Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman
Monday, May 25, 2020
Dapat tak Lailatulqadar?
Ramadhan dah berlalu. Ada tak kita rasa suatu malam di Ramadhan yang lepas kita mendapat malam yang sangat damai? Kita diheningkan nikmat ibadah tak terkata dan kita rasa mungkin itulah Lailatulqadar...
"Kitakah orangnya yang layak mengait jatuh ke riba malam tersebut?"
Kitakah orangnya?
Aku tinggalkan soalan ini di sini. Biarlah hati kita menjawabnya sendiri dengan ikhlas.
Sunday, May 24, 2020
Rendang Raya RazZmataZz
Hari ni 1 syawal 1441H, 24 May 2020.
Aidilfitri janggal sikit. Masih di dalam suasana arahan PKP.
Aku rakamkan hari ini sebagai hari bersejarah Aidilfitri tanpa ayah buat pertama kalinya.
Demi keluarga yang masih ada, aku yang masih bernyawa, aku simpan perasaan sayu di hujung ruang hati buat sementara.
Nampaknya kemeriahan raya tetap sama. Walaupun aku cuba "tutup pintu", taknak terima tetamu, tapi ada yang masih tidak dapat elak untuk beraya. Sudah menjadi tradisi yang tak mampu dibuang. Hari raya tak akan meriah tanpa kunjung mengunjung sanak- saudara. Kesian pulak aku pada mereka yang dah terbiasa datang ke rumah. Lagipun, tetamu kan pembawa rezeki?
Memang tak selesa bila hati digerunkan dengan wabak, namun, kita tak dapat mengawal cara orang. Hanya tawakkal dan doa dan tetap meraikan dengan penuh kasih-sayang. Mohon Allah Ya Muhaimin melindungi sekelian muslimin-muslimat yang menyambut Aidilfitri dalam suasana darurat ini. Amin..
Ringkas.
Juadah raya yang kusediakan tak banyak. Sederhana dan biasa‐biasa sahaja. Hanya sedikit kuih raya 'tunjuk-tunjuk', sedikit makanan berkuah, ketupat dan rendang.
Rendang biasa saja. Istimewanya aku masak dengan perasaan kasih yang penuh memori tentang ayah. Mulanya taknak buat, tetapi kerana aku taknak mak dan adik-adikku tak rasa suasana raya, kubuatkan jua. Aku puas. Bila dapat buat untuk mereka. Yalah, namapun kakak. Dulupun, waktu ayah ada, dia selalu menolong aku di dapur. 'Tolong tengok' jer sebagai peneman di dapur. Hihi... Sahabat dapurku. Orang kuat hati ayah adalah aku. Dia suka temankan aku bila aku memasak sensorang di dapur. Subhanallah, rindu. Sayu.
Sekarang, adik-adiklah pengganti hati. Mereka sumber semangatku selepas arwah ayah. Aku bersyukur walau apa pun Allah beri kepadaku.
Aku nak simpan resepi rendang tersendiri ini untuk bacaan orang-orang yang aku sayang. Kalau kalian pun terbaca ini, maknanya, Allah gerakkan kalian sayangkan aku.. hehe..
Bahan-bahannya...macam rendang biasa. Cuma caranya sedikit berbeza. Jadi aku namakan rendang ini rendang RazZmataZz.
Seekor ayam
4 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah
1 ruas jari kunyit
1 ruas jari lengkuas
3 batang serai
2 helai daun salam kering
2 helai daun limau purut
2 keping asam keping
1 bunga cengkih
1 bunga lawang
10 biji lada hitam
Secubit halba campur
½sudu teh serbuk kayu manis
15 biji cili kering
1 biji cili burung
2 pokok daun ketumbar
2 helai daun kunyit
1½ cawan minyak masak
1 packet kerisik
½ biji santan
Garam secukup rasa
Gula melaka ⅕ potongan
Pertama : Bahan asas iaitu bawang merah, putih dan bawang besar. Serai,kunyit lengkuas, cili burung dan 1 pokok daun ketumbar kita kisar untuk bahagian pertama.
Kedua, cili kering yang telah direbus, kisarkan sebagai bahan kedua.
Baik, untuk mula memasaknya, masukkan minyak ke dalam kuali. Kemudian tumis bunga cengkih, bunga lawang, lada hitam dan halba campur. Bila wanginya keluar, masukkan bahan kisar pertama. Masak sehingga ia mengeluarkan aroma wangi dan kekuningan.Ini rahsia awal untuk memagiskan rendang RazZmataZz ya...
Setelah itu masukkan cili kisar, masak sehingga minyaknya naik. Masukkan gula melaka, daun salam dan daun limau purut yang dikoyakkan dan serbuk kulit kayu manis serta ayam yang seekor tadi. Gaul dan gaul hingga disebatikan dengan campuran rempah tadi sehingga ayam nampak sudah masak. Masukkan santan dan kerisik. Teruslah masakkan ia sehingga kering dan warna bertukar perang. Jangan lupa letakkan garam dan asam keping.
