Semangat kata untuk memaniskan jiwa
1)Sabarlah.
“Terimalah kepedihan itu sebagai ubat. Yang sedih itu penawar. Siapalah kita ini… kita hanya hamba, bukan tuan, bukan Tuhan. Sebagai hamba kita layak diuji. Tidak ada pilihan, kekadang ada perkara berlaku tidak seperti yang kita mahu. Ujian ini termaktub. Sama ada kita terima atau tidak, ia tetap berlaku. Pilihan yang masih tinggal buat kita ialah, untuk sabar atau tidak. Jika sabar, ada kebaikan dan manfaatnya. Jika tidak sabar, banyak keburukan dan mudaratnya.”
2)Sabarlah
"Saat kita melalui rintangan yang hebat dan seseorang melakukan sesuatu yang menyakiti hati kita, berjanjilah pada diri sendiri dan pada ALLAH, yang kita takkan melakukan perkara yang sama pada orang lain...
Dengan sesiapapun kita berinteraksi, dengan teman-teman, rakan sekerja, dengan sanak-saudara, dengan ibu ayah, dengan bos atau sesiapa saja - ada saja hal-hal yang buat kita panas hati dan kita rasa, kalau orang boleh sakitkan hati kita - kenapa kita tak boleh kan?????
Lindungilah diri dengan 'Auzubillah, sesungguhnya kita hidup untuk ALLAH. Moga ALLAH memelihara kita dari perilaku jahat yang dibisikkan syaitan. ALLAH ajar kita untuk tolak keburukan dengan kebaikan. Rasul SAW ajar kita untuk memaafkan dan berlapang dada serta bersabar.
Biar orang lain yang jahat, kita pilihlah untuk tetap baik, untuk syurga ALLAH. Untuk redha ALLAH. Kita nak Rasullullah SAW bangga dengan akhlak kita.
3)Sabarlah
Kehidupan ini adalah perjuangan dan tarbiyah yang mengingatkan diri untuk kembali ke jalan Allah sentiasa.
Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman
Saturday, December 21, 2013
Biarlah Apa Kata Orang- ALLAH ADA
Friday, December 20, 2013
Lama Benar
"Lama benar...
kita bersuara,
hingga hilang jenaka,
pudar selingan ketawa.
Lama benar...
kita bersangka,
hingga hilang mesra,
luntur penyeri suka.
Lama benar...
kita berpura-pura,
hingga kita lupa,
asal kita sebenarnya."
Monday, December 16, 2013
Sikap Kita; Sikap Orang
Kita tengok, kita rasa...
Semua orang silap belaka
Kita silap tidak kita rasa
Itulah kita...
Sedar keburukan di depan mata
Tak sedar kepincangan diri sendiri
Sikap kita,
Buruk pun tak apa
Jika baik, lagi-lagi tak apa
Kononnya buruk kita bersebab
Walau kita salah, tidak kita bersalah
Tidak ingin mengalah
Sikap orang,
Bila buruk, mudah dibesarkan
Cerita sehasta jadi sekajang
Mengumpat mencela tersangat senang
Makin manis yang nista diulang-ulang
Yang busuk semakin hanyir
Yang baik hilang bagai diusir
Sikap kita,
Bila ditegur mata menjeling
Apa yang baik tak ambil pusing
Semakin marah semakin bising
Berbaik tak mahu, bermusuh jadi penting
Sikap orang,
Kita menegur tidak dipatuh, kita yang runsing
Kononnya degil, tak ingin dicermin
Mulalah mencuka wajah berhati dingin
Sikap orang; Sikap Kita
Tanpa iman di dada
Tiada ikhlas di jiwa
Sama saja...
Raz.R
→ Muhasabah : "Menunding jari, benang basah masakan berdiri."
Monday, December 2, 2013
Siapa Yang Kita Takut?
