Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, November 16, 2011

Musibah dari Lidah. Bersabarlah!

Calarnya hati
Dihiris lidah
Lembut berbunyi
Menyembur pedih
Luka bergaris
Tersiat rintih
Sayatnya mencarik
Terdiam serik!

Pedang pahlwan
Lidah insan
Tajamnya menghiris
Seriau terguris
Luka pedang sembuh
Luka lidah tersinggung
Parahnya tanpa hujung
Sematkanlah kemaafan
Ikhlas yang terlindung
Walau rebah tersadung!




Hari ini tergegar diri Raz dengan sedikit musibah kerana gulungan lidah. Raz rasa sangat payah membendung rasa marah. Harga diri Raz seolah ditindas hingga ke bawah tanah. Hanya kerana panahan kata dari lidah manusia yang sama lemah dengan Raz. Namun, tidak mengapalah.. eloklah Raz balik kepada hakikat asal hidup kita. Iaitu "Musibah itu adalah kehendak Allah terhadap hamba-Nya bagi mempertingkatkan darjat keimanan kita kepada-Nya. Dengan menerima penuh rela, ikhlas dan redha, InsyaAllah lambat laun hikmah-Nya akan terbit seperti matahari yang bangun di waktu pagi. Penyeri akan luas alam-Nya ini." Raz mahu menutup diari Raz hari ini dengan kemaafan agar esok tidaklah Raz bangun dengan dendam dan dada yang kusam.

Bukankah kita ini orang Muslim. Orang Muslim perlu kuat menahan musibah. Teringat Raz pesan seorang ulamak bernama Hasan Basri. Katanya...

"Sebahagian tanda-tanda orang Muslim ialah kuat dalam memegang Agama, keras hati tetapi disertai dengan sifat lemah-lembut, beriman dengan menggunakan keyakinan, pengetahuan yang ada disertai penuh kesabaran, berfikir panjang dengan kasih sayang. Malahan dia memberikan mana yang menjadi hak orang dan tetap mengikut jalan yang benar, berlaku sederhana walaupun kaya, menunjukkan kecukupan dengan bersyukur walaupun dalam serba kekurangan, berbuat baik selagi masih sanggup untuk melakukannya, menanggung segala penderitaan dengan berusaha untuk menghilangkannya, selalu bersabar dalam kesukaran dan tidak dikalahkan oleh kemarahan. Orang Mukmin suka menolong terhadap orang yang teraniaya, mempunyai belas terhadap orang yang lemah, tidak bakhil dan tidak juga boros, tidak berlebih-lebihan dan tidak keterlaluan dalam menggenggam hartanya dan suka mengampuni apabila dia dizalimi."

MasyaAllah, kalaulah Raz dan kita semua yang bernama Muslim boleh melaksanakan sikap kemusliman yang sebegitu indah, pasti hidup kita akan sentiasa indah, kan?

Andaikata kita tersinggung dengan kata-kata lidah manusia lain terhadap kita, sama-samalah kita ingatkan diri agar kita kembali mengenali siapa diri kita dan di arah manakah kita sedang berdiri. Bersabarlah dengan musibah kerana darjat kita di sisi Allah akan terangkat apabila kita berjaya melaluinya dengan setabah daya. InsyaAllah, Allah tidak akan menghampakan kita.

Wallhua'lam.

Raz.R
16.11.2011
Pandanglah segala keburukan musibah yang kita lalui itu
dengan mata hati agar kita tidak dicemari hawa nafsu yang sungguh merugi.
Senyum lagi.