Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Saturday, October 13, 2012

Rindu Tanpa Jemu

Ya Allah! Buatkan aku melangkah dengan rinduku yang cantik hanya kepada-Mu

Bismillah..

Bersiul tentang rindu
Tiada titik jemu
Bergendang dan berlagu
Irama dan melodi bersatu
Senyum masih terbuku
Imbau tiap bisikan lalu
Manis dan merdu

Alhamdulillah..
Sekalipun terkorban dan kalah
Masih bermakna seluruh hikmah
Ilmu hidup kekayaan Allah
Nikmat-Nya segar terserlah

Subhanallahi wabihamdih.. Subhanallahil a'dzhiem..
Cantiknya rasa sehelai rindu


Raz.R
13.10.2012
12:06:00 Tengahari yang cantik

"Rindu ingin mentelaah di tepi pantai, di bawah rimbun rhu yang indah."

Sunday, September 23, 2012

Berserah dia redha



Allah sentiasa menilai air mata hamba-Nya yang menguatkan diri dengan kesabaran penuh taat dan keikhlasan. Allahuakhbar!

Bissmillahirrahmanirrahim...
Tiada manusia yang beriman itu tidak dihimpit payah.
Dia sentiasa terduga dengan tombak tajam
Menikam seluruh perasaan, berkecai lumat
Dihumban dirinya menyedut kehampaan
Terketar bangkit dengan rangkak calar kesakitan
Tangisnya tidak kedengaran
Dengan secebis keluhan menampung sedikit ketabahan
Dia terus berjalan dgn satu harapan... Tuhan! Tuhan! Tuhan!

Saat dirinya dipagari jerat kekecewaan
Duduknya sendirian.. dibuka lapisan demi lapisan
Sesuci Kalam Ilahi, di situ ketenangan dicari
Belas insan diketepi, bantuan Robbnya dinanti
Sebak dan rabak tangisan.. Ribuan doa dihujankan

"Ya Allah.. Ya Robbi.. Jangan aku lumpuh sendiri."

Terlena dihamparan hijau... sayup mendakap kitab..
Kering linangan basah mata mengharap
Dingin tubuh diselimuti senyap
Lemah hibanya dia.. Lelah meniti usia.. Berserah  dia redha...


Raz.R
Hanya Kerana Allah

Friday, September 21, 2012

Kuntum Bahagia

Bismillahirrahmanirrahim..
21hb September 2012. Alhamdulillah. Jumaat yang amat baik. Raz mendoakan hidup kita semua di dalam keadaan baik, penuh kerahmatan dan kasih-sayang Allah selalu. Ameen.

Raz ingin kongsikan sebuah sketsa ringkas yang bermakna kepada diri Raz malam ini. Raz harap ia akan menjadi bermakna kepada sesiapa yang tumpang membacanya. Mudah-mudahan ia membuka rasa ke arah yang mendamaikan sesiapa sahaja. Ameen Ya Robbal Alamin. Subhanallah.

Dikisahkan ada seorang suami sangat marah kepada isterinya dengan kebengisan dan memberikan amaran dengan angkuh sekali.
"Aku akan pastikan engkau hidup dalam keadaan sengsara!"
Mendengarkan kata-kata suaminya yang pedih itu, si isteri dengan sopan dan tenang  menjawab,

"Maafkan saya bang. Abang pasti tidak akan mampu membuatkan saya sengsara, sepertimana abang juga tidak ada kuasa membahagiakan saya."

Suaminya semakin berang lalu menempelaknya dengan garang sekali, " Siapa cakap? Aku pasti dapat melakukan apa sahaja yang aku mahu untuk menyiksamu."

Dengan yakin seolah ada kekuatan terselindung membantunya, dia menjawab lagi,

"Seandainya kebahagiaan itu terletak pada gaji, pasti abang berupaya memotongnya dari saya. Jika kebahagiaan itu terletak pada perhiasan dan gaun yang indah, sudah tentu abang dapat melarang saya daripada memakainya. Tapi bang, kebahagiaan itu terletak pada sesuatu yang tidak dapat abang kuasai. Tidak pada abang atau sesiapa sahaja."

Suaminya mencebik namun bernada kehairanan, "Alah! Apa yang engkau merepek ini? Aku lelaki. Sudah tentu aku berkuasa ke atasmu. Engkau tak akan bahagia! Aku boleh buat engkau tidak bahagia!"

