Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, May 31, 2020

Hujan💦💤


Hujan


Seharian melayani dendangan hujan.  Melodi yang indah. Dari pagi berlarutan malam. Alhamdulillah, kurniaan Allah. Semoga doa kita semua didengari dan sekelian muslimin muslimat diselamatkan dari musibah apapun. Ä€mÄ«n.... 

Allahumma solliála sayyidina Muhammad.

Aku suka hujan. Kata sang alim, "Hujan adalah makhluk yang sentiasa baru dicipta. Maka ia selalu ada rahmatNya." 

Hujan adalah keajaiban. Tercipta dengan kasih-sayang Allah. Saat ini aku membayangi bermadian hujan di laman hijau. Titis-titis yang jatuh menikam tanah, tiap satunya menyerapkan rindu yang subur. 

Senyum memeluk empuk sang bantal. Sudah jam 10:30 malam. Bersurai kata, ayuh layankan mata. Jom tidur. Bismikallahumma ahyawaamut. 



Friday, May 29, 2020

Cutikan Fikiran♥



Biarkan akal fikiranmu bercuti seketika. Akal akan letih ketika ia terlalu diikat kenangan. Minda akan lemah saat ia saban waktu diheret beban yang tidak dapat dijulang. Lepaskan dan ruangkanlah mata menjamah alam. Jangan diperah jiwa yang basah dengan kerunsingan. Jinakkan kegusaran. Rungkai rimba kepahitan. Berenanglah di tasik ketenangan. Kental memutih nurani.

Thursday, May 28, 2020

Jangan Rasa Baik


Jadilah seperti Rasulullah saw
❤Allahumma Solliála Sayyidina Muhammad.

Salam Jumaat yang dirahmati Allah. Mari kita panjatkan doá agar kita sentiasa dikurniakan hidayah dan taufiqNya. Mudah–mudahan hati kita redha menerima ketentuanNya dan Allah pula redha kepada kita. 

Rindu suara azan Jumaat berkumandang kan? Sudah lama tak mendengar corong-corong pembesar suara masjid  melaungkan khutbah. Sudah lama juga tidak melihat para lelaki budiman berbaju tertib berbondong-bondong ke masjid dengan wajah yang bercahaya dari wuduk yang sempurna. Yang tak comel pun nampak comel semuanya. Rindu sungguh.

Semoga Allah izinkan Jumaat dan hari-hari lain kembali sepertinya malah semoga rahmatNya menjadikan Jumaat nanti lebih indah dengan makmum-makmum yang semuanya beriman dan taat kepada Allah. 

Subhanallah Alhamdulillah LailahaillahAllah Allahuakhbar.  BelasMu ya Allah kami pohon. Ampunkanlah segala dosa sekelian hambaMu yang terlalu jahil dan dhoif ini dan kembalikan dunia ini dengan kemenangan agamaMu ke atas hamba-hambaMu zahir dan batin. ÂmÄ«n.

Jumaat ini, ingin ku berpesan kepada yang sudi membaca dan kepada diriku sendiri terutamanya, jadikanlah diri kita ini manusia yang berikhtiar menjadi baik, sekalipun tidaklah baik. Apabila menjadi terbaik, janganlah kita merasai diri kita baik. Tetaplah merendah diri. Hiduplah dengan memandang tanah yang dipijak, kerana kerendahan tanah itulah yang menjadi tempat asal kita.  Di bawah dan kotor. Jangan membenci sesiapa pun tak kiralah seberapa banyak kesalahan yang kita hadapi dari orang lain. Berfikirlah dengan hal yang baik dan positif tetapi jangan abaikan yang negatif sebagai pengajaran. Boleh jadi yang negatif itulah yang mengajar kita tentang kesabaran dan redha. Dua hal yang sangat susah untuk kita pegang dengan istiqamah. Banyak pahalanya seandainya Allah takdirkan kita melalui hal-hal yang kita tidak ingin dengan jalan sabar yang sepenuhnya dibimbingkan dengan jiwa yang qanaah. Payah, tapi percayalah, tak ada yang mustahil dengan keinginan, usaha dan doa. Insha Allah. Amin.

