Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Thursday, February 15, 2018

Bacalah Al-Quran


Seorang muslim yang tidak pernah membaca Al-Quran tak ubah seperti tubuh yang sedang berbogel, sungguh sangat memalukan dan tidak perlu ditiru kerana Allah SWT tidak akan menyukainya.

Sesuai dengan hadis yang pernah diriwayatkan oleh Muslim yang dinyatakan oleh Abi ummah ra :

“ Baginda Rasullulah berkata bacalah olehmu Al-Quran kerana sesungguhnya akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat nanti untuk siapa saja yang membacanya.”

Subhanallah, insaf.
Astaghfirullahaladziem.

Pengalaman daripada orang-orang yang sering menjadikan Al-Quran sahabatnya sangat banyak. maka kerana itulah Al-Quran itu mukjizat dan setiap huruf-hurufnya, makhrajnya, tajwidnya, lantunannya membawa ganjaran kepada pembaca di sisi Allah.

Orang yang sering dekat dan membaca Al-Quran, kita dapati berbeza wajahnya daripada orang yang tidak. Jika tidak percaya, cuba buat kajian. Mereka ini selalu diberi Allah ketenangan ketika semua orang sedang terkinja-kinja mencari dimana ketenangan. Akan sentiasa ada jalan daripada Allah kepada mereka untuk tidak gelisah sekalipun dirundung pelbagai masalah. Akan selalu muncul keyakinan dan ketetapan hati ke atas apa sahaja yang ingin mereka lakukan, kerana kepercayaan mereka terhadap kalam-kalamNya. Allah selalu bantu mereka. Insha-Allah.

Ada juga orang yang membaca Al-Quran wajahnya tidak membiaskan 'nur'. Masing-masing terletak pada dalaman nurani kita. Samada kita ikhlas atau tidak. Namun, ikhlas itu tidak akan bermula jika kita tidak bertindak apa-apa. Ikhlas hanya terjadi dengan kemahuan, usaha dan latihan terhadap diri sendiri. Lama kelamaan ia akan jadi istiqamah atau "consistent". Bila istiqamah, selalu buat, selalu tunjuk rasa mahu, maka akan timbul sayang bila dibiarkan. Di situlah bermulanya ikhlas kemudian sayang terus kepada cinta. InshAllah.

Begitu pernah sabdaan baginda Rasullulah SAW:
“Sebaik baiknya manusia adalah yang membaca dan mempelajari Al-Quran serta mengajarkannya pada orang lain.” (HR.Bukhari)

Allah Azza wa Jalla berfirman:

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلَاوَتِهِ أُولَٰئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ ۗ وَمَنْ يَكْفُرْ بِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
Orang-orang yang telah kami beri (turunkan) al-kitab (al-Qur’an) kepada mereka, mereka mentilawah (membaca)nya dengan tilawah yang sebenarnya, mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya. Dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi (dunia dan akhirat) [Al-Baqarah/2:121]


Sungguh, membaca Al-Quran itu sangat liat bagi yang tidak menghalusi kehadiran Al-Quran tersebut dalam hidup. Sungguh juga hidayah Allah Subhanahuwataala tidak akan disentuh tanpa izin-Nya. Maka patutlah kita sebagai manusia hamba-Nya selalu bermohon supaya hati kita dilembutkan dan diberi peluang olehNya untuk menerima ilmu Al-Quran.

Sangat rugi bagi hati kita jika jauh daripada Al-Quran. Ia boleh menjadi sahabat yang terbaik kita. Ia tidak sekali-kali menipu. Ia juga penuh dengan kisah-kisah yang melahirkan rasa cinta kita kepada segalanya terutama kepada Allah dan Rasul-Nya.

"Barang siapa yang menyibukkan diri dengan Al Quran dan berdzikir kepadaKu, (sehingga lupa)tidak meminta kepadaKu, maka akan Aku berikan yang lebih baik dari yang akan Aku berikan kepada orang-orang yang meminta". Keutamaan kalam Allah dibandingkan dengan yang lainnya, laksana keutamaan Allah di bandingkan dengan para mahluk-Nya".(Hadits Riwayat Tirmidzi).

Mudah-mudahan kita sama-sama ambil iktibar selagi nyawa dibadan, selagi akal boleh berfikir dan selagi hati tersisa titik-titik yang masih belum mati. Ikhtiarkanlah untuk menyentuh, membaca, mendalami, mempelajari dan memahami rahsia Al-Quran.

Sehari sepotong ayat, makin hari maka ia akan semakin hebat. Insya-Allah. Amin.
Setiap kali dirundung serabut, ambillah wuduk, pandanglah Al-Quran, bacalah dengan hati. Mudah-mudahan kita mengerti dimana kesulitan itu boleh kita selesaikan.

Salam sayang,
RazZie RaZZmatazz.