Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, April 13, 2011

Mimpi



Assalamualaikum.
Pagi ini Raz bangun dibayangi mimpi semalam. Ewah! Tidak sabar rasanya nak bercerita dan berkongsi rasa. Kadang-kadang, mimpi yang indah berkesan membuat hati terasa segar diwaktu pagi.

Tertanya-tanya, apakah maksud dari mimpi Raz itu? Nyatanya mimpi tersebut indah dan magis. Kerlipan rintis-rintis cahaya menaungi langit malam dan Raz di tengah lautan. Perahu dipenuhi bunga-bungaan yang harumnya bertukar menjadi bintang. Setiap kali nafas disedut dan dihembus, Raz dialun oleh rasa aman, tenang dan romantis. Wahhh!! Tidak dapat Raz tuliskan gambaran yang jelas dan tepat mengenai perasaan itu. Ia cukup membuatkan Raz rasa, terpesona. Alangkah bagusnya andai mimpi itu menjadi nyata.

Mimpi tetap mimpi..
Lamunan tetap lamunan..

Namun mimpi dan lamunan memberikan seri dalam senyuman yang penuh harapan.

Salam kasih, salam sayang.. Moga Allah sentiasa memberikan kita ilham dari tiap mimpi yang kita alami agar tiada rasa putus asa di dalam hidup yang nyata hingga hujung nyawa. Amin... MMMmmuahks!

Monday, April 11, 2011

Perbaiki Kesilapan Diri




Bissmillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum w.b.t

Malam meninggalkan siang yang penuh dengan sensasi cerekanya. Raz mengintai-ngintai jika ada baris-baris dosa siang tadi yang tercatat dek malaikat kiri. Dari subuh berganti isya'. Hurmm... boleh tahan jumlahnya. Adakah dosa-dosa itu akan terampun? Sudikah Allah SWT mengampunkannya? Astaghfirullahalazim.

Jika kita dapat menulis dan mengumpul kesilapan dan dosa kita saban hari dan mempamerkan makalah dosa kita disetiap hujung bulan, pasti kita terkejut. Tersengaja atau tidak, kita tetap telah melakukannya. Malah adakala, kita 'suka-suka' melakukan dosa. Paling memalukan apabila kita mengiktirafkan dosa kita sebagai biasa dan tersenyum gah dengan dosa-dosa kita. Aduh!Zalimnya kita terhadap diri sendiri. Apa nak jadi nih?? "Hawat lagu tu noh??"...

Malam...
Moga malam yang kita miliki ini tidak bertukar menjadi malam yang malang. Malang kerana tidak berkesempatan memohon ampun kepada Ilahi atau kepada mana-mana pihak yang telah terlanjur kita mentransaksikan kesilapan dan dosa. Moga malam memberikan kita kesedaran dan ketenangan juga kekuatan untuk mengubah peluang pada esok harinya menjadi siang yang kurang diselikan dosa. Kurangkan.. dan lama-lama.. tiadakan!

Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah!
Tolong ampunkan kami Ya Allah!
Jauhilah kami dari mempersia-siakan kenikmatan yang Engkau kurniakan kepada kami.
Lingkari kami dengan keselamatan dan hidayah-Mu, Ya Rabb. Tunjukkan kami jalan-Mu yang benar dan terlindung dari dosa. Tolong Ya Allah.. Kami makhluk dan hamba yang sering lupa dan tebal dengan alasan-alasan jahil yang kami sendiri ciptakan..
Kami lemah. Kami tidak berdaya. Jadikan kehidupan dunia kami dengan belas rahmat-Mu dan akhirat kami dengan belas kasih-Mu. Amin Ya Robbal alamin...

Itulah kita.. Sesalkanlah diri kita.. hisabkan diri kita.. Sedarkanlah diri kita.. Insafkanlah diri kita setiap masa. Kita manusia yang sentiasa memenuhkan bakul hidup kita dengan dosa. Dan kita juga sedang membiarkan diri kita menyuburkan akar dosa sewenang-wenangnya.

Jangan.. Jangan merasakan kita manusia yang punya kelebihan. Jangan merasakan kebaikan yang kita lakukan itu berbaloi bagi menutupi dosa kita. Jangan merasakan yang kita ini insan yang tidak berdosa! Setiap pergerakkan kita... setiap tutur kata kita, setiap lenggok gerak badan kita, peribadi kita, ada sahaja dosa yang melekat padanya. Jangan... jangan mengukir alasan-alasan untuk 'membenarkan' dosa-dosa kita.

