Ta'awudz dan Basmallah.
Ujian,
akan tetap datang dalam pelbagai situasi. Kadang-kadang dalam situasi yang kita tidak sangka, dalam cara yang tidak kita duga. Baik-buruk ia tetap ujian. Yang baik selalu menggembirakan tetapi ia menguji kita sejauh mana kita benar-benar bersyukur. Yang buruklah selalu kita tidak inginkan, sebab ia sangat-sangat menguji ketabahan dan ketenangan kita. Ujian yang buruk inilah yang banyak mendekatkan kita samada kepada Allah atau kepada syaitan.
Selalunya, detik awal kita menerima ujian, hati, iman dan emosi kita akan berkumpul di dalam ruang yang menggegarkan dada. Di situlah dapat kita ukur, sejauh mana asal diri kita yang sebenarnya. Bolehkah kita bertahan? Bolehkah kita melaluinya dengan 'steady' dan tenang. Banyak jawapan adalah SULIT dan SUKAR. Jarang ada yang dapat bertenang melainkan hati kita telah berada di maqam iman yang Allah sudah lindung dan pelihara kerana kekukuhan ikhlas kita kepadaNya. Orang awam macam kita ini, sering gagal menuntun jiwa oleh kerana nafsu dan dosa yang tebal.
Kita sentiasa perlu menyeleraskan akal dan hati kita untuk cuba-cuba faham kenapa Allah beri ujian. Cuba-cuba faham, dan kenal pasti asal punca ujian tersebut berlaku ke atas diri kita. Cuba-cuba faham hikmah yang Allah bawa di sebalik apa yang kita tafsirkan daripada ujian tersebut. Kesimpulan akhirnya, sebahagian besar adalah atas kedhaifan khilaf kita sendiri. Ya, salah kita. Namun, Allah jugalah yang datangkannya. Contohnya, andaikata kita bersangka-buruk atas suatu perkara. Dari mana asal sangkaan itu? Kenapa ia berlaku dan apakah kita dapat mengawalnya? Atau apakah kita dapat meleraikan sangkaan buruk itu berakhir dengan kebaikan selepasnya? Itulah cabang-cabang hikmah yang Allah hidayahkan kepada kita agar kita cuba fahamkan. Apabila kita dapat melepasi ruang sulit dan sukar dengan memahami tersusunnya aturan Allah tersebut, kita akan faham, sangkaan itu bukanlah sangkaan. Boleh jadi selembar kasih-sayang. Boleh jadi juga senaskah kejujuran dan keikhlasan. Makanya, sangkaan buruk itu juga automatiknya bertukar menjadi hikmahNya.
Itupun, jika kita cuba-cuba faham.
Sekiranya kita terus hentikan meneliti hikmah yang Allah aturkan tersebut, sudah tentulah sangkaan buruk tetap menjadi buruk. Tiada penghujung yang baik melainkan rasa sakit, marah dan berkeluh-kesah dengan pengakhiran yang kita bawa ke teratak syaitan. Semoga kita dilindungi Allah.
Wallahu'alam.
(Terkhusus untuk diri sendiri)
Raz.R
Juma'ah Mubarakh.
Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad.