Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Thursday, December 20, 2018

Kita Akan Selalu Rindu

Kita akan selalu rindu,
kepada orang yang tak putus memperingatkan kita tentang Allah.  Rindu kita akan menjadi rindu yang segar dengan perasaan positif terhadap orang yang sedia berkongsi sesuatu tentang Allah.

Kita akan selalu rindu,
kepada orang yang sedia berlapang dada dengan apa sahaja situasi jiwa kita. Tidak ada rasa takut berkongsi pendapat, masalah atau suatu nasihat.

Kita akan selalu rindu,
kepada orang yang sering membuatkan kita ketawa dengan gurau-gurau bersahaja. Walau biasa-biasa cuma, tapi ada manisnya.

Kita akan selalu rindu,
kepada orang yang sentiasa basah memberi kasih-sayang dan perhatian. Tidak kering mengambil berat. Tidak jemu meluangkan masa seadanya menghargai kita dan menjadikan kita penting dalam kehidupannya.

Kita akan selalu rindu,
kepada orang yang memberi tanpa meminta. Mencurahkan rasa ikhlas hatinya tanpa pura-pura, kerana apa yang datang dan pergi tanpa keikhlasan akan terhenti apabila hati dipaut jemu dan keletihan. Usahanya akan berhenti di tengah jalan.

Kita akan selalu rindu,
kepada orang yang kata-katanya menjamah hati memberikan ketenangan. Berbicara dengannya membuatkan kita percaya. Dia sering menterjemahkan kata-katanya penuh keyakinan. Berada di sisinya melahirkan rasa selesa.

Demikianlah, kita yang bernama insan.
Tidak ada manusia yang tidak dilanda rindu. Bahkan si gila pun merindukan majnunnya!
Rindu itu juga pemberian Tuhan. Cuma, sentiasalah kita perhiaskan jalan-jalan rindu dengan iman yang teguh kepada Allah yang memberikan rasa itu.

Seringkali rindu memakan diri apakala rentaknya kita ikut dan campurkan dengan emosi yang bercambah dengan nafsu-nafsi yang jatuh dari batas-batasnya syariat Ilahi.




Tuesday, December 11, 2018

Kenapa Nak Patah Semangat?

Patah semangat?
Kenapa nak patah semangat?
Siapa yang beri kita patah semangat?
Orang?
Haiwan? Hihi.. Tak mungkin haiwan memberikan kita patah semangat. Syaitan, mungkin.

Apa yang kita dapat daripada semangat yang patah?  
Selalunya hati merundum, murung dan kadang-kadang macam orang sewel saja kan? Hati pun jadi gelabah tidak keruan, tenaga pun macam tak ada bateri, malas dan leka. Itu sahaja yang kita dapat daripada patah semangat. Jadi kenapa nak patah? Perlukah kita patah? Sukakah kita pada perasaan yang patah tersebut? Sedih memanjang. Senak jiwa mengganggu aktiviti. 

Kita tidak dapat apa-apa yang elok daripada keadaan patah semangat. Nama pun patah. Satu tiang yang patah, sebuah rumah jadi senget dan makin roboh. Untuk apa?

Jangan patah semangat lagi.
Allah beri kita nyawa. Hargai. Orang yang mematahkan semangat kitakah yang memberikan nyawa kepada kita?  Tidak kan? Kalau kita patah semangat, orang lain akan beri kita rezekikah? Tidak kan?

Carilah jalan untuk tumbuh kembali setelah patah seketika. Menghijaulah. Suburkan kembali segala rasa. Ikut rasa, mati. Ikut hati, binasa. "Do something and create your happiness."

Satu lagi..,
Jika orang cakap kita tak baik dan itu mematahkan semangat kita untuk meneruskan hidup, kita SILAP. Silap kerana membiarkan dia menyekat apa yang kita mahu buat. Menyekat kita menjadi diri kita sendiri. Menyekat apa yang kita suka. Selagi apa yang kita lakukan tidak melanggar syariat Allah dan kita rasa baik dan tidak memudaratkan sesiapa,  teruskan. Kenapa nak biarkan orang lain mematahkan diri kita yang sebenar. Kita istimewa kerana itu saja yang membuatkan kita istimewa. Orang lain nak rosakkan,  kenapa kita nak biarkan dia?

