Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Tuesday, March 29, 2011

"GAGAL BERCINTA"



Assalamualaikum.. Moga dicintai Allah sentiasa hendaknya.
Selepas memasak tadi, seperti biasa Raz berehat-santai sekejab sambil mata mengintai helaian-helaian sebuah buku karangan Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj. Pengarang yang terkenal dengan menjana motivasi minda pembacanya. Tulisannya bersahaja sesuai untuk bacaan santai. Ermm.. bagus jugak!

Tertarik dengan mukasurat yang bertajuk : GAGAL BERCINTA.

Alang-alang Raz sudah membacanya, ada baiknya Raz berkongsi dengan semua yang singgah diruangan Raz disini. Mudah-mudahan ada sesuatu yang dapat memikat kita untuk sama-sama berfikir dan mengembangkan fikiran. Lagipun, Raz tengah tandus untuk bercerita tentang 'rasa-rasi' Raz. Kita telaah pula kata-kata pakar kali ini.

Teruskan pembacaan ya... Katanya :

"Gagal bercinta barangkali kegagalan yang paling meruntun kesedihan. Agaknya lebih ramai orang menangis akibat gagal bercinta daripada kematian ibu bapa. Alangkah besarnya bahana gagal cinta kerana ia digambarkan dalam filem sebagai langit yang tiba-tiba bertukar kelabu, pokok-pokok menggugurkan daunnya hingga gondol, petir menyambar dan ribut pun terjadi.

Hampir semua orang mengalami gagal bercinta. Sebenarnya ia bukanlah cinta, sekadar suka, bahkan orang yang disukai itu sendiri pun tidak tahu dia disukai. tetapi orang yang telah jatuh berahi menganggapnya cinta dan apabila dia tidak mendapat layanan setimpal, dia menganggapnya sebagai gagal bercinta. Dia pun menangis bagaikan langit kehilangan matahari. Dunia dirasakan kelam. Dia tidak melihat sebarang cahaya yang boleh menerangi lagi.

Pada mereka yang benar-benar bercinta kemudian mengalami kegagalan, ya, mungkin mereka lebih munasabah untuk meratapinya. Namun, kenapa mesti berasa begitu hina oleh kehilangan cinta? Cinta hanyalah pada makhluk- ia menyimpan sejuta kelemahan yang tersembunyi dan disembunyikan. Mengapa berasa sangat sedih oleh kegagalan cinta?
Dia hanya manusia, penuh kelemahan dan serba kekurangan. Mengapa mesti terlalu berpatah harap? Dia tidak terkecuali dari ditimpa musibah, diulit penyakit, digelut usia tua. Mengapa hingga sanggup melupakan nikmat menyintai Tuhan hanya oleh manusia- kalaupun terlalu kacak, bakal hilang kekacakannya. Kalaupun terlalu cantik, bakal hilang kecantikannya. Kalaupun terlalu kaya, bakal pergi semua kekayaannya. Kalaupun terlalu sihat, bakal pergi menghadap Ilahi.

Cinta itu nikmat, mengapa mesti derita oleh cinta? Kegagalan cinta bukanlah penghujung dunia. Cinta hanyalah perasaan, kadang-kadang di situlah bertandangnya syaitan. Mengapa tidak faham bahawa cinta manusia tidak akan ke mana-mana, yang kekal abadi adalah kecintaan terhadap Ilahi. Mengapa anda tidak boleh menangis tatkala cinta terhadap Ilahi. Mengapa anda terfikir hendak membunuh diri semata-mata oleh cinta manusia durjana?

Tahukah anda, sewaktu anda merasai gagalnya cinta, syaitan semakin kuat ketawa kerana anda hampir kehilangan iman hanya disebabkan seorang manusia, sedangkan kegagalan mendapat kasih sayang Tuhan patut lebih diratapi. Pernahkah anda menangis mengharapkan cinta Ilahi?

