Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Tuesday, January 3, 2012

Dialog Luka Wanita : HAID


"Kenapa ni Su? Murung semacam ja, Kak Raz tengok?"
Menggelisah benar keadaan Su hari ini. Tidak seperti selalu, walau dilanda masalah dia tetap tabah mengatasi segalanya senyumnya walau terpaksa.
"ABC la, kak Raz.. Rasa macam nak marah, bengang semacam saja. Tidak tahulah apa yang tengah Su bengangkan sekarang"
Raz tersenyum. Sebab itu rupanya, sebut Raz di dalam hati. Kekeliruan hormon dalam diri yang mengganggu wanita di kala "Allah Beri Cuti". Raz senyum lagi.
"Sabarlah,kan Allah bagi rehat tu?"
"Yalah kak, tapi tak tenang rasa. Asyik tak tenteram dan rimas. Jiwa Su serabut, sudahlah takleh bersujud. Semakla, kak!"
Raz faham apa yang Su rasa. Wanita dengan keistimewaannya. Sebenarnya ada kelebihan dan ada kekurangan yang perlu dihadapi apabila berada di dalam situasi sebegitu.
Sesetengah wanita akan melalui keadaan emosi yang tidak mampu dikawal di dalam keadaan tersebut. Marah, geram, menyampah, letih, sakit kepala, muntah adalah antara kejadian yang kadang-kadang mempengaruhi wanita di kala itu. Kekadang, wanita akan mengamuk tanpa sebarang alasan.

Kebanyakan wanita mampu mengatasinya dengan baik dan ada juga hari-hari tertentu emosi wanita di dalam keadaan itu tidak dapat dibantu sesiapa. Kami akan tewas dengan ketidakseimbangan. Ketika itu rasa sensititif akan berlebihan. Malah, kadang-kadang, kami kaum wanita akan menangis tanpa semena-mena. Perubahan pada tubuh dalaman yang sihat, InsyaAllah.

Raz faham situasi Su. Benar, apabila kita telah biasa dengan sesuatu yang kita biasakan seperti bersolat dan berdoa contohnya, apabila ia terhenti kerana "ABC", naluri kita jadi buntu. Sesekali terasa kerugian. Seolah jauh dari Allah. Tidak dapat menadah dan mengadu kepada-Nya bersama sembah dan sujud.

"Bertenang Su, jangan bimbang, beristighfarlah banyak-banyak."
"Tapi, tak sama, kak Raz. Tak sama macam bila kita bertimpuh di hadapan-Nya."

Raz tersenyum lagi. Melihat keletah Su yang mundar-mandir seperti tidak ketentuan arah.

"Siapa cakap tak sama? Bukankah Allah bagi tu? Dia Maha Bijaksana. Siapa kita untuk mempertikaikan kebijaksanaan-Nya? Jika Allah sentiasa di hati, di dalam keadaan apa jua pun, kita masih bersama-Nya. Tidak boleh bersolat, tidak bermakna kita jauh dari-Nya, Su. Ada pelbagai cara amalan yang mampu kita buat untuk terus menghambakan diri kita kepada-Nya. Yang penting sekali hati kita yang sentiasa mahu melakukannya. Setiap usaha yang baik yang kita lakukan di dalam hidup kita dengan niat kerana Allah SWT itu adalah ibadah, Su.. Berzikir, berdoa, menulis, membaca sesuatu yang baik, menuntut ilmu, membuat kerja rumah dan mengisi masa kita dengan segala yang kita rasa berfaedah kerana Allah, semua itu ibadah, Su.. Jadi, fikirkan sesuatu yang baik dan lakukan sesuatu yang baik. Barangkali antara amalan-amalan kita tersebut akan lebih memberikan keberkatan daripada sewaktu kita dalam keadaan suci. Siapa tahu, kan? Allah Lebih tahu apa yang telah ditakdirkan untuk kita, Su"

Su mengangguk dan tersenyum.. " Hemm.. agaknya Su terlalu mengikut rasa kak Raz."
Raz membalas senyumannya kerana kadang-kadang Raz juga melalui perkara yang sama.



