Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Thursday, March 5, 2020

Pura-pura BERSOLAWAT

Satu amalan yang istimewa, diterima walaupun kita hanya berpura-pura adalah solawat. Sekalipun kita ini rasa tidak layak untuk bersolawat, Rasulullah SAW tetap menyambutnya. 

Ruginya, jika semasa hidup kita tidak bersolawat. 
Hayati kisah pendek ini:-


Diceritakan bahawa seorang artis wanita terkenal yang sering membintangi filem-filem di Mesir,
suatu ketika mendapat watak berlakon di sebuah filem untuk melakonkan Sayyidah Rabiatul Adawiyah.


Dalam filem tersebut dia hanyalah berlakon, pura-pura menjadi seorang wanita solehah, berlakon melakukan banyak solat dan ibadah-ibadah yang lain termasuk memperbanyak membaca selawat, kerana memang Sayyidah Rabiatul Adawiyah, tokoh yang dia lakonkan itu, selama hidupnya mengamalkan 25,000 selawat setiap hari. Mahu tak mahu si artis pun pura-pura pula banyak berselawat selama shooting film tersebut.


Dipendekkan cerita. Tak lama berselang setelah artis tersebut menyelesaikan filem tersebut, dia bertaubat. Asbab taubatnya sungguh luar biasa.


Dia bertaubat setelah diberi keberuntungan bermimpi Nabi Muhammad ﷺ dalam tidurnya. Setelah mimpi, dia mendatangi seorang ulama ternama di Mesir yaitu Syeikh Mutawwali Sya'rowi untuk membimbing taubatnya.


Itulah kehebatan selawat. Selawat dibaca walau dengan pura-pura pun tetap sampai kepada Rasulullah ﷺ dan diterima oleh Allah ﷻ.



اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ ۞ وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ ۞ نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ ۞ وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ ۞ وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ ۩


Friday, February 28, 2020

Mulut Kena Jaga, Jangan Mengata

Mengumpat memang sedap. Nampak orang buat silap, wah-wah, hati bagai bersuka-suka, nak sangat mengata! Macam makan mempelam muda, colek dengan sambal belacan pedas. Makin dicolek semakin rancak. Betul tak? Begitulah, bila orang dah sukakan belacan. Samalah seperti orang sukakan mengata orang.

Pesan pada diri yang dekat dengan mati, jaga hati. Daripada kita bazirkan masa mengata orang sesedap rasa, baik kita banyak mendoakan orang. Kita nak bahagia, nak malaikat mendoakan kita, maka kita perlu di jalan yang membawa bahagia tersebut.

Senyum itu cantik. Diam lebih baik.


Thursday, February 27, 2020

Berharap namun Tiada Harapan

Keinginan orang dengan keinginan kita tak sama. Kita ingin begini, orang lain pula ingin begitu. Ketidaksamaan itu membuatkan kita kecewa. Bukan kerana apa yang tidak sama tersebut, tetapi kerana BERHARAP apa yang kita inginkan SAMA seperti orang lain.

Sama seperti bila kita berdoa meminta Allah kurniakan sesuatu yang sangat-sangat kita ingin namun Allah berikan dengan sesuatu yang lain. Sebab nyatanya Allah lebih tahu harapan kita bukanlah hal yang terbaik untuk kita. Makanya, DIA berikan yang lain yang tidak pernah kita sangka, namun hikmah dan nilaiNya lebih sempurna daripada apa yang kita minta.


Berharap tidak salah, tidak juga sesuatu yang tidak indah. Cuma perlu sentiasa bersedia kadang-kadang harapan sebenarnya tiada harapan. Tiada harapan pula bukanlah sesuatu yang tidak baik. Ia adalah satu jalan yang membuka harapan yang lain yang lebih baik. Insha-Allah. 


Wednesday, January 29, 2020

Harga Sehampar Kasih


Selasa, 5 Muharam 1394 

Selalu percaya, Allah susun segalanya.
Selalu yakin bahawa usaha itu adalah dengan izin rahmatNya.
Kita bertemu dan dipertemukan dengan rahsia. 
Nilai sehampar pertemuan dan selayang kehilangan adalah benar ketentuan.

Kita mengharungi hidup. Siapa tahu tentang kita? Samada dalam gelap atau dalam cerah, cuma kita dan Allah. Pahit atau manis, senang atau susah, hari tetap berlalu seperti izinNya.

Apapun, hargai dan syukuri.
Paling penting harga sehampar kasih yang Allah kurniakan kita peluk dengan perjuangan. Kita usaha  dengan menjaga siapapun dan apapun yang hadir dengan bersungguh-sungguh. Jangan kita abaikan begitu sahaja sebab di sebalik apa yang kita rasa tiada itu, ada. Ada penjalinan antara kita dan Allah. Ada nilai yang terlalu bererti. Jangan beri alasan kerana kekurangan yang sedikit. Jangan kalah jikapun kita lemah. 

Kasih itu kekuatan!
Nilainya adalah perjuangan menghadapi rintangan!

Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad. Semoga baik-baik segala perkara hingga pertemuan kita dengan Allah. Amin.




Tuesday, January 28, 2020

BETUL yang tidak betul


Prinsipku, lebih baik selalu rasa salah daripada selalu rasa diriku betul walaupun kadang-kadang yang betul mungkin aku.
Menjadi seorang yang sentiasa betul adalah impian manusia biasa yang ego. Memang semua manusia itu akan rasa gembira dan lazat dalam hati apabila pendapat atau keputusannya sentiasa betul. Namun, yang betul sebenarnya tidak seindah ayat yang kita sebut.

Berani kerana betul.
Jelasnya tak semua keberanian benar. Kadang-kadang sasarannya salah. Kita berani mengatakan kita betul walhal ada banyak perkara yang kita salah. Itulah perkara yang menakutkan apabila dianggap betul.