Bersama kesabaran dan keyakinan, isterinya terus berkata,
"Maafkan saya, bang. Saya mendapatkan kebahagiaan dalam iman, dan iman itu ada di hati saya dan hati saya ini tidak dikuasai sesiapa pun melainkan Allah."

Subhanallah, dengan hati yang teguh mencintai Allah, sesungguhnya dialah bunga yang teramat indah. Kuntumnya bukan sahaja mewangi, malahan bahagia sekali.

Salam kasih kerana Allah.
Tulus senyum dari Raz.R

Dekatilah orang-orang yang bahagia dan mahu membahagiakan hatinya, nescaya engkau turut bahagia. InsyaAllah. Ameen.




Saturday, September 15, 2012

Selamat Malam Dunia

Bismillahirrahmanirrahim.....
Hati yang menjelajah malam
Membisik suara lunaknya
Mencari damai balutan nurani
Pejamkan mata dengan nama Ilahi
Andai terjaga..
Sambunglah berkah-Nya
Andai pergi..
Bawalah rahmah-Nya

"Selamat Malam Dunia"


Sabda Rasulullah SAW : "Jika seseorang dari kalian tidur, maka syaitan membuat 3 ikatan pada lehernya yang dilakukan padamu sepanjang tidurmu. Maka tidurlah, dan jika kamu terbangun, sebutlah (ingatlah) Allah, maka satu ikatan akan terlepas. Kemudian, jika kamu berwuduk, maka akan terlepas satu ikatan, dan kemudian jika kamu melaksanakan solat, maka akan terlepas satu ikatan lagi hingga dia dia memulakan paginya dengan semangat dan jiwa yang bersih. Jika tidak, jiwanya akan kotor dan dalam keadaan malas." (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Lidah Dan Hati

Bissmillahirrahmanirrahim..
Raz ingin menemani laman ini dengan seringkas nota bersama kasih Raz yang penuh di jiwa membahasakan rasa dan pengalaman untuk ingatan diri juga pembaca yang ingin turut memahami. Senyum. Semoga tulisan Raz diiringi kasih-sayang dan keberkatan dari Ilahi yang PALING Menyayangi. Ameen Ya Robbal Alamin. Subhanallah wabihamdih; Subhanallahiladziem.. Maafkanlah Raz seandainya apa yang dikongsi mungkin tidak menepati atau tersalah erti. Astaghfirullahaladziem.

Suatu hari, Raz ada berbual dengan seorang sahabat. Katanya, dia tidak suka bercakap banyak. Biarlah jika dia dianggap sombong atau bodoh asalkan lidahnya tidak bertikam kata yang menjejaskan perhubungan atau berbicara yang tidak baik. Alhamdulillah, syukur. Raz hormati sikap sedemikian. Alangkah bagusnya jika ramai diantara kita (termasuk Raz, yang tidak pernah maksum ini) memiliki niat hati yang sebegitu. Apatah lagi bagi kita yang mengakui diri kita ini ummat Rasulullah SAW.

Sejurus dari perbualan Raz tersebut, Raz temui pula sebuah kalimat daripada seorang ulamak tersohor yang Raz baca berbunyi :

"Wahai hamba! Apabila engkau berkata-kata, maka berkata-katalah engkau dengan niat yang baik, benar dan jujur. Sebaliknya jika engkau hendak diam, maka diamlah engkau dengan niat yang baik, benar dan jujur juga. Setiap orang yang tidak mendahulukan NIAT SEBELUM BERAMAL, maka TIADALAH  AMAL baginya. Adapun engkau, jika engkau berkata-kata atau diam, maka engkau selalu berada di dalam dosa, kerana engkau tidak berniat dengan benar sebelum melakukannya."
( Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani)

Terkesima hati Raz!
Sungguh benar!
Kita perlu ingat bahawa sekalipun kita berdiam, diam kita itu biarlah selari dengan niat yang jernih di dalam hati. Diam yang benar (As-siddiq). Diam yang tidak membawa dendam di hati. Apalah ertinya bila berdiam tetapi hati di dalam berniat untuk menyakiti atau menghukum orang lain atas sebab-sebab yang telah 'tersakiti'. Berdiam, namun hati dipenuhi hasad, khianat atau membuatkan orang lain menderita apalah ertinya kerana ia juga hanya membuahkan kemurkaan Allah.

