Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Saturday, March 12, 2011

Sakit Itu Nikmat



"ALLAH TIDAK AKAN MEMBERLAKUKAN SATU QADHA' KEPADA HAMBA-NYA KECUALI IA MENJADI KEBAIKAN BAGINYA" (Ulamak)

Assalamualaikum wbt sahabat yang dikasihi Raz dan dikasihi Allah SWT. Moga kita semua terus menerus disayangi Allah juga diberikan jalan-jalan yang lurus dan diselang-selikan dengan pandangan kehidupan yang indah selalu. Amin.

Alhamdulillah, kita bangun lagi dan alam yang kita miliki masih baik dan indah. Bersyukurlah kita.

Tubuh Raz terasa sengal-sengal pagi ini. Kesihatan yang sedang merosot. Namun, Alhamdulillah masih menerima kebaikan Allah dengan nafas yang tenang.

Sakit itu nikmat, InsyaAllah.
Ia menyediakan jalan bagi kita mengingatkan diri akan kebesaran Allah SWT. Disamping, dapat menyucikan dosa-dosa kita di dunia.

Mudah-mudahan kita tidak mengeluh dengan rasa tidak sihat yang sementara kerana hikmahnya amat banyak bagi kita yang sering berfikir.

Wah! sedang Raz menulis, terdengar rintik hujan bergenta di atap rumah. Sememangnya pagi ini adalah bagi yang indah. Moga kita dapat meneruskan hari kita dengan lebih ceria dan bersemangat!

Jaga diri ya. MMuahhks! Gariskan bentuk senyuman yang paling comel sentiasa.

Friday, March 11, 2011

Teknologi Insan Vs Teknologi Tuhan



Dengan Nama Allah Yang Maha Kuat lagi Maha Berkuasa. Assalamualaikum wbt, semua! Hari ini 11hb Mac 2011 bersamaan Hari Jumaat, penghulu hari yang magis sekali.

Telah sedia maklum, dunia dihentam sejarah baru yang hebat hari ini. Tsunami lagi! Raz dikejutkan tragedi Tsunami di Jepun petang tadi dan seram sejuk terasa tubuh ini. Tidak ingin Raz ulas kembali tragedi yang berlaku kerana sebaran internet telah menerjah begitu pantas. Kebanyakan kita tergempar dengan berita ini. Allahuakhbar!
Penutup Jumaat yang tragis dan membawa fikiran Raz pada kebesaran Allah SWT yang seharusnya kita fikir bersama.

Negara yang gah dengan kecanggihan teknologi dan kemodenan frasarana digelodak hempasan Tsunami yang menggerunkan. Apa yang terkilat di akal Raz ketika mendengar berita itu adalah teknologi manusia yang hebat, tidak sekelumitpun berjaya menandingi teknologi Sang Pencipta. Dia Maha Hebat! Subhanallah.. MasyaAllah dan Astaghfirullahalazim.

Keseronokkan kita mengejar-ngejar meterial hidup yang serba sofistikasi,berdaya popular yang megah mengikut daya cipta terkini boleh hilang di dalam beberapa saat sahaja. Semuanya hanyut ditimbus garang gulungan kehebatan kuasa Allah. Siapalah kita ketika itu??

Air laut, persis sang puteri tenang, lembut, cantik dan tenang dipandang, tiba-tiba mengaum kuat menghancurkan semuanya. Ya Allah! Lindungi kami dari hukuman yang tidak mampu kami lalui. Amin.

Hari ini menjadi pengajaran bagi Raz. Mudah-mudahan kita bangun pada hari esok dengan melalui hidup bersama peribadi yang sentiasa bertatahkan permata kasih dari Ilahi. Moga kita sentiasa dilindungi dengan keselamatan-Nya sentiasa. Amin.

Selamat malam, penghulu hari.
Selamat tidur, sahabat hati.
Mekarkan nurani dengan Ilahi.


MMMMmmuahks!
Raz.R

Ulang Tahun Sebuah Impian



10 tahun yang lalu...dan hingga hari ini...
Raz masih bangun dengan impian yang sama. Tidak ada anjakkan untuk mengubah impian yang terbina.

Assalamualaikum wbt beriring dengan penghulu hari yang mulia. Jumaat-Nya. Subhanallah. Ya Allah, kami mengharapkan kebaikan dari segala rahsia-Mu. Sempurnakanlah permulaan hari yang baik ini dengan penamat hari yang paling baik untuk kehidupan kami dunia mahupun akhirat. Amin... Selamat pagi, sahabat! Gandakan senyuman, gandakan sedekah!

Alhamdulillah, Raz masih berdoa dan masih tetap setia pada usaha agar impian Raz diberkati Ilahi dan dipermudahkan perlaksanaannya.

Walaupun begitu, hari-hari yang Raz lalui mematangkan Raz untuk tidak terlalu menaruh harapan yang fanatik terhadap apa yang impikan. Raz sekadar berusaha dan berdoa bersama kesabaran yang Raz ada. Selebihnya adalah di dalam ketetapan kuasa Tuhan semesta alam. Benar, penantian untuk sebuah impian itu amat menyiksakan. Namun rasa siksa itu akan tetap hilang dengan kesabaran dan keredhaan hati.

~SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MENETAPKAN KETENTUAN-KETENTUAN ATAS MAKHLUKNYA LIMA PULUH TAHUN SEBELUM MEREKA DICIPTAKAN (HADIS NABI)~

Allah Maha Kaya, Maha Bijaksana atas segala ciptaan-Nya.
Biar hancur daging dan kering darah yang mengalir di badan, seandainya usaha tidak terizin di bawah ketetapan-Nya, kita wajib meneruskan hidup seperti biasa.
Namun, DIA berkuasa mengubah SEGALANYA. Terutama dengan kesungguhan kita mengharap dan bermohon kepada-Nya. Lebih lama kita menagih kasih dan pemberian-Nya, lebih menjadi kesukaan-Nya. Segalanya adalah rahsia-Nya yang tidak wajar kita persoalkan.

Apa yang menjadi tanggungjawab kita sebagai hamba.. Usah sekali berputus asa. Usah juga tipiskan keyakinan kepada-Nya. Jika dihujung hati kita merasakan impian kita itu adalah salah satu ciptaan yang telah pun tersedia, laksanakanlah usaha kita terus menerus. InsyaAllah, suatu hari impian itu akan LENGKAP di dalam pelbagai cara dan bentuk kuasa-Nya.

Jom.. perkasakan hati. Lakukan apa yang terbaik untuk diri sendiri dan untuk mereka yang kita sayangi. Jangan susah hati.

MMuahhhks!

Moga Jumaat ini menjadi Jumaat yang penuh kebaikan. amin.

Thursday, March 10, 2011

Kukuhkan Lagi kesabaran






~Ya Allah! Wahai Yang Maha di dalam zat Pengasih melebihi segala yang dikasih, kasihilah diriku dan kasihilah mereka yang mengasihiku dan aku mengasihi mereka.Jauhkanlah kami dari perkara-perkara yang menjerumuskan kami untuk derhaka pada-Mu. Ampunilah dosa-dosa kami dan iringkanlah kehidupan kami kepada jalan yang lurus yang penuh hidayah-Mu. Amin~

Assalamualaikum wbt, semoga dirahmati Allah selamanya.

Matahari sedang menenggelamkan cahayanya jauh, memberikan giliran pada malam untuk menimbulkan keindahan bulan, InsyaAllah. Raz sedang melihat matahari itu menyerakkan warna senjanya. Selamat malam, matahari. Terima kasih untuk khidmatmu hari ini.

Pulang dari kerja. Badan terasa ngilu, lemah dan letih. Dalam suam-suam rasa tersebut, pilu menjamah hati. Diusik bisikan syaitan yang jahat. Sesuatu telah berlaku dan rasa amat resah dan marah. Mempertikaikan keadilan sikap manusia yang begitu mudah memandang remeh akan usaha orang lain. "Madu dijamu, tuba dibalas". Pepatah yang Raz suaikan untuk sikap manusia yang begitu. Mohon Allah lindungkan hati Raz dari terlalu dipengaruhi pergolakan rasa tersebut.

Ya! Kenapa perlu kita gelisah seorang diri dengan sikap keji orang lain? Susah payah kita sedang asyik berkira-kira tentang ketidakadilan peribadi orang yang melukai perasaan kita. Di dalam pada masa yang sama adakah orang itu sedang menginsafi kesilapan yang tidak disengajakan atau sengaja diperlakukannya? Entah-entah dia sedang bergembira melayari hidupnya dan kita sedang terkial-kial meratap sikapnya?
Mungkin dia sedang berpeleseran bersuka ria menikmati kehidupannya yang ada dan kita pula sedang menangis mengenang kesedihan rasa yang telah berlaku diantara kita dan dia.

Cukup! Berhentilah mengenang-ngenang perkara yang berlalu! Iktibarkan segera yang sekalipun seminit yang lepas bahawa kisah itu hanya kenangan dan pengalaman. Lupakanlah. Serahkan keperitan pengalaman itu kepada Allah swt. DIA lebih bijak merawatnya. Lagipun, apa yang berlalu dan berlaku tetap telah terjadi dan tidak mampu dikembalikan dan diubah lagi. Biarlah Allah sahaja yang membalas apa yang baik dan apa yang buruk. Manakala kita, teruskan hidup! Teruskan usaha! Teruskan sabar!
Selagi Allah tidak mengapa-apakan kita, InsyaAllah... tiada satu makhluk pun yang dapat mengapa-apakan kita. Lagipun.. bukankah segalanya yang berlaku dalam hidup kita itu tetap bernama UJIAN? Jadi, bersabarlah terhadap segalanya. Pulihkan hati dengan segera.

Usah lengahkan hati dengan luka yang panjang dan parah. Jika orang yang menyakiti kita itu sedang bergembira, lalu kita yang disakiti juga berhak untuk bergembira. Masa kita jangan dibuang-buang dengan mengingati keperitan. Terlalu mahal untuk kita membazirkannya.

Apa jua yang berlaku, bersabarlah. Kukuhlah pada kesabaran, InsyaAllah jalan kemenangan akan terbentang nanti. Senyum lagi. Kuat-kuatkan hati!

MMMuahks!

Raz.R

Jangan Bingung; Jangan Sangsi.



Raz singgah lagi menyampaikan sayang, menghulurkan kasih dengan Assalamualaikum w.b.t dan doa yang dipanjatkan agar Allah memperbaiki diri dan kehidupan kita lebih baik dari semalam. Senyumlah! Juga sebutlah Alhamdulillah! Kita masih berupaya menikmati dingin pagi. Masih hidup lagi. Masih boleh berusaha menjadikan banyak perkara menjadi kenyataan. Terutamanya, menjadikan diri insan yang terbaik di pandangan Allah swt. InsyaAllah.. Amin Ya Robbal Alamin.

Cerita malam tadi tentang diri sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Raz kebingungan, kerisauan dan keletihan. Semakin hari tenaga dan kekuatan diri semakin surut ditelan usia. Cerita masa depan yang merisaukan. Terlalu banyak soalan 'KENAPA' dalam benak.

Sebening subuh, sehening tulus hati Raz membuka satu catatan lama dan mengulangi membacanya. Alhamdulillah, hati dan akal makin bangun semula.

Untuk hidup hari ini yang kita miliki, tidak perlu kita besar-besarkan kebingungan kita tentang hari esok yang tidak pernah kita tahu apa yang akan terjadi. Bergantunglah pada Allah swt semata. Berharaplah agar Allah memberkati segala usaha kita hari ini. Lakukan yang terbaik hari ini. Usah cemas lagi. Tutuplah fail lama yang mengingatkan kita akan kegagalan dan keruntuhan hati. Mulakan hari yang kita miliki hari ini dengan azam yang kental bahawa kita akan penuhkan hari kita dengan apa yang terdaya dengan sebaik-baiknya. Tidak perlu kita ramal apa yang bakal terjadi pada masa depan lagi. Desas-desus pahit yang kita dengar, tidak perlu kita pegang sebagai ramalan hidup. Itu hanya akan menyusahkan perasaan sendiri. Jangan biarkan diri kita takut untuk menghadapi hidup. Jangan biarkan kita sengsara dengan angan-angan yang panjang. Jangan biarkan mentaliti kita "gila" dengan perasaan-perasaan yang serabut.

"SEMBAHLAH ENGKAU AKAN DIA DAN BERSABARLAH DENGAN TEKUN, TETAP DALAM BERIBADAT KEPADA-NYA"-(MARYAM:65)



Bacalah doa di atas ini untuk menjauhi diri daripada hasutan syaitan yang sentiasa menggoda kita ke arah jurang-jurang keburukan. Lindungi diri dengan pedoman Ilahi.


Ayuh..!
Kita teruskan hidup tanpa rasa sangsi pada Ilahi. Biar apa pun terjadi!
Selamat pagi semua.. jom pergi kerja.. simpulkan senyuman yang nyata indahnya..

MMuahh!

Raz.R

Wednesday, March 9, 2011

Jangan Bimbang Pada Kecewa



Salam kasih untuk diri Raz dan untuk semua yang menjengah ruangan ini. Dengan ucapan Assalamualaikum dan Bismillahirrahmanirrahim.. dan Selamat Pagi Seindah Pagi!

Sepalit semyum yang manis dari Raz untukmu! :)

Malam tadi, malam yang indah kerana telah didendangi hujan yang mencurah. Agak lebat dan sejuk. Alhamdulillah. Doa telah di dengari Allah dan sesungguhnya Dialah Yang Maha Pemberi Rahmat ke atas hamba-Nya. Terima kasih Ya Tuhan.

Malam tadi, Raz menjengah kehidupan mereka yang menulis tentang kehidupan mereka. Hiba sungguh kerana ramai dari kita yang lebih gemar menulis tentang KECEWA. Fitrah dari kelemahan kita insan. Kekecewaan itu adalah serangan dari dalam yang tidak berdaya ditepis kita.

Banyak sekali yang bercerita tentang kecewa dari usul TIDAK DIHARGAI. Ya, bila harga sebuah rasa dibuat sambil lewa, sudah tentu rasa mundur itu akan muncul. Raz juga selalu merasakan perasaan itu. Lukanya tidak kelihatan, tapi sakitnya amat menikam.

Wahai diri yang selalu dikecewakan... bertenanglah.
Kekecewaan itu tidak akan teguh terus melukakan kita.
Apa sahaja yang kita lalui dan mendatangkan kekecewaan,akan memberikan kita sebuah lintasan yang membawa kita ke arah kekuatan "di dalam". Janganlah bimbang. Doakan agar Allah mengurniakan kesabaran yang hebat dan berusahalah untuk megatasi kekecewaan itu dengan mengumpulkan semangat juang besar. Katakanlah pada diri.. "InsyaAllah, jika ini kehendak-Mu, Ya Allah.. berikanlah kurniaan-Mu agar aku terus kuat menghadapinya."

Baiklah, Raz dah terlewat untuk melakukan tugas Raz seterusnya. Wah! Ralit! Hehehe.. Kita sambung sembang kita lagi nanti. InsyaAllah. Jaga diri, jaga peribadi, jaga hati dan jaga iman...! Selamat pagi dengan penuh senyuman!

Sayang, sayang dan sayang,
Raz.R

Tuesday, March 8, 2011

Semanis-manis Pagi.



Assalamalualaikum wbt

SELAMAT PAGI!!!!
Selamat pagi pagi untuk hidup yang baru.. Alhamdulillah pada kesempatan yang diberi Ilahi untuk mengumpul sebanyak pengalaman bumi-Nya. Mungkin, kita mampu membawa sesuatu dari pengalaman itu 'ke sana' sebagai saksi kewujudan jiwa yang berusaha menjadi insan yang sebenar-benar insan.




SELAMAT PAGI, "EVERYBODY"!!... Moga bangun dengan senyuman hari ini.

Gema si jantan berkokok, kicau burung yang berbisik jauh ditelinga, pohon-pohon menyerikan hijaunya... seperti sedang bersyukur dan bertasbih. Cantik sekali!


Tiba-tiba Raz terfikir..
Hidup ini bukan untuk kalah,
dan bukan untuk menang.
Tiada yang yang kalah melebihi syaitan,
tidak juga ada yang akan menang melebihi Tuhan.

Wallahua'lam..
Mudah-mudahan kita sentiasa dilindungi Allah swt untuk semua usaha baik kita. Amin.

Senyum yang paling manis untuk pagi yang sungguh manis!!!! :)