Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, October 28, 2011

"Pelaris"



Kita perlu berhati-hati.

Cara mudahnya nak tahu kedai makan itu ada pelaris (Khadam jin), baca Ayat Qursi 3kali di luar dari kedai. Sebaiknya semasa dalam kereta. Kemudian buka tingkap dan tiup 7x ke arah kedai. Tak perlulah tiup macam bomoh pooh kiri pooh kanan.he..he.. Tiup perlahan-lahan sampai habis nafas(mcm ustaz Ismail Kamus ajar)

Sekiranya ada pelaris di kedai tersebut, “khadam” tu akan marah dan kita akan rasa seperti satu angin menerpa ke muka kita. Kalau dah macam tu, eloklah kita jangan makan dikedai tersebut.

Beberapa cara di bawah bolehlah diamalkan untuk mengelak sihir :-

1) Al-Fatihah.

2) Membaca tiga surah terakhir atau 3 Qul setiap hari.

Ia berdasarkan hadith :

قال لي رسول الله صلى الله عليه وسلم : إقراء قل هو الله أحد , والمعوذتين , حين تمسي و حين تصبح , ثلاث مرات تكفيك من كل شيء ( رواه أبو داود والترمذي )

Ertinya : Baginda S.A.W telah berkata kepadaku : “Bacalah Qul Huwa Allahu Ahad” (al-ikhlas) dan (surah an-Nas) dan (surah al-falaq) sebanyak 3 kali ketika pagi dan petang, ia mampu mencukupkan kamu dari segala sesuatu.( At-Tirmidzi, Bab Doa yang disebut Ketika Ingin Tidur, no 3570 ; Sunan Abu Daud, Bab Apa Yang Dibaca Ketika Subuh, no 5072 ( Nuzhatul Muttaqin, no 1457 , 2/229 ) At-Tirmidzi : Hasan Sohih, An-Nawawi : Sohih.

Dialog Luka Wanita: Misteri Hati




Malam indah berhiaskan bayu segar sambil melayan irama ombak yang menghempas pantai.
Raz memandang langit hitam yang berkerdipan dek jutaan bintang. Nafas Raz disedut dan dihembus tenang perlahan. Jantung berdegup sekata dan senada. Termenung menyaksikan alam-Nya. Tersenyum kecil. Mengamati cantiknya serakan bintang.

"Hai, Kak Raz? Senyum kat langit? Mesti ternampak sesapa kat situ kan?"

Raz menoleh pada susuk tubuh kurus yang memerhatikan Raz sejak lama. Raz hadiahkan dia senyum geli hati. Melirik mata Raz membaca telatahnya.

"Su, nak tahu apa yang kak Raz nampak?"
"Eh-eh.. mestilah!"

Dia tersenyum dan Raz juga tersenyum. Kami sama-sama mendongak ke langit. Raz memerhatikan Su yang sedang mengamati suasana langit yang indah.

"Jangan buka mulut,Su.. Takut nanti tertelan tahi burung. Ha!Ha!Ha!" Gurau Raz.

Dia ketawa berdekah sambil mencubit lengan Raz. Kami sama-sama ketawa.

"Tak ada apalah Su, Kak Raz sekadar mengkagumi corak langit yang dipenuhi bintang-bintang yang cantik. Itu sajalah."

"Iyalah tu.. kan?" Su mengenyit sebelah matanya.

Sebenarnya tekaan Su benar. Ada sesuatu yang Raz nampak di langit malam secara mata batin ini. Raz nampak kehidupan Raz yang silam. Kenangan semenjak dari zaman kanak-kanak sehingga di usia sekarang. Ada yang samar-samar kelihatan dan ada yang masih jelas dan segar.

Raz nampak diri Raz di langit yang kelam. Seorang ibu telah melahirkan Raz di dalam keadaan serba kedhaifan. Kisah yang dikhabarkan ibu tentang masa kecil Raz masih terngiang-ngiang. Bagaimana ayah ibu membesarkan Raz dengan bersandarkan hidup yang serba kekurangan.

Kata ibu, melahirkan Raz adalah perkara yang amat payah kerana Raz adalah bayi yang paling besar di sebuah hospital semasa tahun kelahiran Raz dan membesarkan Raz juga banyak di lalui dengan kepayahan. Ayah ibu pernah memberitahu Raz yang mereka pernah mengikat perut untuk Raz. Mereka pernah hanya meminum air bubur nasi semata-mata ingin memberikan Raz isi nasinya untuk sekian lama juga. Demi untuk membesarkan Raz. Demi Tuhan, jasa mereka pada Raz dan seisi keluarga yang lain tidak dapat Raz balas sekalipun jika Raz ada mempunyai segunung intan.