Banyakkan memberi, walaupun kita tidak menerima apa-apa sebagai balasan. Tetaplah mendoakan orang lain yang mungkin telah melupakan kita. Jalinkanlah hubungan baik dengan rendah hati sekalipun kesalahan orang lain membuatkan hati kita terasa berduri.
Boleh jadi kesalahannya tidaklah seberapa kiranya kita tidak membesar-besarkannya di jiwa kita. Bagai air laut, sekalipun diletakkan gula, masinnya takkan hilang. Begitulah sewajarnya yang harus kita usahakan.
Sedarkanlah diri bahawa kita sentiasa berdosa, malah lebih banyak dosa kita itu daripada orang lain yang mungkin kita anggap tidak layak menerima kemaafan.

Pandanglah orang lain yang lemah bukan kerana kelemahannya, namun kerana kelemahan kita yang tak mampu mengatasi apa yang kita lihat kepadanya. 

Dan..
Pandanglah diri kita ini tiada ada apa-apa. Jikapun kita ada nama, iapun bukanlah kepunyaan kita. Kita adalah kosong yang kosong di dalam kekosongan kecuali setelah Allah mengisinya dengan rahmat dan belasNya yang kita pinjam. 

Lahawlawalaquwwataillabillah.

Ampunkan kami ya Allah. 

Berbahasa Dengan Tingkah



Senyum.
Membaluti resah bukan kepalang. Dari awal sudah kubilang. Air batu di dalam bekas akan mencair. Sirap manis akan tetap hilang manisnya. Yang tinggal akan hanya tawar. Paling-paling yang tawar itu justeru akhirnya hilangnya dahaga.

Benarlah, jika kail panjang sejengkal, lemas di lautan dalam. Ikan tak dapat, kail pun hilang. Berbahasa dengan tingkah. Bertingkah dengan bahasa. Telusnya tampak di tingkah.

"Kita sangat-sangat memerlukan ilmu, melebihi keperluan kita kepada makanan"
Makanan hanya perlu 1 atau 2 kali sahaja dalam sehari, sedangkan Ilmu kamu amat memerlukannya pada setiap saat" - [Imam Ahmad Bin Hanbal ra.]

Lalu ilmu apa yang kau dapati dari diriku?
Aku senyum lagi. Kali ini, tenang sekali. 

Suatu hari nanti, ketika nota ini kubaca lagi, pasti tidak ku tahu apa asal rahsia. Senyum lagi. Tak lekang dan tak hilang di hati.

Berbisik Tanpa Terlihat.


Damai mata

Suka! Seronok pula rasanya berbisik tanpa dilihat. Aku mula menghilang di mukasurat sepi. Dindingku tidak kuhias lagi dengan kalam-kalam yang nadanya seringkali hipokrasi. Berbicara senyap di sini. Laut masih tulus menanti. Ikhlas menemani hati. Jemari ini rancak menerjah minda menghafal kata-kata semalam. Mengamati sehelai demi sehelai naskah bibir yang bergema. Terbang mengetuk gegendang telinga. Merayap ke hati. Semalam yang pedih, sudah kuolah kembali menjadi bersih.

Rasa Tanpa Tajuk



Berteleku. Memandang jauh dalam benak sendiri. Mula menghayati hidup yang sederhana ini. Betapa banyak ruang yang kuabaikan dengan ingatan-ingatan yang lalai. Aku yang salah. Salah meneka. Meneka dengan mimpi disiang hari. Tersenyum sinis sendiri. Dungu! Rupa-rupanya sebanyak mana yang kufikirkan tentang sesuatu, semuanya hanyalah khayalanku. 
Argh..! Jangan bermimpi lagi. Harus apa menggamit derita? Sendiri cari masalah!

Wednesday, May 27, 2020

Jadilah Lelaki Yang Baik

Lelaki yang menghormati dan meninggikan darjat wanita adalah yang terbaik


Kita ada dua telinga, tetapi jarang sangat mendengar.
Ada dua mata, tetapi jarang sangat melihat.
Kita ada satu mulut, dua bibir tetapi jarang menyapa.
Kita memiliki satu hati, namun ia penuh dengan bilik-bilik yang menyimpan pelbagai kisah. Hitam putih, di situlah terlukis pelbagai rentetan rasa. Di hati.

