Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, December 28, 2011

Sakit dan Ajal



Layar hidup Raz minggu ini asyik dibawa dengan tayangan kisah sakit dan ajal. Agaknya, Allah sedang mengingatkan Raz agar jangan lupa bahawa suatu hari nanti kita akan sakit dan kita akan kembali kepada-Nya.

Sayu.
Tidak tahu bagaimana mahu Raz gambarkan lelahnya hati Raz mengenangkan perkara ini.
Bila mata melihat jasad yang tidak lagi bernafas dikapankan dan diletakkan di dalam keranda kecil yang sempit yang hanya muat untuk sekujur tubuh, soalan yang sama akan Raz tanyakan pada diri Raz sendiri adalah, "Kalau akulah yang dimasukkan di dalam keranda itu, muatkah aku?"

Resah.
Raz benar-benar resah. Keadaan kehidupan yang memahat-mahat melebihkan duniawi dari ukhrawi kadang-kadang menjadikan Raz pelupa akan siapa diri Raz yang akan Raz jadi nanti. Memandang mayat diusung keluar dari pintu rumah selamanya, mengharukan rasa di sudut kecil sebuah lagi rasa. Teringat sepotong kata dari sebuah lirik lagu, "Tinggal sayang, tinggallah pujaan.." Ah! Alangkah gementar dan gerunnya rasa.
Dunia sudah tentu menghalau kita dengan selesa dan kubur bagaimana? Pastikah kubur akan menyambut dan menerima kita dengan selesa? Astghfirullahalazim.. Sesungguhnya kitalah yang tahu siapa diri kita sebenarnya di dunia ini walau sebanyak mana pun yang cuba kita sembunyi tentang diri. Kepada Allah yang MAHA Mengerti juga tidak langsung dapat kita sembunyikan segala rahsia.

Memandang luahan dari kata mata seorang pesakit hospital yang menyebut tentang kematiannya tengahari tadi juga amat memilukan hati Raz. Hayat yang disangka sihat, cergas dan bertenaga sebelum ini, perlahan-lahan dituntut Pemilik. Raz melihat kerungsingan dalam matanya. Raz melihat belas dalam katanya yang lemah. Raz melihat kesalan dengan rintihan. Raz melihat kasih-sayang yang diharapkan. Raz melihat senyuman dalam keterpaksaan. Ya Allah!!! Kuatkanlah dia menghadapi ujian-Mu Ya Allah!! Dia telah kalah dipangkuan-Mu. Mohon Engkau berikan dia harapan dan sinar-Mu. Izinkan dia sihat kembali. Aku tahu, dia akan kembali mencintai-Mu selalu. Amin.

Maaf... maaf... tidak dapat Raz sambung lagi tulisan ini. Rasa ini dipukul parah sekali. Raz tidak tahan hati lagi.. Allahurabbi, ampuni dosa kami. Amin..

Raz.R
28.12.2011
Ketika senyumku berbau pilu.