Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Monday, December 2, 2013

Siapa Yang Kita Takut?



Perjalanan hidup kita ini banyak disogokkan dengan rasa takut. Mata kita sentiasa melingkari di hujung jelingan semesta dengan rasa takut. Tiap kali kita mahu memulakan sesuatu langkah, perkara mula yang kita terap pada hati kita adalah takut. Takut gagal. Takut bersalah. Takut sakit. Takut malu. Takut kecewa. Takut menderita. Takut bersuara benar.Takut dimarahi. 'Takut! Takut! Takut!'

Tekanan dalam rasa takut inilah yang menyekat kita berbuat sesuatu keputusan sekalipun ia adalah hal yang baik dan terbaik untuk diri kita.

Tidak dinafikan perasaan takut itu perlu ada di dalam jiwa kita. Dunia ini dipenuhi pelbagai syaitan yang bertopengkan manusia. Kita sedang hidup di dalam dunia yang menyebabkan diri kita takut dan hati-hati terhadap sekeliling melebihi daripada takut kita kepada Allah Subhanahuwata'ala.

 Firman Allah Swt :
“iaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang(pun) selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan”(QS. 33:39).
dan
  Firman Allah  Swt lagi:
“Dan barang siapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang- orang yang mendapat kemenangan” (QS. 24:52).



Cuba kita tafakkur dan nilai ke arah mana takut kita yang kita pegang sehingga kini. Siapa yang kita takut? Hitunglah peratus ketakutan kita dimana. Timbangkanlah beratnya di sebelah mana. Samada ia menjunam kepada takutkan Allah seluruhnya atau takutkan apa pandangan manusia semata-mata.

Tanyalah diri sendiri.

Bilamana kita takutkan Allah, kita akan berani berbuat keputusan yang benar. Apabila kita takutkan apa yang bakal manusia pandang mengenai kita, keputusan yang benar kekadang bertukar salah.

Wallhua'lam bissowab.

Moga Allah melindungi iman kita. Ameen....
♥"Apabila seorang manusia itu hanya takutkan Allah, maka tidak ada sesuatu yang mampu menyakitinya."(Ibn Umar)♥





Sunday, December 1, 2013

Asas Solat Yang Berilmu


Bissmillahirrahmaanirrohim...
Raz suka untuk merantaikan perkongsian ini di halaman Raz untuk sama-sama terus kita ingat kepentingan bersolat dengan ilmu bagi mencapai keberkatan dan keberkesanan kasih-sayang Allah swt  dalam setiap ibadah kita. 
Ibadah yang pertama sebelum memulakan ibadah yang lain agar ia benar-benar bererti adalah 'SOLAT'. Andaikata baik solat yang kita kerjakan maka baiklah amalan-amalan kita yang lain, In-sya-Allah.

Tulisan ini diambil dari laman seorang sahabat untuk pembacaan dan amalan bersama. Semoga mendapat keredhaan Allah Ta'ala. Ameen.

Belajar dan menuntut ilmu tentang ibadah yang akan kita kerjakan, supaya nanti ibadah yang kita laksanakan itu molek dan sempurna.
Kerana jika tidak dipelajari, besar kemungkinan ibadah yang kita lakukan itu tidak sah atau rosak. Paling tidak pun, rendah mutunya. 
Justeru pentingnya ilmu sebelum beribadah ini maka Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Ilmu itu merupakan imam kepada amal, sedangkan amal itu pula menjadi pengikutnya (sebagai makmum)"

Hadith Riwayat Abu Nu’aim.
Sabdanya lagi yang bermaksud:
"Bahawasanya tidur dalam keadaan berilmu adalah terlebih baik dari solat dalam keadaan jahil"

Hadith Riwayat Abu Nu’aim.
Selain itu, dengan ilmu yang kita pelajari ini, akan membuatkan seseorang itu berasa benar-benar takut kepada ALlah s.w.t. 
Firman Allah dalam surah Al-Fatir ayat 28 yang bermaksud:
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah daripada segala hamba-Nya ialah para ilmuan (yang beriman)."
Perasaan takut kepada Allah akan menimbulkan rasa kehebatan, keagungan, kebesaran, ketinggian, kemuliaan, dan kekudusan Allah s.w.t.
Dari perasaan takut itulah yang akan menghasilkan khusyuk yang merupakan perkara yang amat penting sekali dalam ibadah solat seseorang hamba Allah yang mahukan kemenangan dunia dan akhirat.
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Mukminun
ayat 1 - 2 yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya."

Rukun Qauli dalam solat, WAJIB berlafaz sampai didengari oleh telinga sendiri , tak kira lelaki atau wanita. Berbisik, tak sah. suara angin, tak sah. Baca dalam hati, lagi tak sah. Satu huruf tidak terdengar pun al- fatihah tu tak sah. Kecuali kita berada di tempat bising atau speaker masjid kuat sangat.
Rukun qauli tu apa? Takbiratul ihram, Al-Fatihah, tahiyyat akhir, selawat dan salam pertama. ada 5 sahaja . yang lain rukun fi'li. niat rukun qalbi.