Astaghfirullah... Astaghfirullah... Astaghfirullahalazim..

Sahabat semua...
Terima kasih dan seandainya Raz ini sahabat yang tidak menyempurnakan tanggungjawab Raz mengikut landas yang sebenarnya kepada sahabatnya.. tolong ampuni Raz. Maafkanlah Raz. Jika ada salah silap Raz yang mengundang kusam di hati, tolong kasihani Raz. Sesungguhnya Raz hanya sekerdil dan sekecil manusia yang tidak luput dari kebodohan dan keterlanjuran kesilapan.

Moga Allah tidak mencemuh kehidupan yang kita bina seharian dengan kemurkaan-Nya. Moga Allah tidak menutup hati kita dan menjadikan ia batu hitam yang keras.

Ketenangan tidak mampu dicipta melalui hidup yang dipenuhi kegagalan di dalam memohon keampunan. Keharmonian hati tidak akan muncul dengan memperbesar-besarkan kebaikan diri sebagai pameran mata. Perbaikinya!

Wallhua'lam..
Salam kasih dengan tangisan yang bergelora di dalam.

Saturday, April 9, 2011

Setia




Sejak Raz mempraktikkan kesetiaan dalam hidup Raz, banyak pelajaran dan pengajaran yang Raz perolehi melaluinya. Kesetiaan mengajar Raz erti kesabaran, tulus, ikhlas dan jujur di dalam mana-mana perhubungan yang kita jalinkan. Raz sudahkan kesetiaan Raz dengan memasrahkan diri kepada kebijaksanaan Ilahi dan doa yang tidak pernah putus. Selebihnya, tawakkal menjadi pengubat kebangkitan jiwa kepada apa sahaja kemungkinan yang bakal dilalui. InsyaAllah. Amin Ya Robbal Alamin..

Tapi.. sebenarnya sahabat-sahabat Raz yang dikasihi, kesetiaan tidak akan menjadi jaminan untuk apa-apa keputusan hidup. Samada kita terus berbakti dengan setianya pada kawan, teman rapat, pasangan, kerjaya, keluarga dan sebagainya... ia masih tidak menjanjikan apa-apa kemenangan kepada kita.

Contohnya, andaikata kita telah setia pada kasih.. itu belum menjamin kita memiliki apa yang kita kasihi. Andai kita setia bersahabat, ia juga belum memberi jaminan bahawa sahabat kita tidak akan menjadi musuh kepada kita.

Seringkali, kita mengharapkan agar kesetiaan kita menjadi bukti akan sesuatu perhubungan yang kita miliki. Malah kita mengagak bahawa apabila kita setia, keadaan akan menjadi seindah kesetiaan yang kita berikan.

Tidak!

Kita boleh setia jika kita mahu atau jika orang lain inginkan kita begitu, tetapi kesetiaan bukanlah sebuah janji yang terpatri. Ia tetap dirangkupi oleh untung nasib dan takdir Ilahi. Ia adalah sebuah kemungkinan semata. Jika sesuatu tragedi akan berlaku dalam hidup kita lalu mengubah kesetiaan kita menjadi detik kehancuran.. sesungguhnya ia tetap akan berlaku. Walau kita meraung-raung menegakkan kesetiaan kita pada seluruh alam pun, jika sesuatu perkara itu tidak tertulis dan termaktub untuk kita, masih tetap akan terjadi perkara-perkara yang mungkin kita cuba cegahi.

Segalanya bertitik tolak daripada peribadi individu itu sendiri. Andai kita mahu terus setia sekujur nyawa, silakanlah! Namun mengharapkan yang lain turut mengorbankan kehidupan yang mereka miliki kerana kesetiaan yang kita tabur adalah mustahil.
Sesungguhnya untaian kehidupan seharian kita adalah daripada apa yang kita pilih sendiri. Jika silap, maka silaplah. Jika benar, maka benarlah ia.

Kata seorang sahabat Raz, "Setia itu bagus. Namun terlalu setia itu, kurang bagus." Benar. Dalam kesetiaan kadang-kadang, banyak masa yang kita bazirkan. Mungkin di dalam masa kita mengagong-agongkan kesetiaan yang kita miliki, banyak perkara tentang hidup sudah kita lepaskan begitu sahaja tanpa kita cuba melalui atau mencapainya. Akhirnya, peluang yang sewajarnya kita miliki mengalir tanpa dikaut. Kemungkinan kita berada dalam kerugian. Sepertimana surah "Demi Masa" yang disampaikan oleh Allah SWT.

Apa saja di dalam kehidupan kita ini hanya satu kemungkinan. Kita boleh meramal, namun tidak boleh menetapkan sesuatu perkara itu akan terjadi mengikut kehendak kita. Kita boleh berusaha bermatian, namun taksub terhadap usaha itu akan membuahkan kejayaan yang PASTI adalah tidak pasti.

Setia itu juga hanya sebuah usaha.
dan takdir Ilahi tetap penentu segalanya.
Bagi yang berjaya membalikkan kesetiaannya menjadi satu kejayaan, syabas dan bersyukurlah. Moga kesetiaan itu memberi rahmat yang banyak.
Wallahu'alam.

Salam sayang di malam yang dingin. Sebuah senyuman terpalit dibibir Raz untuk semua dengan doa moga tidur diulit cita-cita yang baik untuk hari esoknya. Semoga di kasihi Allah sentiasa hingga akhir nyawa.

MMuahhks..

Thursday, April 7, 2011

Perasaan ; Usah dipermainkan.



Assalamualaikum wbt

Dengan iringan doa semoga yang sering menjengah ruangan Raz ini diberikan kehidupan yang terbaik oleh Ilahi dari dunia hingga akhirat sebagai tanda kasih Raz. Beruntunglah kita yang sering diberikan doa-doa yang mulia dan berbahagialah bagi kita yang sering mendoakan yang lain. Jika tauhid dan istiqamah bahawa apa saja yang baik yang kita berikan akan dikembalikan kepada kita jua. Maka itulah yang akan berlaku. Amin... InsyaAllah.

Sudah dua tiga hari Raz tidak menjengah di sini. Rindu untuk dendangkan sedikit luahan. Namun, tidak pula terbit buah fikiran. Adeh! Mungkin Raz amat keletihan.

Hemm... Raz teringatkan seseorang. Tidak terlalu dekat, tidak terlalu jauh. Terasa simpati dan terasa ingin berpesan. Janganlah kita mudah mempermainkan perasaan orang lain. Tidak elok dan tidak baik. Sebelum kita terus leka, seronok dan tidak sedar bahawa tindakkan-tindakkan kita akan membuatkan perasaan yang lain terluka, lebih baik kita cuba kaji terlebih dahulu apakah wajar kita mulakan langkah di dalam sesuatu. Saksikan sedalam akibatnya dari awal agar tidak kita sesal kemudian hari.

Jangan lakukan sesuatu perkara yang melibatkan perasaaan insan lain hanya kerana suka-suka atau luangkan masa. Lebih-lebih lagi jika niat untuk berdendam. Dari suka berakhir duka. Itu adalah salah satu cabang kezaliman dan penganiayaan.

Jika ingin bersahabat, bersahabatlah dengan kejujuran dan keikhlasan. Perjelaskan apa yang terlebih dahulu perlu diperjelaskan. Terangkan mana-mana yang diperlukan supaya tidak timbul salah faham. Usah sekali kita berpura-pura dengan menjadi orang lain. Sebuah drama akan ada penamatnya. Sikap kita yang sebenar, akan tetap terbit perlahan-lahan. Kita tidak akan mampu bertahan lama di dalam selimut hipokrit. Percayalah.

Begitu juga jika bercinta. Kekuatan cinta bermula dari pangkal yang baik. Telus dengan kejujuran, saling mempercayai dan peribadi yang original. Jika sudah berkahwin, mengaku sajalah sudah. Jika sudah berteman, katakan. Apakah perlu kita menutup kebenaran hanya kerana mahu terus berada di dalam keseronokkan yang hanya bayang-bayang? Usah persiakan kenaifan orang lain dan mengambil kesempatan atas kelemahan. Kita memang bebas membuat pilihan untuk kehidupan kita, tetapi ingat! Setiap pilihan tetap mempunyai batasan. Kita ini manusia, bukannya binatang. Bertindaklah seperti manusia yang sebenar. BerAgama. Berakhlak. Sesungguhnya binatang tidak mempunyai agama dan tidak peduli tentang akhlak.

Setiap perlakuan yang melibatkan perasaan akan berpatah balik kepada kita. Jika kita bertindak baik dan bijak, maka itulah yang akan kembali kepada kita. Sebaliknya, jika kita bertindak buruk dan bodoh, maka ia akan memakan diri sendiri.

Perkara yang baik dan molek tidak perlu pulihkan kerana ia sudahpun baik. Tetapi perkara yang buruk akan perlu diperbaiki kerana semakin lama dibiarkan, ia akan semakin menjadi perkara yang membawa kepada penderitaan. Memulihkannya kadang-kadang memakan masa yang amat panjang dan memerlukan banyak pengorbanan.

Mungkin hari ini kita tidak menerima pembalasan atas sebab penganiayaan yang kita telah lakukan. Namun, pasti suatu hari nanti, kita akan mengalami penderitaan yang akan tertanya-tanya dari mana datangnya. Ketika itu, kita tidak lagi berupaya berpatah balik dan membersihkan segalanya.

Perasaan perlu dipenuhi dengan sifat-sifat yang diajarkan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Bukan dipenuhi dengan jolokkan syaitan.

Salam kasih penuh doa agar perasaan dijaga keindahannya oleh Yang Maha Esa. Amin.

MMuahks!

Selamat malam, selamat beradu.

Bersikap pra-perihatinlah di atas segala sesuatu yang melibatkan perasaan yang lain.

Monday, April 4, 2011

Privasi Dan Rahsia



Assalamulaikum wbt.
Selamat petang. Raz baru balik kerja. Keletihan. Alhamdulillah, malam nanti boleh jerapkan mata serapatnya. Lena di dalam keletihan selalunya membuahkan tidur yang nyenyak. InsyaAllah.

Peliknya, fikiran Raz masih belum letih. Berputar ligat. Ada sahaja perkara yang timbul. Agaknya Raz terlalu sangat mengkaji dan membuat penilaian tidak bertauliah tentang apa yang Raz perhatikan seharian di dalam pengalaman hidup Raz. Firasat yang belum tentu benar. Namun, kita disuruh mengenali dan membuat cetusan ilmu dari semua pancaindera yang kita miliki dan kita gunakan.

Kali ini tergerak jiwa untuk berbicara tentang privasi dan rahsia. Jarang ada manusia yang tidak memiliki rahsia dalam hidupnya. Jarang juga kita kenal manusia yang suka privasi dirinya digugat. Dua perkara ini memerlukan penjagaan. Ia adalah harta sebuah hati yang tersimpan untuk diri sendiri. Kadangkala ia boleh dikongsi oleh segelintir kecil namun, pada siapa perkongsian itu diberi perlu diteliti dan diambil kira. Jika tidak, nilai diri akan dikotori dengan ragam-ragam yang meletakkan perkongsian itu sebagai bahan cerita yang bermotifkan banyak perkara yang membahayakan diri dan situasi.

Sesalnya, tidak ramai yang mengerti betapa rahsia dan privasi itu adalah amanah yang besar. Terutama jika kita menjadi 'individu ketiga' dalam soal menjaga privasi dan rahsia sesiapa. Tanggujawab itu amat berat. Tidak wajar diambil mudah. Dan untuk menjaganya memerlukan keyakinan dan kepercayaan yang AMAT tebal. Rahsia dan privasi tetap mempunyai pertalian dengan janji. Janji adalah kewajiban.

Namun, kefahaman tentang memegang rahsia dan privasi kadangkala menjadi mainan lidah kita. Kita seringkali terleka dan terlupa. Kita selalu menghadapankan prasangka dan dengki. Menghukum mereka yang menyimpan rahsia itu sebagai manusia pelik,sombong dan penting diri . Walhal, mereka sedang memegang tanggungjawab yang 'bergolak' dengan pelbagai kemungkinan negatif untuk hidup seseorang. Sebagai contoh keselamatan atau maruah seseorang.

Bagi sesetengah kita pula, bercakap mengenai rahsia seolah satu permainan. Kononnya untuk membuktikan atau memikat kepercayaan yang lain. Sedangkan kepercayaan itu terbubar apabila sebuah rahsia itu dibocorkan. Apabila rahsia telah tersebar ke lebih dari sepuluh pasang telinga, rahsia itu mungkin bukan lagi rahsia.