Teringat ayah. 
Dia tidak pernah berkata TIDAK apabila aku inginkan dia mendengar. Begitu suka hatinya apabila anaknya mahu berkongsi cerita harian kepadanya. Begitu bersedia. Begitu perihatin. Begitu penuh perhatian. Dia tak pernah mengeluh bila anak-anaknya mendengus mengadu masalah dan rungutan. Dia suka mendengar. Dia mahu tahu. Seumur hidupku, mana mungkin aku temukan dengan manusia yang sudi menadah telinga dengan ikhlas sebagaimana ayahku.
Kalian yang bergelar bapa,pasti juga begitu kan? Pasti kalian gembira apabila anak-anak kalian lebih menjadi sahabat kepada kalian. Atau, apakah kalian lebih suka membiarkan anak-anak kalian membisu, masing- masing dengan hal sendiri? Lantas segala yang terbuku di hati mereka dikongsikan hanya dengan teman-teman.

Alhamdulillah, aku telah dipinjamkan Allah seorang anugerah yakni bapa yang sangat mulia. Dia membuatkan aku percaya, kebaikan Rasulullah Saw. Dia buat aku tidak pandang dengan pandangan buruk terhadap sesetengah manusia yang zalim. Dia buat aku berlembut untuk percaya bahawa tidak semua lelaki hanya mementingkan diri. Dia telah menukarkan segala kebencian yang pernah menapak di ruang hatiku menjadi kasih-sayang. Aku tidak pernah kekok bercerita dengannya. Aku boleh mempercayai dia sepenuhnya. Segala rahsiaku boleh sahaja dia simpan tanpa sedikitpun terbocor. Itulah ayahku. Walau di dunia ini dia tidak bersamaku, aku masih merasai kehadirannya. Aku masih berbual dengannya. Aku tetap kuat dengan kekuatannya. Masih memgalir di setiap urat jasadku ini darahnya.

Kutulis bukan bertujuan untuk memuji ayahku. Cuma, aku ingin berpesan kepada semua lelaki, jadilah lelaki yang baik. Fahami dan dalami apapun situasi dengan baik. Kalian pemimpin kepada perempuan dan kalian khalifah. Sekurang- kurangnya kalian mampu menjadi pemimpin yang diingati oleh keluarga sendiri. Mungkin kalian tak akan mampu menjadi kebanggaan dunia, tapi insha-Allah, menjadi kebangaan keluarga pun tak kurang hebatnya.

Banyakkanlah mendengar.
Belajar untuk fokus dan telitikan dengan apa yang kita dengar. Ikhlaskan hati bila mendengar. Itu sumber asal keakraban sesama insan. Mendengar itu adalah bagian daripada ehsan. Dengar itu adalah timbang tara hati dan akal. Mendengar itu mampu menjadikan kalian manusia yang tinggi wibawa. Yang paling sukar dalam komunikasi adalah mendengar dengan tulus.

Bertanya bila perlu.
Untuk sebarang ilmu pun kita harus bertanya. Bila bertanya baharulah kita dapat penjelasan. Sekalipun kejelasan itu menghiris keegoan kita, belajar untuk terima bahawa laluan itu adalah jalan awal untuk kita saling memahami. Tanya adalah tanda kita ambil berat. Tidak semua persoalan itu adalah 'paparazi' yang kecoh. Orang yang menjadi tanggung-jawab kita jarang sangat di golongan itu. Bertanya itu menandakan kita mempunyai hati yang perihatin. Elok kita sering-sering mengambil berat dengan bertanya.
Percayalah, bagi mereka yang menyayangi kita, setiap rasa peduli akan dihargai. Jikapun bukan sekarang, pada masa hadapan, kita akan tetap diingat. Sepertimana aku tidak pernah lupa sikap arwah ayahku.

Jujur sepenuhnya.
Kejujuran terhadap sesuatu yang pahit itu melukakan hati. Namun, ia menjadi suatu pengikat yang menyimpulkan keakraban yang sangat kuat. Biasanya kalian mencari alasan untuk tidak jujur kerana mahu menjaga hati dari terluka. Bukan tak boleh. Contohnya, sesuatu yang kita pandang tak cantik, namun memuji ia cantik demi menjaga keharmonian. Itu jujur yang benar kerana tidak ada sesuatu pun di dalam dunia ini yang Allah jadikan ia tidak cantik, melainkan Allah jadikan ia berbeza. Berbeza dari segi bentuk dan rupa.
Berlaku jujurlah dalam apa pun keadaan kerana sebaik sahaja terbuka tentang ketidakjujuran kita, akan timbul retak dalam kepercayaan. Itu sangat berbahaya. Sekali kepercayaan itu retak, sukar untuk ia dipulihkan seperti asalnya.