"Kak Raz? Ke mana tu? Jauhnya pergi.."
Tersentak dari lamunan silam itu dan Raz toleh ke arah Su yang sudah berada hampir dengan Raz. Raz ketawa.

"Su tak ada cerita baru ka?" Raz mengubah kisah Raz. Menjauhkan diri dari mengenang kisah silam yang telah berlalu.

"Tidak ada yang menarik la Kak Raz. Hidup Su macam biasa. Sekejab baik, sekejab tak baik."

"Tak apalah Su, memang rencah hidup kita begitu, kan? Kak Raz pun samalah. Kadang-kadang kuat, kadang-kadang pula lemah yang tersangat."

"Yalah Kak.. kadang-kadang tak terlarat nak lalui macam-macam beban, kan?"

"Hemm.. betul tu Su. Kita tak ada pilihan melainkan meneruskan kehidupan sebagaimana yang telah diberi Allah. Lagipun, Allah kan ada kata yang Dia tidak akan membebankan hamba-Nya dengan bebanan yang tidak mampu ditanggung. Maksudnya, apa yang kita sedang lalui ini, memang Dia tahu yang kita mampu menghadapinya. InsyaAllah."
"Tapi kan kak.. kenapa kita selalu sangat rasa macam tak mampu saja ya?"

"Mungkin kita belum kuat hati. Mungkin kita belum mempersediakan diri sebaiknya, Su. Mungkin kita masih belum menghayati dengan keimanan. Kenipisan iman kita itu yang membuatkan kita tidak yakin terhadap diri sendiri atau terhadap kepercayaan kita pada Allah. Kak Raz pun selalu lalui rasa yang sama. Rasa acuh tak acuh dengan kemampuan diri, malah tidak tepati apa yang Allah mahu kita lakukan."

"Betul kak, terlalu nipis iman kita. Kadang-kadang tu, solat pun macam tak solat aja. Main patuk-patuk tapi hati dan akal tidak pada-Nya."

"Hemm.. Hati kita, Su. Hati kita ini selalu sahaja berbolak-balik dengan keadaan. Kita membiarkan keadaan mengawal kita. Kita tidak mempertahankan diri untuk mengawal keadaan. Kita tidak memenuhkan hati kita ini sebenar-benar dengan Nama-Nya. Kita ringankan kepentingan DIA kepada kita. Kita beratkan kepentingan keadaan sekeliling di dalam hati kita."

"Agaknya hati kita tak bersih." Kata Su memuncungkan bibirnya dengan wajah yang kesal.

"Hati kita pernah bersih, Su. Tapi kita sendiri yang menghitamkannya."

Kami terdiam seketika. Menghirup bayu yang menyentuh. Mendongak lagi ke langit. Mengira bintang yang tidak mampu dikira. Malam, biarpun hitam dan kelam, masih indah kerana ia ciptaan Allah. Subhanallah. Sebentar kemudian, Raz memerhatikan Su dengan soalan yang ingin Raz ketahui. Tentang hatinya kini. Namun, Raz tidak sampai hati untuk membuka kisah yang mungkin mengembalikan carik luka silamnya. Jadi Raz batalkan niat Raz untuk membuka kata.

"Kak Raz, Su nak tanya sikit boleh?" Tiba-tiba Su mengejutkan Raz.

"Erm,tanyalah." Raz tersenyum. Dia nampak acuh tidak acuh untuk meneruskan soalannya kepada Raz.

"Kak Raz pernah rasa sunyi?" Terpana dengan soalan yang menghairankan hati Raz, tetapi Raz tenangkan debar di dada. Raz carikan keikhlasan di dalam jiwa Raz sendiri.

"Sudah tentu Su. Kadang-kadang walaupun kita dikelilingi ramai manusia macam di tapak pasar malam sekalipun, kita tetap ada perasaan itu."

"Ha!Ha! Kak Raz ni kan, kalau jawab soalan orang ada saja madahnya. Tapi, betul tu kak, Su pun kadang-kadang macam tu jugak. Kadang-kadang tengah bersembang dengan kawan-kawan ramai pun, tiba-tiba terasa sunyi. Pelik betullah."

