Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, March 23, 2018

RahsiaNya.

بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ.
كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Rahsia.
Benar sungguh Allah punya rahsia.
Jodoh itu rahsia. Mati pun rahsia. Rezeki pun rahsia.
Segala takdirNya adalah rahsia.

Kenapa ia dijadikan rahsia?  Untuk manusia berlumba-lumba ikhtiar dengan usaha. Jika ingin mati dengan baik, usaha dengan ibadah-ibadah yang baik. Jika mahukan rezeki yang melimpah, usaha dengan bersungguh agar dikembalikan dengan rezeki yang diberkati. Jika bercita-cita untuk jodoh yang baik, pelihara diri agar menjadi yang baik, ikhtiar mengenal dengan mawaddah, kasih-sayang dan cinta. Jangan cinta lama-lama, nikah dan jadikahlah ia jodoh maka akan dapatlah nanti rahsia Allah yang penuh nikmat.

Semua yang rahsia ini, tidak wajar dijadikan rahsia selama-lamanya. Perlu diusahakan dengan pencarian. Agar mendapat jawapan. Jangan hanya sekadar menggenggam segala rahsia tetapi tidak mengkaji rahsiaNya. Itu salah! Sepertimana mahukan Allah memberi hidayah-Nya, tidak boleh ditunggu sehingga rahsiaNya sampai. Perlu dicari jalan dimana hidayah itu akan bermula.

Rahsia Allah yang tidak dapat kita lihat dengan mata kasar, namun Allah perlihatkan dalam setiap nikmat ciptaanNya. Sebenarnya, rahsia Allah itu terbuka. Kitalah yang menutupnya dengan akal kita yang singkat. Kita tidak cuba meneroka. Jika kita perlu mati, semua orang akan mati, maka kemana dan dimana indahnya kematian itu. Kita perlu cari. Bukan membiarkan ia terus tenggelam hitam di lorong rahsia yang tidak kita jelajah.

Begitu orang-orang barat telah terlebih dahulu mengenal rahsia Allah.
Kita, kebanyakkannya hanya membiarkan rahsia itu sekadar rahsia semata-mata.
Orang barat telah lama mengkaji Al-Quran, kita hanya tahu membaca dan membiarkan ia terus rahsia. Orang barat telah lama tahu bahawa langit itu ada berlapis-lapis. Kita pula hanya tahu langit itu rahsiaNya. Tidakkah kita sebenarnya tertinggal di dalam rahsia yang tak sampai?
Sedang rahsia Allah itu didatangkan dengan ilmu Allah untuk dicari dan difahami hamba-hamba-Nya.

Kita hanya menunggu rahsia itu datang.
Sudah tentu, bila-bila pun penantian itu akan sia-sia.

Rahsia itu rahsia tetapi akan tetap ada jawapan di setiap rahsia.

Wallahu'alam bissowab.

Salam Jumaat yang indah. Semoga setiap muslimin dan muslimat sentiasa mencintai dan dicintai Allah dan Rasulullah Saw.