Bukan tentang menang atau kalah.
Selalu kita lihat banyak orang akan puas kalau dia dapat raih sesuatu dengan kemenangan. Kononnya bila dia menjadi lelaki, dia harus menang dalam segala hal. Jangan silap. Soal perasaan manusia tidak boleh diambil kira dengan cara menang atau kalah. "Kau tak kuat, kau kalah, aku bertahan, akulah yang menang". Ini sangat salah.
Selama mana kita berfikiran demikian, kita belum menjadi lelaki yang adil. Malah kita mempunyai sekilas kejam yang kita simpan semata-mata untuk menjadi 'menang'.
Seorang pemimpin yang baik, dia akan berani mengalah demi untuk berlaku adil dalam menyeimbangkan suasana makhluk yang tidak sama kekuatan. Dia akan tahu dimana kelemahan dirinya, dan bahagian mana yang dia perlu dia perbaiki. Dengan itu dia akan menjadi penjana semangat orang lain tanpa menindas sesiapa sekalipun dari sudut emosi.

Berani.
Keberanian bertindak secara benar akan menjadikan setiap perkara dalam hidup kita tidak sulit dan menyusahkan orang lain. Sesuatu keputusan yang dibuat dengan berani tanpa bertangguh akan menjadikan kita lebih tenang dan dihormati. Malah, ianya juga simbol keadilan diri lelaki. Paling hebat bagi seorang lelaki adalah apabila dia menepati janji dan berusaha menunaikannya.

Sentiasa ikhlas.
Satu-satunya perkara yang mencantumkan setiap perbuatan menjadi mulia dan diberkati adalah ikhlas.
Sebelum kita memulakan sesuatu sekalipun bacaan "Basmallah" perlu disalutkan dengan ikhlas. Ini titik mula yang ulung untuk memperlengkapkan segala urusan zahir dan batin kita. Tanpa keikhlasan, sia-sia segala usaha dan doa. Tanpa keikhlasan, tawakkal dan cinta-kasih pun tidak menjadi.

Luhur rendah diri.
Tidak guna kiranya mempunyai segalanya dalam hidup, tetapi tidak belajar untuk mengisikan ia dengan rasa rendah diri bahawa segala apa yang kita miliki bukanlah milik kita dan tidak diangkuh-sombongkan walaupun sezarah. Menjiwai rendah diri pada setiap sesuatu bukanlah menunjukkan bahawa kita hina atau lemah. Di situlah siapa kita. Di situlah jawapan kepada kita bersujud setiap lima waktu. Perhidupkan sifat itu.

Elakkan berdendam.
Adakah kita tidak pernah melakukan kesalahan? Tidak! Semua orang ada kelemahan. Kadang- kadang kesalahan yang kita lakukan tanpa niat. Tak semua orang yang mengenali kita berniat untuk berlaku salah dengan kita. Berat atau ringan, jika ia tidak membawa padah penganiayaan dan kezaliman, jangan kita terlalu ekstrim untuk membalas agar hati berasa puas. Memang sukar jika diikutkan geram dan marah. Namun, bertenanglah, kerana yang hebat itu bukan kerana kemenangan tapi kerana kebijaksanaan menghadapi kemarahan dengan baik.

Sabar yang tinggi.
Bukan mudah untuk bersabar namun jika berjaya bersabar, itulah lelaki yang sangat hebat.

Sebenarnya banyak perkara yang aku belajar dari seorang lelaki bernama ayah. Bagiku, dia lengkap... Lengkap sekalipun di dalam tidak kesempurnaannya. Sehingga aku sudah tidak nampak lagi pincang pada dirinya. Allahuakbar. Alhamdulillah. Astaghfirullah.

Aku mohon ampun kepada Allah dan aku mohon maaf kepada ayah. Seringkali kerdilnya aku seorang hamba dan gagalnya aku seorang anak tidak merealisasikan seluruh yang baik terhadap jasad dan roh ini.

Aku doakan kalian yang menjadi lelaki agar dapat menjadi lelaki yang baik akhlaknya besertakan redha Allah Taála. Ãmīn.

Sebanyak mana pun kita cuba berpura dalam hidup, sesekali ingatlah, Allah Maha Melihat.