Tidakkah anda berasa malu menangis oleh gagalnya cinta terhadap manusia, sedangkan Allah lebih utama untuk anda tangisi taufik dan hidayah-Nya? Cinta itu INDAH, usah dicemari oleh perilaku yang salah. Cintailah Allah sebagai keutamaan anda, kemudian cintailah Nabi, berikutnya ibu ayah anda, selepas itu guru dan juga ilmu sebagai kecintaanmu yang keempat dan kelima, dirimu sendiri.

Cintailah dirimu sebab nasib anda di akhirat ditentukan oleh sejauh mana anda mengasihi dan menyayangi diri sendiri. Anda sayangi diri, anda tidak akan merelakan diri anda melakukan pelbagai kesalahan cinta. Semua kesalahan di sini akan ditanggung oleh diri sendiri di sana kelak.

Jika anda menyayangi dan mencintai diri sendiri, anda akan berusaha agar tidak menanggung beban dan akibatnya di akhirat. Cinta seorang lelaki kepada seorang wanita sukar ditafsirkan oleh akal. Perasaan kasih dan sayangnya jarang diluahkan secara zahir, namun sebenarnya ia sentiasa mekar dan luhur.

Laluan kedua pada cinta yang gagal adalah, lupakanlah cinta itu dan binalah yang baru. Siapa tahu dia akan lebih baik. Izinkan diri anda bercinta lagi. Andainya anda sudah tidak ingin bercinta lagi, jadikanlah Allah sebagai tujuan hidup dan cintamu yang agong dan terakhir."

[Selesai kata-kata HM Tuah]

Kesimpulan yang dapat Raz fikir dari penulisan beliau, adalah tentang perilaku kita menerima gelodak mainan perasaan. Adakalanya, walaupun apa yang kita rasa itu seakan semuanya benar berpihak kepada kata hati kita, namun tidak mustahil kata hati kita itu salah melainkan kita juruskan segalanya ke jalan Allah.

Wallhua'lam.
Salam sayang seindah sayang.
Sayangi diri, sayangi peribadi, sayangi Ilahi.

MMuahks! Sesuram mana pun hati.. jangan biarkan ia gagal tersenyum!

Monday, March 28, 2011

Kuatkan Hati Kerana Ilahi




Ketika kita inginkan kekuatan, kuatlah kita dengan Allah subhanahuwata'ala.
Ketika kita mahu melakukan segala urusan kehidupan, lakukanlah segalanya dengan meletakkan sepenuhnya hati kita kerana Allah jua. Sesungguhnya yang baik itu sentiasa hadir dari kebaikan Allah dan yang buruk itu adalah dari kealpaan dan kelemahan kita menghalang diri dari godaan syaitan laknatullah.

"Kebahagiaan orang yang sentiasa berjalan di atas jalan yang lurus kerana Allah ialah, ketenangan akan bangkit bersamanya selalu. Dia akan merasa lapang dengan pengkakhiran yang baik untuk setiap masalah yang dihadapinya dan meletakkan keyakinan diri dengan hati yang P.E.N.U.H terhadap janji-janji Ilahi padanya. Dia tetap rela dan redha atas setiap langkahnya dan mengawal diri TETAP ke jalan yang satu ini... LILLAHITA'ALA."

Moga ada kebahagiaan menanti untuk apa sahaja yang kita lalui kerana Ilahi. Amin.
Assalamualaikum.
Selembar sayang, sekuntum segar senyuman.
Selamat pagi...Kuatkan hati kerana Ilahi. MMuahks!

Sunday, March 27, 2011

PENGORBANAN





Salam penuh rahmah dan mohon petunjuk Allah untuk segala-galanya dalam kehidupan kita. Apa khabar yang membaca bisikan kecil Raz di sini? Moga Allah dahulukan kita dengan kesihatan yang baik, rezeki yang baik dan hati yang baik hendaknya. Amin.

