Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Monday, December 12, 2011

Dialog Luka Wanita : Racun Yang Menjelma



"Su, buka pintu ni, Su! Jangan berkurung begitu."

Raz mulai risau. Sudah seharian Su berdiam mengunci diri di kamarnya. Sesekali Raz terdengar esak kecil tangisnya. Mendayu bagai hanyut dirundung sesuatu. Semua yang lain dari keluarga Su juga bimbang dengan keadaan itu. Raz diberitahu, Su menangis teresak-esak bila pulang dari berpergian lewat petang semalam. Sejak dari itu, Su tidak menjamah sebarang makanan dan tidak keluar dari kamarnya untuk menemui sesiapa.
Hati Raz terdetik dengan pelbagai wasangka. Apalah yang membuatkan Su terlarut di dalam keadaannya yang sedemikian rupa.

Raz mengetuk-ngetuk lagi pintu. Dengan nafas yang berdebar, dengan hati yang bergetar. Tuhan, biarlah dia mendengar ketuk hatiku di hatinya. Pagi kian meninggi memanggil matahari dan Su masih memencilkan diri. Raz pasti Su masih belum segarkan diri. Berselimut dan mengasingkan diri. Raz bayangkan kejadian beberapa tahun lalu ketika perkara yang sama berlaku. Su membisu beberapa hari. Diamnya membimbangkan sekali.

Seketika setelah beberapa ketukkan yang dibuat, daun pintu di buka dan Raz diizinkan Su masuk menemuinya. Ruang tidur yang masih panas terlihat belum dikemas. Sudah tentu Su hanya berdiam di situ. Kelihatan wajah Su yang agak masai dan air mata yang masih berjurai. Putih matanyanya merah dan kelopak mata yang bulat membengkak. Mata Su seperti terpejam dan wajah Su teramat muram.

"Assalamulaikum, Su."

Raz tersenyum melihat wajahnya. Dijawabnya salam Raz dengan bisik yang hampir senyap. Wajahnya tetap mencuka, namun masih tampak manja keanak-anakkan. Raz rapat kepada Su dan melabuhkan punggung di bucu katilnya dan diam merenung sekeliling seketika.

"Kenapa, Su?"
Hanya satu soalan yang Raz tanya. Raz memberikan masa untuk Su diam, tenang dan mengeluh sepuas mungkin. Su tersedu-sedan. Dia memekup wajahnya dengan bantal di tangan yang dipeluknya sedari tadi. Raz mendekat dan memeluk Su dengan jiwa Raz yang sangat-sangat rapat. Raz biarkan Su di dalam tangisnya. Biarkanlah dia menangis sepuas rasanya. Tangisan, kadang-kadang mampu membela rasa sesak wanita. Tangisan juga mampu meredakan kebuntuan yang tersimpan lama di dada. Wanita dan tangisan adalah keajaiban. Jika tidak, kenapa Allah mengizinkan air mata itu ada pada manusia?

"Kak Raz.. Su takut."
Sepatah katanya yang membuatkan Raz rasa amat bersimpati dan seolah Raz turut memahami. Raz menanti Su meneruskan kata. Tubuh Su Raz usap dengan sepenuh rasa belas di jiwa.

"Su takut nak lalui hidup Su, kak. Su bingung. Su fobia. Su kecewa dengan keadaan yang Su terima. Tiba-tiba kelmarin, Su tidak tahu arah mana yang harus Su pergi. Tiba-tiba Su rasa tidak ada keadilan untuk Su. Su tidak faham kenapa Su harus berkorban dan terima segala bebanan sedangkan Su tidak pernah menzalimi sesiapa, kak. Sepertinya, semua urusan hidup Su ini disekat dengan masalah demi masalah. Su jadi tak tentu arah. Tidak bolehkah Su bahagia untuk seketika? Tidak bolehkah Su lalui segalanya tanpa rasa terbeban dengan pelbagai kemahuan orang. Tidak tahukah mereka yang Su juga berhak bahagia? Su juga berhak gembira? Kenapa diganggu hidup Su sedangkan Su tidak mengganggu hidup mereka?"