Apatah lagi bila kita berkata-kata, yang ternyata bila ia dapat menghiriskan dan mendustakan sesuatu situasi. Sudah tentunya ia melambangkan hati yang buruk sekali. Na'uzubillahiminzalik! Betapa kita mengatakan kita takut kepada Allah, padahal kita tidak takut kepada-Nya lalu tidak malu mendustakan Allah malah diri sendiri juga. Aduhai... sama-samalah kita muhasabahkan diri kita.

Jadikan niat kita sebagai permulaan bagi membetulkan hati, lidah dan perbuatan. Mudah-mudahan kita dapat mengasah ketajaman peribadi agar bercahaya menjadi khalif dan hamba yang mengikuti sunnah dan kalam Allah. Selarikan lidah dan hati saat kita berdiam atau berkata-kata dengan niat yang baik-baik sahaja. Berkatalah kita kebenaran supaya hidup kita ini dapat disusuli dengan kebenaran sehingga Allah meredhai kita. Adalah lebih baik berkata benar daripada mendiamkan sesuatu yang buruk dan merosakkan kehidupan kita dan kemungkinan hidup orang lain juga, atau berdiam menyembunyikan kebaikan sehingga hidup kita dan orang lain tidak menerima kebaikan Allah. Berdiamlah kita dengan doa yang baik-baik hanya jika kita tidak berdaya membetulkan sesuatu nista setelah kita berusaha.

Wallahu'alam.
Salam kasih dari Raz kerana Ilahi. Ameen.


"Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah."-Imam Ghazali.
 Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa yang besar juga. Anggota tubuh yang paling besar dosanya ialah lidah. Ia adalah perangkap syaitan yang paling jitu untuk merosakkan manusia dan sesamanya.


Monday, September 10, 2012

Ketika Ini



Segalanya akan baik-baik sahaja, InsyaAllah.. Terus bersabarlah!
Ketika ini..
Mungkin ada yang menanggung musibah
Beban yang ditanggung terasa payah
Gelap bertandang ditimpa kalah

Ketika ini..
Mungkin ada yang berkeluh kesah
Derita terpaut hantaman parah
Jiwa tertekan semangat rebah

Ketika ini..
Mungkin ada yang terdiam susah
Berat di galas dalam gelisah
Terduga iman meniti goyah

Ketika ini..
Dimana kita Muslimin Muslimah
Menyediakan hati, tangan menadah
Tuangkan doa agar melimpah
Semoga Allah memacu arah
Tenang dan lapangkanlah, Ya Allah
Moga yang pahit beroleh rahmah

Ketika ini..
Wahai engkau yang sedang lemah
Ingatkanlah diri tentang kuasa Allah
Dialah Pemberi Seluruh Hikmah
Tutuplah pintu resah lalu bersabarlah!


Tulisan hati Raz.R
Kata Ayah :-"Sungguh, tempat yang paling tinggi di sisi Allah itu tidak dimenangi si kaya, tetapi si hamba. Jadilah Hamba-Nya setiap ketika"

"Ya Allah, Wahai Al-Haq, Yang Maha Berhak ke atas hamba-hambaMu, berikanlah kekuatan-Mu kepada mereka-mereka yang menghadapi sebarang musibah, datangkanlah mereka segala hikmah-Mu, lapangkanlah perjalanan hidup mereka sebagaimana yang telah Engkau lapangkanlah bagi mereka-mereka yang telah Engkau lapangkan. Ameen Ya Robb."

Doa, doa dan doa...

Bissmillah..
Gerimis menghujani  alam
Berteleku dalam samar
Doa, doa dan doa
Dengan jiwa, hati dan air mata
Mengharap kurnia
Mendambakan redha-Nya
Tidak dipinta apa-apa
Hanya keampunan dosa
Bersama bening cinta-Nya
Bersatu, bertemu, merayu
Agar cahaya menyuluh qalbu
Menyinar bashirah,
Diberi taufik hidayah..
Ameen Ya Allah!! Perkenankanlah.
 
Senyum-Raz.R- Senyum
Selagi boleh.


Hujan menyembunyikan tangisan..