Kelmarin, Raz memang teringin untuk menulis sesuatu diruang ini. Negatifnya, Raz dibuntukan oleh beberapa perkara yang menolak Raz menulis. Masih terusik dengan bayangan silam yang tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada Raz. Raz sedar itu. Namun, apalah daya Raz. Mungkin hati Raz belum cukup tulus dan redha menerima kejadian-kejadian yang menurap kerikil tajam, menjadikan ia ingatan yang kejam.. Entahlah. Kelemahan Raz. Kata orang, kadang-kadang masa perlu diberikan pada diri sendiri untuk mengenal pasti apakah pengajaran disebalik pengalaman yang dilalui. Tetapi nampaknya, semakin Raz meluangkan masa tersebut, semakin pula ia menjadi pontianak yang mengusik-usik dan menghantui fikiran Raz dengan pelbagai persoalan dengan jawapan yang tidak ada kepastian.

Dalam hati kecil Raz, sekilas keikhlasan ini... bergelodak dengan dua rasa:-

1) Raz ingin terus menapak hidup dengan apa yang telah diberi oleh Allah swt seadanya diri Raz.
2) Raz inginkan kekuatan untuk mengorbankan perkara yang menjadi kegembiraan Raz, demi untuk kegembiraan yang lain.

Kedengaran seperti amat mudah untuk dilaksanakan. Kata orang, "Kita permudahkan apa yang payah; kita senangkan apa yang susah." Namun bila segalanya terletak pada diri untuk membuat keputusan... seperti biasa.. ia memerlukan ketahanan diri yang amat luar biasa. Dan selalunya!!! Selalunya.. usaha kita akan menempa berkali-kali kegagalan yang tidak kita sangka.

Seringkali, kehidupan ini menuntut kita dikorbankan atau membuat pengorbanan. Samada pengorbanan itu melibatkan orang lain atau menghindari keburukan masa hadapan sendiri. Sesungguhnya Allah lebih mengerti segalanya.

Banyak nasihat yang Raz terima. Malah, nurani sendiri juga telah menegur diri Raz. Perjuangan perlu diteruskan. Apa yang perlu direbut, rebutlah! Apa yang perlu diketepikan, lepaskanlah!

Namun, HARAPAN kita seringkali meletakkan kita dimensi yang SERBA SALAH. Bingung!
"Ditelan mati emak; diluah mati bapak; dikunyah mati diri." Ya Allah.. ! Petunjuk Allah yang diperlukan.

Adakala, usaha dan perjuangan yang kita lalui, jikapun ia untuk masa hadapan kita sendiri, ia tetap melibatkan masa hadapan orang lain. Mungkin, masa hadapan ramai orang lagi.

Lantas, kita terpaksa bermuhasabah dengan terperincinya dan memandang jauh setiap tindakkan yang cuba kita lakukan. Di situ, dalam terpaksa atau rela.. apa yang diharapkan untuk diri sendiri, perlu dikorbankan.

Wallhua'lam.

Bersabarlah menanti jalan keluar yang benar-benar terpilih.
Dengan Kasih Allah dan Rasulullah.
MMuahks!

Friday, March 25, 2011

Mulakan bangunmu dengan DOA



Ya Allah..
Kupersembahkan diriku sebagai hamba-Mu yang tidak berdaya.
Kutadahi kelemahanku memohon akan kekuatan-Mu.
Tolong Ya Allah.. demi Kebaikan-Mu yang Paling Baik diantara segalanya.
Perbaiki hidupku, perbaiki hatiku, perbaiki akhlakku.
Berikanlah aku sebaik hidayah dan petunjuk-Mu.

