Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Tuesday, November 8, 2011

Tidak Terlihat Oleh Musuh

Assalamualaikum wbt. Didoakan semoga sentiasa di bawah perlindungan dan kerahmatan Allah sentiasa.

Raz terpikat untuk menyampaikan satu petikan cerita dari pengalaman junjungan kita Rasulullah SAW untuk dikongsi dan dijadikan amalan kita bersama. Ia sangat baik untuk digunakan sebagai penampan keselamatan diri dari musuh terutamanya golongan wanita. InsyaAllah.

Suatu hari, Ummu Jamil telah keluar ke khalayak ramai berhampiran dengan kaabah sambil menjerit-jerit.

"Muhammad telah mengutuk moyang kita dan agama kita, juga suruhannya itu mengkhianati kita!"

Di tangan Ummu Jamil dipegangnya seketul batu. Ketika itu Rasulullah sedang duduk berhampiran kaabah bersama Abu Bakar. Apabila Abu Bakar melihat Ummu Jamil semakin hampir kepada mereka, dia berkata,

"Wahai Rasulullah, dia datang ke sini dan aku bimbang dia akan nampak engkau!"

Kata baginda, "Sesungguhnya dia tidak akan dapat melihat aku." Lalu Baginda membaca ayat Al-Quran dari firman Allah SWT melalui surah Al-Isra' ayat 45 yang membawa maksud,

"Dan apabila kamu membaca ayat Al-Quran nescaya Kami adakan antara kamu dan orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, suatu dinding yang tertutup."

Apabila Ummu Jamil tiba di hadapan Abu Bakar, dia langsung tidak melihat Rasulullah sedangkan baginda berada di sebelah Abu Bakar. Dia berkata kepada Abu Bakar, "Wahai Abu Bakar, sesungguhnya aku telah dimaklumkan bahawa kawan kamu itu (Muhammad) telah mengucapkan syair yang buruk mengenai aku."

"Tidak! Demi Tuhan rumah ini (Kaabah), baginda tidak berbuat begitu padamu." Jawab Abu Bakar.

Lalu Ummu Jamil dengan bercekak pinggang bertawaf mengelilingi kaabah sambil berkata, "Sumpahan akan terkena pada orang yang berkata buruk!"

Mudah-mudahan, cerita ini dapat memberikan manfaat untuk kita bersama dan terpelihara hingga akhir masa. Wallahua'lam. Sesungguhnya yang baik itu dari Allah dan Pesuruh-Nya.

Selawat dan salam untuk Baginda Rasullullah SAW dan para keluarga serta para sahabatnya yang telah berjuang memberikan kita kelapangan mengenali Agama Allah sehingga kini. Amin.





Raz.R

8.11.2011

Senyum Selalu
Indahkan hatiku dan hatimu.