Tunggu sehingga sedikit kering. Akhir sekali masukkan daun kunyit dan daun ketumbar yang telah dipotong.
Siap dan sedap!
InsyaAllah. Dengan izin Allah semuanya.
Alhamdulillah, tetamu yang datang menggemari rendang ini. Suka bila lihat mereka makan sampai menjilat jari. Hihi..
Sekurang-kurangnya walaupun hatiku tak segembira orang lain, aku gembira bila tengok orang lain gembira makan masakanku yang tak seberapa tu. Bukannya jenis yang pandai masak aku ni. Memasak bukan bidangku. Orang cakap, masak sekadar boleh telan sahaja. Haha!
Begitulah kisah rayaku yang sederhana. Tak ada apa-apa yang istimewa. Orang lain pakai baju raya, bergambar ceria. Aku pakai kain batik, t-shirt dan bergelut dengan periuk belanga sahaja.
Tak kisahlah tak pakai baju raya pun, asalkan silaturahim tetap terhubung. Alhamdulillah. Malah aku syukur sebab sedikit sebanyak dapat merawat hatiku agar tidak dihanyut rindu yang runcing.
Sungguh, orang sekeliling adakalanya membawa kesan yang pelbagai. Ada memberikan kita pengajaran, pelajaran dan ada yang memperkenalkan kita bahagia hati.
Walau macammana pun keadaan yang kita lalui, kita akan gembira, jika kita melihat orang lain gembira.
Aku tahu semua ini aturan daripadaNya yang Maha Tahu bagaimana untuk menjaga hamba-hambaNya.
Lahawlawalaquwwataillabillah....
Salam Aidilfitri semua.
Semoga Allah rahmati sekelian muslimin dan muslimat dengan barokahNya. Amin.
Allahumma Solliála Sayyidina Muhammad.❤
Friday, May 22, 2020
Salam Aidilfitri 2020
![]() |
| Aku suka pantai♥ |
Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad.
Sayunya rasa. Tahun ini tahun keramat. Beraya akan jadi berbeza. Tiada kunjung mengunjung. Tiada mesra-mesraan. Wallahi, rindu masa-masa Allah bagi nikmat itu.
Gusar juga hati bila dunia direntap wabak dan kita masih belum mampu mengatasinya. Entah bagaimana nanti keadaan kita semua. Aku risau orang-orang kurang berkemampuan. Apatah lagi orang-orang yang hilang punca rezeki bila ekonomi menipis dan menjerat. Aku doakan Allah tidak putuskan rezeki mereka. Amin. Moga saat ini akan muncul insan-insan yang berharta yang mahu menghulur kepada sesama dengan ikhlas. Sekaranglah waktunya kita menimba redha Allah sebanyak-banyaknya. Amin.
Raya dan kemaafan.
Inilah momen yang semua orang suka.
Aku doakan semua orang yang mengenali aku sudi memberi kemaafan mereka untukku. Andai ada kekeruhan terzahir dari aku atau tersirat yang aku tidak tahu, semoga ia diampuni. Semoga Allah Allah mengampuniku jua. Sekalipun, Aidilfitri kali ini janggal, ia tidak menyusutkan rasa kasih sesama manusia InshaAllah. Masih tetap ada cara untuk kita meraikannya.
Kalian, yang mengenaliku. Tiada seorang pun daripada kalian menjadi musuhku. Salah silap, terkecil hati, tersiat luka dan tersisih itu biasa. Mana ada daripada kita tidak berdosa. Justeru, aku bukan jenis yang pendendam yang tidak suka memaafkan. Aku malu untuk tidak memaafkan orang. Malah aku sedih dengan keterlanjuranku. Allah pun Maha Pengampun dan suka untuk mengampunkan hamba-hambaNya. Apatah lagi aku yang hamba ini. Tidak layak untuk aku mendabik melihat diriku harus didarjatkan sebagai bersih daripada kehinaan dan dosa. Rasanya tiada siapa yang berdosa denganku. Aku yang banyak dosa dengan kalian. Ampun maaf hendaknya.
Selamat menyambut hari lebaran semua.
Aku doakan kalian bahagia sentiasa.
Kepada sahabat-sahabat 'non-muslim' yang tidak pernah melupakan aku dengan sokongan dan kasih-sayang kalian, aku juga mendoakan kalian.
💓💓💓
Di sengat Rindu
Tersadai di kuala rindu,
hanyut di dasar pilu,
Tak hadir hirisan luka,
namun terbakar sakit di jiwa....
Di celah belahan sukma,
terkalung untaian doa,
Rahsia rindu di dada,
hanya dicurah kepada Dia.
Tersangat menyengat!
Bisa yang sarat.