Bersemangatlah. 
Bangkit semula.
Gantikan rasa patah itu untuk tumbuh semula.
"The best way is, your prayer to Allah". Minta Allah kuatkan hati. Doakan selalu. Sujud! "Ignore the bad feeling which trying to concur your inner strength"

Jangan lupa, kita kuat dan Allah berkuasa membuatkan kita kuat!



Monday, December 10, 2018

Ibadah dan Iman seperti Minyak dan Air

"Orang baik, ada jahatnya.
Orang jahat, ada baiknya."

...dan kadang-kadang, orang baik sentiasa baik. Manakala yang jahat tersangat jahat.

Itulah manusia biasa.

Sebaik-baik manusia, ada lemahnya tetapi jangan kita gabungkan ia dengan ibadahnya. Andai kata dia pakai tudung, tetapi dia buat maksiat atau dia solat tetapi dia tetap berzina, jangan kita terus dakwa, "Buat apa pakai tudung atau solat tapi perangai masih jahat?".

Solat dan tudung adalah perintah Allah, manakala sifat dan perangai kita yang tiada kaitan langsung dengan apa yang Allah syari'atkan. Sifat-sifat yang ada pada diri kita itu adalah fitrah (Nafsu-nafsi)yang setiap orang ada. Ia menunjukkan kita makhluk yang tiada daya upaya melainkan dengan kehendak Allah semuanya. Tugas kita adalah berusaha mengubahnya mengikut ikhtiar dan izinNya.

Ibadah setiap orang itu adalah hak Allah. Tidak ada 'join venture' antara ibadah dan sikap (iman) manusia. Ibarat minyak dan air, walapun rapat tapi tidak bersambung. Ibadah ialah syariat Allah yang kita kena ikut samada kita ini makhluk jahat ataupun baik. Manakala sifat dan sikap kita adalah pilihan kita. Jika kita masih beribadah tanpa memandang Allah zahir dan batin, kekadang ibadah tersebut tidak menjadi jalan untuk kita berbuat baik. Malahan ada yang beribadah, tetapi masih rakus mengikut syaitan kerana imannya terlalu tumpul kepada keduniaan. Manusia yang beribadah tetapi masih berlaku maksiat, dia dipanggil munafiq. Yakni orang yang berpura-pura atau menipu Allah. Allah jualah yang layak menghukumnya di atas perlakuan demikian. Munafiq ini bukanlah perintah Allah tetapi sikap yang kita pilih sedangkan Allah Maha Lembut mengajarkan kita segala hal haruslah dipilih yang Dia redha dan yang baik untuk sekelian makhlukNya.

Sangat bahaya bila kita selalu gandingkan manusia dengan ibadahnya sebagai panduan hidup. Nampak tak betapa halusnya syaitan mempersonakan kita?
"Alahai, buat apa sembahyang, berzikir, jika perangai masih macam syaitan?" Itulah bisikan-bisikannya yang kita selalu dengar.

Ibadah dan iman itu ibarat minyak dan air. Dipersatukan tetapi tidak bersatu.  Namun kiranya kita mencintai Allah, mentaatiNya maka ibadah dan iman akan menjadi pewangi yang mengharumkan kehidupan kita dunia akhirat. Insha-Allah. Mudah-mudahan.

Berilah ruang orang yang mahu belajar, terus belajar. Berilah sokongan kepada orang yang sentiasa beribadah memperbaiki imannya. Kita tidak pernah menjadi malaikat dan kita bukan juga syaitan.
Kita manusia yang selalu Allah kasih yang sentiasa Allah berikan peluang untuk bertaubat selagi ada nafas di jasad.

Allhua'lam bissowab. Moga Allah bantu kita semua. Amin.
Lahawlawalaquwwata illa billahilaliyyiladziem.
Allahumma solli'ala sayyidina Muhammad.






Friday, December 7, 2018

Jangan Susah Fikir

Banyak benda dalam hidup, kita terlajak fikir. Terlajak fikir inilah yang sering buat kita dirasuk hantu kebimbangan, kegelisahan dan kerunsingan jiwa. Semua itu mengalirkan rasa gemuruh dan tidak tenang kepada emosi hati dan mengganggu kewarasan akal kita.