Ya Robbi.. Ya Kekasih segala kekasih..
Kasihi aku dengan kasih-Mu
Ampunilah aku dengan pengampunan-Mu
Ampuni aku, kasihanilah aku..
sesungguhnya Engkaulah tempat aku memohon pengampunan

Ya Arhamarrahiminarhamna...
Ampuni dan kasihi ayah bondaku,
berikanlah mereka akan segala kebaikan-Mu.
Sediakan mereka syurga terbaik-Mu.
Permudahkanlah urusan dunia dan akhirat mereka.
Lindungi mereka, panjangkan usia mereka.
Sungguh, mereka adalah kurniaan-Mu yang terindah
dalam hidupku.

Ya Allah...
Selamatkanlah seluruh keluargaku,
Selamatkanlah adik-adikku yang kusayangi
sayangi mereka dengan perlindungan-Mu
sayangi mereka Ya Allah, dengan segala kurniaan terbaik-Mu.

Ya Allah...
Selamatkanlah kesucian agama yang telah engkau sediakan bagiku
bagi seluruh semesta alam ini
Rahmatilah saudara-saudara seagamaku
perbaikilah kami dengan hanya jalan-Mu semata.

Sungguh, Engkau memiliki segala kehebatan, Ya Allah... Ya Tuhan kami
sentuhlah kami dengan cahaya kehebatan-Mu.

Amin Ya Robbal Alamin.

Salam kasih semurni hati.. Raz.R
Moga Jumaat ini menjadi permulaan yang lebih baik untuk meniti hari selanjutnya.
MMuahks! Sama-samalah kita mulakan kehidupan kita dengan doa yang setulusnya.

Thursday, March 24, 2011

BENCI




Sesekali apabila rasa kecewa dan marah menular di dalam dada, "Yes!Of course!" ada benci yang membara. Itu fitrah dari kecil dan dhaifnya manusia. Iman yang tidak seberapa.

Seperti selalunya, Raz mengakui yang Raz ini bukanlah semaksum manusia. Sama seperti orang lain juga. Dalam diri Raz ada pelbagai perasa - Manis, masam, pahit, kelat, masin, payau.. semua ada. Ada hari Raz manis dan dihari lain pula Raz jadi masam. Sesekali diri akan terjerumus di dalam aura tanpa kawalan juga. Batas-batas sabar yang tidak mampu dibendung. Terpelecot sedikit. Apa nak buat. Terlajak perahu, boleh diundur, terlajak marah.. dah marah dah pun.

Seingat Raz, hemm.. memang Raz pernah membenci pada beberapa orang. Bukan kerana penampilan, tetapi kerana sikap mereka. Manusia, kadang-kadang terlalu keterlaluan di dalam sesetengah perkara buruk. Hingga keadaan sekeliling menjadi haru-biru dan kacau bilau. Ketenteraman akan hilang apabila hadirnya sikap begitu dikalangan kelompok-kelompok tertentu. Perkara yang elok menjadi janggal kerana adanya sikap yang malang ini. Kebencian akan timbul apabila sikap buruk tersebut mempengaruhi orang lain supaya mengeruhkan suasana tenang. Nauzubillahiminzalik.

Namun, Raz percaya yang kebencian tersebut tidak perlu berlama-lamaan. Individu yang membuat onar dalam kehidupan orang lain itu mungkin akan berjaya pada peringkat mula. Tetapi dia akan gagal juga pada akhirnya. Masa penentu segalanya dan masa juga penentu tahap kesabaran kita. Tapi, sampai bila ya?.. Tak mengapa.. sesungguhnya Allah beserta kita yang sabar.

Biarlah..., biarlah orang lain mengkhianati kita, namun jangan kita mengkhianati orang lain. Mungkin kebencian itu akan berbalik pada diri sendiri. Kalau kita benci orang lain, tak mustahil orang lain juga akan membenci kita.

Benci perkara buruk itu baik. Itu akan mengelakkan kita dan menghindari perkara-perkara buruk tersebut. Yang perlu kita usahakan sekarang ialah berusaha untuk tidak terlalu meletakkan kebencian yang terlampau kepada sikap yang buruk. Kita sendiri tidak terlepas dari mempunyai sikap yang buruk yang mungkin tidak kita sedari. Hidayah Allah akan terkias kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Dan, manusia itu boleh berubah mengikut masa dan pengajaran hidupnya. InsyaAllah.