Tiada doktor yang dapat mengubat!
'Pure from heart' 😄❤.... acheywah!
Saja je... dah lama tak bermadah.
Wednesday, May 20, 2020
Mengenali KalimahNya
Allahumma solliàla Sayyidina Muhammad.
28 Ramadhan.
Alhamdulillah.
Musim PKP ada hikmahnya. Di hujung perasaan ini tidak layak untukmu Ya Allah. Namun, keizinanNya telah membuatkan selesai juga tadabur kitabNya. Susah payah ujian mengantuk, malas dan macam-macam lagi yang terhasut dek syaitan. Dulu tak terfikir pun nak habiskan kalimah-kalimah dari Al-Quran ini. Dah tua baru merangkak-merangkak mengaji. Huhu..
Kalau dulu, rancak menghabiskan membaca novel yang beribu mukasurat. Tak ada mengantuk untuk mengkhatamkannya.
Betullah, untuk ke arah Allah, tidak semudah kata-kata. Bersyukurlah bila Allah sudi membawa kita kepadaNya sekalipun kita adalah manusia yang terlalu lalai dan berdosa.
Kagum dengan mereka yang selalu menjadikan Al-Quran sebagai kekasih yang tidak pernah jauh, sentiasa dekat dan sentiasa dirindu.
Sedang aku baru bertatih... tetapi tetap indah perasaan itu.
Astaghfirullah...
"Biar Gambar Berbicara" ?
Gambar
Orang selalu cakap, "Biar gambar bercerita". Cuba tanya diri, sejauh mana jujurnya cerita-cerita gambar?
Kita bergambar sambil tersenyum, sebaliknya senyuman itu hanya sebentar ketika butang lensa diketik. Itu sahaja.
Meriah segala cerita dalam gambar, mungkin ia kisah benar namun yang benar sebenar-sebenarnya adalah gambaran hati yang hanya Allah sahaja yang dapat melihatnya.
Gambar, tetap anugerah untuk kita yang hidup. Sebagai kenangan menguatkan ingatan akal.
Namun cerita di sebalik gambar tidaklah semua mendapat peratusan penuh untuk dipercaya.
Wallahua'lambissowab...
Orang selalu cakap, "Biar gambar bercerita". Cuba tanya diri, sejauh mana jujurnya cerita-cerita gambar?
Kita bergambar sambil tersenyum, sebaliknya senyuman itu hanya sebentar ketika butang lensa diketik. Itu sahaja.
Meriah segala cerita dalam gambar, mungkin ia kisah benar namun yang benar sebenar-sebenarnya adalah gambaran hati yang hanya Allah sahaja yang dapat melihatnya.
Gambar, tetap anugerah untuk kita yang hidup. Sebagai kenangan menguatkan ingatan akal.
Namun cerita di sebalik gambar tidaklah semua mendapat peratusan penuh untuk dipercaya.
Wallahua'lambissowab...
Thursday, May 14, 2020
Hadiah Itu Rahmah Allah
Alhamdulillah, syukur kepada Allah
Aku simpan gambar-gambar di sini untuk dijadikan ingatan. Meraikan pemberi-pemberi yang telah bertungkus lumus menyediakan hadiah- hadiah ini untukku.
Ada banyak hadiah yang aku dapat sebenarnya tapi yang dua hadiah ini yang paling aku suka.
Satu (Hadiah belon Birthday) ▬Rezeki ketika usia dah ganyut tapi dapat 'kejutan' yang seharian membuatkan aku gelabah puyuh. Maklumlah tak pernah dapat 'surprise' yang pelik seumur hidup. Selalunya orang lain yang dapat, kita tengok sahaja. Hihi.. Punyalah pening aku meneka-neka, siapalah yang hantar???. Dah tua-tua begini takkanlah ada 'secret admirer'..(Sebab, rasanya tak ada pun org yg minat kat aku ni ha..
Dua (Hadiah telekung dan rehal) ▬ Rezeki Ramadhan.
Tiba-tiba sahaja ada yang hulur sebab dia memang sahabat dan guru yg selalu murah hati suka memberi. Aku dah lama minat rehal tu. Bagai doá yang didengar. Subhanallah, datang saja depan mata, terharu tak terkata. Nak peluk jer rasa, tapi sekarang musim PKP, tak bolehlah nak peluk
Untung sungguh orang yang suka memberi ini. Allah sayang mereka. Sebab hati mereka murni kerana suka menggembirakan orang lain. Mereka suka melihat wajah orang lain tersenyum, kembang gembira asbab dari pemberian tersebut.
Aku ambil iktibar daripada cara mereka.
Terima kasih yang tidak terhingga.
Sayang kamu.♥♥♥
![]() |
| Hadiah2 : Ramadhan, sahabat fillah. |
![]() |
| Hadiah 1. Surprise Birthday. |
Subscribe to:
Posts (Atom)