"Misteri hati. Hati kita ini Su, nampak saja seperti penuh dengan segalanya.Padat dengan rasa-rasa kehidupan yang kita lalui hari-hari, tetapi masih ada seluas ruang kosong yang masih boleh diisikan dengan sesuatu,Su."

"Macam ada sesuatu yang tidak cukup saja, kan kak?"

"Ya,Su. Ruangnya akan terus terenggang menyediakan tempat untuk sesuatu.Terpulang pada apa cara yang kita rasa wajar kita isikan ruang yang masih kosong di hati itu."

"Contohnya, kak Raz?"

Raz tersenyum lagi. Bagaimana mungkin Raz menyatakan sesuatu yang perlu diisikan di ruang kosong hati Su sedangkan dia sendirilah yang paling mengetahui apa yang perlu dan mahu dipenuhkan di dalam hatinya itu.

"Salah satu contoh yang paling baik dan tepat adalah dengan mengisikan ruang-ruang itu dengan nama Allah dan sentuhan kasih-Nya melalui amalan-amalan yang tertentu. Kak Raz rasa itu semua Su dah tahu. Selebihnya kak Raz tidak tahu kerana Su sendiri yang tahu apa yang perlu di hati Su, InsyaAllah."

Su tersenyum sipu. Raz juga tersenyum. Biarkan persoalan tentang itu tetap menjadi "Misteri di hati."

Salam kasih kerana Allah. Jagalah hati kita sebaik mungkin.

Raz.R
Senyum selalu

DIA - Selamanya di sisi



Hai,selamat pagi!
Wahai Bidadari!
Sembah salam bersama senyum ku beri
Dengan hela nafas segar,lega sekali
Masih mampu melihat matahari
Berseri.. walau mendung kelmarin
Menyelaput diri tebal sekali
Bersyukur aku pada apa yang diberi
Segalanya itu HAK-NYA yang hakiki

Wahai Bidadari..
Kesuma hati..
Lambang indahnya Kuasa Ilahi..

Kembangkan sayapmu
Terbanglah ke mana mahumu
Penuhkan hatimu..
Terang cahaya Ilahi Abadi
Hancurkan rasa dunia memusuhi
Hidupmu,ajalmu,rezekimu
juga ujianmu
Apa jua milikmu
Maha Agong yang beri
Perlu apa kau sangsi?
Terus lagi senyum berseri
Walau sejuta kencang ombak membidas
Gugur ia tersentuh kulitmu
Bagai juta permata kemilau sinarnya
Warna-warni lebih cantik dari pelangi
Tumbuh seluas lapang sebuah ladang
persis hebat seri kayangan

Wahai Bidadari
Apa jua terjadi
Bungakan hati dengan kasih Ilahi
DIA.. selamanya di sisi
Senyum lagi
Tanpa gundah melapah
"DIA.. selamanya di sisi"


Salam kasih dengan senyuman
Moga dirahmati Tuhan Sekelian Alam..
Raz.R
28.10.2011



[Jika Itu Pilihanmu]
Wahai Teman..
Sahabatku sayang..
Saudaraku tercinta..

Jika engkau telah memilih
Untuk berpisah
Dan menjauhkan dirimu
Walau tebal pujukkanku
Engkau masih mahu begitu
Aku.. hanya mampu mendoakanmu
Di kejauhan untuk pilihanmu
Dan mungkin jika engkau sedia lagi
Kembali mengikat talian ukhwah kita
Aku depangkan dada
Bukakan hatiku dengan rela
Penuh rasa gembira di jiwa
Kerana cinta Allah Taala..
Selamat pergi .. dan selamatlah kembali
Aku masih di sini
Dengan sisa usia menanti
Penuh rasa kasih di hati
Tiada sekelumitpun sangsi
Dengan langit jiwa luas sekali..



Raz.R
6.11.2011
Salam sayang dengan senyuman

Tuesday, October 25, 2011

Emosi

Tika ini
Terkubur dalam emosi
Merasuk kegilaan sangsi
Separuh jiwa diragut lesi
Gersangnya letih setiap sisi
Haruskah ia terlarut begitu sekali?