Rahsia dan privasi diri adalah tangga kehormatan peribadi. Bersyukurlah, jika kita diberi kepercayaan menyimpan sesuatu rahsia dan hargailah juga mereka yang sudi menyimpan rahsia kita. Hormati juga mereka yang memelihara rahsia yang lain dengan sedayanya. Mereka sedang membebani jiwa mereka dengan amanah dan tanggungjawab yang nampak remeh tetapi amat membebankan. Jangan sekali kita memaksa sipenyimpan rahsia membuka rahsianya kerana kita tidak akan pernah tahu apa keaiban dan kelukaan yang terkandung disebalik rahsia itu. Biarkan rahsia tetap pergi bersama misteri rahsianya. Jika sedang menyimpan rahsia, simpanlah ia sehingga kita lupa bahawa kita sedang memegang sebuah rahsia.

Sebaliknya, teruslah luaskan ruang rahsia Allah SWT yang diizinkan kita untuk memilikinya. Pun begitu, masih ada rahsia Allah yang tidak akan mampu kita capai dengan akal yang kasar. Ia tetap berakhir dengan soalan yang tidak berjawapan dihujung keputusan. Allah itu Maha Ghaib. Dan kita adalah hamba-Nya yang tidak berupaya sedikitpun melainkan hanya dengan kuasa-Nya.

Salam sayang dengan senyum yang penuh rahsia kemanisan.

Sunday, April 3, 2011

Rindu Yang Sedikit Terubat




Suasana malam berada dipertengahan. Sebelum melelapkan mata, terasa ingin isikan sedikit luahan di sini. Malam minggu yang beriramakan kemeriahan. Alhamdulillah. Raz telah memenuhkan hari Raz dengan 'fiesta persaudaraan' yang meriah. Terubat hati yang rindu. Mungkin itu cara Allah SWT menggantikan apa yang Raz rasa hilang. Dengan cara lain yang tak kurang hebat indahnya. Terima kasih, Yang Maha Baik Ilahi. Love You so much!

Siang, Raz bertemu dengan dua sahabat lama dari jauh. Luar negeri. Setahun tak berjumpa. Kami bercerita. Mereka bukan Muslim tetapi cukup berminat bercerita tentang kehidupan muslim dengan Raz. Raz tahu,ilmu Raz dangkal dan tidak cukup untuk mengulas dengan jelas segala perkara tentang ilmu Allah yang Maha Luas itu. Tapi, Raz rasa cukup berbesar hati untuk berkongsi apa yang Raz miliki dari sudut pengetahuan Raz dengan mereka. Sekurang-kurangnya tiap persoalan yang diajukan pada Raz membuka hati Raz untuk turut serta menggali dan terus belajar lagi. Dan, sekurang-kurangnya, Raz bermuhasabah betapa Raz ini sekecil jiwa yang tidak memiliki apa-apa dan harus terus belajar lagi. Lalainya diri Raz membiarkan yang lain lebih mahu mendalami ilmu Allah, sedang Raz masih tercengang-cengang dalam kedunguan. Astaghfirullahalazim..

Malam, sebentar tadi Raz dilawati oleh sekumpulan rakan kerja lama di rumah. Adik-adik yang dulu selalu bersama Raz. Alhamdulillah. Mereka sering Raz rindu. "Good Boys". Kasih sayang Raz pada mereka sentiasa segar di dalam nurani. Muncul rasa terharu di atas ingatan mereka pada Raz. Terima kasih Ya Allah! Kerana menghadirkan mereka dalam hidupku. Terubat benar rindu di hati. Getus suara hati betapa rasa diri dihargai. Doa Raz semoga Allah berikan kasih sayang yang melimpah kepada mereka. Kehadiran mereka menjadikan hari Raz bersulam ketawa dan ceria.

Sesungguhnya, seringkali kita menyangka kita sering dihindari dan tidak dipedulikan. Namun sebenarnya, dalam waktu kita memilih untuk menempuhi segalanya di jalan yang telah dipilih Allah.. Dia Maha Mudah untuk menggantikan kesedihan menjadi kegembiraan.

Wallahua'lam.
Hemm... jika boleh nak berceloteh lagi. Tetapi, malam kian larut melabuhkan tirai gelapnya. Mata kian membundar berat, makin tertutup. Raz sudah mengantuk...
Selamat malam semua yang membaca bingkisan yang tidak seberapa.