Kadang-kadang ia tidak sengaja berlaku. Kita tidak boleh nak cuba jauhkan kerana ia datang dengan 'spontan' dan melulu. Kadang-kadang ia menjadi kata hati. Kadang-kadang ia menjadi usikkan helah syaitan. Kadang-kadang ia menjadi firasat. Namun, tidak semua yang kita fikir itu firasat. Kebanyakannya cuma mainan perasaan.

Banyak orang melalui tekanan perasaan dan sakit jiwa apabila terlajak fikir. Ada sebab dan puncanya situasi demikian berlaku. Selalunya kerana pengalaman hidup yang 'extreme' dengan kehampaan dan kekecewaan. Kesakitan fizikal dan mental yang mendera emosi seseorang sehinggakan ia menjadi trauma yang menggerunkan.

Banyak Astaghfar.
Sejenak kita diganggu fikiran-fikiran yang membuatkan emosi kita patah, teruslah menyebut astaghfirullah. Minta ampun kepada Allah. Kita ini manusia yang hari-hari berdosa. Bila Allah sayang, DIA akan uji kita dengan hal-hal yang ringan atau berat untuk menghapuskan dosa. Salah satunya, DIA beri rasa gelisah dan akal kita fikir yang 'macam-macam'. 
Jadi, apa sahaja yang terlintas di akal yang tiba-tiba menjentik emosi kita menjadi terganggu, mintalah ampun kepada Allah. Beristghfar. Astaghfirullahaladziem. Sesali dosa-dosa kita dengan ikhlas, "Ya Allah! Jika aku ada dosa hari ini ampunkanlah aku, Ya Allah. Tenangkanlah hatiku."

Balas kata-kata hati yang buruk dengan kata-kata kebaikan.
Hati kekadang nakal sikit. Suka menggoda akal dengan sangkaan-sangkaan negatif.  Bila ada yang tercetus yang mengganggu fikiran, balaslah dengan kata-kata nasihat kepada diri. Contoh, "Haish! Fikir apalah macam tu? Aku kena doa yang baik-baik. Allah susun dah elok dah."

Jangan susah fikir sangat.
Ringankan fikiran dengan berserah kepada Allah.
Kita tidak pernah jadi Tuhan. Kita cuma manusia yang apa-apapun tetap bergantung kepada kehendak dan aturanNya. Kadang-kadang, apa yang kita susun, kita rancang, kita jaga, kita mahu, semuanya tidak seperti apa yang Allah telah aturkan.

Cara yang terbaik, begitulah.  JANGAN SUSAH FIKIR. Jika tidak, kita akan disusahkan dengan apa yang kita fikir sehingga kita jauh berfikir membatasi kemampuan diri yang sememangnya, tiada kuasa apa-apa.

Okay.
Done! Hehehe... Clear your mind. Senyum. Jumaah Mubarakh. 
Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad.









Monday, November 12, 2018

Cinta Dan Semangat

Orang muda, cinta adalah kehangatan.
Orang tua, cinta adalah semangat.

Kehangatan itu akan menjadi sejuk bila sampai waktu kita tidak mengubahnya menjadi suatu rahmat daripada Allah Taala. Sejajar dengan rasa, seiring dengan iman dan bendung dengan ketertiban akhlak yang menuntut bimbingan diri mencegah kemungkaran dan melahirkan kasih-sayang dengan zarah-zarah keikhlasan yang tidak terbilang dan tak terukur.

Kehangatan akan menjadi dingin beku saatnya kita sudah mula menurut nafsu, emosi dan keegoan yang mencetuskan rasa rimas, malas dan jemu. Kronologi cinta ketika muda mempunyai banyak mukasurat luka dan kecewa. Cinta tanpa akar yang kukuh akan semakin kering disedut pancoroba harian. Lama-lama ia reput, patah dan tumbang.

Bila kehangatan diubah menjadi semangat, cinta itu berubah menjadi tanggung-jawab. Bila ia menjadi tanggung-jawab, ia akan menjadi rantaian yang berputar ke arah kasih-sayang juga. Dari semangat kepada tanggung-jawab. Dari tanggung-jawab kepada sayang dan dari sayang kepada semangat. Kemudian balik kepada semangat cinta.

