Kita akan selalu rindu,
kepada orang yang tak putus memperingatkan kita tentang Allah. Rindu kita akan menjadi rindu yang segar dengan perasaan positif terhadap orang yang sedia berkongsi sesuatu tentang Allah.
Kita akan selalu rindu,
kepada orang yang sedia berlapang dada dengan apa sahaja situasi jiwa kita. Tidak ada rasa takut berkongsi pendapat, masalah atau suatu nasihat.
Kita akan selalu rindu,
kepada orang yang sering membuatkan kita ketawa dengan gurau-gurau bersahaja. Walau biasa-biasa cuma, tapi ada manisnya.
Kita akan selalu rindu,
kepada orang yang sentiasa basah memberi kasih-sayang dan perhatian. Tidak kering mengambil berat. Tidak jemu meluangkan masa seadanya menghargai kita dan menjadikan kita penting dalam kehidupannya.
Kita akan selalu rindu,
kepada orang yang memberi tanpa meminta. Mencurahkan rasa ikhlas hatinya tanpa pura-pura, kerana apa yang datang dan pergi tanpa keikhlasan akan terhenti apabila hati dipaut jemu dan keletihan. Usahanya akan berhenti di tengah jalan.
Kita akan selalu rindu,
kepada orang yang kata-katanya menjamah hati memberikan ketenangan. Berbicara dengannya membuatkan kita percaya. Dia sering menterjemahkan kata-katanya penuh keyakinan. Berada di sisinya melahirkan rasa selesa.
Demikianlah, kita yang bernama insan.
Tidak ada manusia yang tidak dilanda rindu. Bahkan si gila pun merindukan majnunnya!
Rindu itu juga pemberian Tuhan. Cuma, sentiasalah kita perhiaskan jalan-jalan rindu dengan iman yang teguh kepada Allah yang memberikan rasa itu.
Seringkali rindu memakan diri apakala rentaknya kita ikut dan campurkan dengan emosi yang bercambah dengan nafsu-nafsi yang jatuh dari batas-batasnya syariat Ilahi.