Moga Allah sentuhi mimpimu ditingkat "nur" yang tertinggi. Solawat dan Salam kepada junjungan Rasulullah SAW dan tetaplah kita mengagongkan Allah yang Maha perkasa.

Mmmmuahks..
Senyum dimalam hari, moga berseri hingga ke pagi. Panjang umur, InsyaAllah bangun lagi. Terima kasih untuk rindu yang terubat. Assalamualaikum..

Rindu





Assalamualaikum wbt.
Selamat pagi Ahad yang berseri..
Tapi, mengapa tiba-tiba terasa begitu sepi ya?

Waktu ini fikiran Raz sedang mengingati seseorang. Amat mengingati. Malah Raz mohon agar Allah melindunginya dan memberikan dia kehidupan yang baik sentiasa. Semoga rezeki dan kesihatannya juga mekar dan mudah-mudahan Allah melimpahi dia dengan petunjuk dan kebahagiaan dunia dan akhirat.

Orang kata, jikalau kita merindui seseorang dengan hati yang kudus dan tulus, bermakna kita juga akan dirindui juga. Betulkah kenyataan ini? Entahlah! Raz pun tidak pasti. Jikalau benar, Alhamdulillah. Ertinya, rindu berbalas rindu.
Pasti, keceriaan tercerna dengan warna pelangi yang indah kiranya kita tahu rindu kita berbalas kan? Jika tidak, itu beralamat bahawa kita sedang ‘gila bayang’ sendirian. Adeh! Merana tu! Ha!Ha!Ha!

Fitrah hati manusia biasa. Rindu adalah untaian daripada kasih sayang manusia. Rindu adalah satu jalinan rasa penghormatan dan penghargaan antara hati sesama manusia. Dengan rasa rindulah kita dapat menilai tahap kasih sayang kita. Dengan panahan rindulah, rasa ambil berat dan perihatin akan timbul.

Rindu kadangkala boleh jadi cukup bahaya.

“Rindu itu menyakitkan.” Itulah pepatah bagi yang memperhambakan diri pada rindu yang keterlaluan. Hati menjadi gusar.Semangat mula menurun. Benak terkial-kial membayangkan wajah sipolan yang dirindu. Kerana rindu, satu kerja pun tidak menjadi. Kerana rindu, tidur pun tidak mencukupi.

Raz pernah rasa. Raz pernah melaluinya. Bila rindu mengawal diri, semua aktiviti harian menjadi basi. Kita tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kita kepada sesuatu perkara yang kita mahu lakukan. Malah, kita akan lupa banyak perkara bila kita diulit kerinduan. Kita tak ubah seperti “ayam berak kapur”, kata orang tua-tua. Perkataan yang sering digunakan bagi rindu yang sedemikian masa kini ialah “angau”. Air mata mampu meleleh kerana rindu! (Raz sedang tersenyum mengingati kenangan itu)


Sesungguhnya, kita yang berjaya adalah kita yang bijak mengawal diri walau di dalam apa jua situasi. Termasuk saat kerinduan. Berdoalah agar rindu kita tidak keterlaluan. Bersederhanalah dan bersabarlah. Agar kita tidak terjerumus dikancah pemujaan manusia sesama manusia. Bimbang nanti kita melebihkan insan dari melebihkan Tuhan.

Wahai insan yang dirindui Raz...
Raz serahkan rindu Raz ini kepada Allah SWT agar dapat DIA uruskannya. Bukan Allah tidak mengerti perasaan hamba-Nya. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang sedang terjadi terhadap setiap ciptaan termasuklah orang yang Raz rindu itu. Allah lebih memahami akan segala perbuatan manusia. Justeru itu, moga perlindungan Allah menjadi teman terus menerus kepada yang dirindu Raz itu.

Ya Allah! Engkau selamatkanlah dia walau dimana dia berada.
Ya Rahman! Engkau kasihi dia dan dorongilah dia ke jalan-Mu sentiasa.
Ya Rahim! Sampaikan rinduku padanya dengan rahmat dan kasih sayang-Mu.
Ya Haiyyum Ya Qayyum.. ku serahkan setiap urusan yang tidak kutahu ke dalam urusan-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Mengerti dan Engkaulah yang Maha mengasihi.

Amin..

Rindu yang berlalu, usah diburu-buru.. MMuahks!