Dia Tahu hamba-Nya. DIA sangat-sangat faham. 

Di celah kegelisahan yang aku tidak tahu jalan mana untuk aku seimbangkan, Dia salurkan satu perasaan yang membuatkan aku perlahan-lahan faham. "Berdoalah! Aku Mendengar!" Seolah itu yang berbisik di telinga. Sejenak selepas itu, aku mula mengalah kepada sesuatu. Mengalah kepada tali yang diikatkan kepadaku. Tali takdir. Tali aturanNya. "Bukankah Akulah yang memberimu rasa gelisah? Maka Akulah yang sedang mengaturkan rasa itu untukmu?" Lagi, aku terasa ada teguran yang menikam hatiku, "Aku juga tempat engkau kembali dalam segenap titik yang bertitik padamu."

Serta-merta, aku menyebut Innalillahiwainna ilahirojiun. Lahawlawaquwwata illabillah...

Menyentuh hati sendiri dengan sentuhan yang diberiNya.
Semuanya tidak berlaku dengan kebetulan. Segala urusanku adalah urusan Tuhan.  Aku lupa rupa-rupanya.., dan aku diingatkan.

"Semuanya Allah dah atur!" 

Terjaga kala pagi, digerakkan Allah jam biasa, waktu yang sama, dan aku tak tersedar pun saat mana Allah telah mengizinkan aku terlena. Yang aku tahu, aku terjaga dengan rasa lega. Allah. Alhamdulillah. Begitu telah DIA menemaniku saat tiada siapa bersamaku. 

Lidahku menyebut, "Ya! Engkau yang aturkan, Ya Allah. Aku sepatutnya akur."

Monday, March 25, 2019

Puisi : Rindu Dan Cinta



Allah... Allah... Allah

Hidup tanpa air,
Mekar tanpa akar.
Bagitulah cuba kulukis,
semua rasa,
rindu dan cinta.

KepadaMu, terpatri redup,
teduhan kasih mesra.
Sesenyap apapun waktu,
rasa ini muncul tanpa alasan,
merimbun mekar dengan ketulusan dan kejujuran.
Tiada alasan melainkan keikhlasan
MencintaiMu tanpa jeda,
di setiap detik dada yang berdetak,
selalu ada, ada..., dan ada.

Aku seperti pejam menoleh yang lain,
kecuali hanya memandangMu,
tanpa berkerdip,
dalam mimpi, dalam nyata,
wajahMu terbayang di mana-mana.
Sentiasa....

(25.03.2019 )
Raz.R

Thursday, March 14, 2019

Terima kasih, Wahai Pengalaman.

Doa untukmu. Amin...

Gambar hanya hiasan. (Raz.R)

Rutin harian hidup kita ternyata banyak dipengaruhi insan-insan di sekeliling kita dan mereka yang kita kenal dulu dan sekarang. Benarlah, semuanya tertulis di dalam kitab kita. Ada yang masuk di buku kanan, ada yang masuk di buku kiri. Allahuakbar. Semoga kita diberatkan dengan tulisan-tulisan kanan. Amin Ya Robbal Alamin.

Waktu kecil, hidup kita dibentuk dengan apa yang ibu-bapa kita pimpin. Waktu besar, waktu dewasa, hidup kita mula disalin daripada teman-teman, kawan-kawan, saudara, sahabat-handai dan orang-orang yang kita kenal, jauh dekat. Kita belajar daripada guru-guru inilah, guru dunia yang segala ilmu hidup itu tetap daripada Allah Ta'ala Yang Maha Bijaksana. 
Ya! Apakah kita kira segala yang berlaku dalam hidup kita seharian tidak tanpa ALLAH?  Semuanya dalam genggaman kuasa Allah.

Kadangkala, kita terlalai daripada ingat bahawa suasana, alam dan orang sekeliling telah memberikan banyak rezeki melalui pelbagai keadaan. Kita tak sedar itu. Ada masa kita marah. Ada waktu kita persoalkan tentang kekurangan hidup kita yang terlebih kurang daripada orang lain. Kita rasa kita tak cukup itu, tak cukup ini. Walhal, selama usia kita, apa yang tidak cukup sebenarnya? Semuanya dah cukup. Allah sudah cukupkan. Sungguhlah Allah banyak berfirman dalam kalamNya, "Sangat sedikit manusia itu bersyukur."

Pengalaman adalah ilmu dan ilmu adalah pengalaman.
Seharusnya kita berterima kasih untuk sekian detik hal hidup yang kita lalui tanpa merungut. Namun, fitrah kita manusia, saatnya sering digoda terpedaya dengan syaitan. Tak apalah, Insha-Allah asal sahaja Allah memilih kita untuk kembali kepada Allah lagi, sekalipun banyak kesilapan yang kita redah, bersyukurlah. Alhamdulilahirobbil'Alamin.

