Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Saturday, April 13, 2019

"Semuanya Allah Dah Atur!"



Malam tadi, mata ingin sangat nak tidur. Namun hati diduga gelisah. Astaghfirullah, gelisah sangat. "Macam kucing nak beranak", kata orang purba. Hihihi...
Mata cuba nak dipejam, tak juga terpejam. Pusing kiri, pusing kanan, tidak juga reda kegusaran di dada. Allahurobbi. Mengantuk sesangat, tetapi akal tidak membenarkan mata tertutup. Ligat berpusing. Dada berdebar. Lidah melantunkan zikir seperti kebiasaan sebelum tidur, namun tidak juga memberi kesan untuk mendamaikan ombak gelisah di dada. "Ya Allah! Apa nak buat ni, wahai Tuhanku?" 

Bersendirian, di kelam malam yang hanya ditemani bunyi-bunyian unggas yang mungkin sedang berdengkur. Alam diri, alam dada serta merta terasa amat sunyi. Degup berbaki resah dan payah. Gelora mengganggu emosi. Bersembang dengan diri? Tak payah! Diri pun macam orang sasau. Tidak ada jalan lain, melainkan bersembang dengan Allah!

Banyak tanya yang ditujukan kepadaNya.
Banyak luahan yang terbit yang macam-macam. Bila diingat kembali, tersenyum sendiri. Macam kawan pulak, fikirku. "I had thrown everything that I felt to HIM!" Masa tu, hanya Dia yang dengar. "..and I have no one else anymore, only Him!" Semua rasa terluah. Terbit sebiji-sebiji melalui butir-butir kaca yang mengalir di jiwa. Hihihi..., macamlah Allah tak tahu apa yang aku fikir? Tapi, demi memuaskan rasa sebagai manusia, aku hamburkan jua rasa segala rasa.

Segala gelisah, pedih, jerih, sedih, kecewa dan segala macam rasa yang menjadi rojak di dada aku sebut semuanya tanpa rasa malu. 

Bila Allah Maha Mendengar Yang Mengatasi segala kuasa di atas segala kuasa menemani, Insha-Allah ada jawapan yang diberikanNya dengan cara yang kita perlu dalami dengan hikmah. Dia Tahu hamba-Nya. DIA sangat-sangat faham. 

Di celah kegelisahan yang aku tidak tahu jalan mana untuk aku seimbangkan, Dia salurkan satu perasaan yang membuatkan aku perlahan-lahan faham. "Berdoalah! Aku Mendengar!" Seolah itu yang berbisik di telinga. Sejenak selepas itu, aku mula mengalah kepada sesuatu. Mengalah kepada tali yang diikatkan kepadaku. Tali takdir. Tali aturanNya. "Bukankah Akulah yang memberimu rasa gelisah? Maka Akulah yang sedang mengaturkan rasa itu untukmu?" Lagi, aku terasa ada teguran yang menikam hatiku, "Aku juga tempat engkau kembali dalam segenap titik yang bertitik padamu."

Serta-merta, aku menyebut Innalillahiwainna ilahirojiun. Lahawlawaquwwata illabillah...

Menyentuh hati sendiri dengan sentuhan yang diberiNya.
Semuanya tidak berlaku dengan kebetulan. Segala urusanku adalah urusan Tuhan.  Aku lupa rupa-rupanya.., dan aku diingatkan.

"Semuanya Allah dah atur!" 

Terjaga kala pagi, digerakkan Allah jam biasa, waktu yang sama, dan aku tak tersedar pun saat mana Allah telah mengizinkan aku terlena. Yang aku tahu, aku terjaga dengan rasa lega. Allah. Alhamdulillah. Begitu telah DIA menemaniku saat tiada siapa bersamaku. 

Lidahku menyebut, "Ya! Engkau yang aturkan, Ya Allah. Aku sepatutnya akur."