Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, July 28, 2013

Indah Hati Indahlah Kata

"Indah hati, indahlah kata".
Tersirat maksudnya.


Hati bila dijaga sebaiknya, sudah tentu akan lahir banyak kebaikan. Itu sudah pasti.

Namun, itu tidak melabelkan bahawa orang yang berkata buruk itu, hatinya tidak indah. Sebab kita kita tidak dapat menilai hati orang. Baik-buruk yang ada di dalam hati hanya Allah dan empunya diri saja yang kenal. Insya Allah.  Kekadang yang empunya diri pun masih belum kenal  dirinya sendiri.

Kadang-kadang, orang yang lidahnya agak pedas dan runcing itu tidak juga  sepatutnya digelar 'jahat'. Mungkin dia cuma tidak suka melihat kejahatan. Justeru itulah lidahnya sedikit beracun. Dia lebih telus bersuara. Lebih jernih dan lantang. Kitalah yang perlu bijak menilainya dari persepsi hati yang baik agar hal yang kita nampak buruk itu menjadi kebaikan secara logika.

Namun, yang tetap baik dan nampak santun dan berhemah itu adalah dari sikap dan kata-kata yg baik. Ia merupakan latihan dan amalan untuk diri berusaha menjadi baik.

'Alah bisa, tegal biasa.' Kita, apabila membiasakan sesuatu yang baik, lama kelamaan kebaikan itu akan menjadi peribadi. Apabila menjadi peribadi, maka beratlah kita untuk mengubahnya menjadi yang sebaliknya. Spontan kita akan menjadi 'tidak pandai' lagi untuk menjurus ke arah yang tidak baik. Insya Allah, ameen.

Kadang-kadang pula, orang yang lidahnya manis, memuji dan memuja belum tentu memiliki hati yang baik. Sebabnya, dia menutup kejahatan hatinya. Padahal niat sebenar adalah menagih populariti atau menyindir atau juga punya kepentingan diri yang lain.

Apa-apa pun kesimpulan bagi setiap perkara adalah, yang dapat mengimbangkan diri seseorang manusia itu tetap pada niat, keikhlasan hatinya bila menilai sesuatu hal dan akalnya yang mencorakkan segalanya yang dilihat, didengar, disentuh menjadi acuan yang bagaimana.

Jika tidak menjadi kesilapan(Betulkan jika Raz salah), Rasulullah SAW pernah menyuruh sahabatnya berpura-pura yang maksudnya.."Menangislah kalian dari rasa takut kepada Allah, kalau kalian tidak bisa menangis maka berpura-puralah kalian menangis!”

Baginda menyuruh kita berpura-pura menangis ketika membaca al-Qur'an. Kenapa? Untuk menimbulkan kebaikan dan kesungguhan kepada hati agar menjadi baik. Bersikap baik itu amat perlu sekalipun kita harus menggunakannya secara berpura-pura. Tetapi janganlah pula digunakan sikap pura-pura itu kepada orang lain dengan tujuan yang zalim. Ya, itu sudah menjadi amalan syaitan. Berpura-puralah menjadi baik itu untuk diri sendiri.

Kita manusia biasa yang hanya sekadar hamba-Nya dan sebagai hamba yang ingin membuktikan ketaatan kepada-Nya, memang wajarnya terus berusaha menyempurnakan diri ke arah yang lebih baik dari sebelumnya walau apa cara untuk mengindahkan hati sebagaimana kata.


Wallahu'alam. Salam kasih kerana Allah. Moga berbahagia selalu. Ameen.
Senyum..Terima kasih kerana sudi membaca catatan yang tidak seindahnya.



Wednesday, July 10, 2013

♪♫..Ku Sulam Selasih..♫♪


"Ku jahit sulaman kasih

dengan indah ke rawang cinta

ku lilit benang-benang rindu

erat ditangkai hati

ku sulam harapan berbenang emas

ku tatah berlian

satu demi satu

ku atur dengan seindah mungkin

ku lekat bunga bunga sabar

ku hias manik-manik doa

ku ikat kemas jalur-jalur

tawakal

moga suatu hari nanti

baju kasih bertatah bahgia

milikku jua"

 
 
 
 
Nukilan Jui Al-Rawi
Sebuah puisi yang segar yang Raz amat sukai
Moga dirahmati Allah semua dan selamat berpuasa.
 
Raz.R
01 Ramadhan 1434

Wednesday, July 3, 2013

Kembara Kasih

Bissmillahirrahmanirrahim..
Senyum Semanis Halwa Mata

Senyum...
Semoga kesejahteraan dan kasih sayang Allah bersama kita seluruhnya. Solawat serta salam kepada baginda junjungan yang tercinta Rasulullah SAW dan umat muslimin dan muslimat semuanya. Ameen.
Jangan terkejut untuk paparan foto di atas ya? Manis-manis mereka semua, kan? Sengaja Raz ingin berkongsi kembara Raz baru-baru ini. Oh, ya! Semua yang tersenyum ayu di atas ini adalah adik-adik kesayangan Raz. Generasi baru yang bakal mewarisi baik-buruk bumi di masa hadapan. Insya Allah. Semoga mereka menjadi manusia dewasa yang mencerminkan insan beragama. Ameen.


Nilai persahabatan akan dapat berfungsi dengan baik jika menggunakan ketetapan jiwa yang bersih.
Beberapa hari yang lalu, Raz meluangkan masa bersama adik- adik tersayang. Kenangan yang terhimpun di dalam diari kembara itu amat indah. Masih terbingkai memori tersebut di mata dan di hati. Indah sekali. 

Alhamdulillah, di asrama di pusat di salah satu pusat pendidikan yang nampak biasa tetapi mengacarakan budi pekerti sebagai haluan pertama di dalam kesinambungan ilmu yang mereka tuntut. Terima kasih kepada pengasas pusat pendidikan tersebut. Semoga rahmah dan kasih sayang Allah memayungi setiap budi yang telah ditabur kepada anak-anak didik beliau. Ameen. 

Kemesraan, budi bahasa, tutur bicara daripada silaturahim anak-anak muda ini menggemburkan kasih-sayang saujana birunya langit dan lautan. Unik dan menghiburkan.

Jelas, usia muda tidak selalunya menyelongkar hanya tunas hijau perasaan remaja. Ada di kalangan mereka Raz membaca kematangan yang ketara. Malahan mereka lebih hebat dari sesetengah manusia dewasa seperti Raz. Raz amat kagum.

Berdikari, bersatu, menghormati dan saling menyokong membuatkan mereka menjadi insan yang berhemah dan mempersonakan. Syabas kepada mereka semua! Doa Raz agar suatu hari kumpulan ini dapat membina kehidupan yang penuh dengan kesejatian ukhwah lalu berjaya, tidak sekadar di dunia tetapi di akhirat jua. Ameen Ya Robaal 'Alamin. Perkenankanlah Ya, Rahman...




Raz khaskan penulisan ini untuk mereka dengan pesanan semoga mereka dapat giat berusaha. Semoga mereka sentiasa bersemangat. Semoga mereka sentiasa mengerti bahawa apa yang mereka ciptakan hari ini akan memberi impak yang besar kepada masa hadapan bumi Allah SWT. 

Jaga diri baik-baik ya. Ingat Allah selalu. 

"Sesungguhnya keindahan hati dengan ilmu adalah cerminan peribadi yang mulia."

Salam kasih dari kakakmu.
Raz.R
Kembara Kasih Seremban Dua.

"Ingat Allah Selalu, Jangan Sekali Jemu"


Bissmillahirrahmanirrahim..
Sentuhlah setiap rasamu dengan hati, dengan ingatan, dengan kejituan jiwa dengan belaian kasih Allah Ta'ala sentiasa, selamanya. 

"Sesungguhnya pada pertukaran (penggantian) malam dan siang itu, terdapat tanda-tanda (kudrat dan kebesaran Allah) bagi orang-orang yang memiliki mata hati. Iaitu mereka yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring..."

Ingat Allah Selalu, Jangan Sekali Jemu.

Salam kasih dari Raz. R untuk semua. Semoga rahmah dan keberkatan dari Allah SWT mengiringi hidup kita hingga hujung masa. Ameen.

Tuesday, June 25, 2013

Berdoalah




Bissmillahirrahmanirrahim...
Secara umumnya doa adalah kekuatan yang mendorong. Justeru itu, ia mesti difahami. Doa juga boleh dianggap perisai pertahanan daripada rasa kekecewaan. Sayangnya ramai diantara kita yang berdoa tapi tidak memahami yang didoakan. Doa juga dapat menyalakan semangat. Ketika kita lemah kita berdoa memohon kepada Allah supaya kita dapat bangkit kembali. Oleh itu berdoalah dan fahamilah apa yang kita doakan itu.

Ketika berdoa kita menceritakan kelemahan diri kita. Kita mengakui akan hukum sebab-musababnya. Kelebihan doa adalah hubungan terus dengan Allah tanpa ada orang tengah. Hubungan inilah merupakan hubungan secara langsung yang membolehkan kita mencurahkan apa sahaja perasaan bagi membuang segala keserabutan di dalam diri kita.

Doa yang benar-benar difahami akan merubah hidup sesorang menjadi lebih berazam, cergas dan lebih jujur. Jadi, doa bukan sekadar kata-kata tetapi interaksi yang boleh merawat diri kerana ia lebih merupakan gambaran perasaan dan jiwa.

Oleh itu, berdoalah dengan bahasa apa sekali pun yang kita fahami kerana Allah itu memahami segala bahasa.

Semoga, dengan keikhlasan serta kesungguhan yang telah kita titipkan di dalam sembahan doa-doa kita itu termakbullah segala harapan atau Allah lah yang Maha mengetahui kesesuaian apa yang diperlukan oleh hamba-Nya. Justeru, jika harapan tidak seperti yang didoakan, mengertilah bahawa Allah sedang merancang atau telah menciptakan sesuatu hal yang lebih baik daripada apa yang kita harapkan. Insya Allah. Ameen..Wallahu'alam...

Sunday, June 23, 2013

"Awak Nampak Saya Tak?"




Ketika awak menangis...
air mata turun sealir rintik hujan...
saya cuba hadir,
payungkan awak dari kebasahan dan kesedihan...
Awak nampak saya tak?
 

Ketika awak marah...
hati menjadi panas bak mentari...
saya cuba hadir,
payungkan awak dari kepanasan dan kebencian...
Awak nampak saya tak?
 

Ketika awak senyum ketawa ria...
setiap kata menjadi puisi indah...
saya cuba hadir,
payungkan awak bersama kasih sayang dan kegembiraan...
Awak nampak saya tak?
 

Ketika awak bahagia...
setulus doa menjadi pepohon harapan...
saya cuba hadir,
payungkan awak bersama cinta Dia agar beroleh kerahmatan
Awak nampak saya tak?
 
 
Tidak mengapa jika awak tak nampak saya
Cukuplah diizinkan Allah untuk saya melihat awak dalam hati saya...

Saturday, June 22, 2013

Kita Tidak Sentiasa Kuat



Bissmillahirrahmanirrahim..

Hakikat..

Adakalanya kita menulis sesuatu, bermotivasi tentang kekuatan, pun sebenarnya kita tidaklah sekuat kata yang tergambar di rangkapan indah perkataan dan susunan ayat. Sebabnya kita hanya manusia biasa. Tiada kuasa. Kita hanya mengharapkan kekuatan Allah Ta'ala. Kekuatan dari Allah itu juga tidak sepenuhnya dapat menembusi dan mengekang jiwa kita dari terasa goyah dan lemah. Kita manusia yang lemah dengan janji-janji iblis yang sentiasa cuba menghalang kebaikan. Kita manusia yang sering berdosa.

Kalau tidak memupuk iman, mencari jalan menguatkan jati diri daripada ibadah, doa dan ketaqwaan, longlailah kita dihanyutkan surut dan kontangnya iman. 

Benar, gembira tidak selamanya menemani. Seronok dan suka tidak juga sentiasa serasi. Sedih hiba tidak datang menetap lama. Pekerti yang baik tidak selalunya lama bertahan. Jahat diri juga belum tentu selamanya bertapak. Semangat tidak selamanya bangkit. Kasih tidak selamanya segar. Benci tidak selamanya menghiris. Cinta tidak selamanya indah. Gagah kuat tidak selamanya berdiri tegak. Kitalah itu, manusia. Serba serbi tentang diri kita bercampur aduk ibarat rojak.

Tidak wajar kita meneka bahawa orang yang nampak hebat, tabah dan kuat itu tidak pernah lemah. Hati telah Allah jadikan berbolak-balik. Iman tidak menetap di graf atas dan sekata. Wajah yang manis belum tentu tidak pernah muram mencuka.

Semuanya itu hakikat (fitrah) kejadian manusia.
Cuma, kita bertuah menjadi manusia Islam kerana keyakinan, kepercayaan dan kebenaran yang di bawa oleh ajaran-Nya dari lidah dan peribadi manusia ulung Rasulullah s.a.w tentang Mega Gagah ke-Esaan Allah Subhanahuwa Ta'ala dapat membimbing jiwa kita perlahan-lahan kembali ke jalan yang UTAMA. Taqarrub kepada Allah apabila sedar betapa kita begitu lemah. Kepada DIA-lah kita kembalikan segala kelemahan tersebut. Dari-Nya jugalah dapat kita suntik kembali kekuatan berlandaskan  KEHEBATAN-NYA!

Kita tidak sentiasa kuat di jiwa raga. Namun kita tetap akan kembali kuat jua!
Rojak, nampak sahaja hitam pekat. Rasanya masin, masam, lemak manis, masin dan sedikit kelat tetapi bagi sesetengah orang, itulah yang sangat sedap.

Senyum. Moga dikasihi Allah Ta'ala sepanjang masa. Ameen.