Raz terdiam menyelami rasa hati sikerdil gadis yang telah melalui banyak kepahitan di dalam hidupnya. Mata Raz juga menakungkan air dengan suara yang terjerut dikerongkongan. Luluh dengan sendu yang tersumbat. Mengeluarkan kata terasa amat berat.

Dengan kekuatan yang kecil, Raz menyebut, "Astaghfirullahalazim.. Ingat Allah selalu, Su."

"Su ingat kak, sentiasa ingat. Cuma, apalah daya Su bila kekuatan Su lemah. Apalah daya Su bila Su hanya manusia biasa. Apalah daya Su bila Su tidak berdaya."

Bila racun menguasai jiwa. Bila racun menyerap di dalam akal manusia. Terbungkam Raz menangani rasa yang bersimpang-siur itu. Fikiran Su diracun dengan desakkan-desakkan hidupnya. Benar, apalah dayanya menolak kelemahan diri. Sesekali kata mampu menipu, tetapi hati dan rasa tidak pernah berseteru. Saat tertentu, pagar yang mengawal rasa itu akan rosak dan runtuh jua.

Raz genggam tangan Su yang menyejuk lemah tidak berdaya. Raz renungi matanya dengan mata Raz sendiri. Mendalami dan memahami sebundar hati yang kecil sekali.

"Bertenanglah Su. Jangan mengalah kepada hidup yang sudah azalinya diciptakan sedemikian. Jangan terikut dengan kebimbangan yang berlebihan. Jangan rasa terpedaya dengan keletihan yang Su lalui sebab memang itulah hidup ini diciptakan untuk kita, Su. Bersabarlah. Berdoa lagi. Jangan putus asa. Kalaupun Allah melewatkan penerimaan bagi doa kita, DIA pasti telah ada menyediakan sesuatu yang tidak kita tahu, Su. Hikmah-Nya yang luas. Tidak terpandang, tapi akan dikecapi bagi kita yang benar-benar mengikuti segala kehendak dan aturan-Nya dengan sabar. InsyaAllah. Bukankah kejayaan itu menanti orang yang benar-benar istiqamah terhadap kesabaran yang dipegangnya?"

Su memangis lagi. Dia tidak peduli kata-kata Raz. Layaknya "racun" yang mengalir telah singgah di hati. Melemahkan seluruh gerakkan nadinya. Kesabaran yang tersimpan, kekadang menyentuh garisan penamat yang merebahkan.

Maha Suci Allah.. Engkau berikanlah kekuatan dan rahmat-Mu kepada hamba-Mu itu. Engkau sediakan hatinya perlindungan dari angkara syaitan yang sentiasa tidak jemu menyucukkan racun mereka. Amin.. Ya ar-hammarrahiminar-hamna..


Salam kasih
Hanya bercerita
Raz.R
12.12.2011

Wahai Pemilikku



Wahai Pemilikku
Datanglah kepadaku
Ketika ketakutanku membara
Sungguh aku ini tidak ada daya
Kecuali dengan apa kurnia-Mu sahaja

Wahai Pemilikku
Lindungi aku
Ketika aku takut
Biarkan aku menekap wajah
di bidang dada-Mu yang luas
Izinkan aku mulai aman
Meneruskan perjalanan
Dengan sedikit harapan-Mu

Wahai Pemilikku
Pujuklah hatiku
Ketika takutku meraja
Bukankah aku hanya hamba
Lemah dengan segala rasa
Sesekali diganggu gentar
Dari kecewa yang mungkin terlontar
Sentuh belailah gundahku
Dengan sedikit tenaga-Mu

Wahai Pemilikku
Berikan aku kekuatan-Mu
Dari Maha Pengetahuan-Mu
Tentang segenap kerdil dhaifku..
Aku perlu Engkau di sisiku
selalu
Janganlah Engkau jauh dariku..




