بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ.
كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Orang tanya, kenapa tak kahwin-kahwin lagi?
Aku senyum.
Sudah terbiasa dengan soalan itu.
Malah, aku selalu dikutuk, dituduh memilih, disangka meterialistik. Paling teruk dilebelkan tidak laku dan difitnah berlaku sumbang sehingga tiada siapa yang mahu mengambilku menjadi isterinya. Malah, kata orang aku tidak berusaha. Tahu apa mereka dengan usahaku? Aku ketawa sinis sahaja.
Dulu, aku marah. Bila soal jodoh dipersoalkan, aku akan berkecil hati.
Sakit!
Sakit kerana kedua orang tuaku terpaksa malu. Sakit kerana dihirit penghinaan yang tidak sepatutnya. Sakit kerana merasakan akulah manusia yang paling hodoh di dunia. Sakit kerana permainan manusia.
Lelaki, hanya pilih yang cantik. Pantang wanita cantik melintas di depan mata, tersiul-siul macam mawas nak mengawan. Dulu aku menyampah. Sekarang, aku faham. Fitrah yang Allah cipta. Sedangkan Allah sukakan kecantikkan. Sudah tentu kita semua begitu. Apa pun yang kita beli samada pakaian, kereta atau rumah, sudah tentu kita pilih yang cantik.
Selepas badai melanda hati, aku mula menyedari, aku pun cantik. Setiap manusia itu cantik dengan perbezaan dirinya oleh Allah. Bukan aku memuji diriku. Semua itu aku berikan kepada Allah. Tak layak untukku. Cantik itu ada dalam pandangan hati. Jika hati itu hodoh, maka apa yang dipandang sipemiliknya akan menjadi hodoh. Aku, kamu, engkau, dia, cantik atau tak cantik tetap cantik kerana Allah yang menciptakan kita semua.
Tersentap hati dengan Allah pun, aku pernah. Yang peliknya, aku masih berdoa walaupun dalam doa-doaku bertanya kenapa aku bagaikan tidak sempurna? Kenapa aku dipersalahkan. Kenapa aku tidak seperti hamba-Nya yang lain, mendapat fitrah mereka. Setiap makhluk ada pasangan masing-masing, kenapa aku tak punya pasangan?
Sekarang, aku faham. Masih aku panjatkan syukur kerana Allah tetap menggerakkan zahir dan batinku untuk bersolat dan berdoa. Tetap ingat kepadaNya. Apa yang lebih baik daripada itu? Bagaimana kiranya Allah lumpuhkan imanku dan jadikan aku di kalangan hamba-hamba yang sesat?
Allahu, mohon Allah jauhi aku daripada terpedaya dengan hasratku yang tidak seberapa sedangkan Allah lebih utama.
Takdir Allah itu baik.
Sentiasa baik walaupun aku seperti kabur dalam persoalan-persoalan mendahagakan jawapan yang memenangkan rasa hatiku.
Pengalaman membuatkan aku kenal bahawa hidupku tetap indah seadanya. Apabila di dalam penjagaanNya tiap detik. Allah Maha Pemberi. Diberi segalanya mencukupi. Diberi rasa hati yang selalu tenang. Diberi keluarga yang begitu penyayang. Rezekipun belum pernah terputus. Masih boleh meneguk air putih yang enak. Disekelilingku terpilih hanya yang baik-baik. Masih boleh sujud bersolat. Allah tak pernah zalim. Aku yang menzalimi diriku sendiri. Apa yang tidak ditakdirkan untukku tak bermakna aku ini tidak layak, namun urusanNya lebih bijak. Dialah yang mencipta diriku dan Dialah juga yang mengerti dimana tempat yang terbaik untukku. Wajar apa aku mengeluh dengan persoalan jodoh ini? Walhal jodohku dengan apa yang Allah takdirkan dalam kehidupanku kini walaupun sederhana, sudah mencukupi segalanya. ALHAMDULILLAH. Mahu apa lagi aku?!
"Nikmat apa yang engkau dustakan?" Firman Allah dari surah Ar-Rahman berkali-kali.
Ilmu yang Allah turunkan di dada, kekadang tidak berguna sedikitpun, jika kita tidak mengambilnya menjadi amalan diri. Yakin kepada Allah, tetapi diri tak yakin. Cakap sabar, Allah ada.., tapi tak percaya kepada Yang Maha Sabar. Astgahfirullahaladziem.
Yang pasti, jodohku sudah ada.
Jikapun tidak dengan manusia. Aku sudah berjodoh dengan kehidupan. Susunan cerita hidupku, itulah jodohku. Orang bilang, kalau tidak berjodoh dengan manusia, tidak bersunnah. Begitu banyak manusia dimomokkan dengan penerapan ulasan yang salah. Bukan tujuanku untuk membenarkan apa yang kutulis, sekadar mengembalikan pemahaman sesama kita. Dan aku, ingin membangkitkan mereka yang pernah berfikiran sepertiku dulu. Jangan ingat golongan sepertiku ini tidak diterima Rasulullah alaihisalam. Rasulullah saw menyampaikan pesan itu dalam konteks yang luas. Baginda melaknat orang yang bermaksiat, mampu berjodoh tetapi menolaknya kerana ingin hidup bersumberkan kebebasan mengengkari syariat yang benar. Itu yang benar! Tidak diterima sebagai umatnya. Tafsiran yang salah menjadi menyebab kepada keyakinan yang patah. Golongan kecil seperti aku yang ilmu tidak tinggi, akal pun pendek akan menjatuhkan maruah sendiri dengan memandang dirinya tidak berharga di sisi Allah dan Rasulullah alaihiwasallam. Orang muslim sejati, tidak menjatuhkan! Malah menghulurkan tangan dan hati memperkasakan yang lain. Islam itu nasihat. Pun begitu, berapa ramai yang mampu menasihat dengan bijaksana?
Cukup sekadar ingat, wahai yang melambakkan fikiran yang singkat dan hati yang runtuh. Ingat Rabiatul Adawiyah yang dicintai Allah! Jika tidak tahu dia siapa, cari dan baca! Nanti hatimu akan lebih lunak menerima damai. Insha-Allah. Sejarah daripada kisah-kisah terdahulu banyak menyampaikan kecantikan agama. Hanya kita sahaja yang rakus memilih khianat.
Walhal, segalanya adalah urusan Allah.
Urusan jodoh adalah secebis kisah kecil yang tak sepatutnya dijadikan simbolik yang jijik. Lebih banyak yang luas yang perlu kita ajar kepada kita yang masih kurang ajar.
Hidup ini penuh segenapnya dengan ilmu. Ilmu Allah!
Usia dan masa, jangan terbengkalai sia-sia menunding kepada hal-hal yang kita sendiri belum arif tentangnya. Sebelum tegakkan rasa kita yang kita rasa benar, baiklah kita benar-benar mengkaji segala nikmat yang Allah beri. Pastinya ada suratan yang tertulis baik untuk kita. Mudah-mudahan, Insha-Allah. Amin.
Semoga kita dikalangan orang-orang yang saling mencintai kerana Allah.
Amin ya Allahumma Amin.
Allamumma solli'ala sayyidina Muhamad.