Bissmillahirrahmanirrahim.
Lahawlawalaquwwataillbillahil ayyiladziem.
Allahumma solli'alasayyidina Muhammad.
Selepas 97 hari pemergian ayah.
Rindu itu masih segar.
Terasa masih ada ayah di sisi. Tersangat rindu.
Aku tahu, bukan aku sahaja yang pernah melalui rasa sakitnya rindu terhadap orang yang telah tiada. Rindu yang tidak berbalas. Tidak dapat digambarkan dengan bentuk dan rupa. Aku faham, ada ramai lagi yang melalui saat yang lebih perit. Malah lebih perit daripada apa yang aku alami. Namun, ini coretanku. Ini kisahku yang tidak seberapa. Kisah yang aku tulis dengan hatiku. Kisah kasih-sayang antara aku dan orang yang paling aku kasihi, dan aku ingin menulisnya kerana ayah adalah permataku. Permata yang tidak pernah pudar atau malap cahayanya di dalam jiwaku.
Kalian tahu tak, bersama rasa gugup, aku perhatikan gambar yang kukepilkan di sini berkali-kali. Ingatan tua ini mengimbas kembali segala hal tentang ayah dan sifatnya yang sangat aku kagumi. Ya, aku anaknya, sudah tentulah, dia idolaku. Siapa lagi yang harus memuji seorang bapa, jika tidak anaknya. Apatahan lagi ayahku adalah sebahagian daripada diriku. Dia sahabat karibku. Dia orang yang paling memahami siapa aku. Aku tahu dia tidak pernah hilang. Dia cuma bepergian selamanya untuk dunia yang baru. Berhijrah ke dimensi abadi, dunia akhirat! Suatu hari nanti, aku juga akan ke situ. Bersamanya di syurga, Insha-Allah. Amin.
Ayah.
Dia adalah hamba Allah yang sangat penyabar. Aku ulang, sangat-sangat penyabar. Sejarah kesabarannya bermula semenjak dia menjadi anak yatim ketika usianya enam tahun. Setiap apa yang dibuatnya, dibuat dengan tertib, tidak gopoh dan teliti. Dia suka memperbaiki barang-barang lama yang sudah mahu dibuang orang lain. Dia tekun dan fokus. Sehinggakan, barang yang tidak berguna pun akhirnya boleh diguna pakai kembali.
Ayah juga dikenali sebagai seorang tua tempat mengadu perihal masalah peribadi yang tidak dapat dibendung. Maklumlah, orang-orang muda yang cetek pengalaman hidup sering sahaja mencarinya untuk meminta nasihat. Malah kadang-kadang ayah mampu merawat. Yang jauh dirapatkan, yang renggang dimesrakan, yang buruk diperindahkan. Ilmunya, bahasanya, kata-katanya, pengalaman tuanya, adabnya kepada orang lain membuatkan timbul keyakinan orang terhadap kebijaksanaan dia berkata menyedapkan hati yang resah.
Hari-hari yang dilalui tanpa ayah, sememangnya dirangkul sunyi. Ketawanya masih didengar. Senyum comelnya. Wajahnya, rentak langkahnya dan ceritanya sentiasa terpapar kembali di ruang minda dan mata. Ayah memang seorang yang suka menyakat. Suka membuatkan anak-anaknya ketawa. Sudah tentu, ketiadaannya mengubah ruang rumah bagai mendung samar mentari. Aku tidak dapat menipu bahawa hatiku benar-benar sedih bilamana pantulan tentang ayah muncul dan dilambai rindu itu tersiat perit. Namun, aku tidak dapat menyangkal kasih-sayang Allah terhadap ayah. Allah sayang aku dan keluarga dan Allah sayang ayah. Sorotan takdir sebelum Allah mengambil ayah daripada kami sekeluarga amat lembut sekali. Allah beri ujian itu terasa berat tetapi diringankan juga perjalanan ayah agar hati kami dirawat sebelum ayah pergi. Allah beri peluang kami sekeluarga menjaga ayah dengan baik. Kesedihan itu sesekali tetap membuatkan aku puas sekalipun aku tahu apa yang akan aku lalui selepas ketiadaan ayah mungkin akan terus mencabar keimanan dan ketabahan.