Sedikit petikan Raz petik untuk tampalan ilmu kita bersama...
1. Telah ijmak (sepakat) para ulamak bahawa wanita yang dalam haid dan nifas diharamkan mengerjakan solat dan juga puasa (termasuk puasa Ramadhan). Puasa Ramadhan wajib diqadha, adapun solat tidak perlu diqadha. Dalil larangan solat dan puasa tersebut ialah hadis Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. telah bertanya kaum wanita; “Bukankah kesaksian seorang wanita sama seperti separuh kesaksian seorang lelaki?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lalu berkata; “Itu tanda kurangnya akal wanita”. Baginda bertanya lagi; “Bukankah jika kamu kedatangan haid, kamu tidak boleh mengerjakan solat dan berpuasa?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lantas berkata; “Itu tanda kurangnya agama wanita” (HR Imam al-Bukhari dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.).

2. Adapun hukum membaca al-Quran, terdapat khilaf di kalangan ulamak seperti berikut;

A) Menurut Jumhur ulamak (yakni pandangan teramai ulamak termasuk Imam-Imam mazhab empat); Diharamkan ke atas orang yang berhadas besar membaca al-Quran dengan lidahnya sekalipun satu ayat. Mereka berdalilkan hadis dari Ibnu Umar yang menceritakan Rasulullah bersabda;”Janganlah wanita dalam haid dan orang yang berjunub membaca sesuatupun dari al-Quran” (HR Imam at-Tirmizi dan Ibnu Majah). Berdalilkan hadis ini, jumhur ulamak memutuskan; orang-orang yang berada dalam haid dan junub dilarang membaca al-Quran dengan lidah. Adapun membaca dengan hati (tanpa menggerakkan lidah), diharuskan.

B) Imam Malik berpandangan; Diharuskan wanita dalam haid dan nifas membaca al-Quran dari ayat-ayat yang dihafalnya jika dibimbangi takut hilang dari ingatannya jika tidak dibaca sepanjang tempoh haid atau nifasnya. Namun, orang berjunub dilarang sama sekali membaca al-Quran.

C) Terdapat ulamak-ulamak yang menganggahi pandangan jumhur ulamak di atas iaitulah Imam Daud az-Dzahiri, Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi. Menurut mereka; harus bagi orang berjunub dan begitu juga wanita yang kedatangan haid membaca al-Quran keseluruhannya. Di kalangan Salaf, pendapat ini ada diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dan juga Ibnu al-Musayyab. Dalil mereka ialah hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. sentiasa berzikir kepada Allah pada setiap ketika/masanya” (HR Imam Muslim) dan membaca al-Quran termasuk di dalam pengertian zikir. Adapun hadis yang dijadikan dalil oleh jumhur tadi, hadis tersebut adalah dhaif mengikut penilaian ulamak-ulamak hadis.

3. Mengenai zikir dan doa, tidak ada nas (dalil dari al-Quran atau as-Sunah) yang melarang wanita yang kedatangan haid dan nifas dari melakukannya. Oleh itu, ia kekal sebagai harus (tidak dilarang). Dalam kaedah Fiqh ada dinyatakan “Sesuatu itu kekal dalam hukum asalnya selagi tidak ada dalil yang mengubahnya atau mengecualikannya dari hukum asal”.

Dari keterangan di atas, kita dapat melihat bahawa ruang untuk wanita dalam haid dan nifas beribadah adalah luas seluas ruang doa dan zikir itu sendiri walaupun mereka tidak dibolehkan solat, puasa dan membaca al-Quran (mengikut pandangan jumhur tadi). Berikut kita senaraikan dengan terperinci ibadah-ibadah yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita yang berada dalam haid dan nifas;

1. Berdoa dengan apa sahaja doa termasuk dari al-Quran

2. Beristighfar; termasuk istighfar dari al-Quran

3. Berzikir; sama ada bertahlil, bertahmid, bertasbih dan sebagainya.

4. Berselawat kepada Nabi

5. Mendengar bacaan al-Quran

6. Menghadiri/mendengar majlis ilmu (yang diadakan di tempat lain selain masjid)

7. Mengulang hafalan al-Quran (mengikut pandangan Imam Malik tadi)

8. Membaca buku-buku agama termasuk kitab-kitab hadis

9. Bersedekah

10. Membuat kebajikan kepada orang lain

Bagi doa, istighfar dan zikir yang diambil dari al-Quran hendaklah dibaca dengan niat untuk berdoa, berzikir dan beristighfar, bukan dengan niat membaca al-Quran.

Wallahu a’lam.







SOLAT SELEPAS HAID : PERKARA YG DIPANDANG RINGAN..

Untuk pengatahuan wanita bersama.