Perjalanan hidup kita ini banyak disogokkan dengan rasa takut. Mata kita sentiasa melingkari di hujung jelingan semesta dengan rasa takut. Tiap kali kita mahu memulakan sesuatu langkah, perkara mula yang kita terap pada hati kita adalah takut. Takut gagal. Takut bersalah. Takut sakit. Takut malu. Takut kecewa. Takut menderita. Takut bersuara benar.Takut dimarahi. 'Takut! Takut! Takut!'
♥"Apabila seorang manusia itu hanya takutkan Allah, maka tidak ada sesuatu yang mampu menyakitinya."(Ibn Umar)♥
Tekanan dalam rasa takut inilah yang menyekat kita berbuat sesuatu keputusan sekalipun ia adalah hal yang baik dan terbaik untuk diri kita.
Tidak dinafikan perasaan takut itu perlu ada di dalam jiwa kita. Dunia ini dipenuhi pelbagai syaitan yang bertopengkan manusia. Kita sedang hidup di dalam dunia yang menyebabkan diri kita takut dan hati-hati terhadap sekeliling melebihi daripada takut kita kepada Allah Subhanahuwata'ala.
Firman Allah Swt :
“iaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang(pun) selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan”(QS. 33:39).danFirman Allah Swt lagi:
“Dan barang siapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang- orang yang mendapat kemenangan” (QS. 24:52).
Cuba kita tafakkur dan nilai ke arah mana takut kita yang kita pegang sehingga kini. Siapa yang kita takut? Hitunglah peratus ketakutan kita dimana. Timbangkanlah beratnya di sebelah mana. Samada ia menjunam kepada takutkan Allah seluruhnya atau takutkan apa pandangan manusia semata-mata.
Tanyalah diri sendiri.
Bilamana kita takutkan Allah, kita akan berani berbuat keputusan yang benar. Apabila kita takutkan apa yang bakal manusia pandang mengenai kita, keputusan yang benar kekadang bertukar salah.
Wallhua'lam bissowab.
Moga Allah melindungi iman kita. Ameen....
Sunday, December 1, 2013
Asas Solat Yang Berilmu
Bissmillahirrahmaanirrohim...
Raz suka untuk merantaikan perkongsian ini di halaman Raz untuk sama-sama terus kita ingat kepentingan bersolat dengan ilmu bagi mencapai keberkatan dan keberkesanan kasih-sayang Allah swt dalam setiap ibadah kita.
Ibadah yang pertama sebelum memulakan ibadah yang lain agar ia benar-benar bererti adalah 'SOLAT'. Andaikata baik solat yang kita kerjakan maka baiklah amalan-amalan kita yang lain, In-sya-Allah.
Tulisan ini diambil dari laman seorang sahabat untuk pembacaan dan amalan bersama. Semoga mendapat keredhaan Allah Ta'ala. Ameen.
Belajar dan menuntut ilmu tentang ibadah yang akan kita kerjakan, supaya nanti ibadah yang kita laksanakan itu molek dan sempurna.
Kerana jika tidak dipelajari, besar kemungkinan ibadah yang kita lakukan itu tidak sah atau rosak. Paling tidak pun, rendah mutunya.Justeru pentingnya ilmu sebelum beribadah ini maka Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:"Ilmu itu merupakan imam kepada amal, sedangkan amal itu pula menjadi pengikutnya (sebagai makmum)"
Hadith Riwayat Abu Nu’aim.Sabdanya lagi yang bermaksud:"Bahawasanya tidur dalam keadaan berilmu adalah terlebih baik dari solat dalam keadaan jahil"
Hadith Riwayat Abu Nu’aim.Selain itu, dengan ilmu yang kita pelajari ini, akan membuatkan seseorang itu berasa benar-benar takut kepada ALlah s.w.t.Firman Allah dalam surah Al-Fatir ayat 28 yang bermaksud:"Sesungguhnya yang takut kepada Allah daripada segala hamba-Nya ialah para ilmuan (yang beriman)."Perasaan takut kepada Allah akan menimbulkan rasa kehebatan, keagungan, kebesaran, ketinggian, kemuliaan, dan kekudusan Allah s.w.t.Dari perasaan takut itulah yang akan menghasilkan khusyuk yang merupakan perkara yang amat penting sekali dalam ibadah solat seseorang hamba Allah yang mahukan kemenangan dunia dan akhirat.Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Mukminun
ayat 1 - 2 yang bermaksud:"Sesungguhnya telah beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya."
