Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Monday, December 12, 2011

Dialog Luka Wanita : Racun Yang Menjelma



"Su, buka pintu ni, Su! Jangan berkurung begitu."

Raz mulai risau. Sudah seharian Su berdiam mengunci diri di kamarnya. Sesekali Raz terdengar esak kecil tangisnya. Mendayu bagai hanyut dirundung sesuatu. Semua yang lain dari keluarga Su juga bimbang dengan keadaan itu. Raz diberitahu, Su menangis teresak-esak bila pulang dari berpergian lewat petang semalam. Sejak dari itu, Su tidak menjamah sebarang makanan dan tidak keluar dari kamarnya untuk menemui sesiapa.
Hati Raz terdetik dengan pelbagai wasangka. Apalah yang membuatkan Su terlarut di dalam keadaannya yang sedemikian rupa.

Raz mengetuk-ngetuk lagi pintu. Dengan nafas yang berdebar, dengan hati yang bergetar. Tuhan, biarlah dia mendengar ketuk hatiku di hatinya. Pagi kian meninggi memanggil matahari dan Su masih memencilkan diri. Raz pasti Su masih belum segarkan diri. Berselimut dan mengasingkan diri. Raz bayangkan kejadian beberapa tahun lalu ketika perkara yang sama berlaku. Su membisu beberapa hari. Diamnya membimbangkan sekali.

Seketika setelah beberapa ketukkan yang dibuat, daun pintu di buka dan Raz diizinkan Su masuk menemuinya. Ruang tidur yang masih panas terlihat belum dikemas. Sudah tentu Su hanya berdiam di situ. Kelihatan wajah Su yang agak masai dan air mata yang masih berjurai. Putih matanyanya merah dan kelopak mata yang bulat membengkak. Mata Su seperti terpejam dan wajah Su teramat muram.

"Assalamulaikum, Su."

Raz tersenyum melihat wajahnya. Dijawabnya salam Raz dengan bisik yang hampir senyap. Wajahnya tetap mencuka, namun masih tampak manja keanak-anakkan. Raz rapat kepada Su dan melabuhkan punggung di bucu katilnya dan diam merenung sekeliling seketika.

"Kenapa, Su?"
Hanya satu soalan yang Raz tanya. Raz memberikan masa untuk Su diam, tenang dan mengeluh sepuas mungkin. Su tersedu-sedan. Dia memekup wajahnya dengan bantal di tangan yang dipeluknya sedari tadi. Raz mendekat dan memeluk Su dengan jiwa Raz yang sangat-sangat rapat. Raz biarkan Su di dalam tangisnya. Biarkanlah dia menangis sepuas rasanya. Tangisan, kadang-kadang mampu membela rasa sesak wanita. Tangisan juga mampu meredakan kebuntuan yang tersimpan lama di dada. Wanita dan tangisan adalah keajaiban. Jika tidak, kenapa Allah mengizinkan air mata itu ada pada manusia?

"Kak Raz.. Su takut."
Sepatah katanya yang membuatkan Raz rasa amat bersimpati dan seolah Raz turut memahami. Raz menanti Su meneruskan kata. Tubuh Su Raz usap dengan sepenuh rasa belas di jiwa.

"Su takut nak lalui hidup Su, kak. Su bingung. Su fobia. Su kecewa dengan keadaan yang Su terima. Tiba-tiba kelmarin, Su tidak tahu arah mana yang harus Su pergi. Tiba-tiba Su rasa tidak ada keadilan untuk Su. Su tidak faham kenapa Su harus berkorban dan terima segala bebanan sedangkan Su tidak pernah menzalimi sesiapa, kak. Sepertinya, semua urusan hidup Su ini disekat dengan masalah demi masalah. Su jadi tak tentu arah. Tidak bolehkah Su bahagia untuk seketika? Tidak bolehkah Su lalui segalanya tanpa rasa terbeban dengan pelbagai kemahuan orang. Tidak tahukah mereka yang Su juga berhak bahagia? Su juga berhak gembira? Kenapa diganggu hidup Su sedangkan Su tidak mengganggu hidup mereka?"

Raz terdiam menyelami rasa hati sikerdil gadis yang telah melalui banyak kepahitan di dalam hidupnya. Mata Raz juga menakungkan air dengan suara yang terjerut dikerongkongan. Luluh dengan sendu yang tersumbat. Mengeluarkan kata terasa amat berat.

Dengan kekuatan yang kecil, Raz menyebut, "Astaghfirullahalazim.. Ingat Allah selalu, Su."

"Su ingat kak, sentiasa ingat. Cuma, apalah daya Su bila kekuatan Su lemah. Apalah daya Su bila Su hanya manusia biasa. Apalah daya Su bila Su tidak berdaya."

Bila racun menguasai jiwa. Bila racun menyerap di dalam akal manusia. Terbungkam Raz menangani rasa yang bersimpang-siur itu. Fikiran Su diracun dengan desakkan-desakkan hidupnya. Benar, apalah dayanya menolak kelemahan diri. Sesekali kata mampu menipu, tetapi hati dan rasa tidak pernah berseteru. Saat tertentu, pagar yang mengawal rasa itu akan rosak dan runtuh jua.

Raz genggam tangan Su yang menyejuk lemah tidak berdaya. Raz renungi matanya dengan mata Raz sendiri. Mendalami dan memahami sebundar hati yang kecil sekali.

"Bertenanglah Su. Jangan mengalah kepada hidup yang sudah azalinya diciptakan sedemikian. Jangan terikut dengan kebimbangan yang berlebihan. Jangan rasa terpedaya dengan keletihan yang Su lalui sebab memang itulah hidup ini diciptakan untuk kita, Su. Bersabarlah. Berdoa lagi. Jangan putus asa. Kalaupun Allah melewatkan penerimaan bagi doa kita, DIA pasti telah ada menyediakan sesuatu yang tidak kita tahu, Su. Hikmah-Nya yang luas. Tidak terpandang, tapi akan dikecapi bagi kita yang benar-benar mengikuti segala kehendak dan aturan-Nya dengan sabar. InsyaAllah. Bukankah kejayaan itu menanti orang yang benar-benar istiqamah terhadap kesabaran yang dipegangnya?"

Su memangis lagi. Dia tidak peduli kata-kata Raz. Layaknya "racun" yang mengalir telah singgah di hati. Melemahkan seluruh gerakkan nadinya. Kesabaran yang tersimpan, kekadang menyentuh garisan penamat yang merebahkan.

Maha Suci Allah.. Engkau berikanlah kekuatan dan rahmat-Mu kepada hamba-Mu itu. Engkau sediakan hatinya perlindungan dari angkara syaitan yang sentiasa tidak jemu menyucukkan racun mereka. Amin.. Ya ar-hammarrahiminar-hamna..


Salam kasih
Hanya bercerita
Raz.R
12.12.2011