Pasang surut pasti ada. Ada masa lemah. Ada waktu kuat. Kadang-kadang, tabah dan sesekali akan tawar rasa. Namun jika ada semangat, maka putaran itu akan tetap kembali kepada asasnya yakni cinta.

Tunggak yang yang penting pada cinta dan semangat adalah saling tidak berputus-asa. Saling bersedia untuk mendewasakan diri. Saling berganding memperbaiki kelemahan hati. Saling berpaut dengan "Lahawlawala quwwata illa billah". Saling berdoa agar Allah mendorong zahir dan batin kepada cahaya taufiq dan hidayahNya.

Satu perkara yang kita sering lupa  guna adalah saling merendah diri. Jangan kita lupa cabaran hidup sering amat membuatkan kita saling mencabar, saling menimbulkan keakuan yang menongkak kesombongan diri. Merendah diri memberikan kita semangat untuk saling rasa melengkapi. Apa yang kurang di sebelah sini, ada lebihnya terhadap yang disebelah sana. Apabila dicantum menjadi 'complete'. Indah kan? (tengah senyum nih)
Jadi, betulkan yang biasa kita lakukan, biasakan yang betul. Merendah diri akan menjana rasa saling menyayangi. Insha-Allah.

Akhir keputusan jelasnya, tanpa Allah, tiada sesuatu pun yang bergerak.
Tiada sesuatu pun milik kita. Yang ada sekeliannya adalah milik Allah Taala.
Bercintalah kerana Allah
Bersemangatlah kerana Allah.

Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad❤



Wednesday, November 7, 2018

Aura Negatif

Semakin meniti kedewasaan, kita akan dibuli dengan keadaan. Dengan pertambahan teknologi yang canggih yang menawarkan suasana 'glamour' memuatnaik kata-kata luahan untuk renungan dan bacaan yang kononya 'sharing is caring' sesama kawan-kawan di media maya, ia lebih memberikan hidup kita sibuk dengan 'status'.

Facebook, Wechat, Whatsapp dan lain-lain sumber ghairah maya seumpamanya ini mempengaruhi suasana jiwa kita. Tersangkut dengan emosi. Lebih sedih bila tersangkut dengan fitnah akibat daripada kehangatan populariti yang kita gahkan.

Ada baik. Ada buruk.
Terpulang kepada tahap keseimbangan ilmu, akal dan kondisi zahir batin kita. Jika kita terus melayani semua menjadi ilmu dan kita lumatkan dalam pimpinan jiwa menjadi sumber positif, alhamdulillah. Baguslah.

Manakala jika kita kumpul semuanya menjadi bahan luahan, tohmahan, cercaan, sindiran, fitnah, dan ekspresi yang menghurai sentuhan emosi yang koyak maka ia menjadi aura negatif. Aura negatif ini adalah suatu penyakit. Ia mampu merasuk diri dan menghasut orang lain. Kekadang menyedihkan menjadi contoh rujukan hidup yang menyesatkan. Pengaruhnya hanya akan merosakkan hati kita.

Cantas sahaja!
Jika kita terlihat atau terbaca sesuatu yang menjadi degup negatif kepada diri kita, jangan takut untuk cantas. Buang! Sebelum ia menjadi bakteria yang mempengaruhi mental kita menjadi 'sakit'.
Andai kata kita tak mampu, iman kita tidak cukup kuat, sebaiknya jangan kita campurkan golongan yang memberi aura negatif di dalam hidup kita.
Jikapun kita ingin menjaga silaturahim, jangan sampai kita terjebak menjadi korban umpatan, kejian, 'gossip', jolokkan yang memusnahkan ikatan kita dengan sesiapa.
Jangan takut untuk menjauhi aura negatif.
Jangan rasa bersalah untuk menjauhi, mem-'blocked', membuang, meng-'unfriend' kumpulan atau individu yang menjadi racun dalam fikiran kita.

Kita buang aura negatif bukan kerana benci. Bukan kerana memutuskan pertalian. Tindakkan kita itu untuk ibadah kita. Bila kita ringankan beban akal dan emosi kita daripada dipengaruhi aura negatif, kita jadi lebih bersahaja, lebih 'simple', lebih tenang, lebih berupaya melaksanakan urusan hidup dunia baik akhirat pun dengan sejahtera.