Imbangkan rasa benci jika ia muncul. Kita yang hidup di dalam rasa benci yang melampau akan hidup dalam penderaan jiwa yang sangat menyiksa. Setiap kali mendengar nama orang yang kita benci disebut, fikiran kita akan menjadi keruh. Malah, kadang-kadang, jika ada yang memujinya, hati kita menjadi panas.

Acapkali, kebencian kita lebih jauh besar daripada penyebab kebencian tersebut. Kebencian yang panjang, hanya akan menimbulkan konflik dalaman yang membuatkan diri kita sengsara.

Surutkanlah kebencian tersebut dengan bertolak ansur pada diri dan pada orang lain dengan sabar. Doakanlah mereka yang kita benci itu agar ada ruang untuknya menerima hidayah dan petunjuk Ilahi. Mohonlah kepada Allah untuk petunjuk itu diberi kepada kita juga agar kita tidak terlalu membenci dan mudah memberi kemaafan kepada kebencian yang wajar dimaafkan.

Jom, kita mula memberi salam dan senyum kepada mereka yang kita benci kerana kita yang terbaik adalah kita yang sering memulakan perkara yang baik. InsyaAllah, segalanya akan menjadi baik dengan kebaikan Allah SWT.

Amin Ya Robbal Alamin.

MMuahks!
Love all of you.

Hate you but still love You.. Boleh, macam tu? ;-)

Dahan Yang Rapuh





Assalamualaikum..
Moga sejehtera di bawah lindungan dan nikmat kurniaan Allah SWT hendaknya. Amin.


Alangkah damainya jika Raz mampu pergi ke tempat-tempat yang indah seperti gambar yang Raz lekatkan diruang ini. Cantik sungguh ciptaan Ilahi. Jika dunia dicipta sebegini indahnya, tidak dapat Raz bayangkan syurga yang telah diciptakan-Nya di 'sana'. Benar, memang benar syurga itu ada! Raz percaya. Jika DIA telah menciptakan bumi yang sebegini uniknya, sudah pasti DIA mampu menciptakan yang lebih istimewa.

Namun, mampukah Raz berada disyurga-Nya. Layakkah Raz? Apalah besarnya kemuliaan yang Raz ada untuk Allah anugerahkan Raz syurga-Nya? Astaghfirullahalazim, begitu ketiadaan ini mengingatkan Raz hidup yang sering bergantung pada dahan yang rapuh. Mengharapkan dunia menjadi indah seindah-indahnya, namun lupa bahawa masih ada kurniaan Allah yang lebih indah.

Kadang-kadang, kita takut untuk melalui hidup sendirian, seolah dunia inilah tempat kekal untuk kita. Kita bimbang semua penderitaan yang kita lalui akan membuatkan kita hilang arah dan tujuan. Kita risau kita akan hidup dalam suasana suram tanpa tangan memapah dan menemani kita saat kegusaran. Kita seram hidup kita karam dan terkapai tanpa dahan untuk bergantung. Namun, dahan manakah yang lebih HIDUP dan kuat untuk kita bergantung sebenarnya?

Manusia- memang boleh memberikan kita dahan untuk bergantung, namun dahan itu masih belum menjanjikan apa-apa yang utuh. Jika dahan yang diberikan manusia itu adalah dahan yang datang dari Allah, bersyukurlah sebanyak-banyaknya bahawa saat itu, kitalah yang paling bertuah.

Jika tiada yang menghulurkan dahan yang sebenar untuk kita bergantung, ketahuilah bahawa dahan itu telah tersedia pada diri kita dimana jua dan walau apa pun situasi kita berada. Yang kita perlu adalah yakin dan percaya.

Ya Allah, moga Engkau ampuni aku dan izinkan aku bergantung didahan-Mu tanpa sedikitpun rasa ragu. Amin.

Salam kasih sepenuh hati,
dengan kasih Allah hidup lebih beerti.

MMMuahhks..!

Wednesday, March 23, 2011

Maafkanlah Diri





"Jadilah insan yang baik, InsyaAllah kehidupan akan menjadi baik."

"Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia adalah satu proses uzlah yang panjang dan sukar sekali dapat kita tentukan samada kita telah menjadi insan yang baik atau belum."

Assalamualaikum wbt dan selamat pagi dengan seindah kasih, semurni sayang Raz berikan kepada yang sudi membaca bingkisan Raz yang tidak ada apa-apa istimewanya. Hanya seuntai kata-kata tentang pengalaman kerdil diri seorang insan biasa yang tidak punya apa-apa.

Moga Allah merahmati hidup kita dengan petunjuk yang lurus dan kekuatan jiwa untuk tetap meluruskan tauhid dan istiqamah kita terhadap kebaikan-kebaikan yang disediakan Allah dalam zahir mahupun batin.

Hari ini Raz bercuti. Alhamdulillah sedang cuba mencari ruang terhadap diri sendiri sambil mengasah jiwa dan hati untuk mencari apa sebenarnya yang perlu Raz cari. Raz sedang cuba meringankan bebanan-bebanan yang diterima. Memahami hikmah ujian-Nya.

Ampun dan maaf Raz pinta di atas tulisan-tulisan Raz yang agak 'meronta hiba' sejak kebelakangan ini. Luahan Raz itu membuktikan bahawa Raz belum lagi insan perkasa yang dapat memperbaiki diri sepenuhnya. Seperti di awal ayat yang Raz tulis, memang kita ini bercita-cita untuk menjadi baik dan terus menjadi insan yang terbaik. Namun, semua itu memerlukan pengorbanan yang banyak dan hati yang amat-amat tega untuk melepaskan sesuatu yang kita terpaksa dilepaskan walau kita SAYANG SEPARUH NYAWA sekalipun! Wallahua'lam. Demi sebuah perubahan. Demi kebaikan masa sekarang atau masa hadapan.

Persepsi diri yang harus berada dihadapan untuk sebarang perubahan adalah KEMAAFAN yang ikhlas. Memaafkan diri sendiri atas sesuatu tragedi itu adalah aura yang amat baik untuk kita mula memaafkan yang lain. Itulah yang sedang Raz cuba lakukan. Seterusnya, kita perlu menghindar diri dari meminta balasan untuk apa sahaja kebaikan yang kita lakukan. Lepaskanlah segala harapan untuk menerima balasan daripada insan kepada mengharapkan Allah membersihkan kekotoran hati yang bertitik-titik dipermukaannya. InsyaAllah.. InsyaAllah.. InsyaAllah... semuanya akan baik nanti.

Ujian, sememangnya sedang mengajar kita untuk matang dalam mengerjakan ibadah-ibadah Allah. Ujianlah juga yang sering membawa kita tergelincir ke dalam telaga kekhilafan diri yang sarat. Ujian jugalah yang sedang membantu kita belajar memaafkan diri sendiri untuk memohon kemaafan Ilahi. Teruslah berhenti memperdayakan diri sendiri yang mendorong kita merasakan diri kita tidak boleh dimaafkan. Belajarlah memaafkan kelemahan diri dan mohonlah keampunan daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan DIA sentiasa bersedia untuk doa-doa kita.

Semoga kemaafan hari ini membuatkan kita memiliki jiwa yang mutmainnah (tenang).
Semoga kemaafan hari ini membuka gerbang luas untuk perubahan dan kecemerlangan yang seterusnya .... HANYA KERANA ALLAH.

Maafkanlah diri dan senyumlah dengan penuh kemaafan kepada sesiapa jua pun.

Salam kasih.. MMMuahks!