Terima kasih, pengalaman.
Terima kasih kepada segala yang memberikan pengalaman!
Terima kasih Allah. Terima kasih Rasulullah saw.

Thursday, March 7, 2019

RINDU

  

Lama tak bermadah. 
Suatu perasaan yang lembut, yang bergelora selalu Allah hadirkan kata-kata jiwa yang menarik. Contoh, bila rindu. Akan terlahir nikmat rasa yang Allah beri hingga terwujud kata-kata yang mempersona. 

Saat ini, aku rindu pada hujanMu, Tuhan.

Saturday, February 23, 2019

Menulis dengan hati-hati, kerana hati.




Rindu nak menulis, tetapi tak tau apa yang nak ditulis. 

Dulu waktu sekolah, menulis sudah menjadi macam cita-cita, angan-angan. Bila dah tua-tua ni, makin susut semangat menulis. Sampai berlapuk akal tandus, tak ada idea. Bukan senang nak menulis rupanya. 

Menulis perlu koneksi hati dan akal. Menulis perlu ada rasa hati-hati, apabila tujuannya untuk dipaparkan kepada umum. Untuk apa? Untuk elak daripada salah-sangka dan fitnah. Terutama di ruang-ruang yang semua orang boleh tulis, boleh baca, beri pendapat, tegur dan terjah macam Facebook, Insta dan status-status media yang lain. Hati-hati dengan hati orang dan hati-hati juga dengan hati sendiri. 

Hati orang jangan diluka. Hati sendiri perlu dicakna juga. Hati sendiri, bila menulis, perlu dibasuh dengan niat yang baik dimana ia tidak diselit dengan rasa ingin bersinis atau memerli ataupun ada rasa nak raih perhatian dan populariti atau nak tunjuk bijaksana. 

Terkadang, apa yang kita tulis itu akan membuatkan orang-orang yang mengenali ambil hati, terasa hati atau kecil hati walaupun apa yang kita tulis itu tidak langsung difokus dan diniatkan kepada mana-mana individu. Maka terundanglah persepsi negatif dan salah-sangka yang kadang-kadang menjarakkan keakraban, malah ada juga yang memutuskan silaturrahim. Demikianlah bahayanya kata-kata, baik lidah atau tulisan. Macam sebilah pedang yang tajam!

Payah kan?
Tak semua hati orang boleh kita bahagiakan.
Walhal hati sendiri pun kadang-kadang kita tidak berdaya menjaganya. Ada saatnya, menangis juga. Betul kan?
Jadi, bagaimana?

Jaga niat kita sebaik-baiknya. Serahkan kepada Allah setiap masa. Andai dalam kias sinis kita menyentuh hati sesiapa, mungkin itu hidayah Allah kepada si pembaca atau mungkin juga itu hidayah kepada kita. Kita guna hati kita untuk lihat dengan tajam hikmah dengan berhemah.

Mudah-mudahan segala apa yang kita lakukan, ditulis Allah di buku kanan amalan. Amin.. 
Lahawlawalaquwwata illa billahil aliyyil adziem.

Solawat dan salam kepada junjungan Nabi, kekasih Allah dan kekasih kita yang telah menjadi guru TERMULIA kita. Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad.


Bila Telinga Berdengung Sekali-Sekala


Kadang-kadang telinga kita tiba-tiba berdengung.
Tidak berlaku selalu. Jangan risau, banyakkan bersolawat.


Menurut khabar, wallahu'alam, bunyi " Nging"
Sesungguhnya suara "NGING" dalam telinga itu adalah Sayyidina Rasulullah SAW sedang menyebut orang yang telinganya bersuara "NGING" dalam perkumpulan yang tertinggi iaitu (Malail A'laa) dan supaya dia ingat kepada Sayyidina Rasulullah SAW...Lalu membaca Selawat keatas junjungan NABI MUHAMMAD SAW...


Hal ini berdasarkan keterangan dari kitab (AZIZI 'ALA JAMI'USH SHAGHIR)...
"Jika telinga salah seorang kalian bedengung / berdering / berdesing (NGING)...
Maka, dia hendaklah mengingati aku (Sayyidina Rasulullah SAW) lalu membaca SOLAWAT kepadaku dan mengucapkan ;


"DZAKARALLOHU MAN DZAKARONII BIKHOIR" yang ertinya...
"Allah Ta'ala akan mengingatkan , yang mengingatku dengan kebaikan..."


IMAM Nawawi Berkata ;
Sesungguhnya, telinga itu berdengung / berdering / berdesing hanya ketika datang berita baik kepada Ruh/Roh bahawa Sayyidina Rasulullah telah menyebutkan orang (Si pemilik telinga yang berdengung / berdering / berdesing "NGING" ) tersebut dengan kebaikan di Al Mala'Al A'la iaitu (majlis tertinggi) di alam Ruh/Roh...

[Kitab AZIZI 'ALAL JAMIUSH SHAGIR]