Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, June 10, 2020

Kita Hanya Berusaha Untuk Tenang💖




Tenang.
Semua orang ingin tenang selalu. Ingin bahagia dengan tenang. Ingin tak ada masalah, walaupun saat itu dia sedang ada masalah. Ingin rasa yang damai yang di sisinya tiada benci, tiada khianat, tiada marah, tiada cemburu, tiada ragu, tiada dendam, tiada iri sakit hati, tiada sangkaan buruk atau tiada yang mazmumah. Kalau boleh kita nak dalam hati kita ini hanyalah perasaan yang cuma ada yang baik-baik semata, tak ada yang tidak baik langsung. Semua kita nak macam tu, kan?

Tenang itu juga makhluk ciptaan Allah.
Allah resepikan untuk hati manusia. Ia untuk memberitahu kita bahawa nanti di sisiNya, kita akan lebih mendapat ketenangan hakiki, yang kekal, yang tidak berakhir, yang selama-lamanya. Allah hadirkan sedikit untuk kita di dunia yang sementara ini. Kekadang tenang, kekadang tidak. Tenang itulah nikmat yang kita hanya boleh sebut, boleh rasa tetapi untuk menggambarkannya adalah abstrak.
Kelak, jika diizinkan Allah di syurga , semua hambaNya akan menikmati tenang selama-lamanya. Masing-masing penghuni syurga akan bahagia dengan ketenangan yang abadi. Beruntunglah bagi mereka yang Allah pilih untuk bersama di sisiNya dengan saujana tenang yang tidak tergambar dek akal. MashaAllah. 
Di dunia ini, rasa tenang itu berbeza. Ia hanya cetusan kecil pantulan daripada syurga Allah. Kita kena berusaha untuk mencari ketenangan. Kita kena berdoa kepada Allah, mengingati, merasai Allah, memandang Dia, dan memahamkan akal hati kita tentang Dia jika mahu ketenangan, seperti dalam firmanNya,
“Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.” ( QS Ar Ra’d : 28 )

Bukan mudah untuk kita sentiasa berada dalam ketenangan memandangkan selagi bernyawa, kehidupan kita akan tetap bergelora dengan ujian. Hidup kita di dunia sudah ditulis untuk berletih-letih. Bagi menggapai segalanya yang baik dalam dunia ini, jarang sangat ada jalan yang mudah bagi orang-orang Islam. Kita perlu melalui tahap-tahap kesabaran menghadapi baik buruk aturan Allah sebelum kita mengecap sedikit rasa tenang. Itu pun mungkin dalam jangkamasa yang sebentar cuma. Rasa tenang sama macam rasa gembira. Seolah ia singgah sekejab sahaja berbanding dengan rasa sakit, derita atau sengsara. Datang bagai taufan, pergi meninggal kesan yang mencengkam.

Kita hanya berusaha.
Berusaha untuk menjaga iman agar Allah menghadirkan suluhan NurNya ke dalam jiwa sehingga tenang itu tiba. Sekalipun ia tidaklah setiap masa, ada jatuh bangun dan pasang-surutnya, kita perlu berusaha untuk tidak sekali-kali berputus-asa. Terus mencari cara menggapai tenang. Yang penting dengan izin Tuhan. Dialah yang sebenarnya mendatangkan segala sumber ketenangan melalui pelbagai saluran pilihan.

Pilihan apa yang kita ada?
Ada orang tenang dengan beristighfar, bersolawat dan berzikir.Teruskanlah.
Ada pula suka bangun malam, sujud dan bersendirian dengan Allah. Teruskanlah
Ada ketenangan lain bersumberkan tadabbur Al-Quran. Membaca dan memahami kalimah Ilahi. Silakan.
Ada orang dengan bersedekah, dia rasa tenang bahagia. Alhamdulillah.
Ada juga yang menjadikan ketenangannya dengan menyaksikan keindahan ciptaan Allah.
Pendekkata pelbagai pilihan yang kita ada.
Malah syurga tidak dikhususkan hanya untuk satu pilihan. Ia adalah rahmat Allah yang ditakdirkan oleh belas cinta Allah Taala. Dengan usaha penuh keikhlasan, dengan ibadah yang telus, Insha-Allah ketenangan akan di'reward'kan kepada kita dengan izinNya melalui rahmatNya.

Demikianlah, kita hanya mampu berusaha untuk tenang. 
Ketenangan itu tidak akan datang dari sumber-sumber yang tidak baik. Itu janji Allah. Carilah dengan usaha-usaha yang baik. Pertahankanlah kebaikan sebagai makanan roh  kita.

Mudah-mudahan, apa sahaja yang kita lalui, dapat kita terima dengan baik dan kita akan tenang. Amin.
Allahumma Solli'ala Sayyidina Muhammad.💖