Allahumma solliála sayyidina Muhammad.❤❤❤

Monday, May 25, 2020

Dapat tak Lailatulqadar?


Ramadhan dah berlalu. Ada tak kita rasa suatu malam di Ramadhan yang lepas kita mendapat malam yang sangat damai? Kita diheningkan nikmat ibadah tak terkata dan kita rasa mungkin itulah Lailatulqadar...

"Kitakah orangnya yang layak mengait jatuh ke riba malam tersebut?"

Kitakah orangnya?

Aku tinggalkan soalan ini di sini. Biarlah hati kita menjawabnya sendiri dengan ikhlas.

Sunday, May 24, 2020

Rendang Raya RazZmataZz


Hari ni 1 syawal 1441H, 24 May 2020.
Aidilfitri janggal sikit. Masih di dalam suasana arahan PKP.
Aku rakamkan hari ini sebagai hari bersejarah Aidilfitri tanpa ayah buat pertama kalinya. 

Demi keluarga yang masih ada, aku yang masih bernyawa, aku simpan perasaan sayu di hujung ruang hati buat sementara.

Nampaknya kemeriahan raya tetap sama. Walaupun aku cuba "tutup pintu", taknak terima tetamu, tapi ada yang masih tidak dapat elak untuk beraya. Sudah menjadi tradisi yang tak mampu dibuang. Hari raya tak akan meriah tanpa kunjung mengunjung sanak- saudara. Kesian pulak aku pada mereka yang dah terbiasa datang ke rumah. Lagipun,  tetamu kan pembawa rezeki?

Memang tak selesa bila hati digerunkan dengan wabak, namun, kita tak dapat mengawal cara orang. Hanya tawakkal dan doa dan tetap meraikan dengan penuh kasih-sayang. Mohon Allah Ya Muhaimin melindungi sekelian muslimin-muslimat yang menyambut Aidilfitri dalam suasana darurat ini. Amin..

Ringkas.
Juadah raya yang kusediakan tak banyak. Sederhana dan biasa‐biasa sahaja. Hanya sedikit kuih raya 'tunjuk-tunjuk', sedikit makanan berkuah, ketupat dan rendang.  
Rendang biasa saja. Istimewanya aku masak dengan perasaan kasih yang penuh memori tentang ayah. Mulanya taknak buat, tetapi kerana aku taknak mak dan adik-adikku tak rasa suasana raya, kubuatkan jua. Aku puas. Bila dapat buat untuk mereka. Yalah, namapun kakak. Dulupun, waktu ayah ada, dia selalu menolong aku di dapur. 'Tolong tengok' jer sebagai peneman di dapur. Hihi... Sahabat dapurku. Orang kuat hati ayah adalah aku. Dia suka temankan aku bila aku memasak sensorang di dapur. Subhanallah, rindu. Sayu.

Sekarang, adik-adiklah pengganti hati. Mereka sumber semangatku selepas arwah ayah. Aku bersyukur walau apa pun Allah beri kepadaku. 

Aku nak simpan resepi rendang tersendiri ini untuk bacaan orang-orang yang aku sayang. Kalau kalian pun terbaca ini, maknanya, Allah gerakkan kalian sayangkan aku.. hehe..

Bahan-bahannya...macam rendang biasa. Cuma caranya sedikit berbeza. Jadi aku namakan rendang ini rendang RazZmataZz.

Seekor ayam
4 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah
1 ruas jari kunyit
1 ruas jari lengkuas
3 batang serai
2 helai daun salam kering
2 helai daun limau purut
2 keping asam keping
1 bunga cengkih
1 bunga lawang
10 biji lada hitam
Secubit halba campur
½sudu teh serbuk kayu manis
15 biji cili kering
1 biji cili burung
2 pokok daun ketumbar
2 helai daun kunyit
1½ cawan minyak masak
1 packet kerisik
½ biji santan
Garam secukup rasa
Gula melaka ⅕ potongan

Pertama : Bahan asas iaitu bawang merah, putih dan bawang besar.  Serai,kunyit lengkuas, cili burung dan 1 pokok daun ketumbar kita kisar untuk bahagian pertama.

Kedua, cili kering yang telah direbus, kisarkan sebagai bahan kedua.