Rukun solat terbahagi kepada tiga kategori:
 

1. Qalbi (diingat dalam hati)
2. Qauli (diucap dengan lidah)
3. Fi'li (perbuatan)

Rukun solat ada 13 perkara iaitu:


1. Berdiri bagi yang mampu. [Fi'li]
2. Niat.[Qalbi]
3. Takbiratul Ihram (Allahu Akhbar yang
pertama). [Qauli]
4. Membaca surah Al-Fatihah. [Qauli]
5. Rukuk dengan tama'ninah .[Fi'li]
6. Iktidal dengan tama'ninah. [Fi'li]
7. Sujud dengan tama'ninah. [Fi'li]
8. Duduk di antara dua sujud, dengan
tama'ninah. [Fi'li]
9. Duduk Tasyahhud akhir. [Fi'li]
10. Membaca bacaan Tasyahhud Akhir.[Qauli]
11. Selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.
dalam Tasyahhud Akhir. [Qauli]
12. Mengucapkan salam yang pertama.[Qauli]
13. Tertib [Qalbi]
 
Katakanlah (wahai Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman",yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka);kerana Allah mempunyai banyak nama- nama yang baik serta mulia". Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara
itu. (Surah Al-`Isra' ayat 110)

Terima kasih.

Saturday, November 30, 2013

Pelita Kalbu


Desir hati berombak lagi...

Kala aku ingin kuat,
Ada saja yang melemahkan.
Kala aku ingin bangun,
Ada yang merebahkan.
Kala aku ingin tersenyum,
Ada yang memuramkan.
Kala aku ingin ketawa,
Ada yang menyedihkan.
Kala aku ingin berjaya,
Ada yang merebahkan.


Kencangnya pusaran taufan...
Sesekali bersembunyi di dalam kelam
Diam menanti, pelita kalbu bercahaya lagi.




Raz.R
30/11/2013 @ 14:00:00 PM

Kifarah


Hakikatnya, kita selalu menangis dan kekadang kita tanyakan apakah sebabnya tangisan tersebut, kan?

Percayalah, semua tangisan itu juga kehendak Allah Ta'ala. Mudah-mudahan walau sedikit, lalu dosa-dosa silam kita terampun oleh DIA Yang Maha Pengampun dan Pengasih.

Rasa sakit, gelisah, hampa, gagal, kecewa atau yang lain-lain melibat sesak yang meruntun jiwa, In-sya-Allah, semua itu adalah hasil dari kesilapan atau dosa-dosa silam yang sedang ditayangkan pada kita di dunia. Apabila kita faham bahawa unsur tidak sihat yang kita alami di dunia ini adalah kifarah untuk menyucikan hati kita daripada dosa dan petunjuk yang membawa kita kembali ke jalan yang sebenar, maka iman kita dipulihkan Allah SWT secara perlahan.

Tiap kali kita menerima kesedihan, anggap saja Allah sedang menunjukkan kepada kita jalan 'KOREKSI DIRI' awal sebelum kita menemui-Nya nanti.

Mudah-mudahan kita digolongkan bersama mereka yang diampuni dosa. Ameen Ya Robbal 'Alamin.

Monday, September 23, 2013

Dulu...


Dulu...
Dia ambil berat tentang awak..., awak buat tak tahu.
Dulu...
Dia selalu tanya khabar awak.., awak buat tak tahu.
Dulu...
Dia gembirakan hati awak..., awak buat tak tahu.
Dulu...
Awak marahkan dia, awak tak pujuk.., awak buat tak tahu.
Dulu...
Dia sabar dan setia dgn awak, awak tak kisah.., awak buat tak tahu.
Dulu...
Dia tolong awak, ringankan susah awak.., awak buat tak tahu.
Dulu...
Dia doakan awak, tenangkan awak..., awak buat tak tahu.
Dulu...
Dia sakit, dia beritahu awak.., awak buat tak tahu.
Dulu...
Dia nasihatkan awak, sokong awak.., awak buat tak tahu.
Dulu...
Dia kata, dia sayang awak... awak buat tak tahu.
Dulu...
Dia diam, sepi, mengalah..., awak buat tak tahu.

Sekarang...
Bila semua tentang awak dia tahu, tetapi dia sudah tidak lagi mahu tahu, barulah awak tahu, banyak hal yang awak ingin tahu tentangnya sudah terlambat utk diambil tahu.

Samada dulu atau sekarang ada kesimpulan.



Thursday, September 12, 2013

Puncak Harapan Saat Sendirian




Bissmillahirrahmanirrahim....

Meletakkan segunung harapan bagi 'Happy Ending Forever', amatlah indah, namun mengecapinya terlalu jarang ditemukan dan jika ada tidaklah ia ditemukan dengan mudah. Semua orang pernah membina angan-angan untuk bahagia dengan  mereka yang dikasihi. Sudah tentu tiada yg menolak bahagia. Cuma, kadang-kadang harapan tidak berkesudahan sepertimana yang diimpikan.