[PESALAH]

Ketika dilihat selaku pesalah
Dipintanya usah sekali mengalah
Dalam sendu diusik rasa bersalah
Dikuatkan jiwa untuk tidak menyerah
Saat terjerut lemah dan kalah
Dihulurnya tangan memimpin dan memapah
Sungguh Ar-Rahim itu Maha Pemurah
Diselimutkan hamba-Nya cinta dan tuah
Bilamana kepada-Nya keyakinan diserah
Daya yang terjatuh kembali gagah

Ya Hayyum.. Ya Qayyum.. Ya Allah!
01.11.11







[CINTA ITU DIMANA]

Ada yang bertanya
Cinta itu di mana?
Kataku, cinta itu
Di titik mula.
Titik mula itu di mana?
Pada asal titik Maha
Maha Pencipta Cinta
Setitik yang dititik-Nya ke jiwa
Dengan setitik cuma
Lautan tenang dikocak gelora
Sahara kontang dipenuhi bunga
Titik itu dari-Nya
Tidak muncul sesuka rasa
Di titik pada hati hamba-Nya
Mengikut gerak naluriah
Dua jasad satu getaran
Ditanya lagi,
Dimana cinta sejati?
Kataku, dalam ingatan hati tulus
Pada-Nya tetap dijulang tertinggi!
Ditanya lagi,
mampukah kita begitu?
Kataku, jika itu yang dimahu..

31.10.2011

Sunday, October 23, 2011

Sekadar Puisi : Langkah Itu




Langkah itu
setapak..
menjejak dekat setapak
sopan, tenang dan tunduk

Lembut
langkah itu
setapak lagi
membaca haluan bersimpang siur
agar tidak tersesat

Jejak itu diturut
Langkah itu diikut
bulat pada azam
terus melangkah
bertongkatkan iman

Perlahan dan perlahan..
menapak jiwa nan lapang
derap di laluan hati yang damai..


Salam kasih
penuh senyuman
Raz.R
23.10.2011

Aib Diri



Kedhaifan diri yang sering kita terlepas pandang. Raz pesankan untuk diri Raz sendiri yang sememangnya dhaif dengan serba-serbi khilaf sebagai manusia biasa.

Janganlah hanya kerana satu aib yang tersembunyi atau dosa kecil yang boleh ditutupi dengan kebaikannya yang lebih banyak, kita menjadi jauh dari seseorang yang pernah kita puji latar belakangnya, malah kita pernah terima cara hidupnya, kita terima kemuliaannya dan kita ketahui kemampuan berfikirnya.

Kita pasti tidak akan mendapat seorang pun yang sempurna tanpa aib dan dosa. Cubalah letakkan diri kita ini pada tempatnya, tidakkah kita terpaksa melihatnya dengan redha dan tidak menilainya dengan pandangan hawa nafsu semata?

Sebenarnya kita terlalu lemah untuk sedar bahawa apabila kita meletakkan diri kita pada tempatnya dan menilai dari persepsi yang dilaluinya akan ada sesuatu yang boleh membantu kita mendapatkan apa yang kita inginkan dan mendekatkan diri kita kepada orang yang telah kita nilai sebagai pendosa itu.

Firman Allah SWT di dalam surah-Nya dari surah An-Najm : 94..

"Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (Bahawa kamu suci bersih dari dosa) Dialah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa."

Biasakan diri kita menghisab diri sendiri terlebih dahulu sebelum kita menghukum keaiban yang lain kerana kita ini adalah manusia yang mempunyai begitu banyak kelemahan. Kadang-kadang kelemahan kita itu lebih diketahui orang lain daripada kita mengetahuinya. Kita ini adalah manusia yang sering lupa dengan apa yang kita sering nampak benar menjangkaui pandangan kecil ilmu yang ada pada diri kita sedang ilmu yang berada di sekeliling kita amat luas sehingga ia dapat meneka kelemahan-kelemahan yang tidak terfikir untuk kita menyedarinya.

Wallua'lam

Moga Allah sentiasa menyuluh nurani kita dengan hidayah-Nya agar tidak kita alpa mengenali kelemahan diri kita sendiri dan bersedia berhijrah dari dunia yang samar ke dunia yang lebih cerah dengan hikmah-Nya. Amin..


Raz.R
23 Oct 2011
Usah Terlalu Lekas
Kita Memalingkan Muka

Thursday, October 20, 2011

Senyum





Bahasa kasih
Suara sayang
mungkin hanya secembong garisan
alam tetap berseri bila memandang
Senyumlah
walau tidak mengaut balasan insan
Senyumlah
sentuhan dari cebisan cinta Tuhan..


Senyum selalu ya..

Raz.R
20.10.2011