Kebanyakkan perempuan/wanita/ muslimah (wanita Islam) tak berapa perasan ATAU lebih malang lagi jika memang tak tahu menahu akan perkara ini... Ilmu Fekah, khususnya BAB HAID yang berkaitan dengan diri wanita itu sendiri amat kurang dikuasai atau difahami secara menyeluruh oleh kebanyakkan wanita Islam...kenapa hal ini boleh terjadi?? Amat susah untuk mencari seorang guru/ustazah/ ...yang betul-betul pakar dalam bab 'Orang-orang Perempuan ini' kecuali terpaksa@mesti dirujuk kepada lelaki/ustaz- ustaz yang bernama LELAKI jugak...(saya rasa ramai yang bersetuju dengan pandangan saya )

Contohnya yang paling simple ; bila ditanya kepada kebanyakkan wanita Islam ; "adakah wajib bagi seorang wanita Islam menqhada'kan solat mereka yang ditinggalkan ketika haid?" pastinya kita akan mendengar jawapan daripada kebanyakkan mereka mengatakan: "alaa...itu soalan mudah jee..bila 'datang period' maka solat tuu tak perlu qadha, yang perlu qadha hanya puasa jee..itulah yang kami belajar sejak mula-mula 'bergelar wanita' dulu"

Jika dibuat pantauan nescaya jawapan seperti di ataslah yang akan kita jumpa... Sebenarnya TAK SEBEGITU MUDAH bagi seorang muslimah nak meninggalkan solat mereka walaupun dirinya didatangi haid!!! sekalipun. Hal ini boleh dirujuk di dalam kitab Ihya' Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali yang mashur.

Kitab yang padanya ada ilmu yang berkaitan Tasauf dan padanya juga perbahasan Fekah yang luas, inilah bukti kehebatan ulama' terdahulu..

Dalam BAB TIGA :
" Fi adab Mua'sharah Wama Yujzi Fi Dawamun Nikah..." perkara YANG KETUJUH disebut dengan jelas dalam kitab tersebut : PERKARA YANG BERKAITAN DENGAN HAID: Penjelasan (bayan) terhadap solat yang perlu diqadha bagi perempuan yang didatangi haid :

1. Jika perempuan dalam keadaan haid mendapati darah haid itu berhenti (dengan melihatnya) sebelum masuknya waktu Maghrib, kira-kira sempat dia solat asar sebanyak satu rakaat, maka baginya wajib qadha solat zohor dan asar.

2. Jika perempuan mendapati darah haidnya kering sebelum masuknya waktu subuh, kira-kira sempat baginya solat Isya' sebanyak satu rakaat, maka wajib baginya qadha solat maghrib dan Isya'. " Dan hal ini (qadha solat yang ditinggalkan semasa haid) adalah sekurang-kurang perkara yang wajib diketahui oleh setiap wanita Islam" (Imam Al-Ghazali)

HURAIAN MASALAH :
1. Kenapa perlu diqadha solat Asar dan Zohor?

- Kerana perempuan itu hanya menyedari keringnya haid masih dalam waktu Asar, maka baginya wajib solat asar (selepas mandi hadas)

2. Kenapa pula solat Zohor juga perlu diqadha sama?

- Kerana di dalam hukum menjama' (menghimpun solat bagi orang musafir) solat Asar boleh dijama' dan diqosarkan bersama solat Zohor.

- Kerana kecuaian wanita itu sendiri (dari melihat haidnya kering atau tidak), boleh jadi haidnya sudah kering dalam waktu Zohor lagi, langkah Ihtiyat ( menjaga hukum) maka perempuan itu juga perlu mengqhada solat Zohor.

3. Dalam perkara solat subuh pun sama : -perempuan itu hanya menyedari darah haidnya kering, sebelum masuk waktu subuh, kira-kira sempat solat Isyak satu rakaat (selepas mandi hadas) maka wajib baginya solat Isya' sebab darahnya kering masih dalam waktu Isya'.

-Solat Isya' juga boleh dijama' (bagi musafir) dengan solat Maghrib, maka baginya juga perlu diqadha solat maghrib.

-Di atas kecuainnya (tidak betul-betul melihat darahnya kering atau tidak dalam setiap waktu solat) maka boleh jadi darahnya sudah kering dalam waktu maghrib lagi (sebab proses keringnya darah itu berlaku secara perlahan-lahan, mungkin perempuan itu hanya menyedarinya dalam waktu subuh, hakikatnya proses pengeringan itu sudah lama berlaku)

-maka langkah ihtiyat (menjaga hukum) maka adalah bagi perempuan itu perlu di qadha juga solat maghribnya.



~Raz.R~
Senyumlah, walau dalam keadaan payah.. Kita ada Allah walau bagaimanapun keadaan kita.