Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Thursday, March 8, 2018

Nak Harap Orang Jaga Hati?



Sebaik-baik orang yang menyayangi kita dan sekuat-kuat usahanya untuk menjaga hati kita, tidak akan seratus peratus dapat memenuhi kepuasan yang kita inginkan.


Kita nak harapkan orang jaga hati kita, bila-bila pun tak akan boleh. Orang mahu berjanji untuk menjaga hati kita, pun tak boleh sepenuhnya.


Hati kita dikawal oleh kita. Yang menjaga hati kita adalah kita dan Allah. Kita saja yang faham bagaimana untuk menjaga hati kita sendiri. Itupun, kadang-kadang terbabas. Kita gagal menjaga hati kita sendiri juga.


Sejauh mana kita mengenali orang lain, belum tentu kita memahami apa yang sebenarnya terlindung di hati mereka. Samalah dengan kita, sedalam mana pun orang ingin mengenali hati kita, tak akan dapat mencapai takat maksima. Sekadar sedikit sahaja. Begitu jugalah jika nak kenal hati orang lain. Sedikit sangat yang kita tahu. Orang tak akan beritahu apa yang dirahsiakan di hati mereka.


Hati kita terguris sekalipun, orang tak tahu dalam mana ia terguris.
Hati kita terluka, orang tak tahu parah mana ia terluka.
Hati kita tercalar, orang tak tahu sampai bila kesan calar itu boleh hilang.
Hati kita menangis, orang tak akan nampak pun. Tidak akan ada yang tahu .

Orang tak tahu bila hati kita akan sembuh. Mungkin sekejap, mungkin bertahun atau mungkin selama-lamanya tidakkan sembuh..
Fizikal wajah nampak baik sahaja, senyum ketawa. Dalam hati siapalah yang dapat meneka?


Tidak akan dapat orang lain jangkakan samada hati kita di dalam, mengeluh dan letih. Ada waktu nampak kita terbahak-bahak ketawa, tapi dalam hati tengah koyak, siapa yang tahu?


Untung Allah beri hati yang menjadi rahsia hidup kita..Alhamdulillah. Jika Allah paparkan apa yang bermain di hati kita seperti skrin televisyen, entah bagaimana rupanya. Allah. Allah. La ilaha ilaAllah.


Hati dan peribadi kita sebenarnya berlainan. Jarang selari. Kecuali bila kita betul-betul warak. Orang yang mengingati dan mentaati Allah sepadatnya, akan beroleh hati yang tersusun baik seperti "Defragment" perisian komputer. Kemas. Yang mana yang rosak dihapuskan. Yang terbaik disusun di hadapan. Yang kurang baik diletakkan jauh ke belakang untuk dirapikan setelahnya.


Kita hanya manusia awam. Keimanan kita kebanyakkannya terlalu nipis. Jarang sangat memiliki hati yang sama professional dalam maksud hati yang arif. Hati yang kita miliki sekarang ni cukup lemah dengan gangguan nafsu-nafsi hidup yang pelbagai.


Seperkara lagi, kita cuba sedaya nak jaga hati semua pihak tapi memang diakui betapa susahnya nak jaga hati banyak pihak. Nak fikir hati sendiri, manatahan hati org lain juga nak ambil peduli. Memang susah!!

Sedangkan hati kita pun tak ada orang nak jagakan, tak ada orang nak ambik peduli kerana semua orang tak akan tahu nak jaga hati kita dan kita pun tak tahu nak jaga hati orang.


Kadang-kadang memang niat kita nak jaga hati orang, tetapi susah sebenarnya. Senang cakap saja, "I do care about you", namun tak terjaga juga akhirnya. Ada sahaja yang tidak kena. Bukan senang!


Kita tak faham orang, orang tak faham kita.

Orang tak kan dapat selami ke dasar hati kita walau dah berzaman saling mengenali, walau serapat mana pun, walau sesayang ketat mana pun, batas jernihnya terhad. Tidak akan terbaca seperti buku.


Tak mustahil ada orang yang mungkin akan faham tentang diri kita, perangai kita, sikap kita, tabiat kita tapi orang tak akan faham isi yang tersimpan dalam hati kita, kerana ada masanya tingkah laku kita bertentangan dengan apa yang berdenyut di hati.


Malahan selalunya di mulut, kita cakap lain, di hati meronta lain perkara. Di mulut kata 'okay', di hati entah apa-apa. Begitulah selalunya. Berselindung di sebalik dedaun hati.

Jadi, sebaiknya apapun yang terjadi kepada hati kita, kitalah yang menjaganya. Jika orang sakitkan hati kita, orang itu mungkin boleh minta maaf, tapi mungkin saja hati kita masih juga sakit. Sebabnya, bukan orang itu dapat menjaga hati kita, tetapi tuan punya hati itu sendiri. Kita dan Allah yang meminjamkan.

Semoga Allah memberikan hati kita kemuliaan dan kebaikanNya.


Hati, tempat jatuh hidayah. Hati tempat jatuh sayang dan cinta. Hati itu tempat yang kecil tetapi teramat luas bagi kita yang memeliharanya dari hasad, dengki, getus-getus negatif dan membalutnya dengan doa dan iman yang selalu dikuatkan.


Jangan harap sesiapa menjaga hati kita. Kita akan tetap melukakannya.
Haraplah kepada Allah pencipta hati.
Sesungguhnya hati yang ada Allah, hati yang masha-Allah, tersangat indah.

Amin.
Selamat menjaga hati, ya. ❤💕