Sembah kesyukuran yang tertinggi kepada Allah Rabbul Izzati yang telah mengizinkan aku lahir daripada benih ayah. Seorang yang biasa tetapi luar biasa pekerti dan akhlaknya. Aku berdoa semoga aku boleh menjadi sebaik ayah dalam menangani masalah. Ayah pernah cakap kepadaku, aku adalah kekuatannya, jadi aku tidak perlu lemah. Sedangkan ayah adalah kekuatanku. Aku tak perlu takut walaupun ayah tidak ada di sisiku kerana darahnya sentiasa mengalir di dalam setiap urat tubuhku. Aku masih kuat kerana itu. Tidak akan berubah apa-apa. Insha-Allah. Akan kuteruskan hidup ini seadanya kerana Allah. Sebelum ayah pergi, aku berbisik di telinga ayah,
"Ayah jangan bimbang tentang kakak dan adik-adik, Allah kan ada. Ayah tenanglah. Jangan dunia ini membuatkan ayah rasa takut untuk mengadap Allah. Kita akan berjumpa juga suatu masa nanti. Ayah mesti terus ingat kepada Allah. Itu sahaja yang kakak mohon daripada ayah".
Ayah mengangguk kelu, lesu. Ada janji yang kusebut kepada ayah sehingga ayah mengalirkan air matanya. Aku bisikkan lembut dengan sepenuh perasaanku, sebulat kepasrahanku kepada Allah. Aku telah redha saat itu dan ayah faham, tersangat faham hatiku. Lahawlawalaquwwataillabillahil aliyyiladziem.
Bersama ayah sehingga akhir hayatnya adalah suatu rahmat daripada Allah. Bersamanya di saat gering dan penuh keresahan adalah sejarah yang tersangat indah, sekalipun air mata tak habis-habis tumpah kerana menjinjing berat mata melihat kesabarannya menahan kesakitan. Dia tidak pernah merungut tentang sakitnya. Aku kagum. Dia tidak pernah lupa kepada Allah. Aku kagum. Dia begitu sopan terhadap penerimaan ujian daripada Allah dan aku sangat kagum!
Perginya seorang ayah.
Dahulu, matlamat hidupku adalah untuk membahagiakan ayah dan ibu dengan sepenuh hatiku. Bilamana satu matlamatku diambil Allah, bagaikan pergi separuh daripada jiwaku. Ayah tidak meninggalkan keluarganya dengan harta. Tidak juga membebankan kami sekeluarga dengan hutang. Tiada langsung. Ayah meninggalkan kasih-sayang yang besar. Tiada tandingan. Ayah meninggalkan budi bicara diri sebagai insan yang berehsan. Bagiku tiada calang-calang manusia dapat memakai pakaian iman seperti ayah. Mungkin kerana dia adalah ayahku. Namun, orang-orang yang mengenalinya pun masih berdesas-desus menyampaikan tentang ayah yang berhemah tinggi walau di mana dia pergi. Alhamdulillah. Itu adalah rahmat Allah kepada ayah dan kami sekeluarga.
Ayah yang memaafkan.
Setahu aku, ayah pun manusia biasa yang sudah tentu ada kelemahan diri. Dia tidak lepas daripada memiliki orang-orang yang tidak suka akan sikap terus-terangnya. Dia ada bercerita tentang mereka yang pernah membenci pendapatnya. Jika perihal agama, ayah adalah orang yang tegas. Yang salah, tetap salah. Bila salah perlu diberi teguran. Cuma, manusia ini untuk menerima teguran dengan terbuka hati bukan mudah. Ia mengambil masa.
Marah ayah tidak pernah lama. Dia tidak membenci sesiapa sekalipun ada orang pernah memaki-hamun dirinya. Dia terima dan dia maafkan begitu sahaja. Dia juga mampu terima teguran orang lain dengan begitu tenang. Mudah sekali. Bila ditanya, dijawabnya "Makhluk mana yang tidak diuji masalah." Pernah suatu masa, seorang hamba Allah membenci ayah jatuh sakit, dia tetap menziarahi hamba Allah tersebut dan mendoakannya setiap hari sehingga si pesakit itu meninggal dunia. Bila hamba Allah tersebut memohon maaf daripadanya, diberitahunya tiada kesalahan yang perlu disimpan, semuanya dimaafkan kerana Allah.
