Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, October 5, 2011

Aku Takut




Aku takut..
Bukan takut kerana marahmu
membingit panas melulu
habanya membahangkan taman
yang lama engkau taman
berjenis-jenis bungaan
membara merah lalu menjadi arang


Aku takut..
Marahmu itu menjengah fitnah
yang engkau sendiri tidak tahu
lalu kau salahkan dirimu
dan menunding saudaramu
atau mungkin merebak
menyalahkan Tuhanmu
membawa gamitan murka-Nya
dan iman yang selama ini
kau pegang dengan sempurna
terkikis dengan mudahnya
seolah keliru akan takdir-Nya


Aku takut..
Marahmu berjalan dengan buta
memanggil seluruh maya
tunduk dan akur pada musuh-Nya
yang sudah biasa dan bersedia
dengan jolok dan hasutannya
berenang engkau terpedaya
dengan gelojak yang sia-sia

Aku takut..
Marahmu ditawan angkuh
membunuh tiap luhur budimu
terbit subur hina dan aibmu
sumbing hormat taulan sekelilingmu
lelah kesal seluruh sesalmu
tidak lagi berpaut pada ilmu
yang lengkap tersedia Tuhanmu
terusir jauh lapang tenangmu
bagai pasir di hembus bayu

Perlukah engkau begitu?
Mohon Allah melindungimu selalu
kerana aku tetap menyayangimu
selagi kamu masih saudaraku
di dalam naungan Agama-Nya
yang benar dan satu..
aku masih bersatu denganmu
dengan kasih terbaik Tuhanmu.. Tuhanku.




"Dan apabila dikatakan (kepada kamu): ` Sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar, dan hari kiamat tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya ', kamu berkata: ` Kami tidak mengetahui apa dia hari kiamat itu; kami hanya mengira (kemungkinannya) sebagai sangkaan jua, dan kami tidak sekali-kali meyakininya '." [Al-Jaathiyah :32]


Dan (pada ketika itu) ternyatalah kepada mereka balasan kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu!
Dan dikatakan (kepada mereka): "Pada hari ini Kami tidak hiraukan kamu (menderita di dalam azab seksa) sebagaimana kamu tidak hiraukan persediaan untuk menemui hari kamu ini; dan tempat kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.
[Al-Jaathiyah :34-35]


Raz.R
05.10.2011
Salam kasih kerana Allah dengan senyum yang melimpah.
MMuahks!