Rukun Qauli dalam solat, WAJIB berlafaz sampai didengari oleh telinga sendiri , tak kira lelaki atau wanita. Berbisik, tak sah. suara angin, tak sah. Baca dalam hati, lagi tak sah. Satu huruf tidak terdengar pun al- fatihah tu tak sah. Kecuali kita berada di tempat bising atau speaker masjid kuat sangat.
Rukun qauli tu apa? Takbiratul ihram, Al-Fatihah, tahiyyat akhir, selawat dan salam pertama. ada 5 sahaja . yang lain rukun fi'li. niat rukun qalbi.
Rukun solat terbahagi kepada tiga kategori:
1. Qalbi (diingat dalam hati)
2. Qauli (diucap dengan lidah)
3. Fi'li (perbuatan)
Rukun solat ada 13 perkara iaitu:
1. Berdiri bagi yang mampu. [Fi'li]
2. Niat.[Qalbi]
3. Takbiratul Ihram (Allahu Akhbar yang
pertama). [Qauli]
4. Membaca surah Al-Fatihah. [Qauli]
5. Rukuk dengan tama'ninah .[Fi'li]
6. Iktidal dengan tama'ninah. [Fi'li]
7. Sujud dengan tama'ninah. [Fi'li]
8. Duduk di antara dua sujud, dengan
tama'ninah. [Fi'li]
9. Duduk Tasyahhud akhir. [Fi'li]
10. Membaca bacaan Tasyahhud Akhir.[Qauli]
11. Selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.
dalam Tasyahhud Akhir. [Qauli]
12. Mengucapkan salam yang pertama.[Qauli]
13. Tertib [Qalbi]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman",yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka);kerana Allah mempunyai banyak nama- nama yang baik serta mulia". Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara
itu. (Surah Al-`Isra' ayat 110)
Terima kasih.
Saturday, November 30, 2013
Pelita Kalbu
Desir hati berombak lagi...
Kala aku ingin kuat,Ada saja yang melemahkan.Kala aku ingin bangun,Ada yang merebahkan.Kala aku ingin tersenyum,Ada yang memuramkan.Kala aku ingin ketawa,Ada yang menyedihkan.Kala aku ingin berjaya,Ada yang merebahkan.
Kencangnya pusaran taufan...Sesekali bersembunyi di dalam kelamDiam menanti, pelita kalbu bercahaya lagi.
Raz.R
30/11/2013 @ 14:00:00 PM
Kifarah
Hakikatnya, kita selalu menangis dan kekadang kita tanyakan apakah sebabnya tangisan tersebut, kan?
Percayalah, semua tangisan itu juga kehendak Allah Ta'ala. Mudah-mudahan walau sedikit, lalu dosa-dosa silam kita terampun oleh DIA Yang Maha Pengampun dan Pengasih.
Rasa sakit, gelisah, hampa, gagal, kecewa atau yang lain-lain melibat sesak yang meruntun jiwa, In-sya-Allah, semua itu adalah hasil dari kesilapan atau dosa-dosa silam yang sedang ditayangkan pada kita di dunia. Apabila kita faham bahawa unsur tidak sihat yang kita alami di dunia ini adalah kifarah untuk menyucikan hati kita daripada dosa dan petunjuk yang membawa kita kembali ke jalan yang sebenar, maka iman kita dipulihkan Allah SWT secara perlahan.
Tiap kali kita menerima kesedihan, anggap saja Allah sedang menunjukkan kepada kita jalan 'KOREKSI DIRI' awal sebelum kita menemui-Nya nanti.
Mudah-mudahan kita digolongkan bersama mereka yang diampuni dosa. Ameen Ya Robbal 'Alamin.
Subscribe to:
Posts (Atom)