Betul kerana Allah dan agamaNya, itu wajar dan wajib. Yang menjadi persoalan kini, membetulkan rasa  dan membalutnya dengan agama. Itu betul yang sangat bahaya.

Rasa salah akan buat kita rasa rendah. Tidaklah rendah hingga boleh berada di bawah pijakkan kaki orang lain.  Maksudku disini rendah yang tidak menzalimi diri.
Rasa salah akan buat kita rasa berdosa.
Itu baik sebenarnya. Baik dari segi penyesalan untuk suatu perubahan supaya kita lekas bertaubat dan menyusun peribadi kembali memperbaiki diri.

Rasa betul, seringkali menjerumuskan kita di takat hati yang sombong. Bila selalu betul, kita tak pandai mengalah. Malah, kita takut menghadapi kejatuhan. Bila kita takut akan jatuh, kadang-kadang kita berusaha walaupun dengan cara yang salah untuk menegakkan benang yang basah. Yang tidak betul kita cuba tegakkan agar ia dirasakan betul.

Biasakan yang betul. Betulkan yang biasa. Jangan betulkan hal yang sememangnya nyata tidak betul.

Hihi... faham tak tu?
Moga Allah fahamkan. Amin...


Saturday, January 25, 2020

Terima kasih untuk segala pemberian

Buku yang dihadiahkan pada 10hb Januari 2020
Memang aku telah dipesan untuk tidak berterima kasih kepadanya, yang telah memberi.
Katanya dia ikhlas dan gembira bila dia dapat memberikan sesuatu kepada sesiapa. Itu membuatkan dia gembira. Alhamdulillah. Tiada timbal balas yang dapat menggantikan kebaikan. Aku hanya berdaya mendoakan kebahagiaan untuk hamba-hamba Allah yang baik ini.

Cuma, aku nak letak di sini sebagai ingatan untukku agar aku juga ikhlas berterima kasih dan mensyukuri adanya pemberian.
Takut-takut kalau nanti aku lupa. Usia semakin tua. Ingatan bukannya boleh kekal sangat. Sekurangnya di ruang ini tempat kegemaranku. Tempat aku menulis. Yang mungkin suatu masa nanti menjadi kenangan dan sejarah.
Pemberian 26 November 2018


Setiap pemberian adalah anugerah Allah. Setiap orang yang hadir dalam hidup kita adalah wasilah yang tetap mengajarkan sesuatu. Yang pasti, sesuatu yang seharusnya tetap mengingatkan kita kepada Allah.

Saturday, January 18, 2020

Fokus Untuk Bersihkan Hati ♥


Cantik kan gambar ni?
Nampak damai dan indah.
Benar, salah satu cara untuk kita mencernakan ketenangan adalah dengan memandang dan mensyukuri alam pemberian Allah. Mensyukuri nikmat pandangan mata yang Allah anugerahkan. Dengan melihat penciptaanNya bermakna, Dia-lah yang memberikan mata yang magis boleh melihat apa sahaja yang dicipta-Nya sekali gus menyatakan bahawa DIIRINYA ITU TERWUJUD DENGAN SEDIA ADA.
Cuma, kita manusia yang dijadikan serba-serbi lemah ini, kadang-kadang lupa, kadang-kadang lalai dengan perasaan yang kita rasa ia hadir dengan kehendak kita sendiri, dengan urusan kita sendiri. Sebab itu, kita sering gelisah dan tidak tenang. Menyatakan suasana diri, akibat dan rentak hidup kerana rasa yang kita rasa ia berlaku kerana apa yang berlaku di sekeliling adalah punca kita 'down'.

Rupa-rupanya, ketenangan diri itu tidak ada kena mengena pun dengan faktor keadaan sekeliling atau mungkin kemewahan hidup yang kita rasa kita perlu gapai. Ketenangan adalah keupayaan naluri untuk kita tidak berlebihan, sentiasa besederhana, menjaga minda dan hati.
Kita perlu mengawal dan melakarkan dengan aman apa yang ada di dalam hati dan minda. Apa jua keadaan, kita fokus kepada membersihkan akal dan hati kita daripada segala sesuatu yang mengotorkan atau mencemarkan jiwa.

Belajar bersabar ketika marah.
Belajar memaafkan ketika dilukai.
Belajar menyayangi pada saat hati melihat keburukan.
Belajar menghormati mengasihani setiap hina cercaan kerana boleh jadi yang hina itu kita sendiri.
Belajar melupakan ketika tidak dihargai.
Belajar untuk tidak peduli ketika ada yang membenci.
Belajar untuk melepaskan bilamana kita tahu sesuatu yang kita usahakan itu ternyata bukan untuk kita.
Belajar menjadi baik hati, rendah diri, ketikamana semua orang memandang kita lemah.
Belajar berdiam, bila tiada keperluan untuk berkata-kata.
Belajar menasihati dengan hati bersumberkan niat yang ikhlas dan menyejukkan hati yang lain.
Belajar jujur sekalipun kita tahu ia menyakitkan dan payah.
Belajar menjauhi apabila kita rasa sesuatu itu menjadi natijah yang buruk kepada semua.
Belajar tersenyum dan bersedekah sekalipun susah.
Belajar menggembirakan yang sedang bersedih atau terluka.

Belajar bahagia dengan apa adanya.
PALING PENTING, BELAJAR MENTAATI DAN MENCINTAI SEGALA SURUHAN ALLAH DAN MENJAUHI APA YANG DIBENCI-NYA.

Semua kita semua tenang. Amin. Sollahu'ala Sayyidina Muhammad Wa'ala Alisayyidina Muhammad.