Salam kasih Kerana Allah
Saturday, February 18, 2012
Ikhlasnya Seorang Lelaki
Bacalah cerita ini, ia cukup menyentuh sanubari.. Jadikan ia pengajaran hidup bahawa tidak ada kesempurnaan yang akan dapat menyempurnakan sebuah ketidaksempurnaan melainkan dengan keikhlasan di dalam setiap pemberian..
Seorang lelaki dan kekasihnya bernikah dan acara pernikahannya sungguh megah. Semua kawan-kawan dan keluarga mereka hadir menyaksikan dan menikmati hari yang berbahagia tersebut. Suatu acara yang luar biasa dan sungguh mengesankan. Mempelai wanita begitu cantik dan anggun dalam gaun putihnya dan pengantin lelaki dengan tuxedo hitam yang gagah. Setiap pasang matayang memandang setuju mengatakan bahawa mereka sungguh-sungguh saling menyintai dan sepadan.
Beberapa bulan kemudian, si isteri berkata kepada suaminya:
“Abang, sayang baru membaca sebuah artikel dalam majalah tentang bagaimana memperkuatkan hubungan dan tali pernikahan kita”, katanya sambil menunjukkan majalah tersebut. “Masing-masing kita akan mencatatkan hal-hal yang kurang kita sukai dari pasangan kita.
Kemudian, kita akan membahas bagaimana kita mengubah hal-hal tersebut dan membuatkan perkahwinan kita bersama lebih bahagia …”.
Suaminya setuju dan mereka mula memikirkan hal-hal dari pasangannya yang tidak mereka sukai dan berjanji tidak akan tersinggung ketika pasangannya mencatat hal-hal yang kurang baik kerana ia adalah untuk kebaikan mereka bersama. Malam itu mereka sepakat untuk berpisah tidur dan mencatat apa yang terlintas dalam benak mereka masing-masing.
Esok pagi ketika sarapan, mereka sedia membincangkannya. “Sayang mulakan dulu ya, bang? ”, kata isteri. Dia lalu mengeluarkan senarainya. Banyak sekali yang ditulisnya, sekitar 3 muka surat …
Ketika ia mulai membacakan satu persatu hal yang tidak dia sukai mengenai diri suaminya, ia memperhatikan bahawa airmata suaminya mulai mengalir … “Maaf,abang, perlukah sayang berhenti ?” tanyanya. “Oh tidak,teruskan, sayang …” jawab suaminya.
Lalu si isteri melanjutkan membacakan semua yang tersenarai, lalu kembali melipat kertasnya dengan manis di atas meja dan berkata dengan bahagia,”Sekarang giliran abang membacakan senarai mu”.
Dengan suara perlahan suaminya berkata, “Abang tidak mencatat sesuatupun di atas kertas abang ini. Pada fikiran abang, sayang sudah sempurna, dan abang tidak ingin mengubah sesuatu apapun tentang dirimu. Sayang adalah dirimu sendiri. Sayang sudah cukup cantik dan baik bagi abang. Tiada satupun daripada peribadi sayang yang abang dapati kurang … Abang mencintai sayang seadanya dirimu dan kerana Allah menganugerahkanmu untuk abang sebagai amanah-Nya.”
Si isteri tersentak dan tersentuh hatinya oleh pernyataan dan ungkapan cinta serta isi hati suaminya..bahawa suaminya menerimanya apa adanya. Ia menunduk dan menangis …
Kasih-sayang adalah suapan nikmat dari Allah dan ia tidak boleh diukur dengan segala apa yang dimiliki manusia di atas bumi ini. Ia tidak boleh disia-siakan dengan berkira-kira tentang kecukupannya dan tidak boleh diputuskan sewenang-wenangnya kerana ia melibatkan dua kehidupan. Kehidupan kita dan kehidupan orang lain di bawah payung kasih-sayang Allah.