Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Saturday, April 20, 2019

Mendidik Nawaitu Hati Dengan Doa


Naiwaitu.
Nawaitu itu niat. Maksudnya hasrat mula sesuatu di atas sesuatu perlaksanaan tindakkan kita, baik tindakkan lidah atau perbuatan jasad.

Kita boleh membohongi orang yang melihat perbuatan kita, tetapi kita tidak mampu membohongi apa yang kita cetus di dalam hati. Hati kita sentiasa berbolak-balik, sangat cepat dan kadang-kadang terlalu cepat sehingga ia memberikan impak yang besar pada perubahan rancangan kita seharian. Untuk menjaga hati, cukup susah, terutama hati sendiri.

Firman Allah swt : “Dan Kami bolak-balikkan hati mereka dan penglihatan mereka.”(QS Al-An’am: 110)

dan Rasulullah saw pernah bersabda : “Sesungguhnya hati anak cucu Adam lebih cepat perubahannya dari periuk yang berisi air mendidih.” (HR Ahmad)

Pernah rasa kan? Pagi tadi niat nak buat baik, tiga minit kemudian, niat hati itu berubah menjadi tak perlu berbuat baik atas sebab yang membuatkan kita marah atau kecewa. Tak mustahil. Kekadang suka, kekadang tidak.., itupun sebab hati. Kekadang tabah, kekadang goyah, itupun daripada pengaruh hati, kan?  

Bagaimana kita nak tipu, kalau hati kita itu memang tak dapat menipu pergerakkannya sendiri. Tidak usahlah, kita sebut hati kita tetap sentiasa baik, teguh dan suci murni jika memang hati kita demikian berbolak-balik sifatnya. Apa yang boleh kita buat hanyalah, MENDIDIK HATI setiap masa. Itu sahaja. Dengan doa. Dengan berusaha mensucikannya, membersihkannya. Kita hanya mampu mendidik hati kita supaya terurus dengan pautan akal yang mengolah sesuatu hal yang kita fikirkan menjadi positif, menjadi rujukkan yang kita tukar menjadi baik walaupun secara sudut rasa dan pandang, kita menyangka ia tidak baik.

Sungguh,tidak ada seorang pun yang dapat menjamin hatinya tetap dalam sesuatu keadaan di mana hati akan berubah mengikut perkara yang sedang di hadapi.

Allah melihat hati kita. 
Justeru Allah ukur segala tindakkan kita melalui nawaitu di hati kita. Bila kita didik hati kita meniatkan apapun hal yang hendak kita uruskan, dengan hasrat yang baik, yang ikhlas semata-mata mendapat redhaNya, insha-Allah, Allahlah nanti yang akan membimbing hati kita agar tidak berkecamok atau bersimpang-siur menuju cetusan yang tidak baik.

"Ya Allah! Aku nak mula kerja hari ni ya Allah, mohon Engkau lindungi hatiku daripada terdorong ke arah yang tidak baik, Ya Muqqalibbal Qulub.."

Contoh doa yang harus kita mula apabila kita berpagian, nak pergi kerja. Pastikan kita mula dengan doa kepada hati supaya Allah menjaga niat kita untuk segalanya.

Apa sahaja! Biasakanlah diri agar tidak melupai doa untuk Allah menjaga hati kita kerana hati kita semua dipegang oleh Allah. Bukan hati sahaja, tau. Jasad, roh, dan segalanya tentang kita adalah di dalam kawalanNya. Kita ini kosong tanpa Allah. Tidak ada apa-apa melainkan DIA semuanya.

Firman Allah swt : “Sesungguhnya Allahlah yang membatasi antara manusia dan hatinya.” (QS Al-Anfal : 24)

Asas mula untuk kita demikianlah. 
Berdoa untuk hati kita agar Allah sentiasa menjaga ia dengan rahmatNya. Mudah-mudahan kita semua tergolong di kalangan orang-orang yang memiliki hati yang dicintai Allah. Amin.

Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad.