Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, October 19, 2011

Sedih Itu Kuat





Kadang-kadang kita ditimpa sedih-syahdan sekali. Sengaja Raz membahasakan "sedih-syahdan" bagi memberitahu rasa sedih yang sesedihnya. Maksudnya, sedih disaat tiada siapa yang menduga dalam sesekali kita tersenyum seolah ria, namun ada tersembunyi duka tidak terkata. Berlindung disebalik senyuman.

Hanya mereka yang melaluinya akan dapat merasakan bagaimana sengkak perasaan sakit disebalik senyuman yang pedih. Raz percaya, ramai yang melaluinya. Ia tidak dapat diluah atau diceritakan dengan mudah tetapi gelodak laranya bergemerincing bagai serpihan kaca pecah di dalam hati. Tidak berdarah, tetapi darah halimunannya mengalir deras sekali.

Teringat Raz pada sepotong pepatah :

"Rumput yang paling kuat, tumbuhnya di atas tanah yang paling keras."

Mungkin rumput itu tempatnya di bawah. Tarafnya rendah. Sentiasa ia dipijak-pijak oleh pelbagai kaki yang melalui. Bila ia tumbuh di tanah yang keras, ia akan kuat dan sukar dicabut.

Samalah kita manusia ini, jika kita biasakan diri berada di zon yang sukar dan payah yang selalu sahaja membuat hati kita sedih, kesedihan itu akan mengeluarkan tunas-tunas kekuatan yang cukup kukuh. Mungkin kita tidak merasai kekuatan itu di waktu sekarang ketika kita hanyut dalam kesedihan tapi pasti di masa hadapan, kita akan menyedari di situlah benih kekuatan yang telah kita tumbuhkan.

Jadi, jika sedih menyapa, bersabarlah kita. Jangan kita terlalu menginginkan semua perkara berlangsung seperti yang kita harapkan tetapi sabarlah dengan segala kejadian yang terjadi sebagai apa yang sudah berlangsung sehingga kita tetap memilih tenang dan tenteram. Laluilah segala kesedihan dengan ketabahan kerana hanya dengan melaluinya sahajalah kita lambat laun akan dapat tahu bagaimana caranya kita mengatasi kesedihan tersebut.

Simpan di dalam hati dan senyuman kita.. "Ya!Sedih itu, kuat!"

Salam kasih
dengan tulus senyuman
Raz.R
19.10.2010