Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Monday, January 23, 2012

Dialog Luka Wanita : Jiwa Yang Takut




"Orang yang berjaya, tidak pernah mempunyai perasaan takut pada kegagalan. Bahkan kegagalan merupakan pelajaran terbaik baginya. Mereka tanamkan keyakinan yang bersifat positif. Mereka tidak mungkin berjaya seandainya perasaan takut pada kegagalan dibiarkan membayangi diri."

Su membaca madah kata yang tersusun menarik. Lafaznya boleh didengari telinga Raz. Cantik kata madah tersebut. Lalu dia renungi mata Raz dengan soalan...

"Kak Raz pernah rasa takut tak?"

Terbeliak anak mata Raz. Dia ketawa terkekeh. Nakal. Kemudian dia menyambung kata. Nadanya agak memilukan. Raz diam mendengar setiap tutur ceritanya.

"Su pernah sangat takut kak. Pengalaman membuatkan Su sangat terasa ngeri untuk meneruskan hidup ini. Kita boleh cakaplah, kita berani. Segalanya tidak akan apa-apa. Akan baik-baik sahaja. Bukankah kita sedang menipu diri sendiri tu, kak?

Macam Su ni, kan? Orang tidak tahu yang Su pernah dianggap seperti sampah. Dibiarkan menghadapi segalanya sendirian. Su diberi janji dan harapan tetapi ditinggalkan. Su diminta menanti, tetapi akhirnya terpaksa mengalah dengan keadaan. Su membantu orang lain dan Su ikhlas tetapi dibalas dengan celaan dan penghinaan. Su menyayangi, sejujur hati dan tidak menuntut apa-apa, kecuali hanya sedikit rasa belas menghargai Su seadanya.. tapi.. Su tak dapat semua tu, kak. Malah Su dihina dan difitnah secukup-cukupnya. Su dibohongi oleh semua orang. Bahkan orang yang Su percayai, Su kasihi juga mencurangi perasaan Su. Tidak menyebelahi Su. Tiada yang tahu kesakitan yang Su lalui. Semua itu membuatkan Su dalam tekanan dan ketakutan. Semua pengalaman itu membuatkan Su sangsi pada semua orang. Mana mungkin kita dapat berani lagi, kak?"

Terkesima Raz mendengar luahannya tiba-tiba. Perasaan yang tersimpan lama, diluahkannya bagai peluru menembak sukmanya sendiri. Raz tunduk melihat pada rumput di kaki. Menguis perlahan. Berharap agar Su terus meluahkan rasanya. Biar habis yang terbeku di dada. Kelihatan nafasnya berombak kencang. Seolah mahu dipecahkan gelodak yang selama ini dipagar, dikepung, dicengkam di dalam diam. Tetapi Su terus terdiam. Mungkin menahan permata mahalnya daripada basah dan tumpah.

"Su berdendamkah dengan semua kejadian tu?" Raz mahu dia terus melepaskan apa yang terbuku di dadanya. Dia menggeleng lemah.

"Tidak,kak. Su tidak pernah membalas kejadian tu dengan keburukan. Tidak sedikit pun berdendam. Tidak ada menyimpan benci di hati. Su masih menganggapnya ujian. Takdir. Hak Allah ke atas hamba-Nya. Tapi, tak seorang pun berada di sisi Su ketika itu. Kawan-kawan juga menyalahkan Su. Menyepikan diri dari Su. Su terlalu mengalah, tapi bagi Su, untuk apa menang, kalau ada orang lain susah kerana kemenangan itu. Cuma, semua tu membuatkan Su serik dan takut tersangat-sangat takut, kak."

Raz memanjangkan keluhan dan menggangguk faham. Perasaan takut itu menimbulkan rasa bersalah yang lama di dalam diri manusia menjadikan ia pengaruh yang tidak baik. Mempengaruhi kehidupan sehingga keyakinan hilang. Emosi jiwa yang berubah-ubah disebabkan perkara-perkara hidup yang tidak dapat tercungkil keluar. Keyakinan diri yang mula luntur mengikut imbasan kenangan. Su perlukan semangat yang kuat. Su perlukan sejarah yang baru yang mampu membangunkan kekuatan emosinya. Tidak dapat disangkal, sesekali dia masih dihantui silam yang berduri.

Raz mengharapkan agar Su tidak terlalu pasrah dengan rasa takutnya. Su tidak akan mampu mengembangkan kemampuan dirinya jika dia berterusan begitu.

"Sudahlah Su, jangan dikenang lagi. Itu semua kenangan yang lepas. Yang tidak mungkin hampir kepada Su lagi. Su perlu serius dengan ketabahan Su. Hidup Su adalah untuk apa yang Su terima sekarang, bukan untuk yang lepas. Kegagalan, kesakitan yang lepas adalah ilmu untuk kita. Proses kita belajar mengenali hidup. Kalau tidak kerana semua itu, Su tidak akan kuat bertahan sehingga hari ini, kan? Redhalah, Su.. Yakinlah pada kehendak Allah Ta'ala. Kalau diikutkan semua tu, kita tidak akan mampu ke mana-mana Su. Kita akan terus mengurungkan diri dari dunia luar yang mengkin banyak memberi erti yang lebih indah lagi."

"Tapi.. kalau ia berulang lagi? Macam mana kak?"

"Hemmm... kak Raz percaya, Su tetap perlu menghadapinya dan boleh menghadapi segalanya seperti dulu dan seperti sekarang juga, kan? Jangan berdoa agar ia berulang, Su. Doakanlah agar ia menambahkan kekuatan iman. Jangan lupa Allah walau dalam keadaan marah dan kecewa. Dia beri semua ujian itu kepada kita untuk kita menilai hikmah-hikmah-Nya. Bertahanlah Su! Jangan terlalu bimbang. Tenang Su. Sederhanakan emosi takut itu. Su boleh terus berhati-hati tetapi jangan berterusan dalam ketakutan. Cari keuntungan di sebalik pengalaman yang Su lalui itu. InsyaAllah, Allah akan membantu Su. Setiap apa yang Allah beri itu tidak diberinya sia-sia. Dinamakan-Nya segala yang ada di dunia yang dicipta-Nya ini untuk kita ambil pengajaran darinya, Su. Kuatlah!"


Ya, KUATLAH LAGI!!!!

Raz,R
23.01.2012
Salam kasih dengan senyum tulus kemesraan.