Bila rasa mengembara
Takut dan wasangka
Tidak tega walau kata sekuat waja
~Raz.R~
12.12.2011

Sunday, December 11, 2011

Usah Abaikan "Bismillah"



Bismillahirrahmanirrahim...
Raz kutip sepotong cerita yang menarik untuk tatapan kita bersama. Mudah-mudahan ia dapat memberi kekuatan hati dan manfaat agar kita sentiasa cinta untuk mengamalkan perkara yang cukup mudah ini.

Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan.

Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.

Suaminya berkata sambil mengejek, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu."

Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan."

Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja. Wallhua'lam..


Antara kebaikan-kebaikan "Bismillah" yang perlu kita ketahui bersama:-

1.‘Bismillahirrahmanirrahim’ mengandungi Asma Allah yang Maha Agung, sesiapa mengamalkannya akan memperolehi keberkatan yang besar.

2. Setiap huruf diberi 4000 kebajikan, dihapuskan 4000 kejahatan dan diangkat 4000 darjat.

3. Mengamalkan ‘Bismillahirrahmanirrahim’ 201 kali selepas solat lima waktu. Insya Allah, dikurniakan ganjaran yang besar dan dimakbulkan segala permintaan.

4.Sesiapa membaca sebanyak 20 kali selepas solat Tahajjud, Insya Allah dilapangkan rezeki, keadaannya lebih baik dan bercahaya rohnya.

5.Dibaca sebanyak 41 kali diantara solat sunat, Insya Allah penyakit cepat sembuh, permintaan diperkenankan, dikasihi makhluk dan ditakuti musuh.

6.Membaca 313 kali dan selawat 100 kali pada hari Ahad dengan menghadap kiblat sewaktu matahari terbit, Insy Allah akan mendapat rezeki tidak terduga.

7.Dibaca sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, Insya Allah terpelihara daripada godaan syaitan, bencana manusia dan jin, kecurian, kebakaran dan kematian mengejut.

8.Baca 41 kali ke telinga orang pengsan, Insya Allah boleh segera memulihkannya.

9.Dibaca ketika hendak berjimak, Insya Allah akan melahirkan anak yang cerdas, terang hati, salih dan memperoleh baginya kebajikan sejumlah tarikan nafas anaknya itu.

10.Sekiranya ditulis 61 kali kalimat (بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ) dengan huruf Arab pada kertas putih lalu disisipkan ke perut ibu hamil; Insya Allah, akan hidup dan sihat anak dikandung.

11.Membaca 786 kali kemudian tiupkan pada air Ialu diminum orang yang bebal selama tujuh hari sewaktu matahari terbit, Insya Allah akan lenyaplah kebebalannya. Perkara yang sama juga dilakukan kepada adik-beradik, suami, isteri atau sesiapa yang dimaksudkan.

12.Membaca 786 kali lalu dihembuskan pada barangan niaga selama tujuh hari, Insya Allah maju perniagaannya.

13.Dibaca 50 kaIi terhadap orang zalim, Insya Allah akan menunduk atau menakutkannya serta akan naik keberanian dan kehebatan kepada pembaca.

Subhanallah, begitu mudah Allah memberikan jalan untuk kita mengingati-Nya di mana sahaja dan begitu payahnya kita untuk mengusahakan ingatan kita terhadap kasih sayang-Nya. Astaghfirullahalazim.. Di manakah kita sekarang ini? Adakah kita di lindungan kasih-Nya?



Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seorang hamba pun mengucapkan ‘Bismillahir-rahmanirrahim’ kecuali Allah SWT perintahkan kepada para malaikat yang bertugas mencatat amal manusia untuk mencatat dalam buku induknya empat ratus kebaikan”.
Salam kasih dengan senyuman
Raz.R
11.12.2011

Saturday, December 10, 2011

Surat Cinta


Kepingin benar
Menulis surat cinta
Sebelum fajar beralih subuh
Ditintakan air mata sebagai dakwatnya
Berhamparkan kertas pipi bersih
Disampulkan harapan kudus
Bersama lekatan setem pengabulan
Beralamatkan Kota 'Arasy
Dan akhirnya menantikan
Warkah di balas
Moga cinta tidak berbunyi di sini sahaja
Sedang di sana bertepuk murka...