Baik, untuk mula memasaknya, masukkan minyak ke dalam kuali. Kemudian tumis bunga cengkih, bunga lawang, lada hitam dan halba campur. Bila wanginya keluar, masukkan bahan kisar pertama. Masak sehingga ia mengeluarkan aroma wangi dan kekuningan.Ini rahsia awal untuk memagiskan rendang RazZmataZz ya...

Setelah itu masukkan cili kisar, masak sehingga minyaknya naik. Masukkan gula melaka, daun salam dan daun limau purut yang dikoyakkan dan serbuk kulit kayu manis serta ayam yang seekor tadi. Gaul dan gaul hingga disebatikan dengan campuran rempah tadi sehingga ayam nampak sudah masak. Masukkan santan dan kerisik. Teruslah masakkan ia sehingga kering dan warna bertukar perang. Jangan lupa letakkan garam dan asam keping.
Tunggu sehingga sedikit kering. Akhir sekali masukkan daun kunyit dan daun ketumbar yang telah dipotong.

Siap dan sedap!
InsyaAllah. Dengan izin Allah semuanya.

Alhamdulillah, tetamu yang datang menggemari rendang ini. Suka bila lihat mereka makan sampai menjilat jari. Hihi..

Sekurang-kurangnya walaupun hatiku tak segembira orang lain, aku gembira bila tengok orang lain gembira makan masakanku yang tak seberapa tu. Bukannya jenis yang pandai masak aku ni. Memasak bukan bidangku. Orang cakap, masak sekadar boleh telan sahaja. Haha!

Begitulah kisah rayaku yang sederhana. Tak ada apa-apa yang istimewa. Orang lain pakai baju raya, bergambar ceria. Aku pakai kain batik, t-shirt dan bergelut dengan periuk belanga sahaja. 

Tak kisahlah tak pakai baju raya pun, asalkan silaturahim tetap terhubung. Alhamdulillah.  Malah aku syukur sebab sedikit sebanyak dapat merawat hatiku agar tidak dihanyut rindu yang runcing.

Sungguh, orang sekeliling adakalanya membawa kesan yang pelbagai. Ada memberikan kita pengajaran, pelajaran dan ada yang memperkenalkan kita bahagia hati.

Walau macammana pun keadaan yang kita lalui, kita akan gembira, jika kita melihat orang lain gembira.

Aku tahu semua ini aturan daripadaNya yang Maha Tahu bagaimana untuk menjaga hamba-hambaNya. 
Lahawlawalaquwwataillabillah....

Salam Aidilfitri semua. 
Semoga Allah rahmati sekelian muslimin dan muslimat dengan barokahNya. Amin.

Allahumma Solliála Sayyidina Muhammad.❤



Friday, May 22, 2020

Salam Aidilfitri 2020

Aku suka pantai♥

Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad.
Sayunya rasa. Tahun ini tahun keramat. Beraya akan jadi berbeza. Tiada kunjung mengunjung. Tiada mesra-mesraan. Wallahi, rindu masa-masa Allah bagi nikmat itu. 
Gusar juga hati bila dunia direntap wabak dan kita masih belum mampu mengatasinya. Entah bagaimana nanti keadaan kita semua. Aku risau orang-orang kurang berkemampuan. Apatah lagi orang-orang yang hilang punca rezeki bila ekonomi menipis dan menjerat. Aku doakan Allah tidak putuskan rezeki mereka. Amin. Moga saat ini akan muncul insan-insan yang berharta yang mahu menghulur kepada sesama dengan ikhlas. Sekaranglah waktunya kita menimba redha Allah sebanyak-banyaknya. Amin.

Raya dan kemaafan. 
Inilah momen yang semua orang suka. 
Aku doakan semua orang yang mengenali aku sudi memberi kemaafan mereka untukku. Andai ada kekeruhan terzahir dari aku atau tersirat yang aku tidak tahu, semoga ia diampuni. Semoga Allah Allah mengampuniku jua. Sekalipun, Aidilfitri kali ini janggal, ia tidak menyusutkan rasa kasih sesama manusia InshaAllah. Masih tetap ada cara untuk kita meraikannya. 