Remember! Allah beri semua yang kita nak. Ada kejahatan, ada kebaikan. Kemudian, Dia gerakkan kita dengan daya upaya untuk membuat pilihan. Jangan takut untuk memilih apa yang memberikan kebaikan kepada kita. Tak salah pun, jika membuang hal yang salah. 

Jika ada yang merungut tentang keputusan kita, itu bukan masalah kita. Itu pilihannya. Dia yang memilih untuk mempersoalkan siapa kita sedangkan kita berhak menyedari bahawa kita perlu sihat! Sihat zahir. Sihat rohani.

Tak perlu kita terikut-ikut orang lain. Jadilah diri kita sendiri. Macam yang Allah suruh.

Al-Qalam ayat 10-11
"Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina,yang banyak mencela, yang ke sana ke mari menyebarkan fitnah,"


Jaga niat hati kita baik-baik. Ukur kemampuan kita. Kita tahu kan siapa diri kita? Insha-Allah, Allah bantu jika kita mahu.

Semoga kita semua dirahmati dengan aura positif dalam hidup supaya nanti diakhirat tidak tercatat yang negatif yang melalaikan matlamat akhirat kita. Amin Allahuma Amin.

Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad.

Senyum dan Sayang dari Raz.R di papan aksara petang. 




Sunday, October 14, 2018

Hilang Percaya

Manusia biasa.
Bila terluka berkali-kali dikhianati, itulah bahayanya. 
Hilang percaya sebenarnya ibarat kata seperti hilang keindahan hidup. Bukan mudah untuk meniti suatu keyakinan di dalam keadaan kepercayaan yang hilang. 

Orang yang pada awalnya sering bersangka baik, apabila dikhianati, sudah tentulah merasakan keperitan di hati. Kata bijaksana, "Jangan jatuh di lubang yang sama di kedua kalinya".
Begitulah ujian kita.
Keimanan kita akan selalu diberi latihan. Ada iman yang nipis. Ada iman yang tebal.
Kesabaran amat diperlukan untuk bangun semula selepas suatu tragedi berlaku dalam hidup seseorang. Ia tak semudah nasihat. Orang nasihat, hanya menggunakan daya suara dan kata-kata, namun orang yang melalui dengan tindakkan, menggunakan kudrat hatinya untuk melepaskan semuanya menjadi satu pembaharuan di dalam hidupnya. Yang memikul dan yang memandang, kata orang. Berat itu bahu yang terasa. Begitulah lebih kurangnya.

Kata sahabat saya, itu takdir Allah. Buruk-baik, kita kena terima. Benar, tetapi manusia selalunya dengan takdir Allah pun dibuat sebagai permainan. "Tak apa, aku salah, aku minta maaflah". "Tak apa, aku berdosa, aku minta ampunlah, Allah kan Maha Pengampun." Pernah dengar kata-kata macam itu, kan? Menyindir Allah dalam situasi yang halus. Astagfirullah.
Apa tujuan akal dan kudrat yang Allah anugerahkan untuk kita jika tidak menyuruh kita berusaha memperbaiki yang tidak baik kepada yang terbaik? Allah beri syurga. Allah beri neraka. Allah berikan jalan-jalan kebenaran. Allah berikan jalan-jalan kejahatan. Tapi, Allah tidak pernah menyuruh kita, "Wahai hambaKu, masuklah ke dalam neraka". DIA sentiasa menyebut, pilihlah syurgaNya. Dalam ertikata lain, Allah berikan keistimewaan kepada manusia bergerak mengikut kehendak, kemahuan dan usahanya kerana DIA kasih kepada kita. Allah tetap mahu kita memilih mengenali jalanNya yang luas dengan rahmah-Nya.

Demikianlah.
Apapun, moga kita tetap berlandaskan Allah dalam hati kita. Doa supaya kita ditetapkan hati, memahami tujuan Allah untuk kehidupan kita. Tetap kembalikan  segalanya kepada-Nya. Baik-buruk segala sesuatu, bila balik kepada Allah, maka akan tetap akan menjadi sesuatu yang baik. Pulang kepadaNya sebagai kurniaan. 

Insha-Allah. Amin. Allahumma solli'ala sayyidina Muhammad.

Note: Aku sedang melatih diri.