Segala yang bersifat 'baharu' sentiasa berubah-ubah. Sebagaimana awan kekadang hitam membawa mendung; kekadang putih mengiring mentari.



Boleh jadi...,

Kekasih yang dipuja-puja sekian tahun lamanya, memohon diri dan katanya, “Cukuplah setakat ini ikatan kita, aku pergi dulu. Kita tidak serasi...”

Suami yang dihormati tiba-tiba curang- “Bukan abang tak sayang, tapi mungkin hanya sekadar ini jodoh kita.”

Isteri yang bertahun-tahun disangka jujur dan setia tiba-tiba memohon cerai kerana terlanjur mencemar suci bersama lelaki lain- “Lepaskan saya daripada saya terus berdosa dengan abang.”



Episod menyedihkan ini tidak sekadar kata; berlaku dimana-mana. Ia adalah sumbangan kepada kedukaan emosi, mental, fizikal menjadi lemah dan hati menjadi sakit.

Untuk apa semua itu? Natijah dari harapan yang kita gantungkan kepada manusia dengan sebulatnya mengundang spritual kita menjunam ke titik yang terlalu bawah. Hilang punca, gelap arah.



Secara jujur, penggantungan yang kita cari untuk mengecap bahagia tidak sepenuhnya daripada manusia. Bergantunglah pada tali yang lebih kukuh yg sekali-kali tidak akan putus. Melakar rasa bahagia tidak semestinya hanya dari kasih mesra sesama manusia. Rasa cinta kepada alam dan kehidupan juga sudah cukup indah, yang memang tidak dapat disangkal lagi.
Hiduplah kita di dalam belaian kasih-sayang Allah, disitulah sebenarnya hakikat kebahagiaan yang sejati. Memang fitrah kita manusia, semangat keakraban, setiakawan, mencintai dan dicintai itu keperluan, namun seandainya suatu ketika kita terpaksa bersendiri menempuh segalanya tanpa sesiapa, tanpa tempat bergantung; janganlah kita putus-asa dan kecewa. Pasti, ada kebahagiaan yang lain yang akan Allah gantikan utk memujuk nurani kita menjadi lebih bahagia, walau tanpa seorang pun yang sudi menemani.

Berharaplah kepada Ilahi. DIA-lah Maha di atas segala Maharaja yang mempunyai segala-galanya. Pintalah kepada-Nya dengan rendah jiwa penuh rasa tawadduk cinta. Insya Allah, dari-Nya kita beroleh segala harapan yang kita sangka sedang diri kita dicicirkan.



Katakanlah segala keperluan hati, keinganan kita, rindu kita, kasih kita, cinta-sayang kita, justeru hanya kepada-Nya. Insya Allah, kita akan bahagia di jiwa. Ameen Ya Robbal ‘Alamin…
Moga berbahagia hendaknya.

Tulus Senyum Ikhlas,

Raz.R

Friday, August 2, 2013

Hati Tetap Berkilau Indah

Bissmillahirrahmanirrahim...
Jumaat yang penuh kasih-sayang Allah. 


Sedikit kata-kata hati ingin Raz hamparkan di sini.


Apa pun kedamaian yang kita dapat dari lukisan alam yang di situ kita rasa membawa ketenangan, kesedapan mata, kelapangan jiwa...., itu hanyalah sedikit dari cebisan cinta daripada Allah Ta'ala.

Ketenangan, kedamaian dan ketenangan yang paling membawa nikmat yang tidak ternilai adalah bilamana kita tetap terasa tidak ada apa-apa yang menggoyahkan keimanan kita sekalipun kita berada di tengah rimba kehidupan yang penuh duri dan onak keserabutan dan hiruk-pikuk tekanan samada dari alam atau manusia.
Kita tetap berlapang dada. Kita masih mampu tersenyum selesa. Kita masih diisi dengan luasnya kebahagiaan nurani walaupun di saat itu di kiri kanan kita adalah tombak tajam yang sedang menikam-nikam. Biarpun sejenak terhiris luka, berdarah dan air mata pernah tercurah melerai derita, kita masih berupaya melihat dan menyelami segalanya dengan kelazatan 'senyuman jiwa' yang tidak dapat dipandang sesiapa melainkan Allah Ta'ala.

Subhanallah, sesungguhnya setiap kesulitan dijanjikan Dia bahagia jiwa.

Sollallahu 'ala Muhammad, Sollallahu 'alaihiwasallam..

Semoga Allah terus memberikan kita semua ketetapan hati dan petunjuk ke arah bagaimana untuk gagah menampan usaha meng'istiqamah'kan segala tujuan hidup itu hanya kepada keredhaan Allah semata-mata.Ameen Ya Robbal 'Alamin.

Senyum.. Biarkan dunia berserabut, namun hati tetap berkilau indah.
Salam kasih kerana Allah. Moga apa yang tertulis memberi manfaat. Ameen.




Jumaat di Ramadhan yang indah