Kalian, yang mengenaliku. Tiada seorang pun daripada kalian menjadi musuhku. Salah silap, terkecil hati, tersiat luka dan tersisih itu biasa. Mana ada daripada kita tidak berdosa. Justeru, aku bukan jenis yang pendendam yang tidak suka memaafkan. Aku malu untuk tidak memaafkan orang. Malah aku sedih dengan keterlanjuranku. Allah pun Maha Pengampun dan suka untuk mengampunkan hamba-hambaNya. Apatah lagi aku yang hamba ini. Tidak layak untuk aku mendabik melihat diriku harus didarjatkan sebagai bersih daripada kehinaan dan dosa. Rasanya tiada siapa yang berdosa denganku. Aku yang banyak dosa dengan kalian. Ampun maaf hendaknya.

Selamat menyambut hari lebaran semua.
Aku doakan kalian bahagia sentiasa.
Kepada sahabat-sahabat 'non-muslim' yang tidak pernah melupakan aku dengan sokongan dan kasih-sayang kalian, aku juga mendoakan kalian. 

💓💓💓

Di sengat Rindu


Tersadai di kuala rindu,
hanyut di dasar pilu,
Tak hadir hirisan luka,
namun terbakar sakit di jiwa....

Di celah belahan sukma,
terkalung untaian doa,
Rahsia rindu di dada,
hanya dicurah kepada Dia.

Tersangat menyengat!
Bisa yang sarat.
Tiada doktor yang dapat mengubat!



'Pure from heart' 😄❤.... acheywah!
Saja je... dah lama tak bermadah.

Wednesday, May 20, 2020

Mengenali KalimahNya

Allahumma solliàla Sayyidina Muhammad.
28 Ramadhan. 
Alhamdulillah. 
Musim PKP ada hikmahnya. Di hujung perasaan ini tidak layak untukmu Ya Allah. Namun, keizinanNya telah membuatkan selesai juga tadabur kitabNya. Susah payah ujian mengantuk, malas dan macam-macam lagi yang terhasut dek syaitan. Dulu tak terfikir pun nak habiskan kalimah-kalimah dari Al-Quran ini.  Dah tua baru merangkak-merangkak mengaji. Huhu.. 
Kalau dulu, rancak menghabiskan membaca novel yang beribu mukasurat. Tak ada mengantuk untuk mengkhatamkannya. 

Betullah, untuk ke arah Allah, tidak semudah kata-kata. Bersyukurlah bila Allah sudi membawa kita kepadaNya sekalipun kita adalah manusia yang terlalu lalai dan berdosa.

Kagum dengan mereka yang selalu menjadikan Al-Quran sebagai kekasih yang tidak pernah jauh, sentiasa dekat dan sentiasa dirindu. 
Sedang aku baru bertatih... tetapi tetap indah perasaan itu.

Astaghfirullah...

"Biar Gambar Berbicara" ?

Gambar
Orang selalu cakap, "Biar gambar bercerita". Cuba tanya diri, sejauh mana jujurnya cerita-cerita gambar?

Kita bergambar sambil tersenyum, sebaliknya senyuman itu hanya sebentar ketika butang lensa diketik. Itu sahaja.
Meriah segala cerita dalam gambar, mungkin ia kisah benar namun yang benar sebenar-sebenarnya adalah gambaran hati yang hanya Allah sahaja yang dapat melihatnya.

Gambar, tetap anugerah untuk kita yang hidup. Sebagai kenangan menguatkan ingatan akal.
Namun cerita di sebalik gambar tidaklah semua mendapat peratusan penuh untuk dipercaya.

Wallahua'lambissowab...


Thursday, May 14, 2020

Hadiah Itu Rahmah Allah


Alhamdulillah, syukur kepada Allah
Aku simpan gambar-gambar di sini untuk dijadikan ingatan. Meraikan pemberi-pemberi yang telah bertungkus lumus menyediakan hadiah- hadiah ini untukku.


Ada banyak hadiah yang aku dapat sebenarnya tapi yang dua hadiah ini yang paling aku suka.


Satu (Hadiah belon Birthday) ▬Rezeki ketika usia dah ganyut tapi dapat 'kejutan' yang seharian membuatkan aku gelabah puyuh. Maklumlah tak pernah dapat 'surprise' yang pelik seumur hidup. Selalunya orang lain yang dapat, kita tengok sahaja. Hihi.. Punyalah pening aku meneka-neka, siapalah yang hantar???. Dah tua-tua begini takkanlah ada 'secret admirer'..(Sebab, rasanya tak ada pun org yg minat kat aku ni ha.. ) Berpeluh sejuk juga aku hari tu. Takut kalau-kalau orang silap hantar. Dibuatnya orang datang 'claim' balik, konon tersalah hantar, takkah tebal muka nanti kan... ... Aku tanya semua orang yang aku kenal. Memang 'happening'. Tak dapat aku lupakan. Semoga kebahagiaan dunia akhirat dikurniakan kepada si pemberi yang baik yang selalu ingat tentang diriku. Rasa bersalah dan rasa terharu juga sebenarnya. Susah payah aku dihargai.


Dua (Hadiah telekung dan rehal) ▬ Rezeki Ramadhan.

Tiba-tiba sahaja ada yang hulur sebab dia memang sahabat dan guru yg selalu murah hati suka memberi. Aku dah lama minat rehal tu. Bagai doá yang didengar. Subhanallah, datang saja depan mata, terharu tak terkata. Nak peluk jer rasa, tapi sekarang musim PKP, tak bolehlah nak peluk.. Dia minta aku selalu doakan dia. Itu sahaja. Ya, semoga Allah makbulkan segala impiannya. Amin Ya Robbal Alamin.


Untung sungguh orang yang suka memberi ini. Allah sayang mereka. Sebab hati mereka murni kerana suka menggembirakan orang lain. Mereka suka melihat wajah orang lain tersenyum, kembang gembira asbab dari pemberian tersebut.


Aku ambil iktibar daripada cara mereka.
Terima kasih yang tidak terhingga.
Sayang kamu.♥♥♥
Hadiah2 : Ramadhan, sahabat fillah.

Hadiah 1. Surprise Birthday. 

Tuesday, May 12, 2020

Mata Basah Hati Lembut

Just lately, asyik berhujan di mata sahaja. Kadang-kadang tak menangis pagi, air mata itu turun mencurah di malam hari. Sesekali ia bersebab. Sensitif betul sekarang ni. Faktor usia agaknya. Hihi..

Bila lepas menangis, ada sesuatu perasaan lain bila ia berhenti. Lega.
Jujur, ia lebih terasa lega. Seolahnya ada sesuatu yang berketul-ketul di dada jatuh turun sebagai air. Macam hujan yang turun membasah bumi. Awalnya tanah tandus, esoknya menghijau. Begitulah agaknya.

Aku payah menangis. Sudah dilatih diri untuk tak mudah menumpahkan air mata. Mungkin banyak sebab yang terpendam yang tak dapat terluah membuatkan aku sedemikian jadinya. Selalunya kata-kata akan menjadi bisa apabila diluahkan kepada yang tidak pernah maklum apa yang terisi di dalam jiwa. Baiknya apabila menangis, kita dapat membebaskan kata-kata dengan senyap, lalu lupa untuk melukakan hati sesiapa dengan kata-kata kita. Hati pun menjadi lembut dan memaafkan selepas menangis.

Ada hikmahnya.


Saturday, May 9, 2020

Kena Terima

Bissmillahirrahmanirrahim


Kita kena terima.
Jika ada yang berubah tiba-tiba.

Dahulu rapat, sekarang renggang.
Terima sahaja.
Dahulu kita didahulukan, sekarang dibelakang.
Terima sahaja.
Dahulu selalu ada, sekarang makin hilang.
Terima sahaja.
Dahulu sayang, sekarang kurang.
Terima sahaja.


Salah siapa?
Jangan ada siapa disalahkan. 
Dimana kurang?
Jangan ada pertikaian.
Terima sahaja. 

Fitrah kehidupan, sunnah hayat yang sementara.
Tiada yang kekal selamanya.
Kawan, boleh sahaja jadi musuh.
Sahabat boleh sahaja tidak ampuh.
Cinta boleh sahaja cerai.
Yang hidup akan mati.
Yang segar akan basi.
Yang rancak, akan sepi.


Kita pun sementara cuma.
Sudah puluhan usia.
Mungkin suatu masa, kita pun sama.
Boleh sahaja berubah serta-merta.

Berikanlah diri senyuman.
Ukirkan hati keikhlasan.

Kerana berjaya terima ketentuan aturan Tuhan.
'Allah sayang", kata ustaz Ebit Liew.
Setiap perubahan, ada kemajuan.
Setiap jatuh akan bangun.
Setiap kesulitan ada kemudahan. "Inna maal usriusra"

~SABAR, TENANG dan REDHA~