Aku sendiri sebagai anak cukup senang hati bila memohon ampun daripada ayah. Bahagia bila ayah sebut, "Anak-anak ayah tiada salah apa-apa. Jikapun ada, telah ayah ampunkan semua. Ayahlah yang banyak salah dengan anak-anak, harap anak-anak ayah maafkan ayah."
Subhanallah. Dimana kan ku cari ganti.
Allah beri aku tabah.
Bukan senang untukku lalui saat ayah pergi. Demi ibu, aku bertahan. Aku bukanlah seorang yang kuat sangat. Tetap lemah sebagai hamba, cuma aku kuat dengan janji Allah yang kuulang dalam minda, bahawa Allah uji dengan kemampuan hambaNya. Tiada yang tidak akan kuat akhirnya kecuali jika aku gagal percaya kepada Allah sepenuhnya yakni aku buang imanku kerana emosi. Pada hari ayah pergi, aku tetap rebah. Seolah aku mahu ikut ayah pergi. Namun, mak dan adik-adik buat aku bangun semula, kerana mereka juga adalah sebahagian kekuatanku yang dihadirkan sebagai wasilah daripada Allah.
Tabah. Ya, tabahlah wahai diri. Apa pilihan yang aku ada melainkan memilih tetap tabah. Hikmahnya, satu ketiadaan ayah membuatkan aku sudah mula belajar sesuatu. Belajar melepaskan dengan redha.
Aku sendirian, bila tiada ayah. Malah semenjak ketiadaan ayah aku hadap segala emosi yang biasa pernah kukongsikan dengan ayah, kini seorang diri. Dengan bertanya kepada Allah. Semenjak ketiadaan ayah juga, beberapa insan yang pernah setia bersamaku pergi dengan alasan mereka sendiri. Aku harungi dengan ketabahan yang bermula dari ketiadaan ayah. Aku cari jawapan dengan sujud dan berdoa. Dengan melarih sepenuh harapan dalam doaku, aku kumpulkan gulungan hatiku yang patah remuk dengan sumber yang hadir dari ketiadaan ayah. ALLAH lah itu yang sudi memperkasakan jiwaku seadanya. Malah baru-baru ini aku mencari jawapan terhadap perasaanku dan jawapan aku terima pada mula sangat membuatkan aku kesal dan kecewa. Kemudian aku kembalikan perasaan sakit itu kepada Allah. Alhamdulillah, kesakitan itu mulai surut bagai surutnya laut yang tenang.
Bukan perpisahan yang membuatkan kita kecewa, tetapi rasa tidak redha itu meragut hati membuatkan kita hampa. Kita perlu ubah semuanya kerana kita masih ada tempat penggantungan yang ulung iaitu Allah Taala. Dalam kehidupan kita ini, tidak ada apa yang pasti, cuma kita harus cuba berani memastikan apa-apa yang kita ingini dapat kita raih dengan usaha sedaya upaya. Disitulah kita yang sebenarnya.
Sedih memanglah sedih.
Mengingatkan peribadi ayah setiap hari, aku memutuskan pandanganku sendiri dengan kudrat Allah, bahawa Allah sedang memerhatikan dan menguruskan apa sahaja urusan hidupku. Bertahan sekuat tenaga dengan mengubah segala rasa yang mungkin diselimuti putus-asa dengan kesabaran yang penuh percaya bahawa jalan Allah lebih utama. Aku mendoakan agar aku dapat mengadilkan diri ku sendiri tanpa menganiaya atau dianiaya perasaan apa pun yang mengganggu saat ini.
"Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya berkata kepadaNya, 'Jadilah!' maka jadilah sesuatu itu" (Yassin: 82)
Aku hanya ada Allah. Kalian pun sama. Dunia ini dan seluruh isinya hanya sementara. Cepat atau lambat, janji Allah itu pasti. Sepastinya aku dan kalian juga akan mati. Ayah pernah cakap kepadaku demikian, dan aku pegang ia kejap. Semoga aku tidak rapuh lagi.
Mari sama-sama kita lafaz seluruh kalam Allah Al-Fatihah, dan sedekahkan kepada semua ibu-bapa yang masih hidup atau telah pergi bermula dengan menfidyahkan pertamanya kepada Rasulullah Saw. Semoga mereka, kita semua dan orang-orang yang kita sayang berada dalam lindunganNya serta di ampuni dan dijauhi daripada azab neraka. Amin.
Allahumma Solli'ala Sayyidina Muhammad.💓