Bersama cinta-Nya,
Ada cintaku
Ada cintamu jua
Raz.R (PKP)
09.12.2011




"Halus, puitis
Lenggok kata tertulis
Lambang hati tiada prejudis
Sopan, menolak lembut guris
Suci ikhlas tanpa dengki berkudis"

~Dari rentak tulisanmu~

Wednesday, December 7, 2011

Hati Nan Selesa





Beruzlat dirinya kaku
Di hujung malam
Bersenggayut lesu
Di hamparan sejadah
Pasrah di situ..

Membungkam tanpa kata
Gerimis mencurah lebat di mata
Di hembuskan bicara dari dada
Tiada laras nada
Bermelodi bisu sedu-sedan sayu
Bengkak berkaca lembut
Dia tahu..
Ada Yang Mendengar sendunya
Hingga hati dibuai selesa
Diselimutkan aman lega
Terpejam pergi sambil bertari
Di baringan mimpi
hingga fajar menghampiri

Dihidupkan dia sekali lagi
Bangun di kerendahan diri
Bersaksikan bumi yang memerhati
Dingin indah memulakan sejarah
Titik mula pada warna hidup
Yang perlu meniti transformasi
Ke arah pembaikan sejati
Tiap waktu, tiap hari...



Raz.R
Sesepi Subuh Nan Indah
Senyumlah, usah menyerah kalah
07.12.2011

Sunday, December 4, 2011

Ketika Alam Menjadi Teman




Kelmarin aku hadir di sini
Bertemu sahabat-sahabat senyapku
Berjalan aku tenang
Dipayungkan sang awan
Ku hadiahkan awan sebuah senyuman
Menghargai tulus keehsanan
Tidak memanggil mendung membawa hujan
Justeru tiadalah aku kebasahan
di balut sejuk resah kerinduan


Meniti mataku ke arah lautan
Bertanya khabar pelbagai hamba
Dijaga sang lautan penuh setia
Dalam dadanya pelbagai bentuk rupa
Sarat mengisi rezeki manusia
Ku hadiahkan senyumku padanya
Dengan takjub di jiwa
Bercitakan misal hatiku sebaiknya

Ku temankan senja berbual senang
Diceritakannya padaku keindahan
Bisikkan mesra dari KeAgongan
Tuhan Semesta Alam
Senja singgah sementara
Dibawakan warna-warna malam
Menjadi tanda membawa rahsia
Bagai juga aku manusia
Menumpang di bumi sementara
Sampai masa ku tenggelam jua

Senja meneruskan bicara
Katanya "Masih ada dunia yang cantiknya tak setara"
Mustahil gambaran diisikan akal
Setitis cantiknya di bumi
Berjutaan indahnya di sana nanti
Jika aku ingin pergi
Bawakanlah cinta paling sejati
Tidak berbelah bahagi tanpa sangsi
Ku hadiahkan senja sekuntum senyum
Mengalungkan harga untuk sekudus ingatan senja

Membisu aku memerhati sekujur diri
Tidaklah layak ku tempatkan diri
Di keindahan syurga nan abadi
Dengan hati yang sekotor ini
Cukuplah kiranya DIA sudi
Memandangku dengan belas-Nya nanti
Menghulurkan ampun, menerimaku di sisi

Terima kasih alam
Kerana sudi menjadi teman!



Rengsa bertabir di hati
Raz.R
03.12.2011

Thursday, December 1, 2011

Tenang


Tidak tertulis bahasa
Bertandang di tasik hati
Kepingin yang dalam
Agar kata difahamkan
Seiring maksud dibukukan
Terkunci dalam peti harapan
Mendoakan diri dimiliki Tuhan



Raz.R
01.12.2011
Senyum Pembuka Pagi
Walau tidak berseri
Masih beerti, kan?